Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Sabtu, 2 Februari 2019

Langkah-langkah paling berkesan menangani OBESITI atau kegemukan. Bincangkan.



Langkah-langkah paling berkesan menangani OBESITI atau kegemukan. Bincangkan.

Gemuk, tembam, perut boroi. debab adalah antara istilah kita  sebut, kita gelar kepada rakan, adik beradik atau sesiapa sahaja yang berat badannya berlebihan atau lebih mudah, yang GEMUK! Malaysia merupakan negara kedua tertinggi di Asia jumlah rakyatnya yang gemuk, selepas Australia. Gemuk sebenarnya,menjadi punca kepada pelbagai penyakit kronik Jadi kita perlu kawal berat badan agar tidak gemuk, Kata orang ‘nak gemuk senang, tapi nak kurus punyalah susah’, kekadang terpaksa naik bukit turun bukit untuk dapatkan berat badan ideal. Jadi saya yakin ada baiknya kita bincangkan satu persatu kaedah dan cara untuk mengelakkan kegemukan. Kita perlu ikhtiarkan cara paling berkesan untuk dapatkan berat badan UNGGUL

Antara langkah untuk hindari obesiti adalah dengan mengamalkan amalan pemakanan seimbang. Kita perlulah makan,berpandukan piramid makanan, dalam memilih menu makanan sihat, yang tidak menggemukkan. Banyakkan makan buah-buahan, sayur-sayuran, dan ulam-ulaman yang memudahkan penghadaman dan pencernaan. Kekadang sayur-sayuran dan buah-buahan boleh jua kita jadikan makan ruji sepanjang masa, setiap  masa. Ingat kegemukan itu amat menakutkan sebab nak cari baju pun  susah. Semuanya kena buat ikut saiz XL atau XXXL.  Kita perlu kurangkan makan makanan berlemak, elakkan minum minuman berkarbonat, jauhi makanan atau minuman manis dan perbanyakkan minum air kosong. Sesungguhnya amalan pemakanan seimbang berpandukan pyramid makanan amat membantu kita mengekalkan berat badan unggul sekali gus mengelakkan kegemukan.

Selain itu, untuk mengekalkan berat badan idaman, kita juga mestilah makan mengikut waktu secara teratur terutamanya tiga waktu makan yang utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Jangan makan 24 jam! Jangan hidup untuk makan. Tetapi bersederhanalah dalam amalan pemakanan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menguar-uarkan slogan ‘makan secara sihat sepanjang hayat’ bagi memastikan  masalah kegemukan tidak menjadi isu nasional.  Kita bukan sahaja sihat malah kehidupan kita jadi lebih bahagia dan terjamin tanpa obesity yang amat menakutkan. Kita jadi stres, jadi tertekan dan kita akan terus makan, makan dan makan tidak mengira waktu  dan tidak mengikut tertib . Ingat, perut kita pun perlukan rehat dan perut kita itu bukanlah TONG SAMPAH yang perlu diisi, dilanyaki dengan serba aneka makanan. Ternyata makan ikut tertib, makan ikut waktu secara teratur merupakan langkah paling afdal mengelakkan kegemukan.

Langkah paling pragmatik seterusnya adalah dengan melakukan senaman secara teratur. Kegemukan dapat kita jauhi, dengan kita  mendisiplinkan diri  dan melakukan senaman sekurang-kurangnya selama dua puluh minit dalam tiga kali seminggu. Aktiviti senaman ini hendaklah dijadikan rutin dalam kehidupan kita. Kita janganlah  menjadikan kesibukan bekerja sebagai alasan untuk tidak bersenam.Hari  ini terdapat banyak alatan senaman yang mampu kita miliki dan kita gunakan di rumah. Kita lakukan senaman secara berkala untuk elakkan berat badan berlebihan Melalui senaman yang teratur  dapat membantu kita mengekalkan berat badan yang kita impikan sekali gus mencegah penyakit, dan sambil  menyelam sambil minum air dengan bersenam bukan sahaja badan kita sihat, otak cerdas malahan potongan badan 30, 23, 30 jadi milik kita. Jelaslah dengan bersenam kita mampu mengelakkan obesiti.

Di samping senaman, kita jua boleh berusaha menguruskan badan dengan mengamalkan makan produk pelangsingan badan yang kian banyak dalam pasaran. Cuma kita perlu berhati-hati, yakni memilih produk pelangsingan yang diktiraf, disahkan selamat oleh pakar perubatan atau pakar perundingan pencegahan obesity.  Pelbagai produk pelangsingan badan dijual dan diiklankan yang boleh  membantu  pengguna membuat pilihan yang terbaik. Pengguna jadi lebih berhati-hati memilih  bahan-bahan dalam produk pelangsingan badan yang selamat dan berkesan, Produk  pelangsingan perlu ada jaminan keselamatan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Penggunaan produk ini diyakini selamat dan boleh memberikan kesan positif mengurangkan berat badan.. Penggunaan produk  yang disyorkan oleh pakar perubatan dapat menguruskan badan.mengeluarkan lelemak,  mendatangkan kesan yang baik kepada kesihatan. Realitinya, apa salahnya kita mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pakar perubatan yang bertauliah sebelum menggunakan sesuatu produk pelangsingan badan yang ada dalam pasaran kerana cara sebegini memang membantu mengelakkan kegemukan.

Langkah selanjutnya yang sering  saya dan rakan-rakan lakukan untuk mendapatkan berat badan unggul, yang kami impi-impikan adalah dengan BERPUASA. Kami niatkan puasa kerana Allah. Kami berpuasa pada hari isnin dan hari khamis. Secara serampang dua mata, pahala pun dapat, kurus pun kita miliki. Kekadang dua, tiga kilo turunnya berat badan kami perolehi setelah berpuasa. Mungkin cara ini berkesan untuk mengurangkan berat badan bagi sesetengah individu, Cuma puasa ini kita jadikan amalan  untuk merehatkan perut kita daripada suka makan makanan yang bukan-bukan. Kita tahan diri kita daripada lapar dan  dahaga dan Alhamdulillah ramai yang Berjaya menggunakan cara ‘berpuasa’ untuk kuruskan badan. Kalau ada yang tidak yakin dan tidak percaya, cubalah sendiri dan lihat hasilnya. Memang tidak boleh dinafikan, dengan sekali –sekala kita berpuasa kita mampu kekal sihat  dan jauh daripada kemelut OBESITI.

Kesimpulannya, kita perlulah sedar dan insaf bahawa tiada jalan mudah untuk menguruskan dan mengawal berat badan. Semua orang takut gemuk. Sebab, .......sebab gemuk menghalang pergerakan. Kita jadi rasa rendah diri apabila gemuk. Tiap hari kita akan pandang cermin. Kita lihat saiz badan kita dalam cermin. Aaahhhh..... sedih lagi menakutkan!.Kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan senaman dan melakukan aktiviti fizikal secara aktif untuk mengekalkan berat badan unggul dari sekarang dan kekal kurus hinggalah ke  hari tua.  

Karya : Farid -   SPM 

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan .

Langkah-Langkah Memajukan Sektor Pelancongan Negara . Bincangkan 

        Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi antara sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyaknya seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang dan peluang yang wajar dimanfaatkan oleh semua pihak untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau secara mendalam terdapat beberapa langkah yang pragmatik boleh dilakukan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.

       Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  yang dapat menarik minat pengunjung dari pelbagai negara. Banyak produk pelancongan yang boleh diterokai, misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Selain itu konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan pada musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya.  Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Oleh itu, kita hendaklah mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai produk pelancongan  dapat meningkatkan sektor pelancongan negara.    

      Seterusnya, kerajaan Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap. Pelbagai acara antarabangsa wajar dilobi agar diadakan di negara ini. Sebagai contoh, penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1, kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat perhatian peminat antarabangsa.Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang diadakan di Sarawak setiap tahun. Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya, bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan berkunjung ke negara ini bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam sambil minum air. Jelaslah penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa dapat meningkatkan kehadiran pelancong ke negara kita.

     Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan, contohnya tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan kepada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan, Timur Tengah dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Sesungguhnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

      Selanjutnya langkah untuk memajukan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan pelbagai syarikat, firma, badan kerajaan dan swasta. Kempen Tahun Melawat Malaysia disasarkan untuk menggalakkan sejumlah besar pelancong datang ke negara kita. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara yang dapat menarik minat pelancong seperti persembahan pelbagai acara kebudayaan masyarakat berbilang kaum di negara kita.. Penyertaan pelbagai pihak memang amat digalakkan bagi memeriahkan  sambutan Tahun Melawat Malaysia ini. Kita sama-sama memikul tanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan   bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Pengusaha hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Ternyata, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan dan memajukan sektor pelancongan di negara kita.

        Di samping itu, untuk kita menggalakkan kehadiran berganda para pelancong kita perlulah mengekalkan suasana aman damai di negara kita. Tidak ada pelancong yang sudi atau mahu berkunjung ke negara yang dalam kancah perang. Kemesraan perlu kita ketengahkan kepada  pelancong dengan penuh keikhlasan. Ungkapan  luhur penuh keikhlasan seperti 'terima kasih', 'jumpa lagi', 'maafkan saya'  adalah antara nostalgia indah yang menggamit kehadiran pelancong ke negara kita., Hasilnya nama negara akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir  para pelancong. Pelancong akan datang dan pergi dan datang kembali ke Malaysia, persis penyu di Rantau Abang, datang dan pergi dan datang kembali!. Industri pelancongan negara akan tampil lebih hebat, apabila Malaysia dijadikan destinasi utama pelancong sedunia. Sememangnya, suasana aman damai penuh kemesraan  ini bagaikan tarikan magnet, dapat menarik kunjungan ribuan pelancong ke negara kita.

          Kesimpulannya, semua pihak hari ini, tampil dengan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Segala keunikan dan keistimewaan budaya pelbagai kaum di negara ini kini diketengahkan untuk dinikmati oleh para pelancong dari dalam dan dari luar negara. Malaysia sentiasa ada di hati dan di minda masyarakat, yang menterjemahkan negara kita sebagai sebuah destinasi pelancongan terhebat, lagi tersohor di dunia. Syukur, alhamdulillah.


Hasil Karya : Nur Athirah binti Mohd Nor  Tg 5  -SMKDMPR2   

PERANAN SAYA SEBAGAI ANGGOTA BADAN PENGAWAS SEKOLAH. BINCANGKAN.

PERANAN SAYA SEBAGAI  ANGGOTA BADAN PENGAWAS SEKOLAH. BINCANGKAN.
        Pakaian saya berbeza dengan pelajar lain. Saya seorang pengawas sekolah . Saya dilantik sebagai pengawas sejak dari tingkatan satu lagi. Kemudian saya ditawarkan ke tingkatan empat sains di MRSM. Di MRSM ini  pada tahun lalu saya dilantik sebagai pengawas dan syukur Alhamdulillah pada tahun ini saya diberi kepercayaan dan  mandate oleh pihak sekolah, dilantik sebagai ketua pengawas sekolah. Syukur, syukur Alhamdulillah. Saya sebagai seorang pengawas  mempunyai kaedah tersendiri dalam menjalankan tugas sebagai pemimpin pelajar . Ahli Lembaga Pengawas Sekolah menjadi pelengkap  kepada pembentukan sebuah sekolah yang mantap, dinamik dan gemilang . Saya nekad menjalankan tugas saya dengan rasa tanggungjawab  dan tidak  akan menghampakan hasrat dan harapan barisan guru disiplin dan pihak pentadbir sekolah yang menaruh harapan kepada saya sehingga saya diberi kepercayaan, dilantik sebagai Ketua Badan Pengawas Sekolah.

                 Antara tugas saya sebagai pengawas ialah saya perlu   menunjukkan teladan yang baik kepada semua pelajar dalam semua aspek termasuk perwatakan dan sikap saya, cara pemakaian, cara saya berkomunikasi, berinteraksi dengan guru, dengan rakan  dan prestasi akademik saya perlu lebih menyerlah .  Saya perlu menjadi suru teladan kepada pelajar-pelajar lain dan berpendirian tegas dalam membuat keputusan bersabit persoalan disiplin pelajar. Guru-guru saya jadikan sumber rujukan , tempat saya meminta pandangan  dan pendapat. Keupayaan untuk melakukan pengawasan dan pengawalan secara berhikmah merupakan aset berharga yang perlu saya miliki sebagai seorang pengawas. Saya amat yakin dan percaya bahawa para pengawas yang mempunyai berkeperibadian mulia , berwibawa lagi berintegriti  mampu meningkatkan prestasi sekolah dari disiplin.  Sememangnya , apabila seorang pengawas itu mampu menunjukkan teladan yang baik, sudah  pasti badan  pengawas sekolah bersedia  membantu sekolah membentuk murid yang berdisiplin dan sikap  pengawas yang sebegini  dikagumi oleh semua pelajar dan guru.

                Selanjutnya, pengawas bertugas membantu pihak sekolah dalam membentuk disiplin murid, sekaligus  barisan pengawas lah yang mengimplikasikan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan sekolah. Pengawas perlu mempunyai jiwa yang kental dalam semua aspek termasuk rohani dan jasmani sekaligus dapat memperkasakan peranannya sebagai sub organisasi penting kepada sekolah. Dengan  semangat berani,  penuh yakin  pengawas perlu sedar bahawa mereka adalah  orang kedua penting selepas guru dalam membentuk disiplin dan tingkah laku pelajar . Dengan ‘buku kecil ada  di tangan pengawas mencatat  kesalahan dan kealpaan pelajar di sekolah berkaitan disiplin. Pengawas  perlu bersikap adil tidak memilih antara pelajar ikan bilis atau pelajar ikan yu, sama ada pelajar dari keluarga aristokrat yang ayahnya kaya raya mahupun dari keluarga yang hidup melarat dan papa  kedana. Yang salah tetap salah dan perlu dihantar kepada guru disiplin untuk diambil tindakan. Pelajar yang melanggar disiplin biasanya akan dirotan atau ibu bapanya akan dipanggil ke sekolahRasa bersalah tidak sepatutnya ada pada diri pengawas yang menghantar nama pelajar bermasalah kepada guru disiplin   Demi tugas, dan demi menjaga nama baik sekolah saya sebagai pengawas perlu menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya.Ternyata tugas pengawas ialah membentuk disiplin pelajar.

                Di samping itu, pengawas sekolah sentiasa bersedia  berurusan dengan  pelajar  bermasalah dan bersedia memberi nasihat, tunjuk ajar dan panduan mengikut situasi dan  keperluan. Mereka bertindak sebagai pemimpin rakan sebaya. Sebagai pengawas dan calon SPM saya mengajak mereka belajar bersama-sama kumpulan saya membentuk study group.. Apabila pengawas mendekati pelajar dengan cara begini, suasana harmoni dapat dibentuk  dan iklim pembelajaran jadi lebih ceria dan menyeronokkan.  Tiada garis pemisah antara pengawas dan yang  bukan pengawas.  Pengawas mendekati  rakan pelajar serta bertanya khabar, bertanya tentang hitam putih kehidupan seharian yang dilalui. Ketika inilah pengawas mengambil kesempatan mengeuarkan pendapat dan buah fikiran ke arah penyelesaian masalah yang dihadapi oleh rakan sebaya. Situasi sebeginilah yang memungkinkan pengawas dianggap sebagai tulang belakang sekolah dalam menyelesaikan kemelut disiplin.  Sebarang masalah yang berbangkit, akan diajukan kepada guru disiplin atau kepada Pengetua dan diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putu dan tepung tidak berselerak. Sesungguhnya kesediaan pengawas bertindak, berurusan sebagai pemimpin rakan sebaya pelajar dapat menyelesaikan  ‘seribu satu permasalahan’  pelajar.

                Seterusnya, sebagai pengawas kami menghadiri mesyuarat badan pengawas sekurang-kurangnya sebulan sekali. Di sinilah saya dan rakan-rakan serta pengawas junior, menyuarakan pandangan dan pendapat demi memantapkan prestasi dan wibawa Badan Pengawas Sekolah.  Semasa mesyuarat kami berkolaborasi berbincang tentang cabaran, halangan dihadapi semasa melaksanakan tugas. Kami sebagai pengawas bertugas dan berbakti seikhlas hati tanpa mengganggu prestasi akademik. Kami sentiasa ringan tulang membantu antara satu sama lain, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kami pastikan persekitaran sekolah sentiasa sifar sampah, tiada pelajar yang berwewenangan membuang sampah merata-rata, tiada pelajar yang lepak di sudut sepi kawasan sekolah. Kesemuanya disuarakan dalam mesyuarat pengawas dan penyelesaian masalah dicari dan diperolehi ketika mesyuarat itu. Pengawas junior, pengawas tingkatan satu dan dua,  dinasihatkan agar beri tumpuan  kepada rakan sebaya mereka. Elakkan menegur pelajar-pelajar senior, kerana kata bidalan sarang tebuan jangan dijolok’. Biarlah pengawas senior yang menegur dan menasihati kakak-kakak dan abang-abang senior.  Realitinya menghadiri mesyuarat pengawas merupakan tempat paling berkesan untuk Majlis Pengawas bermuhasabah diri, mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah pelajar.

                Selain itu, tugas yang terindah badan pengawas sekolah saya ialah, kami membantu menjayakan pelbagai program perdana sekolah. Semasa perjumpaan ibu bapa atau PIBG misalnya, pengawaslah yang sentiasa siap siaga berada di meja pendaftaran ibu bapa, membantu meringankan tugas guru pendaftaran.  Semasa majlis penyampaian anugerah Hari Sukan, anugerah Pelajar Cemerlang, pengawas lah yang bertungkus lumus, ke sana ke mari dengan tugas menyusun kerusi meja, membalut hadiah, mengawasi pergerakan pelajar sehinggalah ke tahap menjadi juruacara program rasmi sekolah. Dan seandai berlaku perpisahan guru, guru bersara, sebagai Ketua Pengawas saya perlu menyampaikan ucapan mewakili seluruh pelajar. Kesemuanya berakhir dengan Jamuan Akhir Tahun Badan Pengawas 2018 yang diadakan dalam suasana penuh syahdu, di tempat yang eksklusif, lazimnya di kota serambi Mekah, yakni di Kota Bharu. Hakikatnya pengawas turut membantu menjayakan program perdana  sekolah

                Kesimpulannya, sebagai pengawas sekolah kita sepatutnya mampu memikul amanah dengan sempurna dan menjalankan tugas dengan baik, dalam usaha membantu pihak sekolah melahirkan pelajar cemerlang dari aspek sahsiah dan disiplin diri . Pengawas yang dilantik perlu menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan amanah, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan bidang akademik. Pengawas sekolah sentiasa bersifat insaf dan bermuhasabah diri semasa melaksanakan tugas seorang pengawas dan ...... jadilah seorang pengawas yang disegani.

Oleh : Nur  Arisya Husna binti Nor Zarodi  tg 5  DM2  

Jangan Tiru