BAHASA
MELAYU LATIHAN INTENSIF CEMERLANG A+
Soalan
1 : Rumusan [30 markah] Baca petikan, kemudian
buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan hutan tanah tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Hutan adalah sebahagian daripada
ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia. Ekosistem
hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera,
tumbuh-tumbuhan, dan fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat
diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah hutan hujan
tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh, dan
sebagainya. Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan
tropika. Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang berada di
tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut. Hutan ini dipanggil hutan
tanah tinggi.
Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber
bekalan air bersih. Hutan tanah tinggi menyimpan air bersih dan melepaskannya
apabila kandungan airnya bertambah. Apabila hujan turun, terutamanya sewaktu
musim hujan, hutan tanah tinggi ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air
melalui akar pokok. Air yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak
sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia digunakan pada musim
kemarau. Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semulajadi bagi air hujan.
Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat
sekali gus dapat mencegah kerosakan bahagian lapisan atas tanah.
Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula
merupakan kawasan yang dapat membekalkan sumber hutan. Hutan tanah tinggi ini
membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan. Kayu balak dan pelbagai ramuan
ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah pihak. Malah, hutan ini menjadi
sumber kepelbagaian biologi. Hutan tanah tinggi ini turut berfungsi sebagai pembekal
makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan tanah tinggi ini terdapat berbagai-bagai
jenis bunga, buah, daun, dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan. Selain
itu, hutan tanah tinggi ini menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan
fauna. Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah
menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut. Antara ancaman kawasan
hutan tanah tinggi ini termasuklah pengambilan sumber galian dan pembalakan
serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial. Kelemahan
dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara
berleluasa turut menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi. Ancaman-ancaman
ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.
Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai
tempat rekreasi dan pelancongan. Misalnya, terdapat beberapa buah taman negara
yang terletak di hutan tanah tinggi. Taman
negara ini menjadi daya tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk
berinteraksi dengan alam semula jadi. Di samping itu, hutan ini juga merupakan sumber
penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai. Pelbagai kajian dan
penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan imput baharu untuk meningkatkan
kesihatan masyarakat.
Dipetik daripada“Lindungi Kawasan Tanah Tinggi” Oleh
Ridzuan Mohamad,Dewan Masyarakat, Mac 2014
Soalan 2 : Pemahaman Soalan 2(a)-
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
( i ) Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki. ( 2 markah)
( ii ) Pengarang ada mengemukakan
beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk
mengekalkan sumber hutan negara. Nyatakan
ancaman-ancaman tersebut. ( 3 markah)
( iii ) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan
pembalakan tidak terkawal hutan tanah tinggi kepada alam sekitar. ( 4
markah)
Soalan 2(b) – Baca petikan cerpen dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
“Ini arahan, Nusia.” Suara doktor yang
berkerudung ungu itu kendur. Mukanya muram.
“Darah dan manusia itu, berbezakah
nilainya? Kalau harganya pangkat dan darjat, padamkan saja istilah manusia
dalam hati. Untuk apa kalau semuanya boleh dibeli?”
“Nusia!”
Aku cepat-cepat beredar. Suara Doktor
Murni melantun ke dinding pejal wad Unit Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang
pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma. Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya
patah riuk, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun
dijenguk Profesor Doktor Juaidi. Juga si kecil, bayi buangan yang hampir
kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan
dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, tidak
perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang ditentukan oleh tangan
manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku gugur di hujung jari
Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja, tetapi tidak diberikan.
Tuan Besar Musa itu tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi pakar-pakar
itu......,”sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan sepuluh pek darah sekarang!”
Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi suara lembut Doktor
Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang. “Dapatkan di
hospital lain; segera.”
Untuk siapa? Hatinya musykil sendiri. Daripada cerpen ‘Gerhana Manusia’ Oleh
Aminah Mokhtar antologi Sejadah Rindu,
DBP
(i) Nyatakan keluhan hati Nusia ketika berhadapan dengan Solehah?
[2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan jika masyarakat enggan
menderma darah? [3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran
dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 m]
Soalan
2(c) – Baca petikan prosa tradisional , kemudian jawab soalan-soalan berikutnya
menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula
sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka
ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta
saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya
itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan
ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang.”
Setelah baginda mendengar sembah orang
itu, maka baginda pun terkejut seraya menampar nampar pahanya. Maka titah
baginda, “Wah , datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana;
jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.” Maka
baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang berkawal dan
segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun menyuruhkan
orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya.
Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu
banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal
pada kampungnya.
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya
oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka
Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu.
Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas
itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia
pun kembali ke tempatnya.
Daripada “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam antologi Jaket Kulit Kijang
dari Istanbul DBP
(i) Berikan maksud sehelai sepinggang. (2 markah)
(ii) Berdasarkan petikan , apakah tindakan yang dilakukan oleh
Temenggung selepas mendengar perintah daripada sultan? (3 m)
(iii) Raja segera menitahkan orang-orang Temenggung berkawal
sebaik-baik sahaja mengetahui berita tentang kecurian yang berlaku di negeri
baginda. Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian
itu diatasi dengan segera? (3 markah)
Soalan 2(d) –
Sajak Baca sajak, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan
ayat anda sendiri.
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi
Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang
Aku bagi mereka
tiada makna
anakkubakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan
(i) Huraikan maksud rangkap pertama
sajak di atas. ( 2 markah )
(ii)Pada pendapat anda, apakah
aktiviti-aktiviti dapat dilakukan oleh warga tua supaya kehidupan mereka lebih
berkualiti?(3m)
(iii) Jelaskan dua pengajaran yang
terkandung dalam sajak tersebut. ( 4 markah )
Soalan
3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan
a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan
supaya jelas menunjukkan anda
faham perbezaan maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan,menggunakan
perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) pakai (ii) memakai
(iii) terpakai (iv) susun (v)
menyusun (vi) tersusun [6 markah ]
b)
Kenal pasti jenis ayat perintah sama ada ayat perintah silaan, ayat perintah
larangan, ayat perintah suruhan atau ayat perintah permintaan .
(i) Jangan buang sampah di sini.
(ii) Sila serahkan buku-buku latihan itu ke
bilik guru.
(iii)Awak siapkan tugasan yang
diberikan itu sekarang.
(iv)“Tak usah kauambil tahu akan hal
aku lagi,” kata Azura kepada Zainal.
(v) “Tolong hantarkan bekalan makanan
ini kepada ayah yang sedang berehat itu,” pinta Zeety.
(vi)“Jemputlah makan yang terhidang
itu,” kata Farid kepada tetamu yang hadir itu.
[ 6 markah ]
c)
Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan
lebih daripada satu kesalahan ejaan dan
satu kesalahan imbuhan.
i) Kementerian Pendidikan mendapati
bahawa pelaksana dasar bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik
perlu dikaji semula untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.
ii) Pelajar tingkatan 4T sila
menghadirkan ke dewan sekolah utk satu taklimat Puan Pengetua
iii)Runtuh akhlak dalam kalangan
remaja mengakibatkan ramai remaja tersebut terjebak dengan gejala gengsterisma.
[6 m ]
d)
Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu
kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda
tidak boleh menyenaraikanlebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin semula ayat tersebut.
(i) “Apakah menu yang dihidangkan
dalam hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh
hotel tersebut.
(ii) Bapa saudaranya memperoleh
pendapat supaya agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dibuat olehnya.
(iii)Seorang pegawai tinggi syarikat
itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan memalapkan syarikat wang tersebut. [6 m]
e)
Buat satu ayat bagi peribahasa di bawah bagi menjelaskan maksud peribahasa .
i) sediakan payung sebelum hujan. ii)
bagai isi dengan kuku. iii) bagai menatang minyak yang penuh [6 m]
Soalan
4: Novel (15 markah) Jawab soalan-soalan
di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih karya Azmah
Nordin (ii) Bimasakti Menari karya Sri
Rahayu binti Mohd Yusop
a)Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari,
huraikan perwatakan watak utama novel
tersebut.[ 7 m ]
b) Berdasarkan dua buah novel yang
anda kaji, huraikan perbezaan latar masyarakat yang dikemukakan oleh pengarang. [8
m ]
PASTIKAN PEROLEHAN MARKAH 110/110