Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 29 Oktober 2017

Peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional -Karangan percubaan SPM Johor DT Karangan B












Permainan Tradisional

Peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional  -Karangan percubaan SPM  Johor DT Karangan B soalan  b 1












Karya  ZH tingkatan 5 sains aliran agama 2016 (pelajar terbaik 11A SPM 2016)


Dewasa ini, permainan tradisional seperti layang-layang, gasing dan congkak kurang diminati serta semakin dilupakan oleh generasi muda.

Bincangkan peranan ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak bermain permainan tradisional.

         
Pada zaman  ini permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan daripada arus perdana oleh masyarakat kita . Sebenarnya negara kita ini memang kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang sepatutnya tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara  permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan banyak lagi. Kebanyakan  permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda. Hari ini kita tidak nampak lagi sebarang kelibat anak-anak bermain permainan tradisional terutama di kota raya.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha digiatkan untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak.  Ibu bapa khususnya perlu memainkan peranan menggalakkan  anak-anak bermain permainan tradisional. Banyak peranan perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam usaha menggalakkan anak-anak minat bermain permainan tradisional.

        
  Usaha pertama yang ibu bapa perlu lakukan untuk menggalakkan minat anak-anak bermain permainan tradisional adalah dengan memupuk minat dalam diri ibu bapa sendiri terhadap  permainan tradisional. Ibu bapa pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Sebagai  ibu bapa, mereka perlu sedar bahawa mereka  berperanan  mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak. Hal ini boleh dilakukan dengan mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Ibu bapa perlu mengakses maklumat tentang permainan tradisional melalui internet, atau bertanya kepada golongan yang lebih tua, lebih berpengalaman tentang permainan tradisional.Hasilnya, ibu bapa dapat memahami dengan lebih jelas perihal setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenaan pelbagai permainan tradisional beserta videonya sekali. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk disertai, prosedurnya mudah dan kosnya murah.  Secara tidak langsung,apabila wujud kesedaran dan minat dalam diri ibu bapa maka usaha untuk menggalakkan  anak-anak melibatkan diri dalam permainan tradisional di negara ini dapat dijana dengan mudah.

     
     Selain itu, usaha yang boleh ibu bapa lakukan  adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai medium pengisi masa lapang anak-anak. Hal ini boleh dilakukan dengan menggalakkan anak-anak bersama-sama rakan-rakan sebaya bermain congkak, seremban, gasing dan banyak lagi, pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Ibu bapa boleh memberi tunjuk ajar kepada anak-anak dan rakan-rakan mereka tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan anak-anak memainkannya bersama-sama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama anak-anak sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan anak-anak  sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri anak-anak adalah lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada anak-anak terutama apabila ibu bapa dapat pastikan pengisian masa  dipenuhi dengan bermain permainan tradisional.

       
   Di samping itu, bagi menggalakkan permainan tradisional diminati oleh anak-anak,  ibu bapa melalui PIBG hendaklah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Ibu bapa jua  boleh menulis surat kepada pihak sekolah menerusi perantara PIBG agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah.  Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar termasuklah anak- anak kita sendiri. Anak-anak  kita juga akan  menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada golongan ibu bapa yang lebih berpengalaman bagi menarik minat anak-anak. Dengan cara tersebut, minat anak-anak terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika anak-anak telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat  dan kecintaan terhadap permainan ini akan tertanam secara semula jadi. Ternyata ibu bapa hari ini perlu berani membuat perubahan  ke arah memartabatkan permainan tradisional agar terus diminati oleh anak-anak.

       Selanjutnya untuk menjadikan permainan tradisional lebih diminati oleh anak-anak, apa salahnya ibu bapa turut serta bermain permainan tradisional untuk menceriakan suasana. Persaingan dan perlumbaan  permainan tradisional antara ibu bapa dan anak-anak  akan menyemarakkan lagi semangat anak-anak untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Sambil bermain, sambil membimbing anak-anak akan cara-cara atau tips yang tepat bermain permainan tradisional. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan remaja dan anak-anak hari ini. Permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam semarak kasih keluarga bahagia.. Ibu bapa hendaklah berganding bahu, bersikap terbuka untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini, bak kata para hukama sesuatu itu perlu bermula dengan langkah pertama. Ibu bapalah yang memulakannya. Jika tidak permainan tradisional warisan silam ini hanya akan tinggal nama sahaja dalam lipatan sejarah, dan..... akan terus hilang ditelan masa. Daya iltizam dan kreativiti ibu bapa diharapkan akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa agar tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas .  Sesungguhnya suasana gelak ketawa, riuh rendah sesebuah keluarga terasyik dengan permainan tradisional secara tidak langsung menggalakkan anak-anak lebih cenderung dan berminat akan permainan tradisional.
          Usaha yang seterusnya ialah ibu bapa perlu sentiasa menanamkan semangat cinta akan budaya negara terutama terhadap permainan tradisional dengan membelikan anak-anak alat-alat permainan tradisional. Adanya alat seperti gasing, papan congkak, guli, membangkitkan naluri ingin tahu dan ingin mencuba bermain. Ibu bapa perlu prihatin, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung anak-anak masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika ibu bapa telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya bangsa, maka sudah pasti permainan tradisional gah terpelihara dalam kalangan masyarakat Malaysia. Permainan tradisional ini amat mendamaikan hati , dapat mengelakkan stres  atau tekanan dan tidak membosankan. Kecintaan terhadap permainan tradisional yang disemai oleh ibu bapa terhadap  anak –anak akan memupuk juga rasa cinta terhadap budaya negara. Bawalah anak-anak menyaksikan pertandingan permainan tradisional agar mereka teruja untuk memahirkan diri. Yang nyata Ibu bapa wajar membeli dan membekalkan anak-anak dengan peralatan permainan tradisional untuk membiasakan, mendedahkan dan menggalakkan anak-anak bermain  permainan tradisional.  
          Kesimpulannya, ibu bapa hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati anak-anak .Seyogia anak-anak hari ini perlu berganding bahu dan meminta sokongan  dan bantuan ibu bapa  agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua pihak boleh saling bekerjasama meningkatkan paradigma permainan tradisional negara agar terus mekar berkembang dan diminati ramai. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan menggunakan pelbagai pendekatan relevan bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan di situ ada jalan


Jangan Tiru