BAHASA MELAYU
KERTAS 2 PERCUBAAN 2018 NEGERI PERLIS
Soalan
1 : Rumusan [30 markah]
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
kelas campur kepada murid-murid dan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Iklim bilik darjah yang kondusif amat
penting dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Dalam hal ini, iklim bilik darjah amat bergantung kepada penstrukturan kelas
malahan memberi perhatian kepada pembangunan potensi murid secara holistik dan
bersepadu dalam mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni seperti yang dituntut
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Iklim bilik darjah yang kondusif juga memberi
penekanan terhadap kelas campur tanpa pengasingan murid berdasarkan jurang
kepandaian yang dapat membawa perubahan bermakna dalam merealisasikan aspirasi
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Setiap murid mempunyai kelebihan yang
tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Sehubungan dengan itu,
percampuran murid cemerlang dan murid lemah dalam satu kelas yang sama tanpa
diskriminasi jurang kepandaian mampu memperlihatkan pelbagai implikasi yang positif
terhadap budaya pembelajaran murid berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh
mereka. Percampuran murid dalam satu kelas tanpa mengambil kira keupayaan
akademik mampu meningkatkan motivasi pembelajaran dalam kalangan murid. Melalui
usaha ini juga sebarang peningkatan dalam pencapaian pendidikan secara langsung
dapat meningkatkan imej dan harga diri murid yang lemah. Peningkatan dalam dua
elemen ini pula memberi ruang kepada pembentukan persaingan yang positif dalam
kalangan murid yang kurang menyerlah untuk bertapak ke hadapan mengejar murid
cemerlang.
Melalui sistem kelas campur murid yang
bermasalah dalam pendidikan dan aspek disiplin dapat dipecahkan kumpulannya
berbanding mengelompokkan mereka dalam kelas yang lemah. Daripada mereka terus
bergaul dengan kelompok murid yang mempunyai personaliti yang sama, maka adalah
lebih baik jika mereka diasingkan bagi mendorong mereka bersaing dengan murid cemerlang.
Dengan sistem kelas campur, semangat kumpulan mereka turut dapat dipecahkan. Hal
ini demikian adalah kerana semakin tinggi ikatan yang terjana dalam kalangan
murid yang lemah pencapaian akademik dan yang berhadapan dengan masalah
disiplin, semakin kukuh semangat kumpulan lalu mengurangkan lagi fokus terhadap
kepentingan tuntutan akademik.
Dalam konteks ini juga, sistem kelas
campur dapat merangsang kesedaran mereka terhadap kepentingan ilmu berbanding
mereka disatukan dalam kelas bawah Berbanding
sistem pengasingan kelas yang melabelkan kelas bawah untuk murid lemah dan
kelas atas untuk murid cemerlang, sistem kelas campur lebih adil dalam
membentuk iklim bilik darjah yang positif. Murid lemah tidak lagi berhadapan
dengan label negatif akibat pencapaian mereka yang rendah dalam peperiksaan.
Pelaksanaan kelas campur juga menyediakan ruang pergaulan yang baik antara
murid cemerlang dan murid lemah di dalam bilik darjah. Pada masa yang sama,
murid yang lemah dapat membangunkan sikap yang positifterhadap ilmu dan memberi
perhatian yang lebih serius kepada kerja sekolah. Sehubungandengan itu, bagi
merealisasikan semua aspirasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025, peranan dan tanggungjawab guru adalah penting. Guru perlu
menterjemahkan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi aktiviti yang
berkualiti yang mampu menarik minat serta penglibatan yang tinggi dalam kalangan
murid.
Dipetik
daripada -‘Kelas Campur Rangsang Persekitaran Pembelajaran Positif’ oleh Dr.
Suresh Kumar MP Mei 2018
Soalan
2 : Pemahaman [35 markah] Soalan 2 (a) – Petikan
Umum - Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
(i)
Berikan maksud rangkai kata jurang kepandaian. [2 markah]
(ii)
Iklim bilik darjah yang kondusif amat penting dalam mewujudkan suasana
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Apakah ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif? [3 markah]
(iii)
Keputusan tidak cemerlang terhasil daripada pelbagai faktor. Pada pendapat
anda, apakah faktor-faktor tersebut? [4 markah]
Soalan
2(b) –Cerpen Baca petikan cerpen
kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
Cerita bonda suatu hari tatkala saya asyik
membelek-belek kitab-kitab lama bertulisanJawi di dalam almari yang
memperincikan sejarah asal-usul bumi mewah ini. Saya pandang mata bonda
dalam-dalam mencari pengertian sebenar saya anak generasi baharu yang belum mengerti
segala-galanya itu. Saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme
dan jati diri dalam diri saya. Semangat cinta akan bangsa sendiri kian terhakis
dalam jiwa anak-anak generasi material ini. Harapan bonda moga-moga saya
menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa saya
sendiri yang sedikit, demi sedikit mula terhakis di atas tanah sendiri.
“Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita
bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup
dalam dunia yang mengejar harta, pangkat dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah
air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan
identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.”
Bonda merenung mata saya dengan ekor
pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjangpanjang
menahan
rasa sebelum bersuara, “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak
pernah berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan
melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta
kejayaan yang besar dari zamanke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka
membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.”
Dipetik
daripada cerpen ‛Munsyi’ oleh Husna Nazry dalam antologi Jaket Kulit Kijang
dari Istanbul, DBP
i)
Apakah harapan bonda kepada Mel? [2 markah]
(ii)
Semangat patriotik semakin terhakis dalam jiwa generasi muda. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah untuk
meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda?[3 markah]
(iii)
Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain daripada
keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
Soalan 2 (c) –
Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan
teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang
berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
Hatta beberapa hari maka segala orang
kaya-kaya dan saudagar itu pun habis kecurian; syahadan semuanya datang
menghadap raja. Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Maka
sembah Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu
ke istana kita ini.”
Maka
titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana
ini?”
Maka
sembah Laksamana, “Daulat tuanku, ada suatu perbuatan; hikmat itu daripada penjurit
yang tahu patik peroleh.”
Maka
titah baginda, “Segeralah perbuat , kekasihku Laksamana, hikmat itu.”
Maka
sembah Laksamana, “Ya tuanku, pada malam ini lepaskanlah patik pergi berkawal, tiada
jauh.”
Maka
baginda bertitah, “Baiklah.”
Maka
Laksamana pun menyuruh membawa segala senjata yang banyak-banyak itu, lembing
dan tombak dan kayu. Maka diatur oleh Laksamana berkeliling istana itu. Maka dibubuhnya
suatu hikmat, radak-meradak dan tetak-menetak sama sendirinya dan kayu itu pun palu-memalu,
terlalu gemuruh bunyinya.
Maka
hari pun malamlah. Maka Laksamana pun memakai serba hitam lalu berjalan.
Maka
Kertala Sari pun masuklah. Maka dilihat oleh Laksamana seorang penjurit; maka Laksamana
pun berselindung pada suatu tempat. Maka Kertala Sari pun menyimpang pada tempat
yang lain masuk mencuri.
Maka
Kertala Sari pun fikir dalam hatinya hendak mencuri harta raja; apabila
habislah harta raja itu maka ia pun hendak membakar serta mengamuk. “Adapun
bini raja muda-muda itu kuambil akan biniku.”
Dipetik
daripada‛Kepimpinan Melalui Teladan’dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari
Istanbul,DBP
(i)
Berikan maksud rangkai kata dibubuhnya suatu hikmat. [2 markah]
(ii)
Kertala Sari berhasrat untuk memasuki istana raja. Apakah rancangan Kertala
Sari jika dia berjaya memasuki istana raja.
[3 markah]
(iii)
Pemerintah bertanggungjawab melindungi rakyat yang menghadapi musibah.Pada
pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh pemerintah jika menghadapi
musibah? [3 markah]
Soalan
2 (d) – Sajak Baca sajak di bawah dengan
teliti, kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
ERTI
HIDUP BERERTI
Aku
selalu didatangi
malam
sepi
bagai
kalung
yang
melingkari leherku
tidak
berubah keesokan hari
siapa
yang akan datang menjengukku
keluhan
seorang tua sunyi.
Keheningan
tasik
kehijauan
rumput
hanya
menjadi bayangan
di
penjuru ruang zaman
cinta
dalam rahim dilupai
dari
sulung ditendang ke bongsu
dari
angah ditendang ke sulung balik
kucari
erti hidup
menderita
mengerang sakit
berdiri
tanpa ruang.
Aku
bagi mereka
tiada
makna
anakku
bakaku
baik
setia mahupun derhaka
semoga
disirami benih keinsafan
menjadi
penawar dalam hati
embun
cinta atasi angin dingin
jangan
terpegun
ada
yang mati
ada
yang hidup
tiada
yang kekal kecuali Tuhan.
Teo
Wei Sing Suara Anak Pahang,2009 Kementerian Pendidikan Malaysia
(i)
Berdasarkan sajak tersebut, nyatakan
dua penderitaan yang dilalui oleh ibu.[2 markah]
(ii)Ibu
bapa sangat berjasa kepada anak-anak. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak
tidak wajar melupakan jasa ibu bapa mereka?[3m]
(iii)
Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]
Soalan
3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] [Jawab semua soalan
.
(a) Tulis satu ayat bagi setiap
perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan atau
menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
i)
keterangan (ii)
penerangan (iii)
penyatuan (iv)
kesatuan (v)
penyeragaman (vi)
keseragaman [6 markah]
(b)
Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat
pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i)
Persatuan Kebudayaan telah merancang pertandingan permainan tradisionalsemasa
sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah.
(ii)
Saya akan membantu ibu di gerai selepas sesi persekolahan.
(iii)
Pengetua menyeru calon-calon SPM agar tidak ponteng semasa kelas tambahan diadakan.
[6 markah]
(c)
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat
satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan
betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i)
Kejayaan atlet semasa bertanding di peringkat antara bangsa menjadi fokus utama
kementerian dalam merancang tahunan.
(ii)
Guru telah memberi isharat kepada ketua kumpulan untuk bermulakan perbincangan
kerja kursus itu.
(iii)
Akauntan itu diminta membuat lapuran kewangan syarikat untuk dibentang dalam
mesyuarat nanti.[6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu
kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu..
(i)
Keadaan menjadi kelam-kabut apabila beberapa rumah dimasuki air selepas banjir segera
melanda kawasan rendah di ibu kota.
(ii)
Ahli keluarga perlu memberi prihatin kepada remaja yang bermasalah agar mereka
tidak terjebak di dalam masalah sosial yang boleh menggelapkan masa depan.
(iii)
Kerajaan menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara-negara terdekat seperti
Singapura, Thailand dan Indonesia supaya meningkatkan ekonomi negara. [6 markah]
(e) Isi tempat
kosong dengan peribahasa yang sesuai.
(i)
Remaja kini mudah terpengaruh dengan budaya luar kerana kurangnya didikanagama
sehinggakan iman mereka umpama ______________________________.
(ii)
Masyarakat diseru mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelakkan penyakit berkaitan
makanan sebelum terlambat kerana ____________________________.
(iii)
Sekiranya kita tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak berani membuat keputusan
dan hanya menerima keputusan orang lain maka kita akan dianggap seperti _________
[6 markah]
[Soalan 4 : Novel[15 markah]
Jawab
soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i)
Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin (ii)
Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib
(iii)
Pantai Kasih karya Azmah Nordin (iv)
Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(v)
Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip (vi)
Tirani karya Beb Sabariah
(vii)
Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop (viii)
Silir Daksina karya Nizar Parman
(a)
Watak sampingan dalam sebuah novel memainkan peranan penting dalam membantu watak
utama.
Berdasarkan
sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua perwatakan watak sampingan yang telah
ditetapkan. [7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji,
huraikan satu peristiwa yang dapat dijadikan teladan kepada pembaca.
Berikan
sebab-sebab anda berpendapat demikian. [8 markah]
KERTAS
PEPERIKSAAN TAMAT

PEPERIKSAAN
PERCUBAAN 1 2018 SIJIL PELAJARAN
MALAYSIA BAHASA MELAYU KERTAS 2 - SARAWAK
TINGKATAN 5 - 2018
- 2 jam 30 minit
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti,
kemudian tulis satu rumusan tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak
bersenam dan kebaikannya kepada kesihatan diri. Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.
Tabiat bersenam merupakan satu
tabiat yang diakui mempunyai pelbagai manfaat bagi kesihatan diri yang menyeluruh.
Namun, untuk menjadikannya sebagai amalan harian bukan satu perkara yang mudah.
Sikap ibu bapa yang memandang tinggi kepentingan aktiviti sukan dan senaman
harus dipuji. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam memupuk tabiat
suka akan senaman dalam diri anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa disarankan
untuk menghantar anak-anak ke kelas senaman sama ada yang dianjurkan oleh pihak
sekolah atau pihak swasta. Hal ini dikatakan demikian kerana sokongan untuk
anak-anak melakukan aktiviti tersebut turut mempengaruhi pembentukan tabiat
ini.
Segelintir ibu bapa mempunyai
persepsi yang negatif terhadap tabiat ini kerana tidak melihat aktiviti senaman
sebagai satu aktiviti yang penting berbanding dengan akademik. Bagi
menggalakkan anak-anak bersenam, ibu bapa perlu mempunyai persepsi positif
terhadap aktiviti senaman supaya anak-anak cenderung untuk terlibat dalam
aktiviti ini. Mereka yang mempunyai persepsi yang negatif akan bertindak
sebaliknya. Anak-anak yang rajin bersenam sebaik-baiknya diberikan motivasi dan
peneguhan yang berterusan seperti pujian dan hadiah untuk menggalakkan mereka
menjadikan senaman sebagai budaya. Selain galakan dan motivasi, tabiat senaman
juga dapat dipupuk melalui sokongan membelikan peralatan untuk bersenam bagi kegunaan
anak- anak.
Walaupun
begitu, segelintir ibu bapa menghadapi masalah kekurangan kemudahan dan sumber
untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman. Banyak kajian saintifik yang
menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang aktif bersenam
mendorong mereka untuk mengikut perlakuan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa sendiri
haruslah melibatkan diri dalam aktiviti senaman dan fizikal. Satu pendekatan
yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan melakukan aktiviti senaman dan
sukan bersama-sama. Bagi kebanyakan ibu bapa, mencari masa untuk bersama-sama
melakukan aktiviti senaman ialah cabaran. Pada masa lapang dan hujung minggu,
bawalah anak-anak ke tempat rekreasi bagi bersenam. Walaupun masa tidak boleh
dicipta, ibu bapa boleh mengurus masa untuk memberi ruang kepada aktiviti
fizikal dan senaman bersama-sama.
Di samping itu, ibu bapa patut
menemani anak-anak bersenam kerana terdapat segelintir anak- anak yang mahu
bersenam bersama-sama orang yang rapat. Jika anak-anak masih berkeras, ibu bapa
seharusnya menasihati anak-anak tentang akibat kemalasan bersenam. Tindakan ini
barangkali boleh menyedarkan anak-anak.
Penglibatan anak-anak dalam senaman bukanlah untuk bersaing tetapi harus
bermatlamatkan kesihatan. Sesungguhnya, untuk menggalakkan penglibatan anak-
anak dalam aktiviti senaman dan sukan, sokongan yang berterusan akan membantu
pembentukan sikap dan tabiat ini dalam diri anak. Dipetik daripada 'Sokongan Sosial
Memupuk Tabiat Bersenam', oleh Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, UM 24 April 2016
Soalan
2 : Pemahaman [35 markah]
1. Berikan maksud rangkai kata memberi
ruang. [2 markah]
2. Penulis ada menyatakan beberapa
halangan daripada ibu bapa hingga menyebabkan amalan senaman sukar dilaksanakan dalam kalangan
anak-anak mereka. Nyatakan tiga halangan tersebut. [3 markah]
3. Pihak kerajaan turut mempunyai
peranan dalam melahirkan masyarakat yang sihat dengan menggalakkan amalan senaman. Pada pendapat
anda, apakah peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan amalan senaman dalam
kalangan masyarakat? [4 markah]
Soalan
2(b)–Petikan Prosa Moden Baca petikan cerpen, jawab soalan-soalan menggunakan
ayat anda sendiri.
Aku memandang jaket kulit kijang
itu lagi. Kalau dikira dalam ringgit Malaysia, harganya sekitar RM500.00. Jaket
kulit itu telah membawa kegembiraan kepada lelaki tua yang berjaya menjualnya
kepada Shahmeem. Jaket kulit itu telah membawa kegembiraan kepada Shahmeem yang
berjaya menjualkannya semula kepadaku. Jaket kulit itu telah membawa
kegembiraan kepadaku kerana dapat menghangatkan badan sepanjang perjalanan di
Selat Bhosporus yang dingin.
Tiba-tiba tercetus semalam hasrat
untuk memanjangkan rasa gembira itu kepada orang lain. Bagaimana kalau aku
menjualnya di kedai menjual pakaian terpakai yang selalu aku kunjungi di tanah
air? Aku tahu bahawa tidak mungkin aku boleh menjualnya tanpa mengalami
kerugian. Seratus ringgit pun barangkali terlalu mahal untuk tauke kedai itu.
Aku rela menerima harga yang jauh lebih rendah asalkan pekedai itu gembira.
Bakal pembelinya juga pasti gembira kerana mendapat jaket kulit dengan harga
yang murah. Aku berharap agar bakal pemakainya kelak sedar bahawa jaket kulit
itu merupakan sisa orang dan tidak berasa bongkak.
Aku akan mencari jalan untuk mendermakan wang
jualan jaket kulit itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Sebagai
tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup yang penuh
kemodenan.
Daripada
cerpen 'Jaket Kulit Kijang dari Istanbul oleh Maskiah - antologi ]aket Kulit Kijang dari Istanbul,
DBP
1. Mengapakah 'aku' ingin menjual
jaket kulit yang dibelinya daripada Shahmeem? [2 markah]
2.Pada pendapat anda, bagaimanakah
kesedaran terhadap larangan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi dapat
dipupuk dalam kalangan masyarakat? Nyatakan tiga usaha memupuk kesedaran
tersebut.[3 m]
3. Huraikan satu pengajaran yang
terdapat dalam petikan cerpen dan satu pengajaran yang lain berdasarkan
keseluruhan cerpen. [4 markah]
Soalan2(c)–
Baca petikan prosa
tradisional, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
Maka
kata segala anak buah Seri Nara Diraja, "Bagaimana maka datuk hendak
beristeri muda, kerana datuk sudah tua,
dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?"
Maka
kata Seri Nara Diraja, "Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian
sia-sialah cula dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu."
Dan
telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu.
Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi
berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja
pada Sultan Muzaffar Syah, "Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara,
kerana ia sedia anak bendahara."
Maka titah baginda, "Baiklah."
Maka Paduka Raja pun dijadikan bendahara.
Syahadan, Bendahara Paduka Raja itulah yang
dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama
besarnya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga, Melaka. Di dalam negeri
tiga buah itu, ada tiga orang yang bijaksana; di Majapahit, Patih Aria Gajah
Mada; dan di Pasai, Orang Kaya Kanayan; dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja;
dan Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.
Daripada 'Burung Terbang Dipipiskan
Lada' dalam antologi Sejadah Rindu, KPM
1. Berikan maksud menjadi
berkasihan-kasihan . [2 markah]
2. Nyatakan hubungan antara Paduka
Raja dengan Seri Nara Diraja selepas pernikahan Seri Nara Diraja dengan Tun
Kudu. [3 markah]
3. Kebijaksanaan merupakan antara ciri
yang perlu ada pada seseorang yang dilantik sebagai pembesar. Pada pendapat anda, mengapakah bendahara perlu
dilantik dalam kalangan mereka yang Bijaksana. [3 markah]
Soalan 2(c) – Syair Baca syair kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat
anda sendiri
SYAIR BIDASARI
Dengarkan tuan suatu riwayat
Raja di desa Negeri Kembayat
Dikarang fakir dijadikan hikayat
Supaya menjadi tamsil ibarat
Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.
Hairan orang empunya temasya,
Baginda itulah raja perkasa,
Sangat tiada merasai susah,
Entah pada esok dan lusa.
Seri sultan raja bestari,
Setelah ia sudah beristeri,
Beberapa bulan beberapa hari,
Hamillah puteri permaisuri.
Beberapa lamanya dalam kerajaan,
Baginda duduk bersuka-sukaan,
Datanglah beroleh kedukaan,
Baginda meninggalkan takhta kerajaan.
Datanglah kepada suatu masa,
Melayanglah unggas dari angkasa,
Unggas gurda sangat perkasa,
Menjadi negeri rosak binasa.
Datanglah menyambar suaranya bahana,
Gemparlah sekalian mulia dan hina,
Seisi negeri gundah-gelana,
Membawa diri ke mana-mana.
Baginda pun sedang dihadap orang,
Mendengar gempar seperti perang,
Bertitah baginda raja yang garang,
"Gempar ini apakah kurang."
1. Nyatakan maksud Baginda
meninggalkan takhta kerajaan. [2 markah]
2. Kemusnahan negeri akibat serangan
geroda menyebabkan keadaan negeri menjadi kelam- kabut. Pada pendapat anda, mengapakah boleh berlaku
keadaan kelam-kabut tersebut? [3 markah]
3. Huraikan dua pengajaran daripada
syair di atas. [4 markah]
Soalan
3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] Jawab semua soalan.
(a)
(a) Tulis satu ayat bagi setiap
perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai
peribahasa atau nama khas.
i. baru – baharu ii. tempoh – tempuh iii. dekat - dekad [6 markah]
(b)
Cerakinkan ayat majmuk di bawah ini kepada dua ayat tunggal.
i. Pertandingan pidato itu akan
diwakili oleh Jordan atau Jessica?
ii. Kita mestilah berhati-hati semasa
memandu kenderaan di jalan raya pada musim hujan.
iii. Negara Perancis menjuarai Bola
Sepak Piala Dunia 2018 kerana memiliki pemain- pemain yang hebat. [6 m]
(c)
Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan
penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
i. Kanak-kanak itu perlu menjalankan
rawatan menggunakan anti-biotik untuk mengelakkan penyakitnya itu berlarutan.
ii. Kes mencuri motorsikal yang
semakin menjadi-jadi di kawasan itu sudah dapat dibanteras oleh pihak polis.
iii. Selain mengambil makanan seimbang
dan penglibatan dalam sukan, kita juga memerlukan multi vitamin untuk menjaga
kesihatan badan kita. [6 markah]
(d)
Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan satu kesalahan tatabahasa.Senaraikan dan betulkan
kesalahan-kesalahan itu.
i. Semasa bercakap dalam ceramah di
kampung itu, ahli politik itu asyik memperkatakan tentang isu yang sudah tidak
relevan lagi dengan masa kini.
ii. Sejak kebelakangan ini, banyak kawasan
di luar bandar yang berkembang cepat.
iii. Masalah ini kita harus tangani
dengan segera agar majlis pengisytiharan program dapat berjalan lancar nanti. [6 markah]
(e)
Berikan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang berikut.
Ketua kampung kesal akan sikap
penduduk yang membisu semasa mesyuarat diadakan, tetapi mula bersuara apabila
projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama
_____(i)______. Mereka tidak sepatutnya mengemukakan pendapat dengan sesuka hati
dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain.
Hal ini demikian kerana ______ (ii)_____.
Walaubagaimanapun sebagai ketua,
beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah anak buahnya bagai _______(iii)_____
supaya penyelesaian yang dibuat dapat memuaskan hati semua pihak. [6 markah]
Soalan
4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang
berikut:
(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya
Abdul Latip Talib (ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang
Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya
Ruhaini Matdarin (iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Tirani karya Beb Sabariah (vi) Songket Berbenang Emas karya
Khairuddin Ayip
(vii) Bimasakti Menari karya Sri
Rahayu Mohd Yusop (viii) Silir Daksina karya Md Nizar
Parman
1.
Huraikan pendapat anda tentang keunikan latar tempat dalam novel yang telah
anda pelajari. [7 markah]
2.
Nyatakan
persoalan tanggungjawab yang harus dipikul dalam kedua-dua buah novel
yang telah anda pelajari. [8 markah]
KERTAS SOALAN TAMAT