Bahasa
Melayu kertas 1 SPM
Bahasa
‘laluan Menuju Kecemerlangan
TAJUK-TAJUK
KARANGAN PERBINCANGAN SEBELUM SPM 2019
1. Walaupun kerajaan telah
mengadakan pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya, namun kes-kes kemalangan
semakin meningkat. Nyatakan langkah –langkah mengurangkan kejadian
kemalangan jalan raya di negara kita
2. Perpaduan amat penting dalam
sesebuah negara. Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di sekolah.
3. Sejak akhir-akhir ini Kuala
Kangsar sering dilanda banjir kilat. Bencana ini menimbulkan pelbagai kesulitan
kepada semua pihak. Kemukakan pandangan anda tentang kaedah mengelakkan berlakunya banjir
kilat itu.
4. Malaysia mempunyai masa depan
yang cerah dalam sektor pelancongan. Bincangkan cara-cara meningkatkan
pembangunan industri pelancongan negara.
5. Ada segelintir masyarakat
yang sanggup menempatkan ibu bapa mereka di rumah-rumah kebajikan. Anda
tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Berikan pendapat anda tentang
tanggungjawab anak terhadap ibu bapa yang berada pada usia senja.
6. Semangat kejiranan kurang
diamalkan oleh masyarakat. Nyatakan usaha-usaha untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat.
7. Sejak belakangan ini isu
hutan sering kali dipersoalkan kerana banyak hutan telah dimusnahkan.
Jelaskan kepentingan hutan dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
8. Kerajaan telah
melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni di negara
ini. Huraikan usaha-usaha untuk memupuk amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai
murni dalam kalangan masyarakat.
9. Industri pertanian merupakan
sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara. Huraikan usaha-usaha untuk
meningkatkan lagi pembangunan industri pertanian di Negara kita.
10. Dadah merupakan musuh nombor satu di Negara
kita. Ramai anak muda menjadi pengedar dan penagih dadah. Berikan pendapat anda
tentang Langkah-langkah untuk Membasmi Penyalahgunaan Dadah di
negara ini.
CONTOH KARYA TERBAIK PELAJAR
Walaupun
kerajaan telah mengadakan pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya, namun kes-kes
kemalangan semakin meningkat. Nyatakan langkah–langkah menangani kejadian
kemalangan jalan raya.
Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan berita kemalangan
jalan raya yang melibatkan sebuah van dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju
ke Kota Bharu. Dalam kemalangan maut berkenaan, enam orang pelajar Maahad
Tahfiz maut, manakala yang lain cedera parah apabila van berkenaan
terbabas lalu merempuh sebuah rumah. Antara punca yang menjadi polemik
perbualan sosial termasuklah kecuaian pemandu, keadaan permukaan jalan dan
sifat fizikal van berkenaan yang dikatakan uzur. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh mengambil beberapa langkah yang
proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut dan kejadian kemalangan jalan
raya tidak terus meningkat.
Sebagai pembuka tirai perbincangan, langkah utama dalam mengurangkan angka kemalangan jalan
raya sudah pastilah dengan mendidik para pemandu khususnya pemandu pengangkutan
awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan
dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai
ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih
menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan
mereka kehilangan fokus. Kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan
raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan
yang digubal umpama tidak bermakna, bagaikan
mencurah air ke daun keladi. Sesungguhnya, mendidik para pemandu agar lebih
berdisiplin merupakan cara paling afdal mengurangkan kes kemalangan jalan raya.
Hakikat
yang tidak boleh dipinggirkan ialah, kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui
pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar
lebih berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui
Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun
memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara
tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan
secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di
jalan raya. Insya’Allah apabila anak-anak ini dewasa nanti tidaklah mereka
menjadi parasit di jalan raya, atau menjadi pelumba tegar sebaliknya mereka
akan menjadi generasi yang lebih berdisiplin di jalan raya. Sememangnya, pendidikan
di sekolah menjadi prakarsa paling eksklusif, efektif serta paling praktikal
dalam mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya
Sesuatu yang sering menjadi dambaan dan harapan orang ramai ialah langkah drastik lagi efektif untuk mengurangkan
kejadian kemalangan jalan raya adalah dengan membaiki keadaan jalan raya di
negara kita. Jalan raya yang perlu diselenggara dengan baik agar tidak
mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal.
Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga
boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu
malam. Sebagai analoginya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya
akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang
sisi. Keadaan ini membuka seluas-luasnya risiko berlakunya kemalangan
jika kenderaan di belakang ‘mengekori’ terlalu dekat. Perkara sebeginilah
yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan
raya. Yang jelas lagi nyata, membaiki jalan raya yang rosak
menjadikan jalan raya itu lebih selamat dan lebih meyakinkan pengguna memandu
tanpa halangan, maka tidaklah berlaku kejadian kemalangan.
Perincian
saya seterusnya ialah pihak-pihak berkuasa
juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis
Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD)
mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan
kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara
berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak kita dapat
mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Pemantauan yang dibuat
perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila
masa sahaja. Hakikatnya peranan pihak yang berwajib lagi
bertanggungjawab perihal keselamatan di jalan raya, merupakan langkah paling
dominan mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya
Hati ini berkata-kata bahawa dalam menangani isu yang kian membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam sebaliknya dilakukan pada bila-bila masa sama ada di jalan-jalan raya di kota mahupun di desa. Rentetan kempen yang pragmatik lagi agresif secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan jalan raya sekali gus meminimumkan kejadian kemalangan itu.
Kesimpulannya, banyak
langkah, kaedah dan prakarsa yang mampu kita lakukan bagi mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya
setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala
langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita
dapat melihat system pengangkutan dan perhubungan Negara bertaraf dunia, tanpa
ada titisan darah pengguna mengalir di atas jalan raya akibat
kemalangan. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga akan mengubah
minda masyarakat untuk lebih berhemah ketika memandu kerana pandu cermat jiwa selamat
801 patah perkataan
Hasil karya An Nur Huda pelajar cemerlang A+ BM 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan