Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 2 Mac 2022

Kaedah paling praktikal, paling efektif untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas di negara kita.

 Kaedah paling praktikal, paling efektif untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas di negara kita.

Sesiapa sahaja yang berkunjung ke negara kita pasti berasa gusar dengan kesesakan lalu-lintas yang berlaku di negara kita khususnya di kota-kota raya. Kesesakan juga berlaku pada musim-musim perayaan. Kesesakan menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. Saya berpendapat terdapat pelbagai cara untuk kita mengurangkan kesesakan lalu-lintas  yang kian hari kian meruncing. Kesesakan perlu dikurangkan, diatasi segera sebelum nasi menjadi bubur, sebelum padi berbunga lalang

Kesesakan lalu – lintas boleh dikurangkan dengan pelbagai cara. Antara caranya ialah  amalan menggunakan kenderaan awam oleh kalangan pengguna jalan raya. Kesesakan pasti dapat dikurangkan apabila masyarakat menggunakan perkhidmatan kenderaan  alternatif seperti teksi, bas, KTM, MRT, LRT, monorel dan sebagainya. Ramai tertarik untuk menggunakan kenderaan awam, apabila kenderaan awam dilengkapi dengan pendingin udara dan tempat duduk yang selesa. Perjalanan jadi lebih lancar apabila kenderaan awam dimanfaatkan sepenuhnya. Jumlah kenderaan bergerak di jalan raya berkurangan dan yang pasti  kadar  kesesakan lalu-lintas berkurangan. Sesungguhnya penggunaan kenderaan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu-lintas, suasana pemanduan jadi lebih selesa dan persekitaran jadi lebih ‘sejuk mata memandang’

Seterusnya, kaedah paling praktikal untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas adalah dengan melakukan penambahbaikkan jalan-jalan raya, lebuh-lebuh raya di Malaysia. Kerajaan, melalui Kementerian Pengangkutan perlu menggiatkan usaha memperlebarkan, dan memperluaskan jalan raya berikutan penambahan bilangan kenderaan bergerak di seluruh negara.  Jalan raya laluan selorong perlu dijadikan jalan raya empat atau lima lorong.  Jalan bertingkat  atau jejantas perlu diperbanyakkan . Sistem perhubungan jalan raya di seluruh negara  perlu dilengkapi dengan papan-papan tanda dan lampu isyarat yang beroperasi 24 jam. Jalan - jalan yang rosak perlu diperbaiki, kejadian tanah runtuh perlu dipulihkan untuk elakkan berlakunya kesesakan yang menyerabutkan minda. Ternyata , penambahbaikkan sistem jalan raya di Malaysia dapat mengurangkan kesesakan dan saya berpendapat  inisiatif  pihak kerajaan dapat menokhtahkan isu kesesakan lalu lintas di negara kita sehingga menjadikan sistem pengangkutan di negara kita antara yang terbaik di Asia.

Selanjutnya, peranan dan tanggungjawab pihak Polis  Diraja Malaysia atau PDRM dan petugas dari Jabatan  Pengangkutan Jalan atau JPJ turut menyumbangkan ke  arah mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan raya di negara kita. Kawalan perlu dilakukan pada waktu-waktu puncak atau ‘peak hours’ oleh PDRM atau  pihak JPJ.  Pengguna perlu dingatkan, diberi penegasan dan peringatan agar memandu mengikut disiplin dan peraturan, BUKAN mengikut perasaan. Elakkan berlakunya sebarang tragedi atau kemalangan jalan raya hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Saman dikenakan kepada sesiapa sahaja pengguna yang melanggar peraturan di jalan raya. Pastikan pengguna atau pemandu memandu secara berhemah. Kawalan dan seliaan pihak polis dan JPJ sepanjang masa, setiap masa. pasti membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.  Sememangnya perkhidmatan, pengurusan dan kawalan lalu lintas oleh pihak PDRM dan JPJ yang SEDIA BERBAKTI UNTUK NEGARA , mampu mengawal kesesakan jalan raya ke tahap maksimum.

Kesimpulannya, masalah kesesakan lalu lintas di negara kita sentiasa ditangani secara berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.  Usaha yang berterusan pasti menghasilkan kejayaan. Yakinilah akan hakikat, suasana selesa tanpa kesesakan lalu lintas menjadikan  kehidupan di negara kita sentiasa indah lagi mendamaikan.

Kebaikan makan buah-buahan tempatan. Beri pendapat anda

 Kebaikan makan buah-buahan tempatan

Buah-buahan tempatan terdiri daripada buah-buahan bermusim dan buah-buahan tidak bermusim. Saya adalah peminat tegar buah-buahan tempat seperti rambutan, langsat, manggis, betik, durian dan banyak lagi. Sejak kecil lagi saya telah dididik dengan makan buah-buahan, dan makan buah-buahan tempat sudah menjadi kebiasaan saya sekeluarga, Makan buah-buahan tempatan bersama-sama keluarga menceriakan lagi suasana keluarga bahagia.

Terdapat banyak faedah makan buah-buahan tempatan. Antara manfaatnya ialah amalan makan buah-buahan dapat menyihatkan tubuh badan. Berbanding dengan buah-buahan import, buah-buahan tempatan lebih berzat kerana buah-buah tempatan tidak perlu menjalani proses pemasaran yang memakan masa. Khasiat buah-buahan amat tinggi terutama yang baru dipetik . kita dapat merasai buah-buahan yang segar, enak dan lazat. Ibu saya bercerita, kalau kita gemar makan buah-buahan kita akan dapat potongan badan idaman, berat badan unggul, kulit jadi licin dan menarik , mata jadi cerah manakala rambut kita jadi hitam, lebat, berkilat dan menarik. Yang lebih menakjubkan, banyak penyakit dapat dipulihkan dengan amalan makan buah-buahan tempatan yang mengandungi  vitamin, zat besi, mineral dan lain-lain. Khasiat-khasiat ini bukan sahaja meningkatkan kesihatan badan bahkan dapat membekalkan tenaga pada tubuh badan, mengawal dan mengurangkan serangan penyakit, misalnya pisang, belimbing, nanas boleh meningkatkan pencernaan perut, buah jambu, buah betik, rambutan mampu meningkatkan antibodi badan. Sesungguhnya makan buah-buahan tempatan memberikan suatu keajaiban kepada tubuh badan . Kita sentiasa berasa segar dan bertenaga apabila makan buah-buahan .

          Selain itu, hasil tanaman buah-buahan tempatan berupaya menggerakkan industri pelancongan di negara kita, misalnya, semasa musim durian, banyak pelancong dari luar negara, seperti dari negara China,, Korea, Hongkong, Taiwan  dan Auatralia akan berkunjung ke negara kita untuk menikmati keenakan buah-buahan. Di mata dan di hati mereka hanya terbayang-bayangkan durian spesies ‘musang king’. Kehadiran pelancong ini telah memberi pendapatan berganda kepada pekebun-pekebun buah-buahan tempatan, dan kepada ekonomi negara sekali gus kita juga memperkenalkan buah-buahan tempatan ke seluruh dunia. Buah-buahan tempatan juga jelas dapat menambahkan pendapatan negara. Melalui eksport buah-buahan tempatan ke luar negara, negara kita mengaut keuntungan yang amat memberansangkan. Keadaan ini jadi lebih meyakinkan apabila banyak pelancong dari luar negara menggemari buah-buahan tempatan   sehingga jumlah kehadiran mereka berganda, pada musim buah. Pelancong  menyimpan hasrat berkunjung ke Malaysia  untuk menikmati kelazatan buah-buahan tempatan di samping melihat keunikan dan keindahan negara.. Ternyata buah-buahan tempatan dapat meningkatkan ekonomi keluarga sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita melalui industri pelancongan.

          Umum mengetahui, kemeriahan musim buah-buahan tempatan  jadi cukup bermakna dan suasana jadi luar biasa apabila di mana-mana sahaja kita melihat buah-buahan.  Harga buah-buahan tempatan jauh lebih rendah berbanding semasa di luar musim. Aspek ini telah menarik perhatian rakyat  untuk memilih, membeli  dan menikmati buah-buahan tempatan. Pada masa yang sama, buah-buahan tempatan  sentiasa berkeadaan segar atau ‘fresh’ untuk dimakan. Rakyat Malaysia bagaikan berpesta apabila tiba musim buah-buahan. Ketika ini deretan gerai buah-buahan  muncul bagai cendawan tumbuh pada musim hujan, Kita boleh berkunjung ke mana-mana gerai buah-buahan  yang terdapat di sepanjang jalan raya, sepanjang laluan dari desa menuju ke kota, di seluruh negara. PESTA buah-buahan pula dirancang dan diadakan pada musim buah-buahan. Sememangnya kemeriahan musim buah-buahan tempatan sentiasa dinanti-nantikan kehadirannya oleh setiap rakyat Malaysia.

    Kesimpulannya,  buah-buahan tempatan mempunyai kelebihannya yang unik dan tersendiri.  Saya dan keluarga saya amat menggemari buah-buahan tempatan   dan kami mempunyai dusun buah-buahan  yang tidak putus-putus kami kunjungi apabila tiba musim buah-buahan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Cara-cara anda menghargai guru. Jelaskan

 

Cara-cara anda menghargai guru. Jelaskan

Guru,  guru ialah insan mulia bagi sesiapa sahaja, termasuklah saya. Bagi saya guru perlu kita hargai jasa dan pengorbanannya. Tugas guru ialah mengasuh, mendidik membimbing dan mengajar kita di sekolah tanpa merungut penat atau mengeluh letih. Guru ibarat lilin membakar diri menerangi yang lain. Sebenarnya terlalu banyak pengorbanan guru yang mahu melihat kejayaan kita. Setiap yang berjaya itu pastinya bermula daripada usaha gigih seorang guru. Tanpa guru siapalah kita...... Kita amat menghargai jasa dan pengorbanan guru, dan terdapat pelbagai cara kita menghargai guru.

Langkah prima menghargai guru ialah para pelajar mestilah menjaga tutur kata dan adab sopan ketika berhadapan dengan guru kita. Sopan santun merupakan antara cara kita menghargai guru. Para pelajar perlu sentiasa bermanis wajah sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi salam kepada guru. Ketika berada di dalam kelas pelajar hendaklah jangan berbuat bising kerana apabila kita wujudkan suasana selesa kondusif, itulah sebenarnya cara kita menghargai guru yang berada di hadapan kita, di dalam kelas. Ingat, tanpa guru tidak akan ada generasi pintar atau mahir kerana semuanya bermula daripada guru yang mengajar kita menulis dan membaca. Jadi, tidak hairanlah jika kita amalkan apa-apa sahaja  cara untuk menghargai guru, termasuk bersopan santun ketika berada di dalam kelas bersama-sama guru.

Selain itu, ketika berada di dalam kelas para pelajar perlu fokus  apabila guru sedang mengajar di hadapan kelas. Kita berikan respons terhadap apa-apa yang diajar dan dipelajari. Dalam pada itu semasa di dalam kelas, pelajar yang duduk di kerusi hadapan bantulah guru untuk memadam papan tulis  atau menolong guru mengambil alat bantu mengajar yang tertinggal di bilik guru. Kita sentiasa setia, dan sedia membantu guru agar mudah untuk beliau mengendalikan kelas. Silaturahim yang erat menjadikan kita akrab dengan guru. Situasi ini memudahkan kita fokus serta faham akan apa-apa yang guru kita ajarkan. Kita boleh bersoal jawab dengan guru kita perihal apa-apa yang  tidak kita fahami. Suasana belajar jadi lebih selesa dan mudah untuk guru kendalikan kelas apabila tumpuan sepenuhnya diberikan oleh para pelajar. Ternyata,fokus itulah disiplin ilmu yang secara tidak langsung merupakan tanda-tanda kita menghargai guru.

Di samping itu saya yakin sikap prihatin dan kasih sayang kita terhadap guru kita merupakan cara paling berkesan untuk kita menghargai guru. Apabila kita telah meninggalkan alam persekolahan kita masih lagi menelefon dan bertanya khabar guru kita.  Memang guru akan berasa gembira yang sukar diungkap dengan kata-kata apabila di luar jangkaan tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada anak muridnya. Guru manalah tidak gembira apabila murid yang diajar  sepuluh atau lima belas tahun yang lalu terdengar suaranya di telefon bimbitnya dan boleh pula ingat akan namanya. Tidak kurang jua yang menziarahi kerana bertemu guru merupakan peluang paling indah kita menghargai guru. Kalau guru kita sakit, kita ziarahi, dan kita sebarkan berita itu kepada semua pelajar yang lain. Kita bawalah buah tangan untuk guru kita.  Sememangnya sikap prihatin dan kasih sayang pelajar itulah suatu penghargaan tidak ternilai harganya buat guru.

Selanjutnya , buat semua guru di Malaysia, penghargaan paling unik, paling berprestij, paling unggul adalah melalui sambutan Hari Guru. Tarikh keramat 16 mei setiap tahun memang dinanti-nantikan oleh semua pelajar untuk meraikan hari bertuah ini  bersama-sama semua guru di sekolah. Pelajar ceria, guru gembira. Keceriaan dan kegembiraan ini terserlah apabila pelbagai program diatur, dirancang dengan jayanya pada Hari Guru. Bangganya guru apabila menerima pelbagai jenis, pelbagai bentuk hadiah daripada pelajar. Ada hadiah bersaiz besar, ada yang bersaiz kecil. Kecil atau besar bukan penilaiannya. Yang dinilai ialah tanda ingatan pelajar terhadap guru walaupun hanya ucapan SELAMAT HARI GURU tanpa hadiah, guru dan pelajar boleh menitiskan air mata kerana guru dan murid ibarat sebuah keluarga yang sangat bahagia pada Hari Guru.  Ternyata sambutan Hari Guru dengan pelbagai program diatur merupakan cara kita menghargai guru kita.

Saya berpendapat cara paling mudah untuk kita, sebagai pelajar menghargai guru, tidak lain tidak bukan adalah dengan mendoakan kesejahteraan guru-guru kita. Gurulah yang telah berhempas pulas mendidik, mengajar dan membimbing kita agar menjadi insan berguna.  Jadi apa salahnya kita doakan pula kesejahteraan guru kita. Kita doakan agar dipermudahkan segala urusan guru kita. Kita doakan agar guru kita dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan sejahtera hingga ke hujung nyawa. Seandainya guru kita telah kembali ke rahmatullah, kita sedekahkanlah al Fatihah untuk arwah, kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pengorbanan guru terlalu besar untuk kita, untuk nusa dan bangsa. Pengorbanan guru tidak terbatas banyaknya. Banyak ilmu kita perolehi daripada guru kita. Sesungguhnya mendoakan kesejahteraan guru merupakan penghargaan terindah pelajar buat guru tersayang.

Kesimpulannya, pengorbanan  seseorang guru itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita. Gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Jelaslah bahawa frasa ‘guru, jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong kerana jasa guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Marilah kita bersama-sama menghargai guru agar ilmu yang kita perolehi mendapat keberkatan Allah swt,  kerana umum mengetahui guru ibarat lilin membakar diri menerangi yang lain.


                                                                                              795 patah perkataan

Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara.Tulis rencana itu selengkapnya.

Malaysia merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara.Tulis rencana itu selengkapnya.

 

Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara (Berita Harian 2020)

 Sektor pelancongan di negara kita berkembang maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun, masih ada ruang  yang wajar dimanfaatkan untuk memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah berkesan untuk memajukan sektor pelancongan negara .

        Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak produk pelancongan  diterokai oleh pihak-pihak yang terbabit, misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Konsep pelancongan kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara. Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka. Kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

       Selain itu sebagai promosi pelansungan  kerajaan menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan, seperti tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Karnival ini juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa dan carnival hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Sesungguhnya, penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang eksklusif lagi menarik.

        Selanjutnya, langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini, misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini lagi. Badan-badan kerajaan, dan pihak swasta memikul tanggungjawab mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam jua melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

           Kesimpulannya, pelbagai langkah dirancang, disusun, dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan negara. Semua pihak hendaklah bekerjasama membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan terserlah dan dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan luar negara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak pasti akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tersohor  di seantero persada.

 Rencana disediakan oleh : Nurul Atikah Abdul Samad – Tingkatan 5 sains 

Jangan Tiru