Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 12 Oktober 2018

BAHASA MELAYU KERTAS 2 PERCUBAAN 2018 NEGERI PERLIS & BAHASA MELAYU KERTAS 2 PERCUBAAN 2018 NEGERI SARAWAK


BAHASA MELAYU KERTAS 2  PERCUBAAN 2018 NEGERI PERLIS
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan kelas campur kepada murid-murid dan cabaran yang dihadapi oleh guru-guru. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
    Iklim bilik darjah yang kondusif amat penting dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Dalam hal ini, iklim bilik darjah amat bergantung kepada penstrukturan kelas malahan memberi perhatian kepada pembangunan potensi murid secara holistik dan bersepadu dalam mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni seperti yang dituntut dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Iklim bilik darjah yang kondusif juga memberi penekanan terhadap kelas campur tanpa pengasingan murid berdasarkan jurang kepandaian yang dapat membawa perubahan bermakna dalam merealisasikan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
      Setiap murid mempunyai kelebihan yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Sehubungan dengan itu, percampuran murid cemerlang dan murid lemah dalam satu kelas yang sama tanpa diskriminasi jurang kepandaian mampu memperlihatkan pelbagai implikasi yang positif terhadap budaya pembelajaran murid berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Percampuran murid dalam satu kelas tanpa mengambil kira keupayaan akademik mampu meningkatkan motivasi pembelajaran dalam kalangan murid. Melalui usaha ini juga sebarang peningkatan dalam pencapaian pendidikan secara langsung dapat meningkatkan imej dan harga diri murid yang lemah. Peningkatan dalam dua elemen ini pula memberi ruang kepada pembentukan persaingan yang positif dalam kalangan murid yang kurang menyerlah untuk bertapak ke hadapan mengejar murid cemerlang.
       Melalui sistem kelas campur murid yang bermasalah dalam pendidikan dan aspek disiplin dapat dipecahkan kumpulannya berbanding mengelompokkan mereka dalam kelas yang lemah. Daripada mereka terus bergaul dengan kelompok murid yang mempunyai personaliti yang sama, maka adalah lebih baik jika mereka diasingkan bagi mendorong mereka bersaing dengan murid cemerlang. Dengan sistem kelas campur, semangat kumpulan mereka turut dapat dipecahkan. Hal ini demikian adalah kerana semakin tinggi ikatan yang terjana dalam kalangan murid yang lemah pencapaian akademik dan yang berhadapan dengan masalah disiplin, semakin kukuh semangat kumpulan lalu mengurangkan lagi fokus terhadap kepentingan tuntutan akademik.
       Dalam konteks ini juga, sistem kelas campur dapat merangsang kesedaran mereka terhadap kepentingan ilmu berbanding mereka disatukan dalam kelas bawah  Berbanding sistem pengasingan kelas yang melabelkan kelas bawah untuk murid lemah dan kelas atas untuk murid cemerlang, sistem kelas campur lebih adil dalam membentuk iklim bilik darjah yang positif. Murid lemah tidak lagi berhadapan dengan label negatif akibat pencapaian mereka yang rendah dalam peperiksaan. Pelaksanaan kelas campur juga menyediakan ruang pergaulan yang baik antara murid cemerlang dan murid lemah di dalam bilik darjah. Pada masa yang sama, murid yang lemah dapat membangunkan sikap yang positifterhadap ilmu dan memberi perhatian yang lebih serius kepada kerja sekolah. Sehubungandengan itu, bagi merealisasikan semua aspirasi yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, peranan dan tanggungjawab guru adalah penting. Guru perlu menterjemahkan sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi aktiviti yang berkualiti yang mampu menarik minat serta penglibatan yang tinggi dalam kalangan murid.
Dipetik daripada -‘Kelas Campur Rangsang Persekitaran Pembelajaran Positif’ oleh Dr. Suresh Kumar MP Mei 2018
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah] Soalan 2 (a) – Petikan Umum - Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan maksud rangkai kata jurang kepandaian. [2 markah]
(ii) Iklim bilik darjah yang kondusif amat penting dalam mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.  Apakah ciri-ciri iklim bilik darjah yang kondusif? [3 markah]
(iii) Keputusan tidak cemerlang terhasil daripada pelbagai faktor. Pada pendapat anda, apakah faktor-faktor tersebut? [4 markah]
Soalan 2(b) –Cerpen Baca petikan cerpen kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
   Cerita bonda suatu hari tatkala saya asyik membelek-belek kitab-kitab lama bertulisanJawi di dalam almari yang memperincikan sejarah asal-usul bumi mewah ini. Saya pandang mata bonda dalam-dalam mencari pengertian sebenar saya anak generasi baharu yang belum mengerti segala-galanya itu. Saya faham bonda hanya ingin menghidupkan roh patriotisme dan jati diri dalam diri saya. Semangat cinta akan bangsa sendiri kian terhakis dalam jiwa anak-anak generasi material ini. Harapan bonda moga-moga saya menjadi pejuang yang berani mempertahankan nilai dan kepentingan bangsa saya sendiri yang sedikit, demi sedikit mula terhakis di atas tanah sendiri.
    “Tapi, dunia ini sudah berubah, bonda. Kita bukan lagi hidup pada zaman perjuangan menentang musuh penjajah. Sekarang kita hidup dalam dunia yang mengejar harta, pangkat dan kekayaan di bumi mewah ini. Tanah air ini bukan milik bangsa kita sahaja. Kita hidup dengan perkongsian hak dan identiti yang sama rata. Sejarah lama tidak perlu dibangkitkan lagi.”
    Bonda merenung mata saya dengan ekor pandangan yang penuh prejudis. Dihela nafas panjangpanjang
menahan rasa sebelum bersuara, “Mel, sejarah bukan buta. Sejarah ialah guru yang tidak pernah berdusta. Bangsa yang membaca dan mengkaji sejarah silam tidak akan melakukan kesilapan kali kedua. Lihat bangsa Yahudi yang terus mencipta kejayaan yang besar dari zamanke zaman kerana mengkaji sejarah lampau. Mereka membina agenda besar untuk bangsa dan keturunannya.”
Dipetik daripada cerpen ‛Munsyi’ oleh Husna Nazry dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP
i) Apakah harapan bonda kepada Mel? [2 markah]
(ii) Semangat patriotik semakin terhakis dalam jiwa generasi muda. Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh pihak sekolah untuk meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda?[3 markah]
(iii) Jelaskan satu persoalan yang terdapat dalam petikan dan satu persoalan lain daripada keseluruhan cerpen yang tidak terdapat dalam petikan. [4 markah]
Soalan 2 (c) – Petikan Prosa Tradisional Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang  berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
 Hatta beberapa hari maka segala orang kaya-kaya dan saudagar itu pun habis kecurian; syahadan semuanya datang menghadap raja. Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Maka sembah Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu ke istana kita ini.”
Maka titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana ini?”
Maka sembah Laksamana, “Daulat tuanku, ada suatu perbuatan; hikmat itu daripada penjurit yang tahu patik peroleh.”
Maka titah baginda, “Segeralah perbuat , kekasihku Laksamana, hikmat itu.”
Maka sembah Laksamana, “Ya tuanku, pada malam ini lepaskanlah patik pergi berkawal, tiada jauh.”
Maka baginda bertitah, “Baiklah.”
Maka Laksamana pun menyuruh membawa segala senjata yang banyak-banyak itu, lembing dan tombak dan kayu. Maka diatur oleh Laksamana berkeliling istana itu. Maka dibubuhnya suatu hikmat, radak-meradak dan tetak-menetak sama sendirinya dan kayu itu pun palu-memalu, terlalu gemuruh bunyinya.
Maka hari pun malamlah. Maka Laksamana pun memakai serba hitam lalu berjalan.
Maka Kertala Sari pun masuklah. Maka dilihat oleh Laksamana seorang penjurit; maka Laksamana pun berselindung pada suatu tempat. Maka Kertala Sari pun menyimpang pada tempat yang lain masuk mencuri.
Maka Kertala Sari pun fikir dalam hatinya hendak mencuri harta raja; apabila habislah harta raja itu maka ia pun hendak membakar serta mengamuk. “Adapun bini raja muda-muda itu kuambil akan biniku.”
Dipetik daripada‛Kepimpinan Melalui Teladan’dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul,DBP
(i) Berikan maksud rangkai kata dibubuhnya suatu hikmat. [2 markah]
(ii) Kertala Sari berhasrat untuk memasuki istana raja. Apakah rancangan Kertala Sari jika dia berjaya memasuki istana raja.   [3 markah]
(iii) Pemerintah bertanggungjawab melindungi rakyat yang menghadapi musibah.Pada pendapat anda, apakah tindakan yang wajar dilakukan oleh pemerintah jika menghadapi musibah? [3 markah]
Soalan 2 (d) – Sajak Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.

ERTI HIDUP BERERTI
Aku selalu didatangi
malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi.

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang.

Aku bagi mereka
tiada makna
anakku bakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan.
                Teo Wei Sing Suara Anak Pahang,2009 Kementerian Pendidikan Malaysia
 (i) Berdasarkan sajak tersebut, nyatakan dua penderitaan yang dilalui oleh ibu.[2 markah]
(ii)Ibu bapa sangat berjasa kepada anak-anak. Pada pendapat anda, mengapakah anak-anak tidak wajar melupakan jasa ibu bapa mereka?[3m]
(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak tersebut. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] [Jawab semua soalan
. (a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

i) keterangan  (ii) penerangan    (iii) penyatuan  (iv) kesatuan     (v) penyeragaman  (vi) keseragaman    [6 markah]
(b) Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i) Persatuan Kebudayaan telah merancang pertandingan permainan tradisionalsemasa sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah.
(ii) Saya akan membantu ibu di gerai selepas sesi persekolahan.
(iii) Pengetua menyeru calon-calon SPM agar tidak ponteng semasa kelas tambahan diadakan.  [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan dari segi imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
(i) Kejayaan atlet semasa bertanding di peringkat antara bangsa menjadi fokus utama kementerian dalam merancang tahunan.
(ii) Guru telah memberi isharat kepada ketua kumpulan untuk bermulakan perbincangan kerja kursus itu.
(iii) Akauntan itu diminta membuat lapuran kewangan syarikat untuk dibentang dalam mesyuarat nanti.[6 markah]
 (d) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu..
(i) Keadaan menjadi kelam-kabut apabila beberapa rumah dimasuki air selepas banjir segera melanda kawasan rendah di ibu kota.
(ii) Ahli keluarga perlu memberi prihatin kepada remaja yang bermasalah agar mereka tidak terjebak di dalam masalah sosial yang boleh menggelapkan masa depan.
(iii) Kerajaan menandatangani perjanjian perdagangan dengan negara-negara terdekat seperti Singapura, Thailand dan Indonesia supaya meningkatkan ekonomi negara.  [6 markah]
(e) Isi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai.
(i) Remaja kini mudah terpengaruh dengan budaya luar kerana kurangnya didikanagama sehinggakan iman mereka umpama  ______________________________.
(ii) Masyarakat diseru mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengelakkan penyakit berkaitan makanan sebelum terlambat kerana   ____________________________.
(iii) Sekiranya kita tidak mempunyai keyakinan diri dan tidak berani membuat keputusan dan hanya menerima keputusan orang lain maka kita akan dianggap seperti _________ [6 markah]
[Soalan 4 : Novel[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin     (ii) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip bin Talib
(iii) Pantai Kasih karya Azmah Nordin     (iv) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(v) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip      (vi) Tirani karya Beb Sabariah
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop    (viii) Silir Daksina karya Nizar Parman

(a) Watak sampingan dalam sebuah novel memainkan peranan penting dalam membantu watak utama.
Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua perwatakan watak sampingan yang telah ditetapkan. [7 markah]
 (b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan satu peristiwa yang dapat dijadikan teladan kepada pembaca.
Berikan sebab-sebab anda berpendapat demikian. [8 markah]
KERTAS PEPERIKSAAN TAMAT

PEPERIKSAAN PERCUBAAN 1 2018  SIJIL PELAJARAN MALAYSIA  BAHASA MELAYU KERTAS 2    -   SARAWAK
 TINGKATAN 5   - 2018  - 2 jam 30 minit
Soalan 1 : Rumusan [30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian tulis satu rumusan tentang peranan ibu bapa menggalakkan anak-anak bersenam dan kebaikannya kepada kesihatan diri. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
   Tabiat bersenam merupakan satu tabiat yang diakui mempunyai pelbagai manfaat bagi kesihatan diri yang menyeluruh. Namun, untuk menjadikannya sebagai amalan harian bukan satu perkara yang mudah. Sikap ibu bapa yang memandang tinggi kepentingan aktiviti sukan dan senaman harus dipuji. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam memupuk tabiat suka akan senaman dalam diri anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa disarankan untuk menghantar anak-anak ke kelas senaman sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau pihak swasta. Hal ini dikatakan demikian kerana sokongan untuk anak-anak melakukan aktiviti tersebut turut mempengaruhi pembentukan tabiat ini.
   Segelintir ibu bapa mempunyai persepsi yang negatif terhadap tabiat ini kerana tidak melihat aktiviti senaman sebagai satu aktiviti yang penting berbanding dengan akademik. Bagi menggalakkan anak-anak bersenam, ibu bapa perlu mempunyai persepsi positif terhadap aktiviti senaman supaya anak-anak cenderung untuk terlibat dalam aktiviti ini. Mereka yang mempunyai persepsi yang negatif akan bertindak sebaliknya. Anak-anak yang rajin bersenam sebaik-baiknya diberikan motivasi dan peneguhan yang berterusan seperti pujian dan hadiah untuk menggalakkan mereka menjadikan senaman sebagai budaya. Selain galakan dan motivasi, tabiat senaman juga dapat dipupuk melalui sokongan membelikan peralatan untuk bersenam bagi kegunaan anak- anak.
    Walaupun begitu, segelintir ibu bapa menghadapi masalah kekurangan kemudahan dan sumber untuk melibatkan diri dalam aktiviti senaman. Banyak kajian saintifik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa yang aktif bersenam mendorong mereka untuk mengikut perlakuan ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa sendiri haruslah melibatkan diri dalam aktiviti senaman dan fizikal. Satu pendekatan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan melakukan aktiviti senaman dan sukan bersama-sama. Bagi kebanyakan ibu bapa, mencari masa untuk bersama-sama melakukan aktiviti senaman ialah cabaran. Pada masa lapang dan hujung minggu, bawalah anak-anak ke tempat rekreasi bagi bersenam. Walaupun masa tidak boleh dicipta, ibu bapa boleh mengurus masa untuk memberi ruang kepada aktiviti fizikal dan senaman bersama-sama.
   Di samping itu, ibu bapa patut menemani anak-anak bersenam kerana terdapat segelintir anak- anak yang mahu bersenam bersama-sama orang yang rapat. Jika anak-anak masih berkeras, ibu bapa seharusnya menasihati anak-anak tentang akibat kemalasan bersenam. Tindakan ini barangkali boleh menyedarkan anak-anak.
   Penglibatan anak-anak dalam senaman bukanlah untuk bersaing tetapi harus bermatlamatkan kesihatan. Sesungguhnya, untuk menggalakkan penglibatan anak- anak dalam aktiviti senaman dan sukan, sokongan yang berterusan akan membantu pembentukan sikap dan tabiat ini dalam diri anak.                     Dipetik daripada 'Sokongan Sosial Memupuk Tabiat Bersenam', oleh Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, UM 24 April 2016
Soalan 2 : Pemahaman [35 markah]
1. Berikan maksud rangkai kata memberi ruang. [2 markah]
2. Penulis ada menyatakan beberapa halangan daripada ibu bapa hingga menyebabkan amalan  senaman sukar dilaksanakan dalam kalangan anak-anak mereka. Nyatakan tiga halangan tersebut. [3 markah]
3. Pihak kerajaan turut mempunyai peranan dalam melahirkan masyarakat yang sihat dengan  menggalakkan amalan senaman. Pada pendapat anda, apakah peranan pihak kerajaan dalam menggalakkan amalan senaman dalam kalangan masyarakat? [4 markah]
Soalan 2(b)–Petikan Prosa Moden Baca petikan cerpen, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
   Aku memandang jaket kulit kijang itu lagi. Kalau dikira dalam ringgit Malaysia, harganya sekitar RM500.00. Jaket kulit itu telah membawa kegembiraan kepada lelaki tua yang berjaya menjualnya kepada Shahmeem. Jaket kulit itu telah membawa kegembiraan kepada Shahmeem yang berjaya menjualkannya semula kepadaku. Jaket kulit itu telah membawa kegembiraan kepadaku kerana dapat menghangatkan badan sepanjang perjalanan di Selat Bhosporus yang dingin.
   Tiba-tiba tercetus semalam hasrat untuk memanjangkan rasa gembira itu kepada orang lain. Bagaimana kalau aku menjualnya di kedai menjual pakaian terpakai yang selalu aku kunjungi di tanah air? Aku tahu bahawa tidak mungkin aku boleh menjualnya tanpa mengalami kerugian. Seratus ringgit pun barangkali terlalu mahal untuk tauke kedai itu. Aku rela menerima harga yang jauh lebih rendah asalkan pekedai itu gembira. Bakal pembelinya juga pasti gembira kerana mendapat jaket kulit dengan harga yang murah. Aku berharap agar bakal pemakainya kelak sedar bahawa jaket kulit itu merupakan sisa orang dan tidak berasa bongkak.
 Aku akan mencari jalan untuk mendermakan wang jualan jaket kulit itu kepada mana-mana zoo yang ada kandang kijang. Sebagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang telah dibunuh demi gaya hidup yang penuh kemodenan.
Daripada cerpen 'Jaket Kulit Kijang dari Istanbul oleh Maskiah  - antologi ]aket Kulit Kijang dari Istanbul, DBP
1. Mengapakah 'aku' ingin menjual jaket kulit yang dibelinya daripada Shahmeem? [2 markah]
2.Pada pendapat anda, bagaimanakah kesedaran terhadap larangan pembunuhan haiwan-haiwan yang dilindungi dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat?  Nyatakan tiga usaha memupuk kesedaran tersebut.[3 m]
3. Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen dan satu pengajaran yang lain berdasarkan keseluruhan cerpen. [4 markah]
Soalan2(c)– Baca petikan prosa tradisional, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
   Maka kata segala anak buah Seri Nara Diraja, "Bagaimana maka datuk hendak beristeri muda, kerana  datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?"
  Maka kata Seri Nara Diraja, "Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian sia-sialah cula dibeli oleh bapaku sekati emas di benua Keling itu."
  Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi. Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, "Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara."
 Maka titah baginda, "Baiklah."
 Maka Paduka Raja pun dijadikan bendahara.
 Syahadan, Bendahara Paduka Raja itulah yang dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga, Melaka. Di dalam negeri tiga buah itu, ada tiga orang yang bijaksana; di Majapahit, Patih Aria Gajah Mada; dan di Pasai, Orang Kaya Kanayan; dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja; dan Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.
Daripada 'Burung Terbang Dipipiskan Lada' dalam antologi Sejadah Rindu, KPM
1. Berikan maksud menjadi berkasihan-kasihan . [2 markah]
2. Nyatakan hubungan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja selepas pernikahan Seri Nara Diraja dengan Tun Kudu. [3 markah]
3. Kebijaksanaan merupakan antara ciri yang perlu ada pada seseorang yang dilantik sebagai pembesar.  Pada pendapat anda, mengapakah bendahara perlu dilantik dalam kalangan mereka yang  Bijaksana. [3 markah]
Soalan 2(c) – Syair  Baca syair  kemudian jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri

SYAIR BIDASARI
          Dengarkan tuan suatu riwayat
          Raja di desa Negeri Kembayat
          Dikarang fakir dijadikan hikayat
          Supaya menjadi tamsil ibarat

          Ada raja suatu negeri,
          Sultan halifah akas bestari,
          Asalnya baginda raja yang bahari,
          Melimpah ngadil dagang senteri.

           Hairan orang empunya temasya,
           Baginda itulah raja perkasa,
           Sangat tiada merasai susah,
           Entah pada esok dan lusa.

          Seri sultan raja bestari,
          Setelah ia sudah beristeri,
          Beberapa bulan beberapa hari,
          Hamillah puteri permaisuri.

          Beberapa lamanya dalam kerajaan,
          Baginda duduk bersuka-sukaan,
          Datanglah beroleh kedukaan,
          Baginda meninggalkan takhta kerajaan.

          Datanglah kepada suatu masa,
          Melayanglah unggas dari angkasa,
          Unggas gurda sangat perkasa,
          Menjadi negeri rosak binasa.

          Datanglah menyambar suaranya bahana,
          Gemparlah sekalian mulia dan hina,
          Seisi negeri gundah-gelana,
          Membawa diri ke mana-mana.

          Baginda pun sedang dihadap orang,
          Mendengar gempar seperti perang,
          Bertitah baginda raja yang garang,
          "Gempar ini apakah kurang."

1. Nyatakan maksud Baginda meninggalkan takhta kerajaan. [2 markah]
2. Kemusnahan negeri akibat serangan geroda menyebabkan keadaan negeri menjadi kelam- kabut.  Pada pendapat anda, mengapakah boleh berlaku keadaan kelam-kabut tersebut? [3 markah]
3. Huraikan dua pengajaran daripada syair di atas. [4 markah]
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [30 markah] Jawab semua soalan.
(a) (a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
i. baru – baharu      ii. tempoh – tempuh          iii. dekat - dekad [6 markah]
(b) Cerakinkan ayat majmuk di bawah ini kepada dua ayat tunggal.
i. Pertandingan pidato itu akan diwakili oleh Jordan atau Jessica?
ii. Kita mestilah berhati-hati semasa memandu kenderaan di jalan raya pada musim hujan.
iii. Negara Perancis menjuarai Bola Sepak Piala Dunia 2018 kerana memiliki pemain- pemain yang hebat. [6 m]
(c) Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
i. Kanak-kanak itu perlu menjalankan rawatan menggunakan anti-biotik untuk mengelakkan penyakitnya itu berlarutan.
ii. Kes mencuri motorsikal yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu sudah dapat dibanteras oleh pihak polis.
iii. Selain mengambil makanan seimbang dan penglibatan dalam sukan, kita juga memerlukan multi vitamin untuk menjaga kesihatan badan kita. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa.Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu.
i. Semasa bercakap dalam ceramah di kampung itu, ahli politik itu asyik memperkatakan tentang isu yang sudah tidak relevan lagi dengan masa kini.
ii. Sejak kebelakangan ini, banyak kawasan di luar bandar yang berkembang cepat.
iii. Masalah ini kita harus tangani dengan segera agar majlis pengisytiharan program dapat berjalan lancar nanti.     [6 markah]
 (e) Berikan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang berikut.
Ketua kampung kesal akan sikap penduduk yang membisu semasa mesyuarat diadakan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama _____(i)______. Mereka tidak sepatutnya mengemukakan pendapat dengan sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ______ (ii)_____.
Walaubagaimanapun sebagai ketua, beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah anak buahnya bagai _______(iii)_____ supaya penyelesaian yang dibuat dapat memuaskan hati semua pihak. [6 markah]
Soalan 4 : Novel [15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Leftenan Adnan Wira Bangsa karya Abdul Latip Talib     (ii) Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor
(iii) Jendela Menghadap Jalan karya Ruhaini Matdarin         (iv) Pantai Kasih karya Azmah Nordin
(v) Tirani karya Beb Sabariah            (vi) Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
(vii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop     (viii) Silir Daksina karya Md Nizar Parman

1. Huraikan pendapat anda tentang keunikan latar tempat dalam novel yang telah anda pelajari. [7 markah]
2.  Nyatakan  persoalan tanggungjawab yang harus dipikul dalam kedua-dua buah novel yang telah anda pelajari. [8 markah]

KERTAS SOALAN TAMAT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru