Budaya makan bersama-sama ahli keluarga dapat membentuk suasana keluarga bahagia. Bincangkan faedah makan bersama-sama keluarga. (tajuk diubah suai daripada tajuk karangan percubaan MRSM SPM )
Makan bersama-sama adalah sesuatu yang lumrah bagi keluarga saya. Sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam, kami makan bersama-sama. Makan malam misalnya saya dan adik -adik tunggu ayah balik dari masjid dan kemudiannya kami sama- sama nikmati hidangan makan malam bersama-sama keluarga tercinta. Makan bersama-sama bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarga saya kerana ibu saya seorang yang sangat rajin memasak dan ayah pula tidak berapa suka makan di luar, sama ada di warung-warung mahupun di restoran atau di kedai-kedai makan tersohor. Ayah MEMANG tidak suka!
.
Antara faedah makan bersama-sama keluarga sudah tentulah kita dapat nikmati air tangan ibu. Masakan ibu sungguh enak, lazat dan berkhasiat, sehingga saya berasa tidak ada tukang masak di dunia yang mampu menandingi ibu dalam hal ehwal masakan. Sebut sahaja apa-apa masakan yang kita inginkan, ibu bersedia untuk menyajikannya. Hari ini sebut nak makan apa, esok sudah ada di atas meja! Masakan panas sajian ala Thai, sajian tradisi, masakan Kelantan. atau masakan Inggeris, ibu saya memang HEBAT. Pelbagai sajian ibu boleh sediakan. Ibu suri rumah sepenuh masa. Hobi ibu saya ialah memasak, Ibu memang cekap di dapur. Kuih- muih tradisional jua adalah kepakaran ibu dalam bab masak-memasak. Ibu memang tak kenal erti penat apabila berada di dapur. Masakan ibu pula amat kami rindui. Sesungguhnya saya berasa amat bertuah kerana amalan makan bersama-sama masih dan kekal menjadi tradisi, dan budaya keluarga saya .
Seterusnya, makan bersama-sama keluarga memberi input terindah menerbitkan rasa kasih rasa cinta dan sayang terhadap keluarga . Ibu marah kalau anak-anak berbual kosong atau bercakap-cakap perihal perkara yang tidak berfaedah di hadapan rezeki. Semua makan dalam keadaan tertib. Ibu suapkan adik bongsu saya makan. Ayah dan ibu pastikan kami semua berada di meja makan, barulah semuanya makan. Sebelum makan, kami mengaminkan doa yang dibaca oleh ayah. Kekadang ayah pulang lewat dari masjid. Kami tidak akan makan selagi ayah belum pulang. Kami tunggu ayah.Terasa kekok jua untuk makan kalau tanpa ayah bersama-sama. Kami sekeluarga diasuh oleh ibu dan bapa agar jaga tatatertib semasa makan bersama-sama. Ibu hulurkan air basuh tangan sebelum makan dan ibu sendukkan nasi untuk kami anak-anaknya. Ayah pula tuangkan minuman untuk kami adik beradik. Ayah dan ibu benar-benar beri perhatian terhadap kami adik beradik ketika makan. Ternyata sopan santun bermula di meja makan melahirkan rasa kasih yang padu terhadap keluarga.
Di samping itu amalan makan bersama-sama keluarga menyerlahkan kerjasama dalam kalangan ahli keluarga. Kami bantu ibu mengemas meja makan. Kami bantu ibu mencuci pinggan mangkuk. Segala-galanya, kami adik beradik lakukan bersama-sama persis aur dengan tebing . Lauk pauk yang tidak habis dimakan kami masukkan dalam bekas khas dan kami simpan di dalam peti sejuk. Ibu pula keluarkan buah-buahan sebagai pencuci mulut. Sekali lagi kami berkumpul pula di ruang tamu untuk nikmati buah - buahan pencuci mulut ! Melalui amalan makan bersama-sama sebegini, saya melihat ibu saya seorang yang berpengalaman dalam hal ehwal pemakanan dan yang sangat mengutamakan keperluan kesihatan, kecergasan fizikal dan kecerdasan minda melalui makanan. Kami pula sentiasa diasuh dengan sifat-sifat kerjasama. mengemas dan membersihkan tempat makan, dapur dan sinki selepas makan. Realitinya, suasana makan bersama-sama keluarga melengkapkan ciri-ciri sebuah keluarga bahagia apabila kerjasama menjadi pemangkin AMALAN MAKAN BERSAMA-SAMA keluarga.
Kesimpulannya, amalan makan bersama-sama keluarga membentuk suasana keluarga bahagia yang mengutamakan penyatuan keluarga, apatah lagi apabila makan bersama-sama dijadikan sebagai ‘hadiah’ terindah untuk sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan, diserikan pula dengan bingkisan dan ungkapan magis yang menjadi kenangan, nostalgia dan memori paling bermakna dalam kehidupan. Semoga amalan makan bersama-sama kekal menjadi penyeri kehidupan, membentuk institusi KELUARGA BAHAGIA yang kita idam-idamkan.
Karya M Shahmi SMU Padang Siam Tanah Merah Kelantan
(Doakanlah semoga cemerlang SPM dapat saya dan rakan-rakan miliki. Semoga sama-sama kita dapat menjawab soalan dengan tenang & mudah. Doa kedua-dua ibu bapa mengiringi perjuangan kita. Insya-Allah))
(Doakanlah semoga cemerlang SPM dapat saya dan rakan-rakan miliki. Semoga sama-sama kita dapat menjawab soalan dengan tenang & mudah. Doa kedua-dua ibu bapa mengiringi perjuangan kita. Insya-Allah))
