Cara-cara anda
menghargai guru. Jelaskan
Guru,
guru ialah insan mulia bagi sesiapa sahaja, termasuklah saya. Bagi saya
guru perlu kita hargai jasa dan pengorbanannya. Tugas guru ialah mengasuh,
mendidik membimbing dan mengajar kita di sekolah tanpa merungut penat atau
mengeluh letih. Guru ibarat lilin membakar diri menerangi yang lain. Sebenarnya
terlalu banyak pengorbanan guru yang mahu melihat kejayaan kita. Setiap yang
berjaya itu pastinya bermula daripada usaha gigih seorang guru. Tanpa guru
siapalah kita...... Kita amat menghargai jasa dan pengorbanan guru, dan
terdapat pelbagai cara kita menghargai guru.
Langkah prima menghargai guru ialah para
pelajar mestilah menjaga tutur kata dan adab sopan ketika berhadapan dengan
guru kita. Sopan santun merupakan antara cara kita menghargai guru. Para pelajar
perlu sentiasa bermanis wajah sambil mengucapkan selamat sejahtera atau memberi
salam kepada guru. Ketika berada di dalam kelas pelajar hendaklah jangan
berbuat bising kerana apabila kita wujudkan suasana selesa kondusif, itulah
sebenarnya cara kita menghargai guru yang berada di hadapan kita, di dalam
kelas. Ingat, tanpa guru tidak akan ada generasi pintar atau mahir kerana
semuanya bermula daripada guru yang mengajar kita menulis dan membaca. Jadi, tidak hairanlah jika kita amalkan
apa-apa sahaja cara untuk menghargai guru, termasuk bersopan santun
ketika berada di dalam kelas bersama-sama guru.
Selain itu, ketika berada di dalam
kelas para pelajar perlu fokus apabila guru sedang mengajar di hadapan
kelas. Kita berikan respons terhadap apa-apa yang diajar dan dipelajari. Dalam
pada itu semasa di dalam kelas, pelajar yang duduk di kerusi hadapan bantulah
guru untuk memadam papan tulis atau menolong guru mengambil alat bantu
mengajar yang tertinggal di bilik guru. Kita sentiasa setia, dan sedia membantu
guru agar mudah untuk beliau mengendalikan kelas. Silaturahim yang erat
menjadikan kita akrab dengan guru. Situasi ini memudahkan kita fokus serta
faham akan apa-apa yang guru kita ajarkan. Kita boleh bersoal jawab dengan guru
kita perihal apa-apa yang tidak kita fahami. Suasana belajar jadi lebih
selesa dan mudah untuk guru kendalikan kelas apabila tumpuan sepenuhnya
diberikan oleh para pelajar. Ternyata,fokus
itulah disiplin ilmu yang secara tidak langsung merupakan tanda-tanda kita
menghargai guru.
Di samping itu saya yakin sikap prihatin
dan kasih sayang kita terhadap guru kita merupakan cara paling berkesan untuk
kita menghargai guru. Apabila kita telah meninggalkan alam persekolahan kita
masih lagi menelefon dan bertanya khabar guru kita. Memang guru akan
berasa gembira yang sukar diungkap dengan kata-kata apabila di luar jangkaan
tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada anak muridnya. Guru manalah tidak
gembira apabila murid yang diajar sepuluh atau lima belas tahun yang lalu
terdengar suaranya di telefon bimbitnya dan boleh pula ingat akan namanya.
Tidak kurang jua yang menziarahi kerana bertemu guru merupakan peluang paling
indah kita menghargai guru. Kalau guru kita sakit, kita ziarahi, dan kita
sebarkan berita itu kepada semua pelajar yang lain. Kita bawalah buah tangan
untuk guru kita. Sememangnya sikap
prihatin dan kasih sayang pelajar itulah suatu penghargaan tidak ternilai
harganya buat guru.
Selanjutnya , buat semua guru di Malaysia,
penghargaan paling unik, paling berprestij, paling unggul adalah melalui
sambutan Hari Guru. Tarikh keramat 16 mei setiap tahun memang dinanti-nantikan
oleh semua pelajar untuk meraikan hari bertuah ini bersama-sama semua
guru di sekolah. Pelajar ceria, guru gembira. Keceriaan dan kegembiraan ini terserlah
apabila pelbagai program diatur, dirancang dengan jayanya pada Hari Guru.
Bangganya guru apabila menerima pelbagai jenis, pelbagai bentuk hadiah daripada
pelajar. Ada hadiah bersaiz besar, ada yang bersaiz kecil. Kecil atau besar
bukan penilaiannya. Yang dinilai ialah tanda ingatan pelajar terhadap guru
walaupun hanya ucapan SELAMAT HARI GURU tanpa hadiah, guru dan pelajar boleh
menitiskan air mata kerana guru dan murid ibarat sebuah keluarga yang sangat
bahagia pada Hari Guru.
Ternyata sambutan Hari Guru dengan pelbagai
program diatur merupakan cara kita menghargai guru kita.
Saya berpendapat cara paling mudah untuk kita, sebagai pelajar
menghargai guru, tidak lain tidak bukan adalah dengan mendoakan kesejahteraan
guru-guru kita. Gurulah yang telah berhempas pulas mendidik, mengajar dan
membimbing kita agar menjadi insan berguna. Jadi apa salahnya kita doakan
pula kesejahteraan guru kita. Kita doakan agar dipermudahkan segala urusan guru
kita. Kita doakan agar guru kita dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki dan
sejahtera hingga ke hujung nyawa. Seandainya guru kita telah kembali ke
rahmatullah, kita sedekahkanlah al Fatihah untuk arwah, kerana harimau
mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pengorbanan
guru terlalu besar untuk kita, untuk nusa dan bangsa. Pengorbanan guru tidak
terbatas banyaknya. Banyak ilmu kita perolehi daripada guru kita. Sesungguhnya mendoakan kesejahteraan
guru merupakan penghargaan terindah pelajar buat guru tersayang.
Kesimpulannya, pengorbanan seseorang guru
itu sukar untuk dibalas walau dengan segunung intan. Tanpa guru siapalah kita.
Gurulah yang mengajar kita mengenali erti kehidupan. Jelaslah bahawa frasa ‘guru,
jasamu dikenang, budimu disanjung’ bukanlah sekadar omongan kosong
kerana jasa guru sentiasa dikenang oleh para pelajar. Marilah kita bersama-sama
menghargai guru agar ilmu yang kita perolehi mendapat keberkatan Allah
swt, kerana umum mengetahui guru ibarat lilin membakar diri menerangi
yang lain.
795
patah perkataan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan