MODUL EKSKLUSIF BAHASA MELAYU
KERTAS 2 BM SPM
Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]
Baca petikan
dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang usaha-usaha mengekalkan
keharmonian antara kaum dan cabaran memperkukuh perpaduan. Panjangnya rumusan tidak melebihi 120 patah kata.
Perpaduan
dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Sejak negara mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia telah
menerimaPerlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan
Rukunegara sebagai panduan dalam pembinaan negara. Keharmonian masyarakat dan
kestabilan negara menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.
Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses
yang mudah. Pelbagai cabaran yang berliku perlu ditempuhi. Persefahaman,
toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi amatlah
penting. Jika kita telusuri sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak
dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan
dan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa-apa yang
telah kita capai selama ini melalui semangat muhibbah dan persefahaman antara
kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman
ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah
tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan, dan tempat kita mencari
rezeki.
Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan
etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuh keharmonian hidup di Malaysia.
Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan
kepercayaan dan perpaduan antara rakyat. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau
agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada
perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian,
dan kepercayaan antara rakyat. Rakyat Malaysia harus sedar dan perlu mengelakkan
diri daripada mengejar agenda yang bersifat perkauman. Hal ini demikian kerana,
benih-benih perbalahan yang wujud akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan
yang sudah sekian lama terjalin.
Di
samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam
usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial. Penyelesaian kepada kemelut
yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum sewajarnya menggunakan
pendekatan kesederhanaan. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia,
tindakan atau tutur kata yang bersifat provokasi yang dapat menjejaskan keharmonian
kaum dan perpaduan hendaklah dielakkan.
Kesimpulannya, keharmonian hidup
masyarakat antara kaum hendaklah dikekalkan. Setiap masalah perlu ditangani
secara penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar
tidak menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak yang lain.
(Dipetik daripada rencana Jangan Langgar Sempadan Perpaduan,”
Utusan Malaysia, 01 Januari 2014)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan
petikan soalan 1, jawab
soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah
maksud rangkai kata benih-benih perbalahan yang terdapat dalam petikan di atas?
[2 markah]
(ii)
Mengapakah penulis menganggap pembinaan negara bangsa sebagai suatu proses yang
sukar? [3 markah]
(iii) Pada
pendapat anda , wajarkah jika kita katakan bahawa negara kita telah Berjaya
menjadi sebuah negara yang disegani kerana wujudnya perpaduan dalam
kalanganrakyat berbilang kaum ? Kemukakan alasan anda [4 markah]
Soalan 2(b) - Baca petikan cerpen, kemudian jawab
soalan-soalan berikutnya menggunakan
ayat anda sendiri.
Aku
cepat-cepat beredar. Suara Doktor Murni melantun ke dinding pejal wad Unit
Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga
sedang koma. Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riuk, diheret
kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk Profesor Doktor
Juaidi.
Juga si
kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga
tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah
merah di tubuhnya itu, tidak perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang
ditentukan oleh tangan manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku
gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja,
tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu, tubuhnya tidak mahu menerima darah
tetapi pakar-pakar itu….” Sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan 10
pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi
suara lembut Doktor Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang.
“Dapatkan di hospital lain; segera.”
Dipetik
daripada cerpen “Gerhana Manusia” oleh Aminah Mokhtar dalam Antologi Sejadah
Rindu.
(i) Nyatakan
keadaan pesakit yang bernama Solehah. [
2 markah ]
(ii) Peranan
seorang doktor adalah memastikan pesakit dijaga dengan baik. Andaikan anda
seorang doktor, apakah tindakan lain yang akan anda lakukan untuk menceriakan
pesakit anda? [ 3 markah ]
(iii) Kita
haruslah bertanggungjawab terhadap pesakit. Berdasarkan petikan cerpen di atas,
nyatakan satu peristiwa yang menunjukkan pengajaran tersebut dan satu peristiwa
lain daripada keseluruhan cerpen. [ 4 markah ]
Soalan 2(c) : Petikan Prosa
Tradisional Baca petikan prosa tradisional di
bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.
Maka sembah Temenggung, “Ya tuanku, patik
mohonkan ampun dan kurnia; adapun pada malam ini patik sendirinyalah berkawal.
Pada segenap pintu dan rumah saudagar dan orang kaya-kaya patik sudah tunggui;
maka seorang pun tiada bertemu dengan patik-patik itu. Maka titah duli yang
maha mulia patik junjung.”
Maka
Laksamana pun berdatang sembah, “Ya tuanku. Adapun penjurit yang datang ini bukan
barang-barang penjurit, lebih tahunya daripada patik. Jika ada derma kurnia,
patik hendak memohon ke bawah duli yang hendak cuba bermain dengan penjurit
itu.”
Maka titah
raja, “Adapun Laksamana itu tiadalah dapat jauh daripada kita. Jikalau Laksamana
pergi berkawal, siapa teman kita di istana ini? Yang kita harap hanyalah Laksamana.”
Maka Laksamana pun berdiam dirinya mendengar titah raja demikian itu.
Hatta
beberapa hari maka segala orang kaya-kaya dan saudagar itu pun habis kecurian; syahadan
semuanya datang menghadap raja. Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Maka sembah
Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu ke istana
kita ini.”
Maka titah
raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana ini?”
(Dipetik
daripada prosa “Kepimpinan Melalui Teladan” antologi Jaket Kulit Kijang dari
Istanbul, dbp).
i) Berikan
maksud rangkai kata “Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.” [2 markah]
ii) Apakah
pandangan Laksamana tentang penjurit yang melakukan kecurian tersebut? [3
markah]
iii) Pada
pendapat anda, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah
kecurian berleluasa ? [3m]
Soalan 2(d) – Sajak Baca sajak dengan teliti,
kemudian jawab soalan-soalan menggunakan
ayat anda sendiri.
ERTI
HIDUP BERERTI
Aku selalu didatangi
Malam sepi
Bagai kalung
Yang melingkari leherku
Tidak berubah keesokan hari
Siapa yang
akan menjengukku
Keluhan seorang tua sunyi
Keheningan tasik
Kehijauan
rumput
Hanya
menjadi bayangan
Di penjuru
ruang zaman
Cinta dalam
Rahim dilupai
Dari sulung
ditendang ke bongsu
Dari angah ditendang ke sulung balik
Kucari erti hidup
Menderita
mengerang sakit
Berdiri tanpa ruang
Aku bagi mereka
Tiada makna
Anakku
bakaku
Baik setia
mahupun derhaka
Semoga
disirami benih keinsafan
Menjadi
penawar dalam hati
Embun cinta
atasi angin dingin
Jangan terpegun
Ada yang mati
Ada yang hidup
Tiada yang kekal kecuali tuhan
Teo Wei Sing Antologi Sejadah Rindu Tingkatan 5
(i) Apakah
maksud rangkap pertama sajak di atas ? [2 markah]
(ii) Pada
pendapat anda, berikan tiga sebab mengapakah terdapat segelintir anak-anak yang
jarang - jarang menziarahi ibu bapa mereka? [3 markah]
(iii)
Kemukakan dua persoalan yang dapat diperoleh daripada sajak di atas. [4 markah]
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran
Bahasa[30 markah] Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa
supaya menunjukkan anda faham maksud dan
penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan serta
menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) proses (ii)
memproses (iii) pemprosesan (iv) tafsir (v) tafsiran (vi) pentafsiran [6
markah]
(b) Kenal pasti ayat-ayat
perintah di bawah sama ada ayat tersebut ayat perintah suruhan, ayat perintah
larangan, ayat perintah silaan atau ayat perintah permintaan.
(i) Makanlah
kuih raya ini dahulu. (ii) Usah
bertanya ke mana aku pergi. (iii) Jemputlah hadir ke majlis pertunangan kami.
(iv) Tolong
hantarkan makanan itu sebelum tengah hari. (v) Jangan ambil wang haram.
(vi) Awak
siapkan karangan itu sekarang. [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan
ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan
kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih
daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak
perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Azizi
mempercepatkan kayuhanya agar cepat sampai ke sekolah kerana takut di denda
guru.
(ii)
Ahli-ahli persatuan belia diingatkan agar mengenepi perbezaan pendapat demi mewujudkan
perpaduan yang menjadi motto belia seMalaysia.
(iii) Para
ilmuan sedang berbincang tentang cara-cara untuk meningkat hasil negara dalam
bidang komersial. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat , terdapat satu kesalahan
penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan
betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada
satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda
tidak perlu menyalin petikan itu semula.
i)
Pengambilan pekerja mengikut jantina di dalam persatuan itu berdasarkan had yang
ditetapkan oleh syarikat.
ii) Pelajar
diharapkan bahawa bersabar kerana pihak pentadbiran sekolah akan membasmi
masalah kerosakan tandas itu dengan segera.
iii) Goreng
pisang Kak Kiah selesai dimakan oleh ketiga-tiga orang budak itu. [6 markah]
(e) Berikan peribahasa yang sama
maksud dengan peribahasa di bawah ini.
(i) Bagai
menangguk di air keruh (ii)Bagai gunting
dalam lipatan (iii) Bagai pinang dibelah dua [6 markah]
Soalan 4 : Novel[15 markah] Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan
novel-novel yang berikut:
(i) Pantai
Kasih Karya Azmah Nordin (ii) Bimasakti
Menari Karya Sri Rahayu Mohd Yusop
a)
Perkembangan cerita sesebuah novel bergantung kepada peranan yang dimainkan
oleh watak utama dan watak sampingannya. Jelaskan dua peristiwa yang melibatkan
watak utama daripada sebuah novel yang telah anda kaji. [ 7 m]
b)Berdasarkan
dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar masyarakat yang terdapat dalam setiap novel.(8m)
KERTAS
SOALAN TAMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan