Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 25 Oktober 2017

Cara-cara menjimatkan air dalam kehidupan harian. Soalan BM 1 percubaan negeri Kelantan

 Soalan BM 2 percubaan negeri Kelantan  
Cara-cara menjimatkan air dalam kehidupan harian.

             Kepentingan air dalam kehidupan  makhluk sejagat sememangnya agak janggal jika dipandang remeh. Pagi-pagi lagi setelah bangun tidur, kita sudah mencari air. Airlah yang pertama-tama kita cari! Tanpa air, seluruh aktiviti harian kita seakan ternokhtah dan bagaimana agaknya ya... kehidupan ini tanpa air......?! Kini air terus menjadi keperluan asas yang amat penting dalam kehidupan namun perbincangan ini lebih telus dan berfokus  tentang cara-cara penjimatan air dalam kehidupan harian. Kita perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha menjimatkan  air, seyogia kita secara pragmatik dapat melancarkan aktiviti harian yang berkaitan dengan penggunaan air tanpa sebarang kemelut atau masalah!
          Antara kaedah penjimatan air yang perlu kita fokuskan ialah penjimatan penggunaan air ketika mandi. Sewaktu kita mandi, mandilah dengan air pancuran. Kajian menunjukkan penggunaan air pancuran jauh lebih menjimatkan berbanding menggunakan gayung atau mencurahkan air dari bekas takungan air ke badan. Curahan air tanpa hentilah dikatakan suatu elemen pembaziran. Kita pasti akan berasa lebih selesa menggunakan air pancuran yang dipasang menggunakan sistem beraliran sederhana. Kesejukan dan kenyamanannya amat luar biasa. Kaedah ini dikatakan dapat menjimatkan sejumlah besar air berbanding mandi dengan air siraman air, menggunakan gayung. Mandi pula, janganlah terlalu lama, sambil mandi sambil menyanyi pula.... Haih... bertambah-tambahlah pembaziran air berlaku! Percepatkanlah masa mandi kita. Kalau biasanya mandi selama  dua puluh minit, isyh, isyh...lamanya mandi!!  sekarang mandilah dalam masa lima atau sepuluh minit menggunakan air pancuran tekanan sederhana. Yang jelas mandi dengan air pancuran tekanan sederhana, merupakan suatu kaedah rutin yang pasti dapat menjimatkan penggunaan air
             Perlu diingat, sebelum mandi, biasanya kita perlu menggosok gigi, jadi, ketika ini nasihat saya ialah jangan biarkan air paip terus mengalir  tanpa henti semasa kita  menggosok gigi, menyapu sabun pada badan atau mencukur janggut!. Pembaziran ternyata berlaku apabila kita mengamalkan tabiat sebegini. Saya berani menyatakan bahawa 99.9 peratus rakyat Malaysia membazirkan air ketika menggosok gigi. Sebaik-baiknya, tutuplah paip air apabila menggosok gigi atau... ketika  bercukur. Kaedah ini jika diamalkan secara berterusan dapat menjimatkan banyak liter air sehari. Rendamkanlah pisau cukur ke dalam bekas  air dan bukannya membilas pisau cukur anda dengan air paip , kerana cara sebegini amat membazirkan air !!. Ingat, air itu perlu dibayar untuk setiap penggunaannya, bukannya percuma!!Sememangnya tidak membiarkan air terus mengalir ketika menggosok  gigi atau ketika bercukur merupakan satu langkah praktikal penjimatan air.
         Hakikat yang nyata, apabila melakukan kerja cuci - mencuci, membasuh perkakasan  di dapur, contohnya membasuh pinggan, periuk belanga dan kuali, nasihat saya ialah, apa salahnya kita membasuh pinggan di dalam sinki yang diisi dengan air, bukan menggunakan air  yang mengalir dari pili air. Pembaziran dapat dielakkan jika kita tidak membiarkan air berterusan mengalir. Air bilasan boleh dikumpulkan  untuk kegunaan lain yang lebih spesifik seperti untuk menyiram pokok bunga di halaman, untuk mencuci parit dan longkang di persekitaran rumah. Sesungguhnya amalan menggunakan air takungan air di dalam sinki atau di dalam baldi, untuk kerja-kerja membasuh di dapur jauh lebih praktikal lagi menjimatkan berbanding kita  menggunakan air aliran air secara terus  dari paip air yang ternyata suatu pembaziran.
       Langkah paling unik lagi berkesan ialah apabila kita mencuci kereta, amalkanlah menggunakan air dari dalam  bekas takungan air atau gunakanlah baldi.  Elakkan menggunakan air daripada hos air yang ternyata amat membazir. Memanglah menyeronokkan apabila melihat air mencurah-curah keluar, tetapi mulut akan terlopong, ternganga melihat bil air berganda meningkatnya. Apa salahnya kita guna sedikit masa, tadah air ke dalam bekas yang besar, dan gunakan air itu untuk mencuci kereta. Banyak liter air dapat kita jimatkan.  Air tadahan air dalam baldi yang kotor, tersisa dan berbuih sabun kita gunakanlah pula untuk mencuci simen atau lantai mosaik di halaman rumah. Realitinya  penggunaan air,menggunakan air dari dalam takungan  atau baldi  untuk kerja mencuci kereta merupakan suatu kaedah penjimatan yang amat berkesan.
       Sesuatu yang dijangka pada awal-awal lagi,  ialah apabila paip air bocor, maka berlakulah curahan air tanpa henti menjurus kepada pembaziran.  Usaha membaiki paip bocor perlu disegerakan untuk mengelakkan pembaziran air berterusan, manakala bil air pada bulan itu akan melonjak berlipat kali ganda. Paip air  yang bocor, boleh diperbaiki sendiri sekiranya kita berkemahiran atau kalau tanpa kemahiran maka mintalah bantuan segera daripada tukang paip yang berkemahiran. Langkah paling dinamik ialah,  kalau berlaku paip pecah dan air keluar mencurah –curah segerakan membuat laporan kepada jabatan bekalan air setempat. Dalam sesingkat masa bungkah paip air yang bocor akan diperbaiki, pembaziran segera dihindari. Tepatlah disarankan agar kita membaiki paip atau pili  air yang bocor,  hatta  dapatlah kita  elakkan  pembaziran air. Kita elakkan pembaziran sesegera yang mungkin!!!

      Kesimpulannya, penjimatan air menggunakan tips atau kaedah yang pelbagai memberi ruang dan peluang untuk kita mengelakkan pembaziran. Setiap bulan kita berasa amat selesa, dan lega kerana tidak perlu membayar bil air yang tinggi. Bukannya susah sangat untuk menjimatkan air. "Air tu kan sejuk...!! jadi janganlah berlama-lama duduk di dalam bilik air......!". Berjimat cermat itu amalan mulia manakala pembaziran itu membawa kerugian yang pasti akan menjejaskan kelancaran aktiviti kehidupan.
              Hasil karya Syaidatul Iffah binti Fauzi (5 sains 1 aliran agama  2017)


Iffah  mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan Pidato Piala Diraja Peringkat Kebangsaan  di Kampus UIA Kuantan Pahang




                                   

6 ulasan:

Jangan Tiru