Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 8 September 2017

SEJARAH INDAH UMNO (HAYATILAH....) UMNO TUJUH DEKAD MENUNJANGI KEMAKMURAN

SEJARAH INDAH UMNO (HAYATILAH....)
UMNO TUJUH DEKAD MENUNJANGI KEMAKMURAN
       UMNO, usianya bukanlah baru setahun jagung, darah bukanlah baru setampuk pinang, pada 11 Mei 2017,  genaplah usia  UMNO iaitu 71 tahun. Matang dan berwibawa. Persilihan tahun, perubahan suasana dan peralihan musim adalah sesuatu yang rutin. Tetapi bagi UMNO, ada banyak situasi menarik, peristiwa indah dan elemen-elemen istimewa lagi menakjubkan dalam memperkatakan  usia parti yang didominasi oleh orang Melayu itu. Hakikatnya, UMNO terus teguh, melayari bahtera perjuangan menuju ke pelabuhan jaya tanpa mengetepikan kepentingan mana-mana kaum di negara ini. Dan UMNO tentunya boleh berbangga menjadi antara pertubuhan politik yang paling lama bertahan di dunia. Dunia mengenali dan mengagumi UMNO. Oleh itu, tidak salah jika UMNO mengadakan sambutan secara besar-besaran sempena ulang tahun parti itu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tarikh 11 Mei. Lebih 150,000 ahli parti keramat UMNO  menyertai perhimpunan menyambut ulang tahun yang dianggap terbesar dalam sejarah UMNO.
     Sambutan kali ini sudah pasti  memaparkan kesepakatan UMNO serta kebersatuan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Untuk renungan semua, berasaskan nostalgia silam, musim-musim nan berlalu, sepanjang laluan perjuangan UMNO, bukan senada ribut  nan melanda, bukan sepeledak  gelombang nan membadai malah terlalu banyak  cabaran, rintangan, halangan yang silih menduga. Bukan mudah untuk melerai kemelut yang terpaksa dilalui dan bukan calang-calang orang boleh membentenginya.  Huhh.... ada kalanya, permasalahan, duri yang mencengkam, ribut nan melanda dalaman parti teramat–amat  sukar untuk dilerai bagaikan tali yang kusut sekusut-kusutnya dan akhirnya tersimpul mati. Bayangkan, UMNO pernah dibatalkan pendaftarannya. Hummmpp... Kira-kira setahun nan lalu, UMNO ‘digegargelodakkan’ pula oleh babak-babak drama akasia kehidupan yang mengaibkan orang Melayu, apabila di luar jangkaan kita  beberapa  pemimpin tertinggi dalaman parti  mencetuskan provokasi sengketa, sanggup menggadai harga diri, terjual murah, terlalu murah,  apabila tanpa harga diri mereka mengkhianati parti. Sukar untuk dipercayai tetapi itulah yang terjadi! Yang membuatkan kita tertanya-tanya, hati ini tertanya-tanya, mengapalah kita ada pemimpin yang sebegini, yang sanggup menjadi gunting dalam lipatan, duri dalam daging, musuh dalam selimut dan api dalam sekam kepada UMNO!  Yang tidak sepatutnya berlaku, BERLAKU. Dan yang berlaku, memberi  ruang untuk kita berfikir, untuk kita ‘buka mata’ seluas-luasnya, membezakan antara, yang mana kaca dan yang mana permata. Permata yang ada, yang kita miliki,  itulah yang terus menyinari UMNO. Kita punyai, kita miliki, pemimpin UMNO yang jujur tidak mudah melatah, tidak mudah mengalah, tidak mudah beralih arah dengan dugaan nan melanda. Kita patut merenung jauh, suatu renungan yang saujana, betapa kita orang Melayu masih diberi Allah,  pemimpin, dan barisan kepimpinan yang ikhlas berjuang, berkhidmat dan berbakti untuk agama, bangsa dan negara.        Hmmm... saya yakin, kita semua amat meyakini hakikat, selagi UMNO memegang tampuk kepimpinan, selagi itulah,’takkan Melayu hilang di dunia’. Insya-Allah !!
      Biarlah segala yang tercatat dalam lembayung sejarah muram, suram,  UMNO berlalu bersama-sama mendung semalam. Fragmen hitam suram kita jadikan peringatan, pengajaran untuk kita mencari dan menerima sinaran yang lebih cerah, terang dan yang lebih bergemerlapan. Usah biarkan luka yang berdarah, menjadi nanah, dan membusung menjadi barah  itu,  berulang kembali.  Luka lama perlu diubati, kalau dibiarkan akan berdarah semula. Tetapi.... entahlah....kalaupun lukanya akan hilang, akan sembuh, hmmmm... parutnya tetap dan masih ada, dalam ingatan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia. Demi masa depan UMNO maka kita biarkanlah  sahaja sipengkhianat bangsa terus bersekongkol dengan sekutunya, ‘biarkanlah siluncai terjun dengan labu-labunya’. Golongan durjana, dursila bangsa ini, ibarat pancang di tengah-tengah muara, ibarat lalang ditiup angin, ibarat layang-layang putus tali. Biarkanlah......... ! Namun, perjuangan kita bersama-sama barisan pemimpin UMNO dan BN  perlu kita teruskan. Kita bersyukur ke hadrat Ilahi,  UMNO dengan konsep wasatiyahnya masih dan kekal memiliki kekuatan UMNOnya yang tersendiri. Kepimpinan UMNO semakin matang, kini semakin luar biasa berganda kekuatannya dalam menghadapi sebarang kejutan atau fenomena  yang di luar jangkaan. Kita sokong, kita pilih dan kita kekalkan pemimpin dan barisan kepimpinan yang benar-benar jujur, ikhlas berbakti untuk nusa dan bangsa.  Gandingan mantap YAB PM DS Najib dan YAB TPM DS Zahid Hamidi , memberi kita keyakinan  total, perjuangan UMNO berada pada landasan yang betul dan tepat. Kestabilan parti menjadi keutamaan, tonggak dan tunjang perjuangan kedua-dua pemimpin ini. Walau pelbagai tohmahan dilemparkan YAB DS Najib sentiasa positif, tabah, tenang, sentiasa merendah diri, dan mempunyai jiwa orang bekerja. Pemimpin sebeginilah yang Malaysia perlukan. UMNO dahulu, kini dan selama-lamanya kekal membugar, bertenaga dalam perjuangannya,  melaksanakan misi mempertahankan kesucian agama Islam, memperjuangkan dan mengiktirafkan hak orang Melayu, mengutamakan  perpaduan, memenuhi kepentingan dan aspirasi semua kaum di negara ini. Yang jelas, UMNO perlu mendapat sokongan padu, sokongan total orang Melayu, anak Melayu, bangsa Melayu dan bumiputera bersama-sama rakan dalam Barisan Nasional melayarkan bahtera menuju pelabuhan damai, merdeka dan berdaulat.
       UMNO membuktikan keupayaan dan keberkesanan peranannya sebagai peneraju utama pemerintahan negara bersama-sama rakan komponen BN. Gagasan BN sentiasa mengutamakan prinsip-prinsip konsensus, kesederhanaan, inklusif, adil dan saksama. Hasilnya, tiada mana-mana pihak berasa diri tersisih, berasa dinafikan hak dan kebebasan, malah segala kemakmuran dan kesejahteraan dinikmati bersama-sama. Kita atasi segala kelemahan, kita penuhi segala kekosongan  pendek kata, yang hilang dicari, yang cicir dipungut, yang patah disambung, yang retak ditampal, yang retas dijahit, yang sukar dipermudahkan.   Antara rahsia UMNO kekal teguh di persada politik  dunia, khususnya di tanah air kita, adalah kerana sikapnya yang sentiasa terbuka, berterus terang dan komited. UMNO tidak pernah berselindung di sebalik lalang nan sehelai, tidak pula berwewenangan menuding jari, sebaliknya baik pemimpin mahupun rakyat memainkan peranan masing-masing demi kesinambungan  UMNO yang amat kita sayangi. UMNO sentiasa melakukan pencerahan terhadap sebarang persoalan dan permasalahan kerana UMNO berpendirian setiap persoalan ada jawapannya, setiap permasalahan ada penyelesaiannya, dengan izin ALLAH jua. Bagi UMNO, perjuangannya adalah jelas tanpa tersembunyi atau tersirat di sebalik agenda sulit sehingga boleh mencurigakan mana-mana pihak. UMNO terbuka dalam menzahirkan agenda dan falsafah perjuangannya. UMNO tahu misi dan hala tuju parti. Demikian juga dengan rakan sealiran UMNO dalam BN. UMNO dan BN saling memahami dan menerima kerangka asas kenegaraan. Dan yang pasti, UMNO bukan parti milik mana-mana keluarga atau dinasti. Perkaitan anak ayah, ahhaaa, contohnya,  antara Allahyarham Tun Abdul Razak dan YAB DS Najib, kedua-duanya terpilih sebagai Perdana Menteri, terjadi hanya suatu kebetulan. Kebetulan yang bukan sengaja diatur-aturkan  dan bukan sengaja diwujud-wujudkan. ‘Inilah suratan dalam kehidupan......atau  sekadar, suatu kebetulan’. Suatu anugerah buat rakyat Malaysia. Allah SWT telah menganugerahkan kedua-duanya dengan kualiti kepimpinan yang luar biasa untuk UMNO. Masing-masing punyai kekuatan, kepakaran tersendiri sebab itulah kedua-duanya menjadi pilihan rakyat, terpilih melalui PRU. Kepimpinan dan ketokohan Tun Abdul Razak menjadi kekuatan  untuk kita membela watan manakala kepakaran YAB DS Najib dalam bidang pengurusan dan pentadbiran mendapat pengiktirafan masyarakat antarabangsa dan seluruh rakyat jelata. YAB DS Najib  dikenali sebagai PM yang kreatif, inovatif, rajin, gigih, bekerja keras memenuhi pelbagai agenda pembangunan negara bersama-sama seluruh jentera UMNO dan Barisan Nasional. Beliau dikagumi, dihormati, dikasihi, disayangi rakyat jelata.
          Tertera dalam litar sejarah tanah air, UMNO lahir sebagai generasi pejuang, pembela nasib bangsa dan berteduh di bawah rimbunan kasih kesepakatan, kesepaduan nan tulus. UMNO memperjuangkan kemerdekaan bersama-sama rakan sepakat dan taulan sepadu, yang mewakili kaum Cina dan India pada waktu itu. Ketiga-tiga tokoh, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Tan Cheng Lok dan Tun Sambanthan telah memadamkan perkiraan, percaturan British yang menganggap, yang merencanakan ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India itu tidak boleh bersatu, tidak boleh bertentang mata, tidak betah  bertemu muka, apatah lagi berbual bicara, maka akan gagallah  memenuhi syarat utama menuntut kemerdekaan Malaya yang ditetapkan.  British memasang angan-angan untuk  terus lebih lama menjajah, untuk terus mengaut hasil, menghakis kekayaan di bumi bertuah ini. Ternyata British tersasar haluan, tergelincir dalam memandu arah. Sebaliknya UMNO dan rakyat Malaysia terus berjuang mengukuhkan ikatan perpaduan, penyatuan kaum yang benar-benar mantap, yang tidak merelakan sikap angkuh, haloba British berterusan  mahu menguasai Tanah Melayu. UMNO  dan Perikatan berjaya membolosi, mengekang niat jahat golongan imperialis.  Perahu sudah berada di air, pendayung sudah ada di tangan, UMNO dan perikatan terus belayar jauh membawa negara ke pelabuhan cicita, menuju merdeka, membangun seiring, setanding negara-negara maju di dunia.
           Harga kesepakatan begitu tinggi nilainya, dan bukan calang-calang orang yang meletak harganya.  Tokoh-tokoh silam UMNO meletakkan asas kukuh perpaduan berpandukan Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama-sama. Penubuhan Perikatan mengembang-mekarkan bunga-bunga perpaduan hingga menjadi teras gagasan penubuhan dan pembentukan Barisan Nasional yang kini gah tersohor fungsi dan peranannya hingga ke sejagat raya.  BN membina wadah pakatan yang lebih besar, namun tetap berpijak pada asas struktur politik yang sama iaitu perpaduan. UMNO bersama-sama rakan kongsi dalam BN bukan terbentuk hanya untuk menghadapi pilihan raya. Bukan  bertindak sebagai himpunan pihak-pihak yang kecewa atau serpihan daripada mana-mana ranting parti yang berselerak, bersipongang dalam negara. Dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. BN terbina demi menjaga hak dan kepentingan semua kaum secara konsisten, bukan bermusim. Jelas terbukti, sejak merdeka sehingga kini, BN mampu membawa pembangunan, kemajuan, kemakmuran dan kestabilan untuk rakyat jelata berbilang bangsa dan untuk Negara tercinta.
             Cabaran bagi UMNO dan BN kini adalah terpaksa menghadapi saingan kurang sihat daripada pihak pembangkang yang cuba membentuk acuan bertentangan aspirasi nasional dan terlalu  asing  hingga mengabaikan asas pembinaan negara bangsa yang selama ini terlaksana dalam suasana harmoni dan sejahtera. Ada pihak cuba merubah kerangka asal, asas penyatuan yang menjadi pegangan hidup rakyat pelbagai kaum dan keturunan sejak sekian lama di negara ini. Kecenderungan besar kalangan pihak yang dimaksudkan ini adalah untuk mempengaruhi generasi muda. Mereka berharap generasi ini mengetepikan sejarah asal, terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan kini Malaysia. Mereka mahu membawa orde baharu yang meletakkan perjuangan kebebasan tanpa batas, termasuk menafikan hak-hak tertentu yang sedia termeterai. Namun, program transformasi UMNO telah semakin berganda berjaya menarik minat anak-anak muda menyertai parti UMNO. Mekanisme, agenda dan provokasi  pembangkang ditolak mentah-mentah oleh generasi muda, oleh  generasi baharu. UMNO dan BN menjadi pilihan generasi hari ini.
       UNTUK mengukur kekuatan jati diri sesebuah bangsa, sejarah asal usul bangsa itu perlu dilihat kembali. Kekuatan Amerika Syarikat misalnya diukur sejak zaman Presiden Abraham Lincoln (1861-1865) sehingga ke hari ini yang menjangkau lebih 150 tahun. Dalam pengamatan ramai, bangsa Amerika dianggap memiliki jati diri bangsa yang cukup hebat selain British. Meneliti jati diri bangsa di tanah air tercinta ini, Sejarah Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka boleh diambil iktibar.  Mengimbau sejarah Nusantara, Melaka bukanlah sebuah negeri Melaka seperti hari ini. Persempadanan Melaka pada abad ke-14 dan 15 tidak terjangkau. Sempadannya merentasi Siam dan Riau sehingga dipanggil Empayar Kesultanan Melayu Melaka. Disebabkan kehebatan orang Melayu yang menguruskan sebuah empayar yang begitu besar, kehebatan itu dicemburui oleh Barat yang melihatnya ‘berbahaya’ kerana begitu seiring dengan perkembangan Islam.
         Orang Melayulah, yang menguruskan pelabuhan Melaka ketika itu. Tempat persinggahan kapal-kapal dagang dari  Eropah dan Timur Jauh menuju ke Benua China dan sebaliknya. Pelabuhannya yang cukup hebat dikendalikan pihak pengurusan terdiri daripada cerdik pandai Melayu. Siapatah yang membina bandar  Melaka dengan seni binanya yang unik lagi menarik dan istananya yang memukau. Pastinya dibina oleh orang Melayu. Orang Melayu terbukti cukup hebat. Kehebatannya dicemburui. Disebabkan kehebatan itulah maka Keagungan Kerajaan Melayu Melaka itu segera dipecah-belah dan diracik-racik oleh penjajah sehingga dengan sendirinya membunuh kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka. Akibatnya yang kita terima ialah, Melaka tidak beraja sehingga hari ini.
Rekod sejarah penjajahan selama 446 tahun dari 1511 hingga 1957 membuktikan pihak penjajah yang bersilih ganti AMAT mencemburui kehebatan  Melayu. Tanpa kelibat penjajah hari ini, apakah tega kita membiarkan kedaulatan bangsa yang diperjuang oleh UMNO ini pula sewenang-wenangnya  diperkotak-katik, disepakterajang, dibakarhangus, oleh pelbagai pihak yang iri hati akan kebangkitan semula Melayu , apatah lagi oleh bangsanya sendiri? Andai kita alpa dan terleka, membiarkan Melayu diperalat, Islam dipersenda, membiarkan Melayu menang sorak kampung tergadai, Melayu akhirnya hidup merempat, melarat, terhina, terbangsat di tanah air sendiri. Apabila bumi dipijak, milik orang, hidup Melayu akan menjadi persis melukut di tepi gantang. Hidup menumpang memang suatu penghinaan kerana bila-bila masa kita boleh diusir, dihalau dan disingkirkan.... macam... macam parasit,  dibaling kayu, dilontar batu barulah mahu beransur pergi.  Uhhh, Tanpa harga diri, kita sudah tidak punya apa-apa lagi.
            Orang Melayu pada era Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka memang merupakan bangsa yang hebat. Sebagai golongan muda, generasi baharu yang peka, cakna dan celik sejarah, kita wajar mengkaji sejarah kekuatan, sejarah kehebatan orang Melayu pada  zaman Empayar Melayu Melaka,  di tanah legenda Tun Tuah. Hari ini kita perlu melangkah jauh lebih hebat lagi.  Jangan kita hanya menjadi generasi yang hanya ‘tunggu dan lihat, yang tidak mahu berusaha, kononnya rezeki secupak takkan jadi segantang! Buat apa nak usaha lebih-lebih, ulat dalam batu pun boleh hidup...!!!! Janganlah,  mahu mengejar status manusia liberal, kita jadi tidak berketentuan, lebih malang lagi hanya berserah kepada takdir tanpa berusaha memperbaiki  kelemahan diri. Kita perlu segera insaf dan berusaha  mengembalikan jati diri bangsa Melayu, kita perlu meneruskan aspirasi perjuangan UMNO, kita perlu menghayati  sejarah perjuangan pejuang-pejuang UMNO sejak awal penubuhannya sehingga kekal ke hari ini. UMNOlah yang menerajui perjuangan menuntut kemerdekaan, UMNOlah jua yang menguruskan kedudukan ketuanan Melayu, menerajui kepimpinan Tanah Melayu dan memastikan Tanah Melayu untuk orang Melayu, orang Melayu memilik Tanah Melayu dan selepas merdeka diberi pula ruang bersyarat kepada kaum Cina dan kaum India, untuk bersedia menjadi warga negara. Dalam tempoh yang sama, UMNO berjuang habis-habisan, bekerja keras bertungkus lumus membina Malaysia  sehingga menjadi sebuah Negara yang maju dan makmur.
          Pengurusan Tanah Melayu ini diterima dan dilaksanakan dengan penuh komitmen oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj membentuk sebuah kerajaan yang anggota kabinet, ahli parlimen, wakil-wakil rakyatnya terdiri daripada pelbagai bangsa. Pentadbiran dan pemerintahan  sentiasa mengutamakan kepentingan dan  hak semua kaum yang terdapat di Negara ini. Namun, hak orang Melayu dan bumiputera diberikan sebagai satu kelebihan yang perlu dilindungi di bawah naungan  Parti Perikatan  kini termaktub dalam Perlembagaan Negara, tertera sebagai hasil perjuangan UMNO dan Barisan Nasional.  Dalam aspek ini, Presiden UMNO,  YAB PM DS Najib Tun Razak  meyakinkan kita dengan menyatakan bahawa beliau telah meletakkan asas perjuangan itu di bawah pentadbirannya,  memastikan UMNO terus menaungi orang Melayu pada 70 tahun akan datang. Gagasan YAB DS Najib yang baharu pula, iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan gagasan yang cukup besar bersesuaian dengan zaman yang sudah berubah setelah 71 tahun berlalu. Perdana Menteri menerusi daya kepimpinannya memikirkan cabaran getir  ‘dunia konvensional orang naik basikal yang tiada kemudahan, kepada cabaran dunia era digital’.  Untuk meletakkan asas masa depan, Datuk Seri Najib merealisasikan impiannya mahu membina sebuah lagi mercu tanda baharu iaitu Pusat Dagangan Dunia KL Putra. Menara 70 tingkat ini merupakan satu mercu tanda menggambarkan sikap berpandangan jauh kepimpinan UMNO seperti mana terbinanya Menara Dato’ Onn suatu masa dahulu.  Mercu tanda itu yang akan melibatkan kerja-kerja fizikal pembinaannya bermula pada 11 Mei, yang jua melambangkan segala titik perubahan hidup masyarakat Malaysia dalam tempoh 71 tahun ini - yang menikmati pelbagai manfaat pemerintahan Barisan Nasional (BN), ditunjangi oleh UMNO. Alhamdulillah, melalui perjuangan UMNO dan  perkongsian urus tadbir bersama-sama rakan-rakan komponennya berjaya membina sebuah negara yang  maju membangun, negara Malaysia yang menjadi kebanggaan rakyat jelata, dihormati dan dikagumi oleh dunia.
             Roh perjuangan UMNO  diterapkan pada setiap generasi supaya inspirasi dan aspirasi perjuangan UMNO kini, seiring dengan roh perjuangan parti yang bermula penubuhannya pada tahun 1946 . Setiap pemimpin yang ada di atas pentas perjuangan UMNO hari ini merupakan pemimpin yang telah diasuh oleh jentera-jentera, pemacu-pemacu perjuangan UMNO sejak zaman puntung berasap lagi. UMNO belajar bertatih sebelum mula mengorak langkah ke hadapan mencorakkan kehidupan rakyat Malaysia.  Melalui perjuangan membela nasib bangsa UMNO berjaya membina sebuah negara yang berdaulat dan merdeka.  Pemimpin bersama-sama membina pembangunan Malaysia tanpa mengetepikan hak kaum-kaum lain manakala hak orang Melayu diperjuangkan dan hasil perjuangan itu,   hak bangsa Melayu dan bumiputera   termaktub dalam Perlembagaan Negara Malaysia.  Kini, gagasan baharu kerajaan di bawah program Transformasi Nasional 2050 (TN50) menjadi wadah baharu  seluruh rakyat, khususnya golongan muda untuk melihat dan melangkah lebih jauh ke hadapan, ke era yang lebih maju, lebih lengkap dan selari dengan tuntutan  semasa. Semoga UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia!
           Kesimpulannya, UMNO telah bergerak dan melangkah begitu jauh, setiap inci tanah ini telah UMNO makmurkan. Semangat Sang Saka Bangsa sentiasa  membara menjadi intipati  perjuangan UMNO. Hari ini, semua perwakilan dan ahli UMNO memakai baju merah kerana inilah warna darah daging perjuangan UMNO yang membara dalam hati kita semua.  Perhimpunan UMNO seringkali diadakan secara aman, tertib, penuh berhemah dan mendapat sambutan luar biasa. Kini 71 tahun usia UMNO dan dalam masa 71 tahun ini bererti lebih tujuh dekad, lebih  tujuh dasawarsa UMNO telah berbudi, menabur bakti untuk negara kita. Marilah kita sama-sama meraikan  kejayaan sebuah parti politik yang paling berjaya di dunia berteraskan sistem demokrasi berparlimen. Berjanjilah kita agar susah senang, pahit manis, kehidupan ini,  kita kongsi, dan kita harungi bersama-sama. Hati ini berkata-kata, biar  gerimis, hujan, ribut taufan, badai gelombang, (banjir 2014?) melanda,  akan kita harungi, kita redah, kita bentengi bersama-sama. Sudah tentulah BERSAMA-SAMA UMNO dan Barisan Nasional. Selamat Hari Ulang Tahun UMNO yang ke 71 .


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru