Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 1 November 2017

langkah-langkah mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik. (Soalan percubaan BM SPM negeri Kedah )

 Peningkatan kos pendidikan, kos rawatan dan harga makanan telah menimbulkan masalah kewangan dalam keluarga. Berikan pendapat anda tentang langkah-langkah mengurus perbelanjaan keluarga dengan baik. (Soalan percubaan BM SPM negeri Kedah )


          Kenaikan kos sara hidup merupakan suatu kebimbangan utama bagi setiap keluarga. Hal ini berpunca daripada permintaan terhadap sesuatu produk  meningkat mendorong kepada kenaikan harga terutama pada musim-musim perayaan. Kekadang kenaikan harga itu tidak masuk akal,  terlalu mahal dan di luar kemampuan pembeli. Isu ini terlalu berat untuk dipikul, khususnya oleh keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana. Ketua keluarga dan setiap isi rumah perlu  bersikap terbuka, bersederhana mencari jalan keluar daripada kemelut kenaikan kos kehidupan.

          Langkah paling berkesan, ialah setiap ahli keluarga perlu berjimat cermat, berbelanjalah mengikut kemampuan, yakni ukur baju di badan sendiriKalau kail panjang sejengkal jangan lautan hendak didugayang saya maksudkan ialah kita janganlah inginkan sesuatu yang di luar kemampuan kuasa beli kita. Kalau tidak mampu tidak usahlah memilih yang mahal, pilihlah yang murah tetapi kualitinya tidak menghampakan. Belilah ikut keperluan, nescaya kita akan menghargai nilai Ringgit yang kita miliki, dan menggunakannya  untuk keperluan-keperluan yang munasabah. Buatlah perancangan teliti sebelum membeli, elakkan sikap boros, rambang mata ketika membeli.... seolah-olah satu pasar raya mahu diteroka, mahu dibeli semuanya!! Rancanglah perbelanjaan agar kita tidak menyesal setelah membuat satu-satu pembelian kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Ternyata, bajet yang terancang mampu menjadi pemangkin paling tepat berjimat-cermat dalam perbelanjaan keluarga

       
   Pada pandangan peribadi saya, pengurusan kewangan keluarga perlu bermula dengan amalan-amalan asas keluarga , yakni amalan yang biasa-biasa, yang mudah-mudah  seperti mengawal penggunaan elektrik dan bekalan air di rumah. Bil air dan bil elektrik yang tinggi  akan menjejaskan percaturan kewangan keluarga. Aha... jangan pula lupa akan kawalan bil telefon seisi keluarga.  Memang  menakjubkan dapat bercakap lama, berbual panjang dengan rakan taulan, sahabat handai atau ahli keluarga. Kalau boleh 24 jam mahu bergayut di telefon, tetapi apabila menerima bil telefon yang naik mendadak jumlahnya, pasti ternganga mulut, terbeliak biji mata, turun naik nafas ‘ Si pembayar bil’, siapa lagi kalau bukan ibu bapa. Damai terasa apabila, setiap bulan bil air, bil elektrik, bil telefon berada pada tahap mampu bayar oleh keluarga. Sesungguhnya  penjimatan kos sara hidup bermula dengan mempraktikkan amalan biasa, amalan rutin keluarga secara berhemah dalam penggunaan air, elektrik di rumah dan menggunakan telefon ketika perlu sahaja.

       
   Secara lebih konsisten, ibu bapa perlu mendidik,  membimbing, menasihati anak-anak agar lebih bersederhana dalam makan minum, pakaian dan berbelanja mengikut perancangan. Kalau biasanya makan minum di restoran, sekarang pulanglah ke rumah dan nikmatilah masakan ibu. Kalau anak-anak ke sekolah atau ibu bapa pergi ke tempat kerja, bawalah bekalan, jadi perbelanjaan keluarga dapat dijimatkan. Dalam keadaan kenaikan harga barang begitu heboh diperkatakan, jadikanlah diri kita rakyat Malaysai yang tahu membawa diri dalam kemelut semasa. Keluarga jadi lebih kukuh ekonominya, tanpa sebarang rintihan keluhan tentang kenaikan harga barang apabila keluarga mengamalkan amalan  sediakan payung sebelum hujan yakni telah bersedia sedari awal mendepani terjahan kenaikan harga barang. Banyak penjimatan dinikmati apabila seisi keluarga tidak mewah membeli makanan, pakaian, kasut berjenama yang menjurus ke arah pembaziran. Realitinya, dengan bersederhana  dalam makan minum, pakaian menjadi benteng menangkis gejala kenaikan harga barang

       
  Seterusnya, aktiviti bertani atau bercucuk tanam dan menternak ayam, itik, ikan dalam kolam secara kecil-kecilan di halaman, di pinggir  rumah juga mampu menjimatkan perbelanjaan seharian keluarga. Seisi keluarga tidak perlu lagi membeli ikan, ayam itik, sayur-sayuran dan buah-buahan yang ternyata mahal harganya. Dengan amalan memelihara ikan, ayam itik, serta berkebun secara berterusan, keluarga dapat menikmati hasil titik peluh sendiri tanpa perlu membeli.  Fuhhhhh  hasil ternakan, tanaman sayur yang berlebihan pula boleh dijual kepada peniaga ikan, ayam, sayur-sayuran di pasar tani atau di pasar  basah. Saya yakin, bertani  dan menternak ikan, ayam, itik merupakan langkah paling efektif, mampu meringankan beban kewangan sesebuah keluarga,sehingga tidak lagi perlu membazirkan wang membeli  itu dan ini di pasar atau di pasar-pasar raya.

          
Sebagai calon SPM saya melihat diri saya sebagai penyelesai masalah kewangan keluarga. Saya melihat suatu situasi sementara menunggu pengumuman keputusan SPM, ada jarak masa terluang selama tiga bulan .Jadi pada masa ini anak-anak lepasan SPM boleh melakukan kerja-kerja sampingan, untuk meraih pendapatan sampingan yang sudah tentu membantu meringankan beban kewangan keluarga. Berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak, kerana anak yang baik, anak yang prihatin sementara menunggu keputusan SPM diumumkan, anak akan nampak dengan jelas akan tugas dan tanggungjawabnya membantu keluarga menangani kemelut kewangan.   Kenaikan harga barang, dan kos kehidupan yang melonjak tinggi memang mencengkam kehidupan. Anak-anak lepasan SPM ini bakal mendapat pengalaman bekerja, namun yang lebih utama mendapat gaji yang halal untuk meringankan beban kenaikan kos kehidupan keluarga. Sememangnya usaha paling praktikal, yakni bekerja sambil menunggu keputusan SPM diumumkan, adalah prakarsa paling afdal membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga kita.

        Kesimpulannya, setiap persoalan ada jawapannya, setiap masalah ada penyelesaiannyabegitulah jua dengan kemelut kenaikan kos kehidupan yang membebankan kebanyakan keluarga di Malaysia.   Kata bidalan, berperahu biarlah berpendayung agar sampai ke  tanah seberang, kata mutiara ini sinonim dengan situasi kita menangani masalah kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan mengikut landasan yang tepat sehingga mencapai sasarannya.  Masalah perlu diselesaikan dengan kaedah dan tatacaranya yang betul, tepat dan jelas agar kita menikmati keberhasilannya. Semoga bahagia  sentiasa terjana dalam keluarga kita tanpa kemelut ekonomi yang mencengkam. Mudah-mudahan

Antara karya terbaik pelajar tahun ini !



1 ulasan:

Jangan Tiru