Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Selasa, 22 Ogos 2017

BAHASA MELAYU LATIHAN INTENSIF kertas 2 SPM CEMERLANG A+

BAHASA MELAYU LATIHAN INTENSIF  CEMERLANG A+ 
Soalan 1 : Rumusan [30 markah] Baca petikan, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan  hutan tanah tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia. Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuh-tumbuhan, dan fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh, dan sebagainya. Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan tropika. Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang berada di tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut. Hutan ini dipanggil hutan tanah tinggi.
   Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber bekalan air bersih. Hutan tanah tinggi menyimpan air bersih dan melepaskannya apabila kandungan airnya bertambah. Apabila hujan turun, terutamanya sewaktu musim hujan, hutan tanah tinggi ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air melalui akar pokok. Air yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia digunakan pada musim kemarau. Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semulajadi bagi air hujan. Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat sekali gus dapat mencegah kerosakan bahagian lapisan atas tanah.
    Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan kawasan yang dapat membekalkan sumber hutan. Hutan tanah tinggi ini membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan. Kayu balak dan pelbagai ramuan ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah pihak. Malah, hutan ini menjadi sumber kepelbagaian biologi. Hutan tanah tinggi ini turut berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan tanah tinggi ini terdapat berbagai-bagai jenis bunga, buah, daun, dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan. Selain itu, hutan tanah tinggi ini menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna. Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut. Antara ancaman kawasan hutan tanah tinggi ini termasuklah pengambilan sumber galian dan pembalakan serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial. Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara berleluasa turut menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi. Ancaman-ancaman ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.
      Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. Misalnya, terdapat beberapa buah taman negara yang terletak di hutan  tanah tinggi. Taman negara ini menjadi daya tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi. Di samping itu, hutan ini juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai. Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan imput baharu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.
Dipetik  daripada“Lindungi Kawasan Tanah Tinggi” Oleh Ridzuan Mohamad,Dewan Masyarakat, Mac 2014
Soalan 2 : Pemahaman Soalan 2(a)- Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan  menggunakan ayat  anda sendiri.
( i ) Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki. ( 2 markah)
( ii ) Pengarang ada mengemukakan beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.  Nyatakan ancaman-ancaman tersebut. ( 3 markah)
( iii ) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan pembalakan  tidak terkawal  hutan tanah tinggi kepada alam sekitar. ( 4 markah)
Soalan 2(b) – Baca petikan cerpen dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan  berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
“Ini arahan, Nusia.” Suara doktor yang berkerudung ungu itu kendur. Mukanya  muram.
“Darah dan manusia itu, berbezakah nilainya? Kalau harganya pangkat dan darjat, padamkan saja istilah manusia dalam hati. Untuk apa kalau semuanya boleh dibeli?”
“Nusia!”
Aku cepat-cepat beredar. Suara Doktor Murni melantun ke dinding pejal wad Unit Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma.  Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riuk, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk Profesor Doktor Juaidi. Juga si kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, tidak perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang ditentukan oleh tangan manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja, tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi pakar-pakar itu......,”sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan sepuluh pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi suara lembut Doktor Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang. “Dapatkan di hospital lain; segera.”
Untuk siapa? Hatinya musykil sendiri.           Daripada cerpen ‘Gerhana Manusia’ Oleh Aminah Mokhtar  antologi Sejadah Rindu, DBP
(i) Nyatakan keluhan hati Nusia ketika berhadapan dengan Solehah? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan jika masyarakat enggan menderma darah? [3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran  dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain  terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 m]
Soalan 2(c) – Baca petikan prosa tradisional , kemudian jawab soalan-soalan berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
      Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang.”
Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun terkejut seraya menampar nampar pahanya. Maka titah baginda, “Wah , datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana; jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.” Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.                      Daripada “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul DBP
(i) Berikan maksud sehelai sepinggang. (2 markah)
(ii) Berdasarkan petikan , apakah tindakan yang dilakukan oleh Temenggung selepas mendengar perintah daripada sultan? (3 m)
(iii) Raja segera menitahkan orang-orang Temenggung berkawal sebaik-baik sahaja mengetahui berita tentang kecurian yang berlaku di negeri baginda. Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian itu diatasi dengan segera? (3 markah)
Soalan 2(d) – Sajak Baca sajak, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Aku selalu didatangi


malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang

Aku bagi mereka
tiada makna
anakkubakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan



(i) Huraikan maksud rangkap pertama sajak di atas. ( 2 markah )
(ii)Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktiviti dapat dilakukan oleh warga tua supaya kehidupan mereka lebih berkualiti?(3m)
(iii) Jelaskan dua pengajaran yang terkandung dalam sajak tersebut. ( 4 markah )
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan
a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan  supaya jelas menunjukkan  anda faham  perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan,menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) pakai  (ii) memakai  (iii) terpakai  (iv) susun (v) menyusun  (vi) tersusun  [6 markah ]
b) Kenal pasti jenis ayat perintah sama ada ayat perintah silaan, ayat perintah larangan, ayat perintah suruhan atau ayat perintah permintaan .
(i) Jangan buang sampah di sini.              
 (ii) Sila serahkan buku-buku latihan itu ke bilik guru.
(iii)Awak siapkan tugasan yang diberikan itu sekarang.  
(iv)“Tak usah kauambil tahu akan hal aku lagi,” kata Azura kepada Zainal.
(v) “Tolong hantarkan bekalan makanan ini kepada ayah yang sedang berehat itu,” pinta Zeety.
(vi)“Jemputlah makan yang terhidang itu,” kata Farid kepada tetamu yang hadir itu.   [ 6 markah ]
c) Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan  ejaan dan satu kesalahan imbuhan.
i) Kementerian Pendidikan mendapati bahawa pelaksana dasar bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik perlu dikaji semula untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.
ii) Pelajar tingkatan 4T sila menghadirkan ke dewan sekolah utk satu taklimat Puan Pengetua
iii)Runtuh akhlak dalam kalangan remaja mengakibatkan ramai remaja tersebut terjebak dengan gejala gengsterisma. [6 m ]
d) Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikanlebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin semula ayat tersebut.
(i) “Apakah menu yang dihidangkan dalam hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut.
(ii) Bapa saudaranya memperoleh pendapat supaya agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dibuat olehnya.
(iii)Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan memalapkan  syarikat wang tersebut. [6 m]
e) Buat satu ayat bagi peribahasa di bawah bagi menjelaskan maksud peribahasa .
i) sediakan payung sebelum hujan. ii) bagai isi dengan kuku. iii) bagai menatang minyak yang penuh [6 m]
Soalan 4: Novel (15 markah)  Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin  (ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu binti Mohd Yusop
 a)Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan perwatakan watak  utama novel tersebut.[ 7 m ]
b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan perbezaan latar  masyarakat yang dikemukakan oleh pengarang. [8 m ]

PASTIKAN PEROLEHAN MARKAH 110/110


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru