FAEDAH koperasi sekolah. Bincangkan (karangan BM percubaan kertas 1 SPM )
. Koperasi merupakan
perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang ahlinya terdiri daripada pelajar, guru, dan seluruh warga sekolah. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh
banyak kebaikan yang tidak dapat kita
kira dengan jari jemari kita!. Terdapat banyak kebaikan penubuhan
koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri. Dalam nada yang bersahaja tetapi penuh
bermakna, faedah-faedah koperasi sekolah inilah yang mewarnai perbincangan saya
pada hari ini, yang akan saya kupas dan
saya huraikan secara terperinci untuk kita hayati bersama-sama
Umum
mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana
koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Mudah,selesa
apabila koperasi sekolah menjadi tempat membeli belah. Malah,turun sahaja
beberapa anak tangga, koperasi sudah ada di hadapan mata. Secara logiknya,
pelajar-pelajar hanya membuang masa
sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata kerana hendak membeli
sebatang pen. Segala keperluan sekolah ada di koperasi. ‘You name it, you got
it’. Dengan penubuhan koperasi, secara tidak langsung pelajar tidak akan
membuang masa dan tidak akan membazir
tenaga. Tidak sampai selejang
kuda berlari, hanya dalam masa sepelaung sahaja kita sudah di pintu koperasi
sekolah. Ternyata koperasi sekolah memudahkan pelajar mendapatkan segala
keperluan sekolah dalam jangka masa yang
singkat.
Selain itu, pelajar-pelajar dapat menyaksikan sendiri betapa banyak kebaikan dapat
diperoleh melalui penubuhan koperasi sekolah seperti pengalaman baharu untuk
pelajar-pelajar dalam dunia niaga.
Secara tidak langsung, penglibatan pelajar dalam koperasi adalah merupakan proses
pembelajaran di luar bilik darjah, sejak di alam persekolahan lagi bak kata
bidalan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Banyak hal ehwal perniagaan, perihal untung rugi, sepak terajang dalam
dunia niaga, dapat dirasai, dipraktikkan ketika pelajar-pelajar mencari pengalaman berniaga di perantara bangunan sekolah, ia itu di kedai koperasi. Pengalaman tersebut
juga membantu, memudahkan pelajar-pelajar yang ingin menceburi bidang perniagaan dan
keusahawanan, mahu menjadikan
bidang perniagaan sebagai kerjaya
apabila meninggalkan alam persekolahan
nanti. Pengalaman ini amat berharga buat
pelajar. Sesungguhnya koperasi sekolah memberikan suatu pengalaman terindah buat
pelajar-pelajar. Oh betapa gembiranya pelajar, belajar berniaga sejak di bangku
sekolah lagi.
Selanjutnya, koperasi sekolah juga memberi faedah
ke arah menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan
diperoleh oleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian oleh pelajar-pelajar,
guru-guru dan seluruh warga sekolah. Warga sekolah yang menjadi ahli
koperasi jua mendapat keuntungan dalam
bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan berterusan oleh warga sekolah. Sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak
sekolah supaya kewangan sekolah meningkat. Hal ini kerana koperasi merupakan syarikat perniagaan
milik sekolah. Koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan dana untuk pelbagai aktiviti dan keperluan sekolah demi keselesaan pelajar-pelajar dan guru-guru. Kemudahan
pendingin hawa di dalam Masjid SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2 merupakan
sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah . Jelaslah koperasi sekolah banyak memberi sumbangan dalam
meningkatkan paradigma dan melengkapkan prasarana sekolah.
Seterusnya penubuhan koperasi membawa semangat muhibah, kerjasama erat dalam
kalangan guru dan pelajar. Buktinya, penglibatan pelajar-pelajar memudahkan guru-guru dalam menguruskan
koperasi sekolah dengan lancar dan bersistematik. Semangat kesepakatan, tolak ansur, menepati masa, penuh dengan keikhlasan menjadikan pengurusan koperasi dapat berjalan dengan teratur dan lancar. Pelajar-pelajar juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai
contoh, ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi, cara melayani pembeli
atau pengunjung koperasi, cara menyimpan stok , cara mengemas bilik koperasi, kata cikgu, "biar ada imej korporat" dan sebagainya .
Hubungan silaturahim antara guru dan pelajar juga terjalin dengan baik dan erat. Kerjasama
mereka dalam pengurusan koperasi inilah
yang sering kita ibaratkan seperti aur dengan tebing. Sememangnya koperasi sekolah tempat paling dominan untuk kita
memupuk semangat muhibah dan ikatan silaturahim antara guru dan pelajar.
Di samping itu pelajar atau guru dapat membeli barangan
dengan harga yang lebih murah di koperasi sekolah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya
berpatutan dan barangan yang dibeli
dijamin berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan
dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan
sebagainya. Kesemua ini telah dikaji
amat memenuhi kehendak dan keperluan guru
dan pelajar. Sebagai analoginya, pelajar
dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding
membeli sebatang pen di gedung buku di bandar atau di pasar raya. Barangan di
pasar raya lazimnya mahal-mahal belaka. Secara tidak langsung, pelajar dapat
menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi
meningkatkan prestasi pembelajaran. Koperasi memberikan tawaran harga yang murah,
mampu milik terhadap produk yang dijual, dan barang boleh dikembalikan
sekiranya tidak memenuhi cita rasa pelajar. Hakikatnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan
dan berkualiti kepada warga sekolah.
Kesimpulannya,
koperasi sekolah memberikan banyak
manfaat , faedah dan kebaikan buat warga sekolah saya
apatah lagi apabila koperasi sekolah dinobatkan KOPERASI SEKOLAH TERBAIK
peringkat daerah dan negeri. Pengurusan
cemerlang koperasi sekolah ini membawa kita mengimbau dan mengimbas kembali semangat juang, kewibawaan dan kebijaksanaan ahli koperasi sehingga terkilas bidal tradisi ‘ benih
yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke darat menjadi ladang subur
makmur, dilontar ke udara menjadi kejora. Tahniah kepada guru dan
pelajar-pelajar kerana berjaya mengangkat martabat koperasi sekolah sehingga
dapat dimanfaat oleh seluruh warga
sekolah, dan tersohor di persada alam.
Oleh Iman Tasneem - tingkatan lima ( semoga Iman & rakan-rakan, cemerlang A+ BM SPM )
ps ; Iman memperolehi A+ BM SPM TAHUN LALU
Bagi pelajar yang bertanya tentang ciri-ciri koperasi sekolah, cuba ubah suai sahaja isi karangan yang ini,' faedah koperasi kepada ciri-ciri koperasi sekolah.' hummph.....BOLEH SANGAT....... cg Maznah.
ps ; Iman memperolehi A+ BM SPM TAHUN LALU
Bagi pelajar yang bertanya tentang ciri-ciri koperasi sekolah, cuba ubah suai sahaja isi karangan yang ini,' faedah koperasi kepada ciri-ciri koperasi sekolah.' hummph.....BOLEH SANGAT....... cg Maznah.