Yang Amat Berbahagia,
Datin Seri Hajah Rosmah binti
Mansor - TOKOH WANITA MALAYSIA YANG
PALING SAYA KAGUMI
Beliau
seorang tokoh yang sentiasa secara berkarisma memberi inspirasi kepada kami,
kumpulan pelajar SPM untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang
cemerlang. Ucapan-ucapan beliau tentang ilmu dan pentingnya pencapaian tinggi
dalam pembelajaran telah menggarap himpunan semangat dan kekuatan untuk kami
golongan pelajar berjuang di medan ilmu. Beliau yang kami maksudkan ialah Yang
Amat Berbahagia, Datin Seri Hajah Rosmah
binti Mansor isteri kepada Perdana
Menteri Malaysia yang amat kita sanjungi dan sayangi.. Beliau merupakan anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri
Sembilan, berperwatakan lembut, punyai ciri-ciri keibuan yang luhur lagi amat
penyayang dan punyai wawasan yang dinamik, unggul untuk anak-anak muda, generasi
hari ini menjana masa depan yang gemilang. Kami
serumpun
bak serai, sejunjung bak sirih, memilih
beliau sebagai tokoh idola kami, tokoh kebanggaan kami. Terdapat banyak faktor kami memilih beliau
sebagai antara tokoh wanita
Malaysia yang amat kami
kagumi Ayuh kita telusuri satu
persatu ketokohan, kewibawaan dan rerona indah kehidupan beliau sebagai seorang wanita pertama negara.
Sebelum
melangkah lebih jauh kita imbau, kita imbas kembali aspek kegigihan beliau pada zaman remaja
meneroka bidang ilmu sehingga berjaya menempatkan diri di sebuah sekolah elit,
ternama tanah air. Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah bagaikan diulit mimpi apabila mendapat tawaran belajar di Kolej Tunku
Kurshiah, sebuah sekolah berprestij, berprestasi tinggi, lagi tersohor di negara
kita. Bukan calang-calang pelajar layak belajar di Kolej ini kecuali pelajar
yang benar-benar pintar, kreatif dan
inovatif. Semasa di TKC beliau
merupakan seorang pelajar yang sangat aktif dalam bidang kurikulum dan kokurikulum. Beliau dikenali sebagai pelajar yang sangat aktif dalam aktiviti sukan seperti badminton,
hoki dan bola jaring. Minat beliau juga begitu terserlah dalam bidang seni dan kajian kami mendapati beliau banyak
terlibat dalam pelbagai aktiviti koakademik sekolah, aktif mengambil bahagian pelbagai bidang seni semasa di bangku sekolah, yakni
semasa di TKC. Usaha gigih dan
kesungguhan beliau nyata lebih menyerlah apabila berjaya menamatkan pengajian
peringkat menengah dengan kejayaan yang cemerlang. Beliau ditawarkan pula melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya,
Kuala Lumpur. Bidang antropologi dan sosiologi menjadi pengkhususan beliau
semasa di Universiti Malaya. Dan yang lebih menarik selepas
tamat pengajian dan menerima
ijazah, beliau ditawarkan memegang
jawatan sebagai Eksekutif Perbankan di Bank
Pertanian Malaysia yang sekarang dikenali sebagai Agro Bank iaitu pada sekitar tahun 1975. Masa berlalu, silih berganti, Yang
Amat Berbahagia. DS Hajah Rosmah meneruskan
cita-citanya, semangat juangnya dalam bidang ilmu tanpa kenal erti putus asa. Beliau
seterusnya melanjutkan pelajaran ke Peringkat Sarjana di Amerika Syarikat iaitu di Lousiana State Universiti. Setelah berhempas pulas belajar dan menimba ilmu akhirnya beliau berjaya
memperolehi Sarjana Sains dalam bidang paling diminati beliau iaitu bidang sosiologi dan pertanian. Kata bidalan sejauh mana seluang melaut
akhirnya kembali ke pantai jua, setelah sekian lama berdagang di
rantau orang, akhirnya beliau kembali ke Malaysia pada tahun 1983. Dengan Sarjana dan pengalaman kerja yang pernah
dilalui beliau ditawarkan
pula menyertai syarikat Island and Peninsular Berhad . Lantaran sikapnya
yang merendah diri, rajin bekerja, dan profesionalisme yang dimilki beliau dilantik berkhidmat sebagai Pengurus Pembangunan Perniagaan di syarikat
terkemuka itu. Yang jelas kegigihan beliau menimba ilmu dan
bertugas dengan penuh dedikasi menjadi faktor mutlak kami memilih beliau
sebagai tokoh paling kami kagumi.
Seterusnya kita selongkar pula suasana kehidupan berkeluarga yang cukup harmoni,damai
dan bahagia, yang menjadi penyebab kami
memilih beliau sebagai tokoh dikagumi. Kata orang jodoh pertemuan ditangani
Allah. Dan takdir menentukan beliau kini
merupakan isteri kepada Yang Amat Berhormat
DS Haji Mohd Najib bin Tun Abd Razak
Perdana Menteri Malaysia yang amat kita kasihi.. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan kedua bagi pasangan suami
isteri ini. Sejarah silam biarkanlah berlalu bersama-sama elusan-elusan bayu. Hari ini, dari kaca mata rakyat
mereka berdua adalah pasangan yang sangat bahagia dan mereka sentiasa
berusaha membina suatu ikatan yang kukuh,
yang berat
sama dipikul, yang ringan sama dijinjing, bagi menangani segala cabaran yang mendatang. Yang Amat Berbahagia DS Hajah Rosmah dan Yang Amat Berhormat DS
Haji Mohd Najib merupakan ibu dan bapa
yang amat penyayang, punyai semangat
yang kental, yang sekukuh besi
semberani dalam menerjah kemelut kehidupan. Yang Amat Berbahagia
DS Hajah Rosmah sentiasa memberi sokongan, semangat dan kekuatan buat suami tercinta ke arah menjamin
kebahagiaan hidup berkeluarga dan keharmonian negara tercinta. Beliau seorang yang
berfikiran positif, berpandangan jauh dalam menangani kemelut kehidupan. Dalam
tenang dan bersahaja, suasana bahagia damai
sejahtera ternyata menjadi milik mereka sekeluarga. Dan yang terindah, hari ini,
terbukti dengan sokongan isteri tercinta, Yang Amat Berhormat DS Haji Mohd
Najib dikenali sebagai seorang Perdana Menteri yang berwibawa lagi dikagumi dan
disayangi rakyat jelata.
Syukur Alhamdulillah rumahtangga mereka kekal bahagia, rukun dan damai serta
sentiasa dalam suasana ceria bahagia berkat doa restu rakyat jelata. Hakikatnya, kami pelajar-pelajar sentiasa memanjatkan doa agar
Yang Amat Berbahagia DS Hajah Rosmah dan suami diberi Allah sihat
sejahtera dalam melayari bahtera rumahtangga, dan marilah sama-sama kita doakan
agar pasangan ini kekal bahagia hingga ke Jannah. Amin.
Realiti yang tidak boleh dipinggirkan, sebagai isteri
dan ibu yang penyayang beliau tidak merelakan sebarang bentuk penderaan, penganiayaan
mahupun sebarang elemen kezaliman dilakukan terhadap kanak-kanak. Program PERMATA yang
ditubuhkan atas inisiatif beliau, begitu komited dalam memastikan Dasar
Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan berjaya dilaksanakan
sepenuhnya di negara kita. PERMATA yang diilhamkan oleh Yang Amat Berbahagia DS
Hajah Rosmah binti Mansor menggalakkan kanak-kanak di bawah umur 4
tahun untuk mendapatkan bimbingan dan pendidikan awal untuk meningkatkan
kualiti pembangunan tahun formatif mereka.
Kaedah pembelajaran disusun direncanakan mengikut kesesuaian bagi kumpulan umur
kanak-kanak yang merangkumi sifat fizikal, bahasa, kognitif, sosio-emosi dan rohani dalam persekitaran yang selamat, sihat dan menyeronokkan;
PERMATA jua bertindak membangunkan kurikulum yang komprehensif untuk
pembangunan awal kanak-kanak yang merangkumi pendidikan, penjagaan kanak-kanak,
nutrisi dan kesihatan Melalui PERMATA jua usaha dilakukan bagi mewujudkan
infrastruktur dan persekitaran pembelajaran yang kondusif termasuk
peralatan pembelajaran yang berkualiti bagi membolehkan pencapaian hasil
pembelajaran yang positif dapat dijelmakan. Yang Amat Berbahagia DS Hajah
Rosmah binti Mansor jua secara berterusan melaksanakan dan
menyelia pembinaan Pusat Anak PERMATA Negara di seluruh negara. Kajian berkaitan mula dijalankan termasuk menyelidik program
pendidikan awal kanak-kanak di beberapa negara maju seperti Perancis, Amerika
Syarikat, Australia dan New Zealand. Daripada pemantauan itulah, maka lahirlah
Program Permata Negara berkonsepkan keseronokan belajar mengikut apa-apa yang
kanak-kanak mahukan dengan memberi fokus pendidikan yang berbentuk pengalaman
sebenarnya. Kita berbangga mempunyai seorang srikandi yang meletakkan
masa depan anak-anak hari ini sebagai suatu keutamaan kerana anak-anak adalah permata negara. Sesungguhnya usaha beliau yang berterusan yang seakan-akan tiada nokhtah serta tiada penghujungnya dalam melakukan anjakan paradigma kedudukan anak-anak
hari ini, wajar
diteladani, dicontohi oleh wanita Malaysia yang lain.
Sesuatu yang amat menyentuh perasaan ialah
Yang Amat Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah amat mengharapkan
masyarakat tidak memandang enteng akan keupayaan golongan kurang upaya (OKU)
dalam melakukan sesuatu perkara. Bukan suatu tragedi kehidupan dan bukan pula
dipinta, lahir ke dunia dalam keadaan buta, pekak, bisu dan tempang, namun
sudah suratan menimpa diri. Yang
Amat Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah menjelaskan setiap OKU mempunyai kelebihan dan keupayaan masing-masing
dan ada antara mereka yang lebih hebat berbanding individu normal. Golongan ini
perlu diberi bimbingan dan latihan bersesuaian dengan kemampuannya. Beliau memberi contoh pencapaian atlet paralimpik
negara yang bukan sahaja berjaya merangkul emas tetapi juga mencipta rekod
baharu dunia semasa Paralimpik Rio 2016 di Brazil. Sebagai anggota masyarakat
yang duduk dalam sebuah komuniti, kita hendaklah bersatu menerjah
cabaran dalam memperkasakan
pembangunan modal insan ini tanpa mengira sebarang perbezaan. Yang Amat
Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah begitu
yakin dan berharap agar tidak ada lagi suara-suara sumbang mempertikaikan keupayaan golongan spastik dan
sebaliknya kita berikan sokongan sewajarnya terhadap mereka kerana Islam mengajar dan menuntut kita menjaga hubungan
sesama manusia Pada masa sama beliau mengakui terdapat anjakan
persepsi masyarakat yang
semakin prihatin terhadap golongan cacat yang menunjukkan masyarakat Malaysia
secara kolektifnya, telah memahami dan menyantuni golongan berkenaan. Keprihatinan Yang Amat Berbahagia DS Hajah
Rosmah terhadap golongan istimewa ini telah mendapat perhatian yang
memberangsangkan apabila rakyat Malaysia tampil bersatu memberi sokongan dan
sorakan terhadap atlet-atlet paralimpik negara pada Kejohanan Paralimpik di
Brazil tahun 2016. Alhamdulillah usaha beliau dalam membela nasib golongan spastik
hari ini membuahkan kejayaan kerana naluri beliau membisikkan takkan lari gunung dikejar hilang kabus tampak jua.
Dalam masa selangkas betik berbuah, selejang
kuda berlari, Yang Amat Berbahagia
Datin Seri Hajah Rosmah binti
Mansor menerima banyak anugerah atas sikapnya yang
sedia membantu dan sedia memberikan
pendapat dan pandangan, sedia meluangkan banyak masa bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti
khidmat sosial negara. Hari ini, beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan
Timbalan Menteri (Bakti), menjadi Penaung Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia,
Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Penaung Persatuan Badminton Malaysia
(BAM),Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (PENCINTA),Persatuan Thalasemia
Malaysia dan menjadi.Pengerusi Jawatankuasa Kerja Permata Negara. Bidal
tradisi mengungkapkan kalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak diduga, namun dengan kail yang sejengkal itulah beliau meredah fenomena suasana bagi memastikan kebajikan
golongan yang benar-benar memerlukan diberikan perhatian. Yang Amat Berbahagia
Datin Seri Hajah Rosmah berjuang
habis-habisan memastikan golongan yang memerlukan diberi bantuan sewajarnya,
kerana beliau berpendapat betapa berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Dalam senyap, dalam suasana seribu liku, membujur lalu melintang patah, beliau nekad memberikan bantuan dan pertolongan kepada
yang memerlukan berlandaskan kapasiti dirinya sebagai seorang insan prihatin
dan suka membantu. Sebagai isteri seorang Perdana Menteri,beliau sentiasa
menjaga wibawa dan personalitinya sebagai isteri pemimpin. Dalam tegas ada kelembutan, dalam
kelembutan ada semangat nan membara, beliau seorang pendengar yang setia dan sentiasa santun berbicara menyebabkan
dirinya sentiasa disenangi oleh semua. Tak kenal maka tak cinta, sesiapa yang mengenali dirinya sudah tentu kagum dengan
keikhlasannya, dan kehalusan bual bicaranya. Hari ini beliau banyak menerima pelbagai
anugerah dan pingat daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, salah
satunya adalah Anugerah Keamanan dan Keharmonian Antarabangsa daripada Majlis
Perniagaan bagi Persefahaman Antarabangsa (BCIU) Amerika Syarikat pada 17 April
2010. Yang Amat
Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah jua telah
dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat Persuratan daripada Universiti Curtin,
Australia sebagai mengiktiraf daya usahanya dalam pembangunan pendidikan
terutama pendidikan awal kanak-kanak menerusi program Permata Negara. Selain
itu, beliau turut juga dinobatkan sebagai Tokoh Industri Sukan Negara 2012 pada
Majlis Anugerah Industri Sukan Negara 2012.. Kata orang kalau tiada ada berada masakan tempua bersarang rendah. Anugerah diberi pasti ada sebab-musababnya. Banyak
jawatan diamanahkan dan pelbagai
anugerah yang diperolehi adalah atas khidmat bakti yang dicurahkan untuk negara,
khususnya untuk anak-anak PERMATA negara. Titik
titis air matanya pabila melihat anak-anak didera, disakiti tanpa belas,
tanpa simpati. Beliau tidak merelakan kesemua ini terjadi. Yang pasti
momen-momen terindah bagi beliau di
sebalik anugerah, ialah apabila tumpuan total dapat diberikan ke arah
memastikan kebajikan anak-anak hari ini terpelihara.
Kesimpulannya, Yang Amat Berbahagia
Datin Seri Hajah Rosmah berpendapat kanak-kanak adalah tunjang kepada ketamadunan bangsa dan negara. Mereka adalah aset bernilai yang menjadi lakaran memperkasakan
pembangunan pada masa hadapan. Menjaga kebajikan
anak-anak adalah asas utama perjuangan Yang
Amat Berbahagia Datin Seri Hajah Rosmah.
Beliau amat mengalu-alukan penglibatan pelbagai kumpulan profesional, ahli
akademik, aktivis dan pegawai-pegawai kerajaan bersama-sama menggilap keupayaan permata negara
selain mencari penyelesaian masalah sosial yang melingkari golongan itu. Menjaga
kebajikan anak–anak hari ini menjadi tumpuan dan fokus utama seorang tokoh wanita Malaysia yang amat kami kagumi. Kami
amat menyayangi beliau. Harapan kami golongan pelajar yang usia baru
setahun jagung, darah baru setampuk pinang,
semoga Yang Amat Berbahagia Datin
Seri Hajah Rosmah dan suami, serta seisi keluarga sentiasa mendapat limpah
rahmat, taufik dan hidayah Allah SWT. Amin Ya
Rabbal 'Alamin
Karya
Nur Hidayah Hamizah binti Mohamad Ridzwan
Nur Fatin Atirah binti Mohd Shakri,
dan Fatin Nur Insyirah binti Puteh
Tingkatan 5 silikon
(pelajar tg 4 kalau masa cuti ni nak hantar karya, boleh, tapi karya mesti asli & menepati format baru boleh saya masukkan dalam blog- Salah ejaan, salah tatabahasa, tak pa nanti saya betulkan - maznahmusa@gmail.com)
