Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 4 November 2018

Pelancongan (karangan terbaik) : Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong. Huraikan kepentingan industri pelancongan di Malaysia KARANGAN percubaan SPM Kota Belud Sarawak -


Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong. Huraikan kepentingan industri pelancongan  di Malaysia  KARANGAN  percubaan SPM   Kota Belud Sarawak -

      Industri  pelancongan  meletakkan nama Malaysia sebagai salah satu destinasi yang menarik untuk dikunjungi . Nama Malaysia meniti dari bibir ke bibir  para pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa berganda pertambahannya. Pihak kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia termasuk ke negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah . Para pelancong mendapat info yang tepat berkenaan produk dan prasarana  pelancongan  di Malaysia. Banyak aktiviti pelancongan yang  terdapat di Malaysia termasuklah ekopelancongan, pelancongan kesihatan dan banyak lagi. Usaha memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada negara.

    Antara faedah industri pelancongan ialah industri ini dapat memberi sumber pendapatan kepada negara. Kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 35 juta pelancong dengan pendapatan yang berganda setiap tahun. Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah negara kita memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak.  Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi di Malaysia. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Wang yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia dapat digunakan  untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara. Ternyata industri pelancongan memberi pulangan pendapatan yang lumayan untuk negara

      Seterusnya, pelancongan dapat memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah negara yang memberi seribu satu wajah masa silamnya. Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman sehingga tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti A-Famosa,Ford Marguerita di Sarawak, Jambatan Guilemard di Tanah Merah Kelantan, bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur, istana Kelly dan Stadium Merdeka.  Pengekalan bangunan-bangunan  tinggalan penjajah telah menggamit memori  para pelancong dari dalam atau luar negara tentang sejarah Malaysia dan mahu melihat sendiri  keunikan hasil seni bina  masyarakat terdahulu untuk dijadikan sumber inspirasi  dan aspirasi arkitek pada masa ini. Pelancong generasi muda juga dapat merasai betapa membaranya semangat  juang pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan semua.  Kata bidalan, tak kenal maka tak cinta, pemeliharaan warisan negara membolehkan pelancong  mengenali sejarah asal-usul negara kita  dan adat resam penduduknya . Sememangnya  industri pelancongan  memaparkan dengan jelas, sejarah ketamadunan bangsa di negara  kita melalui tinggalan sejarah yang masih kekal kukuh.

      Selanjutnya industri pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak muda negara.  Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan,  pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir.  Industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadi nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraftangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Pada masa sama, taraf hidup rakyat juga akan meningkat. Sesungguhnya industri pelancongan menawarkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

      Di samping itu, pelancongan turut menarik kehadiran pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang ada  kaitannya dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Banyak tempat strategik dan menarik  dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia.  Pihak kerajaan dan swasta  melabur untuk pembangunan industri pelancongan ini . Kehadiran pelabur asing yang ramai dalam membangunkan dunia pelancongan negara, dapat membantu mencerahkan kehidupan masyarakat kita, masa depan negara jadi  lebih terjamin dan rakyat menikmati segala keselesaan. Hakikatnya  industri pelancongan membuka seluas-luasnya pelaburan syarikat asing ke negara kita.

      Selain itu  pelancongan juga dapat dijadikan pemangkin perpaduan antarabangsa.  Penganjuran program pelancongan antarabangsa dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula menjadi  bertambah erat. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia  Timur Tengah, China dan Eropah bagi memajukan pelancongan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu program pelancongan yang diadakan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara, khususnya dengan Malaysia..Melalui pendedahan ini akan wujudlah  kehidupan yang harmoni dalam kalangan masyarakat  dunia walaupun berlainan bangsa, agama, dan negara. Jelaslah, industri  pelancongan menyemarakkan perpaduan antara masyarakat setempat dan masyarakat global.

         Kesimpulannya, industri pelancongan menghasilkan pelbagai manfaat  untuk kita nikmati bersama-sama. Semua pihak perlu bahu-membahu  mempromosikan Malaysia,  agar negara kita akan lebih dikenali. Kita berharap agar matlamat  menjadikan Malaysia destinasi pelancongan antarabangsa akan tercapai. Pelancongan pasti akan menyerlah sinarnya untuk  jangka masa panjang, dan industri ini diharapkan akan terus meletakkan Malaysia tersohor di persada dunia
*
Oleh Raihanna - tingkatan 5 sains smkdmpr

Jangan Tiru