Malaysia
merupakan sebuah negara yang berpotensi untuk lebih maju dalam sektor
pelancongan. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan
oleh akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah Usaha-usaha Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara.Tulis
rencana itu selengkapnya.
Usaha-usaha
Untuk Memajukan Sektor Pelancongan Negara (Berita Harian 2020)
Sektor pelancongan di negara kita berkembang
maju dan menjadi sumber pendapatan negara yang penting. Hal ini menyebabkan
tempat pelancongan di negara ini dibuka dengan banyak seperti cendawan selepas
hujan. Kerajaan telah menggerakkan semua agensinya untuk memastikan sektor
pelancongan berkembang pesat sejajar dengan pembangunan negara yang pantas. Namun,
masih ada ruang yang wajar dimanfaatkan untuk
memastikan semua pihak mendapat faedah daripada perkembangan sektor ini. Jika
ditinjau dengan mendalam terdapat beberapa langkah berkesan untuk memajukan
sektor pelancongan negara .
Antara
langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan baharu yang dapat menarik minat pengunjung mancanegara. Banyak
produk pelancongan diterokai oleh
pihak-pihak yang terbabit, misalnya, kerajaan menggalakkan masyarakat
melibatkan diri dalam program inap desa dengan lebih banyak. Konsep pelancongan
kesihatan, agropelancongan, ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah
dikembangkan. Kita juga wajar memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan
seperti musim durian, manggis, langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang
diperkenalkan mestilah dapat menarik hati pelancong-pelancong mancanegara.
Biasanya pelancong luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka.
Kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini dengan
mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempatan. Sebagai contoh,
pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar dan
mendalami cara hidup mereka. Jadi,
usaha kerajaan memperkenalkan produk pelancongan baharu dapat meningkatkan
sektor berkenaan.
Selain itu sebagai promosi
pelansungan kerajaan menganjurkan
karnival pelancongan di seluruh pelosok dunia. Karnival pelancongan ialah
kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan negara kita sebagai destinasi
pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang dapat diketengahkan,
seperti tempat-tempat menarik di negara ini, makanan yang pelbagai, dan juga
kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Karnival ini juga wajar menyediakan
pakej-pakej pelancongan yang kompetitif kepada masyarakat antarabangsa dan carnival
hendaklah diadakan di seluruh dunia. Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau
yang jauh seperti di Amerika Selatan dan juga Afrika. Sebagai contoh karnival
wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat pengunjung di sana datang ke
Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita, bak kata pepatah tak kenal
maka tak cinta. Sesungguhnya,
penganjuran karnival pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan
untuk mempromosikan negara kita sebagai destinasi pelancongan yang eksklusif
lagi menarik.
Selanjutnya, langkah untuk mempromosikan sektor pelancongan
negara ini adalah dengan mengadakan kempen Tahun Melawat Malaysia dengan lebih
berkesan dan melibatkan lebih banyak penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah
kempen untuk menggalakkan pelancong datang ke negara kita dengan lebih besar
bilangannya. Kempen yang diadakan sepanjang tahun ini menyediakan pelbagai
acara untuk menarik minat pelancong datang ke negara ini, misalnya, pelbagai
acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para pelancong. Penyertaan
pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan sambutan Tahun Melawat Malaysia ini
lagi. Badan-badan kerajaan, dan pihak swasta memikul tanggungjawab mempromosikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kompetitif, bak kata pepatah berat
sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel, syarikat penerbangan, dan syarikat
pengangkutan awam jua melibatkan diri untuk menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia
dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.
Kesimpulannya, pelbagai langkah dirancang, disusun, dan dilaksanakan untuk meningkatkan sektor pelancongan negara. Semua pihak hendaklah bekerjasama membantu kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Segala keunikan dan kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan terserlah dan dapat diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancong tempatan dan luar negara. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak pasti akan menonjolkan Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang tersohor di seantero persada.
Rencana disediakan oleh : Nurul Atikah Abdul Samad – Tingkatan 5 sains
Tiada ulasan:
Catat Ulasan