Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Jumaat, 16 November 2018

Kisah Sayu Pesanan Ayah Yang Baru Di Baca Anak


Kisah Sayu Pesanan Ayah Yang Baru Di Baca Anak

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Kisah Sayu Pesanan Ayah Yang Baru Di Baca Anak. Kisah ini saya dapat dari perkongsian group whatsapp saya sertai.. Jadi ada baiknya saya kongsikan kisah ini sebagai pedoman dan panduan untuk kita semua
Semoga anak-anak saya dapat baca kisah ini. juga..
maxresdefault.jpg


Seorang pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian ‘OTHER’ di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas tarikhnya.

Ditatap isinya,

“Salam.

Ini kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.

Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.

Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?


Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, ‘Abah, abah, abah’. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.

Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah, kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.

Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.

Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?

Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.

Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.

Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.

Abah tak minta banyak…

Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.

Apapun. Maafkan abah atas curahan hati abah ini.

Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.


Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.

Maafkan abah atas segalanya.”

Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.
.
Insya-Allah, sama-sama kita jadikan cerita ini satu ingatan, panduan dan pedoman untuk kita – sama ada sebagai anak mahupun sebagai ibu bapa.

P/s: Jika entri ini bagus untuk di kongsikan. Sila kongsikan untuk rakan media sosial anda juga.

Isnin, 12 November 2018

FAEDAH BERNIAGA SECARA ON LINE. Beri pendapat anda ( karangan A kertas 1 percubaan SPM Terengganu)


FAEDAH BERNIAGA SECARA ON LINE. Beri pendapat anda

Pada zaman yang serba moden dan canggih ini, terdapat banyak peranti elektronik yang  terkenal dengan pelbagai gajet yang boleh mengakseskan pelbagai maklumat. Kita  harungi dunia tanpa sempadan dengan mencari apa-apa sahaja maklumat yang ingin diketahui lebih lanjut yang berada hanya di hujung jari.Kita  tidak perlu melakukan banyak pergerakan;  hanya menggunakan telefon pintar atau laptop sahaja boleh mengakses bermacam-macam maklumat. Tidak kira tentang kesihatan, bayi, kekeluargaan dan sebagainya. Masyarakat mengambil peluang ini  untuk berniaga atas talian yang semakin popular, kian diminati sejak akhir-akhir ini. Banyak faedah diperolehi melalui perniagaan on line

Antara  faedah berniaga online ialah  kita dapat menjual pelbagai produk pada tahap tidak membazirkan masa . Menjual produk kecantikan, produk untuk tanaman atau bermacam-macam lagi yang kita boleh temui secara on line. Lebih-lebih lagi, pihak atau individu akan mempromosikan produknya di facebook, di Instagram  dan blog, Juga terdapat pelbagai pihak menjual pelbagai jenis produk atau barang wanita seperti handbag, slingbag dan sebagainya. Terdapat syarikat yang besar dan terkenal di mana-mana negara seperti ZALORA yang merupakan platform 'online shopping' yang bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di luar negara. Di situ juga terdapat pelbagai jenis barangan yang dapat diperolehi tanpa membuang masa atau membazir masa berjam-jam di luar untuk memilih barangan. Membeli barangan atas talian menjimatkan masa kerana kita tidak perlu berpusu-pusu atau mengalami pelbagai masalah sewaktu membeli atau pergi ke mall atau shopping complex untuk membeli barangan tersebut. Malah, kita mengambil masa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan tersekat. Tidak kira juga waktu kerja atau kerja yang banyak menyebabkan tidak dapat meluangkan masa untuk menuju ke mana-mana kedai. Dengan adanya pelbagai website yang dipercayai kita boleh membelinya dengan mudah tanpa kekangan masa. Sesungguhnya perniagaan on line amat menjimatkan masa.

Seterusnya melalui berniaga dalam talian kita boleh memilih barang mengikut citarasa sendiri Kita mempunyai citarasa yang berbeza dengan orang lain. Malah kita pula mempunyai kesukaan tersendiri tidak kira dari segi pakaian mahupun pemilihannya. Maka, membeli belah atas talian juga dapat melihat pelbagai produk dijual. Produk kecantikan luaran dan dalamannya. Ini membuatkan ramai yang rambang mata melihatnya. Tidak kira juga kepada wanita yang bekerjaya mempunyai wang sampingan untuk membeli barang kecantikan untuk diri sendiri. Tidak membuang wangnya dengan barangan yang tidak mendatangkan faedah untuknya. Dengan adanya website yang mempunyai pelbagai barang yang di dapati kita juga dapat berkongsi cerita atau menceritakan barang-barang yang kita beli melalui website tersebut kepada orang lain atau orang di sekeliling seperti kawan-kawan atau rakan sekerja. Ini juga dapat meningkatkan review barang di website tersebut apabila ramai yang mengetahui barangan tersebut berkualiti dan tahan lama tidak mudah rosak apabila digunakan. Malah, website itu juga dapat di promosikan di mana-mana media seperti facebook dan instagram. Jikalau dipandang atau dilihatkan, di instagram dan facebook merupakan tumpuan ramai oleh pihak-pihak ingin mencuba produk. Jelaslah membeli secara online kita boleh membuat pilihan mengikut citarasa kita sendiri.

Selain itu  dengan berniaga secara on line  kita mengetahui barangan menjadi 'trend' terkini. Bagi wanita bekerja atau seorang pelajar yang suka mengakses pakaian atau produk di mana-mana website shopping di internet. Saban hari, jikalau dilihatkan pelbagai pakaian, tudung atau kasut dan sebagainya menjadi trend hingga menyebabkan ramai yang rambang mata untuk memilikinya sendiri dengan menggunakan wang untuk membeli barangan tersebut. Pelajar sekolah juga turut bersama-sama untuk melihat barangan atau produk trend sekarang hingga ingin memilikinya secepat yang mungkin. Situasi menjadikan kita begitu teruja untuk melibatkan diri berniaga secara on line.  Kita menjadi sebahagian daripada anggota masyarakat yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Tidaklah kita dianggap ketinggalan zaman terutama dari segi perkembangan fesyen terkini. Layarilah internet yang pasti segala-galanya ada di hadapan mata.Ternyata berniaga secara on line menjadikan kita pembeli atau penjual yang sentiasa mengikuti perkembangan atau trend semasa.

Kesimpulannya,  membeli barangan atas talian  sudah menjadi trend terkini,  dan terbukti amat menguntungkan. Kita boleh  memilih website shopping yang telah dilink  ke facebook , instagram  atau facebook kita. Website tertentu  biasanya merupakan tempat menjadi tumpuan ramai. Maka kita tidak perlulah ragu-ragu untuk mengunjungi website tersebut untuk memulakan perniagaan secara online. Binalah website anda untuk memulakan perniagaan.

Oleh Wong Chun Xiang tingkatan 5  2019   DM1 Tanah Merah

Ahad, 11 November 2018

FAEDAH KOPERASI SEKOLAH . Bincangkan (karangan B kertas 1 SPM )


FAEDAH  koperasi sekolah. Bincangkan (karangan BM percubaan kertas 1 SPM )
  
. Koperasi merupakan perniagaan yang dibangunkan oleh pihak sekolah yang ahlinya  terdiri daripada pelajar, guru,  dan seluruh  warga sekolah. Dengan adanya koperasi di sekolah, kita dapat memperoleh banyak kebaikan yang tidak dapat  kita kira  dengan jari jemari kita!. Terdapat banyak kebaikan penubuhan koperasi sekolah kepada warga sekolah itu sendiri.  Dalam nada yang bersahaja tetapi penuh bermakna, faedah-faedah koperasi sekolah inilah yang mewarnai perbincangan saya pada hari ini, yang akan  saya kupas dan saya huraikan secara terperinci untuk kita hayati bersama-sama
            Umum mengetahui bahawa koperasi memberi faedah kepada warga sekolah kerana koperasi membantu memudahkan murid memperoleh barangan keperluan sekolah. Mudah,selesa apabila koperasi sekolah menjadi tempat membeli belah. Malah,turun sahaja beberapa anak tangga, koperasi sudah ada di hadapan mata. Secara logiknya, pelajar-pelajar  hanya membuang masa sahaja jika mereka pergi ke pasar raya semata-mata kerana hendak membeli sebatang pen. Segala keperluan sekolah ada di koperasi. ‘You name it, you got it’. Dengan penubuhan koperasi, secara tidak langsung pelajar tidak akan membuang masa dan tidak akan membazir  tenaga.  Tidak sampai selejang kuda berlari, hanya dalam masa sepelaung sahaja kita sudah di pintu koperasi sekolah. Ternyata  koperasi sekolah  memudahkan pelajar mendapatkan segala keperluan sekolah  dalam jangka masa yang singkat.
            Selain itu, pelajar-pelajar  dapat menyaksikan sendiri betapa banyak kebaikan dapat diperoleh melalui penubuhan koperasi sekolah seperti pengalaman baharu untuk pelajar-pelajar dalam  dunia niaga. Secara tidak langsung, penglibatan pelajar  dalam koperasi adalah merupakan proses pembelajaran di luar bilik darjah, sejak di alam persekolahan lagi bak kata bidalan melentur buluh biarlah dari rebungnya.  Banyak hal ehwal perniagaan,  perihal untung rugi, sepak terajang dalam dunia niaga, dapat dirasai, dipraktikkan ketika pelajar-pelajar  mencari pengalaman berniaga  di perantara bangunan sekolah,  ia itu di kedai koperasi. Pengalaman tersebut juga membantu, memudahkan pelajar-pelajar  yang ingin menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan,   mahu  menjadikan bidang  perniagaan sebagai kerjaya apabila  meninggalkan alam persekolahan nanti.  Pengalaman ini amat berharga buat pelajar.  Sesungguhnya koperasi sekolah  memberikan suatu pengalaman terindah buat pelajar-pelajar. Oh betapa gembiranya pelajar, belajar berniaga sejak di bangku sekolah lagi.
            Selanjutnya,  koperasi sekolah juga memberi  faedah  ke  arah  menambah sumber kewangan sekolah. Keuntungan diperoleh oleh pihak koperasi berpunca daripada pembelian oleh pelajar-pelajar, guru-guru dan seluruh warga sekolah. Warga sekolah yang menjadi ahli koperasi  jua mendapat keuntungan dalam bentuk dividen dan bonus melalui pembelian barangan berterusan oleh warga sekolah.  Sebahagian keuntungan akan diberi kepada pihak sekolah supaya kewangan sekolah meningkat. Hal ini  kerana koperasi merupakan syarikat perniagaan milik sekolah. Koperasi juga dengan ikhlas memberi sumbangan  dana untuk pelbagai aktiviti dan keperluan  sekolah demi keselesaan  pelajar-pelajar dan guru-guru. Kemudahan pendingin hawa di dalam Masjid SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2 merupakan sumbangan ikhlas daripada koperasi sekolah . Jelaslah koperasi sekolah banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan paradigma dan melengkapkan prasarana sekolah.
              Seterusnya   penubuhan koperasi membawa  semangat muhibah, kerjasama erat dalam kalangan guru dan pelajar. Buktinya, penglibatan pelajar-pelajar  memudahkan guru-guru dalam menguruskan koperasi  sekolah dengan lancar dan bersistematik.   Semangat kesepakatan,  tolak ansur, menepati masa, penuh dengan keikhlasan  menjadikan pengurusan koperasi  dapat berjalan dengan teratur dan lancar.  Pelajar-pelajar  juga dapat menimba ilmu daripada guru. Sebagai contoh, ilmu mengenai selok-belok perniagaan berkoperasi, cara melayani pembeli atau pengunjung koperasi, cara menyimpan stok , cara mengemas bilik koperasi, kata cikgu,  "biar ada imej  korporat" dan sebagainya . Hubungan silaturahim antara guru dan pelajar  juga terjalin dengan baik dan erat. Kerjasama mereka dalam pengurusan koperasi  inilah yang sering kita ibaratkan seperti aur dengan tebing. Sememangnya koperasi sekolah tempat paling dominan untuk kita memupuk semangat muhibah dan ikatan silaturahim antara guru dan pelajar.
      Di samping itu pelajar atau guru dapat membeli barangan dengan harga yang lebih murah di koperasi sekolah. Mereka dapat menikmati barangan yang harganya berpatutan dan barangan yang  dibeli dijamin berkualiti. Umum mengetahui bahawa koperasi menjual pelbagai barangan dan makanan seperti alat tulis, minuman, kertas kajang, buku latihan dan sebagainya.  Kesemua ini telah dikaji amat  memenuhi kehendak dan keperluan guru dan pelajar. Sebagai analoginya,  pelajar dapat membeli sebatang pen di koperasi dengan harga yang rendah berbanding membeli sebatang pen di gedung buku di bandar atau di pasar raya. Barangan di pasar raya  lazimnya mahal-mahal belaka.  Secara tidak langsung, pelajar dapat menjimatkan wang untuk membeli alat-alat tulis dan buku-buku rujukan bagi meningkatkan prestasi pembelajaran.  Koperasi memberikan tawaran harga yang murah, mampu milik terhadap produk yang dijual, dan barang boleh dikembalikan sekiranya tidak memenuhi cita rasa pelajar. Hakikatnya, koperasi menawarkan barangan yang harganya berpatutan dan berkualiti kepada warga sekolah.
    Kesimpulannya, koperasi  sekolah memberikan banyak manfaat , faedah  dan kebaikan  buat warga sekolah  saya  apatah lagi apabila koperasi sekolah dinobatkan KOPERASI SEKOLAH TERBAIK peringkat daerah dan negeri.  Pengurusan cemerlang koperasi sekolah ini membawa kita mengimbau  dan mengimbas kembali semangat juang, kewibawaan dan kebijaksanaan ahli koperasi sehingga  terkilas bidal tradisi ‘ benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke darat menjadi ladang subur makmur, dilontar ke udara menjadi kejora. Tahniah kepada guru dan pelajar-pelajar kerana berjaya mengangkat martabat koperasi sekolah sehingga dapat dimanfaat oleh  seluruh warga sekolah, dan tersohor di persada alam.



Oleh Iman Tasneem  -  tingkatan lima  ( semoga   Iman & rakan-rakan,   cemerlang A+ BM SPM  )
ps ; Iman memperolehi A+ BM SPM TAHUN LALU 
Bagi pelajar yang bertanya tentang   ciri-ciri koperasi sekolah, cuba ubah suai sahaja isi karangan yang ini,' faedah koperasi kepada ciri-ciri koperasi sekolah.' hummph.....BOLEH SANGAT.......    cg Maznah.


Isnin, 5 November 2018

. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah. (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS 2018)


Perpaduan amat penting bagi negara yang penduduknya berbilang kaum seperti di Malaysia. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum di sekolah.  (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM NEGERI PERLIS )

Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diterapkan dengan cara melakukan aktiviti-aktiviti berunsur perpaduan bermula di bangku sekolah lagi. Perpaduan merupakan teras utama kepada pembangunan sesebuah negara.Membina perpaduan bagi negara berbilang bangsa seperti Malaysia merupakan satu perkara yang tidak mudah. Oleh itu, perpaduan perlulah diterapkan dari kecil supaya dapat membina jati diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia. Dengan pelbagai kaedah dan caranya yang tersendiri, maka sekolahlah antara  sebaik-baik tempat untuk kita memupuk perpaduan kaum

Antara cara mengukuh perpaduan di sekolah adalah dengan memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Di Malaysia bahasa Melayu digunakan sebagai alat komunikasi yang penting untuk menyatu-padukan semua lapisan masyarakat. Oleh itu anak-anak kecil daripada pelbagai kaum perlu diajar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkomunikasi bersama-sama rakan di sekolah Pepatah ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada rebungnya, yang bermaksud hendak mengajar atau mendidik anak-anak biarlah ketika usia mereka masih kecil kerana apabila menginjak dewasa perpaduan jadi bertambah erat . Pelajar-pelajar berinteraksi, berbual, berbincang sesame mereka menggunakan bahasa Melayu. Suasana jadi mesra dan ceria bagaikan berada dalam sebuah keluarga besara yang bahagia. Sesungguhnya penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu dapat memantapkan perpaduan di sekolah

 Selain itu, dalam mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan hubungan  pelbagai kaum di sekolah, turut dilaksanakan  program Sekolah Penyayang’ dengan menekankan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dan ‘Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi’ dengan penyertaan bersama –sama ibu bapa murid-murid melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan murid yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi murid yang suka menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu bapa murid-murid, contohnya, di sekolah  saya , setiap pagi guru bertugas di pintu sekolah akan menyambut kedatangan dan menyapa murid-murid ke sekolah dengan mesra, tidak kira bangsa atau agama murid tersebut. Situasi Ini memberi kesan dan contoh positif kepada murid-murid justeru dijadikan contoh teladan dengan mengamalkan tabiat sapaan terhadap rakan-rakan yang berbeza kaum. Jelaslah program Sekolah Penyayang dapat mengukuhkan dan memantapkan perpaduan di alam persekolahan lagi.

 Selanjutnya, untuk mengukuhkan perpaduan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Program ini pada awalnya telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah rendah dan menengah. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan perpaduan antara mereka. RIMUP merupakan program yang menggalakkan penglibatan murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di sekolah. Program ini memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. RIMUP bermatlamat melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul, bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan  bersepadu. Di sekolah saya, program RIMUP ini  dijalankan bersama-sama peserta-peserta dari sekolah lain. Melalui program ini, peluang murid yang terdiri daripada pelbagai kaum tersedia untuk bergaul mesra secara sedar dan terancang.Secara tidak langsung murid dari berlainan kaum dan agama dapat menjalankan aktiviti yang dirancang oleh pihak sekolah dengan baik dan lancar hasil daripada pergaulan dan kerjasama antara mereka.  Ternyata proses perpaduan dapat dipupuk dan dibina  melalui perancangan teliti seperti melalui program RIMUP yang melibatkan aktiviti sukan, persatuan, kelab, menyemarakkan suasana hormat-menghormati terhadap agama,  budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.

Seterusnya, setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program  sempena memperingati hari ulang tahun  kemerdekaan  negara. Begitu juga dengan sekolah saya, turut mengadakan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai patriotism dan perpaduan. Acara yang dilaksanakan ialah pakaian tradisional berbilang bangsa dalam kalangan murid, kibaran ‘Jalur Gemilang’ serta hiasan bilik darjah. Secara tidak langsung, murid dapat memahami bahawa pelbagai kaum di negara kita dapat hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Aktiviti ini juga dapat membina keyakinan mereka berkaitan  pembinaan bangsa Malaysia yang merdeka, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan bersatu padu. Dengan itu, bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi menjadi alat  perpaduan antara pelbagai kaum. Hanya menerusi pendidikan sahaja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Sememangnya dengan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan peringkat sekolah, generasi awal terutamanya para pelajar didedahkan  betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk .

Di samping itu,  melalui amalan gotong royong pelajar didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna dan melahirkan masyarakat yang sedia bantu-membantu, tolong-menolong dan bekerjasama antara satu sama lain.  Melalui aktiviti gotong royong perdana misalnya, pelajar-pelajar membersih kawasan sekolah, dengan sokongan dan penglibatan PIBG, pasti menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja  bekerjasama  tetapi kukuh  bersatu padu menepati kata bidalan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sambil bekerja, sambil berbual mesra berbincang persoalan anak-anak hingga ke penerokaan ilmu yang yang ditunjangi oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Suasana harmoni sebegini menjadi pemangkin perpaduan kaum. Hakikatnya perpaduan terserlah melalui amalan gotong royong yang sering dilaksanakan di sekolah di bawah anjuran pihak sekolah atau   anjuran  PIBG.

Kesimpulannya, pelbagai cara boleh digunakan bagi membentuk dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum bermula di sekolah. Sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting perlu sentiasa kuat, kukuh dan bertenaga dalam memupuk dan menyemai perpaduan.. Peranan sekolah guru dan ibu bapa dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan para pelajar amatlah besar. Suasana perpaduan yang erat, ikatan persahabatan yang kukuh antara pelajar berbilang kaum menjadikan alam persekolahan itu suatu nostalgia, suatu kenangan, suatu memori terindah dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Oleh  Yen Tingkatan 5 

Cara-cara menceriakan, menjaga kebersihan sekolah dan persekitarannya. Bincangkan. karangan percubaan SPM 2018 :


Cara-cara menceriakan, menjaga kebersihan sekolah dan persekitarannya. Bincangkan

   Sekolah yang bersih, damai, kondusif lagi ceria merupakan tempat paling ideal untuk kita menimba ilmu.  Ada sekolah yang terbiar, kotor,  lalang sama tinggi dengan bangunan, rumput tumbuh meliar, cat bangunan lusuh dan comot, penuh dengan pelbagai contengan! Sekolah yang ‘huru-hara’ keadaannya ini boleh kita nobatkan sebagai kandang lembu atau kandang kambing atau ibarat sebuah kota yang berhantu, berpenunggu, amat  menakutkan lagi menggerunkan!!!. Terasa jantung bergetar, dup, dap, dup, dap apabila menerjah masuk ke kawasan sekolah sebegini. Sekolah perlu kita bersihkan, sebersih-bersihnya. Menjaga kebersihan dan keindahan sekolah adalah tanggungjawab kita semua sebagai warga sekolah. Ayuh, sama-sama kita telusuri, kaedah dan cara untuk menceriakan sekolah dan seluruh persekitarannya.

         Sepanjang pengetahuan saya, setiap sekolah punyai pekerja khusus untuk membersih dan menceriakan kawasan sekolah. Tanggungjawab  mutlak  pekerja-pekerja sekolah ialah membersih, mengemas, memesin rumput, menebas lalang. Menebang dahan pokok yang tua dan membahayakan . Pekerja sekolah dengan tugas tetap dan berjadual perlu pastikan setiap tandas dicuci bersih, ‘laluan gajah menyusur’ kemas, bersih dan tersusun rapi, yang kurang ditambah, yang berselerak diperkemas, yang pudar diberikan ‘sinarnya’ semula. Persekitaran sekolah  yang dijaga bersih indah amat mempengaruhi suasana pembelajaran dan keselesaan pelajar-pelajar semasa berada di sekolah.Sesekali apa salah pihak sekolah, Puan Pengetua terutamanya memberi penghargaan  atau kata-kata semangat kepada para pekerja sekolah sementelahan sekolah sentiasa dijaga bersih, kemas dan ceria. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab pekerja sekolah menjadi pemangkin suasana ceria bersih kawasan sekolah.

          Masa berlalu silih berganti,  pertandingan kelas terbersih perlu diadakan mengikut kesesuaian waktu. Kelas terbersih dan terkotor  diumumkan pengiktirafannya dalam  perhimpunan mingguan. Kelas terbersih akan diberikan hadiah dan  sijil penghargaan  Melalui program dan aktiviti sebegini,   pelajar akan komited menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap, menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi.  Guru bertugas harian dan mingguan akan memantau dan menilai tahap kebersihan kelas setiap hari dan diberi markah.  Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan pada waktu petang, seperti mencuci tandas dan membersihkan  taman dan kantin sekolah.  Secara responsifnya, percayalah.... pelajar akan mengamalkan tabiat menjaga  kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka, dan dengan sendirinya program  3K anjuran KPM hari ini menjadi kenyataan. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan Keselamatan. Pihak sekolah sentiasa  memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan selamat.  Pemeriksaan dan penyeliaan  dari semasa ke semasa dapat merealisasikan impian sekolah ceria dan selamat. Tepatlah dikatakan pertandingan kebersihan kelas yang menepati konsep dan matlamat program 3K  dapat menzahirkan suasana sekolah yang bersih damai dan selesa sehingga para pelajar benar-benar menyayangi dan mengasihi sekolahnya.

           Tidak dapat dipinggirkan realiti   mengadakan program bergotong-royong dapat memberikan perubahan drastik terhadap  persekitaran sekolah.  Aktiviti bergotong royong di bawah kelolaan dan seiaan PIBG wajar diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seluruh warga sekolah dan ibu bapa pelajar.  Gotong-royong menginsafkan kita bahawa menjaga kebersihan sekolah adalah tanggungjawab kita bersama-sama. Kerja-kerja membersih dapat kita siapkan dalam masa yang singkat,  berteraskan prinsip,  berat sama dipikul,  ringan sama dengan dijinjing dalam suasana perpaduan yang kukuh luhur dan padu.  Pada hujung minggu,para ibu bapa, guru dan pelajar sekolah boleh hadir untuk aktiviti gotong-royong. Para pelajar bersama-sama ibu bapa bantu membantu  membersihkan padang, menghapuskan sarang nyamuk, membersihkan semak samun terutama di sudut-sudut terpencil, di belakang sekolah, dan yang ada di depan mata. Membersihkan longkang paling utama perlu dilakukan secara gotong royong untuk memastikan kesihatan pelajar terjamin tanpa sebarang jangkitan kuman oleh serangga perosak. Sememangnya amalan gotong royong dapat menjamin kebersihan sekolah dan menjaga imej seluruh warganya yang sentiasa mengutamakan keceriaan.

         Prakarsa paling menakjubkan ialah kita lahirkan, kita jelmakan, dan kita wujudkan suasana sekolah  dalam taman. Di sini taman, di situ taman dan di sana taman !  Melalui  ‘Program Sekolah Dalam Taman’ kita menanam  pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah.Kita boleh wujudkan taman herba di persekitaran kolam ikan. Kita pelihara ikan dalam kolam dan wujudkan ‘kitchen garden’ di sekolah.  Lantaran itu persekitaran sekolah menjadi lebih nyaman, lebih inspiratif  dan berudara segar.  Dalam situasi ini,  pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah hari ini  dilengkapi dengan kolam-kolam ikan, akuarium,   pondok  ilmu atau wakaf kekal untuk pelajar-pelajar santai sambil membaca.  Ahahh.... lebih baik lagi kalau dilengkapi dengan taman burung dan jajaran pohon buah-buahan. Ternyata mewujudkan elemen sekolah dalam taman merupakan suatu usaha paling kreatif pihak sekolah dalam menceriakan suasana, merealisasikan ‘theme park’ atau berada di  ‘Magic Kingdom at Disney World’,  di sekolah .

        Usaha paling dinamik, proaktif dan solusi 'broad minded'' untuk menceriakan kawasan sekolah ialah pihak sekolah  mengecat semula seluruh bangunan  sekolah. Kosnya agal mahal, tetapi berbaloi.   Lukisan mural yang mendamaikan suasana dilukis menghiasi dinding dinding utama sekolah.  Mengecat bangunan boleh memberikan impak ceria, mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok untuk datang ke sekolah yang berseri-seri seolah-olah sekolah itu baru dibina, sedangkan usia sekolah mencecah  50 tahun . Kata-kata  filsof, ‘sekolahku rumahku ‘ menjadi suatu kenyataan apabila terbit rasa kasih, rasa sayang pelajar terhadap sekolahnya.  Dengan bantuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga boleh bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing untuk mengecat pagar, dinding dan seluruh bangunan sekolah. Yang retak ditampal, yang using diperbaharui.  Kelab atau persatuan sekolah  digalakkan melukis pada dinding- dinding sekolah. Lukisan landskap, gambar-kartun bertemakan alam persekolahan, pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata melengkapi suasana ceria sekolah.  Hakikat yang jelas lagi nyata, catan pada dinding sekolah seolah-olah mewujudkan ‘sekolah baharu’ membangkitkan suasana harmoni, ceria kawasan sekolah dan sekolah itu benar-benar wujud sebagai sebuah sekolah !!

         Kesimpulannya, suasana sekolah yang bersih, indah, ceria lagi mengasyikkan, dengan rimbunan pepohon menghijau, kicauan beburung , hembusan bayu berpuput perlahan-lahan, menghidupkan lagi suasana  damai alam persekolahan. Suasana dan persekitaran serba selesa inilah yang menjadikan alam persekolahan suatu memori terindah, apabila kita meninggalkan alam persekolahan ini nanti. Sama-samalah kita insafi hakikat, bahawa, membersihkan dan menceriakan persekitaran sekolah adalah tanggungjawab kita . Kalau bukan kita, siapatah lagi......!

Oleh  Tou Zher DMPR TM
(kejayaan pasti jadi milik pelajar yang rajin berusaha)
A+ BM SPM sekarang menuntut dalam bidang arkitek di IPT


Ahad, 4 November 2018

Pelancongan (karangan terbaik) : Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong. Huraikan kepentingan industri pelancongan di Malaysia KARANGAN percubaan SPM Kota Belud Sarawak -


Terdapat banyak tempat menarik di negara kita yang menjadi tarikan pelancong. Huraikan kepentingan industri pelancongan  di Malaysia  KARANGAN  percubaan SPM   Kota Belud Sarawak -

      Industri  pelancongan  meletakkan nama Malaysia sebagai salah satu destinasi yang menarik untuk dikunjungi . Nama Malaysia meniti dari bibir ke bibir  para pelancong asing mahupun tempatan. Saban tahun kehadiran pelancong dari luar negara sentiasa berganda pertambahannya. Pihak kerajaan dan pihak swasta sentiasa giat mempromosikan Malaysia ke seluruh dunia termasuk ke negara China, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah . Para pelancong mendapat info yang tepat berkenaan produk dan prasarana  pelancongan  di Malaysia. Banyak aktiviti pelancongan yang  terdapat di Malaysia termasuklah ekopelancongan, pelancongan kesihatan dan banyak lagi. Usaha memperkembangkan industri pelancongan membawa banyak faedah kepada negara.

    Antara faedah industri pelancongan ialah industri ini dapat memberi sumber pendapatan kepada negara. Kerajaan telah mensasarkan kehadiran pelancong seramai 35 juta pelancong dengan pendapatan yang berganda setiap tahun. Hal ini disebabkan pelancongan menjadi penggerak utama tukaran wang asing. Melalui kedatangan pelancong asing, dapatlah negara kita memperoleh kadar pulangan tukaran wang asing dengan mudah dan banyak.  Setiap pelancong membawa mata wang asing untuk berbelanja serta membayar kos penginapannya selama menetap di sesuatu destinasi di Malaysia. Pelancong juga akan menggunakan kemudahan awam, membeli cenderamata, makanan, minuman dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sebegini dapat menambahkan pendapatan negara. Wang yang diperolehi oleh kerajaan Malaysia dapat digunakan  untuk pembangunan ekonomi, kemudahan-kemudahan pelancongan dan pembangunan fizikal negara. Ternyata industri pelancongan memberi pulangan pendapatan yang lumayan untuk negara

      Seterusnya, pelancongan dapat memaparkan ketamadunan atau sejarah sesebuah negara yang memberi seribu satu wajah masa silamnya. Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman sehingga tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas seperti A-Famosa,Ford Marguerita di Sarawak, Jambatan Guilemard di Tanah Merah Kelantan, bangunan stesen keretapi Kuala Lumpur, istana Kelly dan Stadium Merdeka.  Pengekalan bangunan-bangunan  tinggalan penjajah telah menggamit memori  para pelancong dari dalam atau luar negara tentang sejarah Malaysia dan mahu melihat sendiri  keunikan hasil seni bina  masyarakat terdahulu untuk dijadikan sumber inspirasi  dan aspirasi arkitek pada masa ini. Pelancong generasi muda juga dapat merasai betapa membaranya semangat  juang pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan semua.  Kata bidalan, tak kenal maka tak cinta, pemeliharaan warisan negara membolehkan pelancong  mengenali sejarah asal-usul negara kita  dan adat resam penduduknya . Sememangnya  industri pelancongan  memaparkan dengan jelas, sejarah ketamadunan bangsa di negara  kita melalui tinggalan sejarah yang masih kekal kukuh.

      Selanjutnya industri pelancongan juga membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada anak-anak muda negara.  Pelancongan merupakan antara industri yang memerlukan ramai tenaga kerja seperti pekerja hotel, pemandu pelancongan,  pekerja kedai cenderamata dan pekerja kedai kraftangan. Perkembangan industri pelancongan yang menggalakkan di negara kita ini meningkatkan permintaan tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan dan golongan pekerja mahir dan separa mahir.  Industri pelancongan memberikan peluang perniagaan berangkai kepada rakyat. Perkembangan industri ini menjadi nadi kepada perkembangan pelbagai sektor lain seperti sektor pengangkutan, makanan dan minuman, bunga-bungaan, kraftangan, pertanian dan penternakan. Hal ini mampu mengurangkan kadar pengangguran di negara kita. Pada masa sama, taraf hidup rakyat juga akan meningkat. Sesungguhnya industri pelancongan menawarkan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

      Di samping itu, pelancongan turut menarik kehadiran pelabur asing. Kegiatan pelancongan yang aktif memudahkan kerajaan menarik lebih ramai pelabur asing untuk menanam modal di negara ini. Industri pelancongan bukan hanya untuk pelabur yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan seperti pengusaha hotel, pengusaha taman tema, pengusaha pusat beli-belah, dan sebagainya malahan dapat menarik pelabur asing dalam bidang yang ada  kaitannya dengan pelancongan seperti pengangkutan dan pembinaan. Banyak tempat strategik dan menarik  dibangunkan sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia.  Pihak kerajaan dan swasta  melabur untuk pembangunan industri pelancongan ini . Kehadiran pelabur asing yang ramai dalam membangunkan dunia pelancongan negara, dapat membantu mencerahkan kehidupan masyarakat kita, masa depan negara jadi  lebih terjamin dan rakyat menikmati segala keselesaan. Hakikatnya  industri pelancongan membuka seluas-luasnya pelaburan syarikat asing ke negara kita.

      Selain itu  pelancongan juga dapat dijadikan pemangkin perpaduan antarabangsa.  Penganjuran program pelancongan antarabangsa dapat menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat. Kerjasama yang sudah terjalin pula menjadi  bertambah erat. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia  Timur Tengah, China dan Eropah bagi memajukan pelancongan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan sesuatu program pelancongan yang diadakan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik antara negara, khususnya dengan Malaysia..Melalui pendedahan ini akan wujudlah  kehidupan yang harmoni dalam kalangan masyarakat  dunia walaupun berlainan bangsa, agama, dan negara. Jelaslah, industri  pelancongan menyemarakkan perpaduan antara masyarakat setempat dan masyarakat global.

         Kesimpulannya, industri pelancongan menghasilkan pelbagai manfaat  untuk kita nikmati bersama-sama. Semua pihak perlu bahu-membahu  mempromosikan Malaysia,  agar negara kita akan lebih dikenali. Kita berharap agar matlamat  menjadikan Malaysia destinasi pelancongan antarabangsa akan tercapai. Pelancongan pasti akan menyerlah sinarnya untuk  jangka masa panjang, dan industri ini diharapkan akan terus meletakkan Malaysia tersohor di persada dunia
*
Oleh Raihanna - tingkatan 5 sains smkdmpr

Isnin, 22 Oktober 2018

ANALISIS PERBANDINGAN SOALAN KARANGAN BMSPM (KERTAS 1 BAHAGIAN A & BAHAGIAN B) NOV. 2013 – JUN. 2018 (MENGIKUT SOALAN & TEMA)


Tajuk karangan bahagian A
ANALISIS SOALAN KARANGAN BAHAN RANGSANGAN
JUN 2010 - JUN 2018 (KARANGAN A)


TAHUN
TEMA
2010(J)
 Punca pencemaran udara
2010(N)
 Grafik penjagaan kesihatan - Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
2011(J)
 Kepentingan pengangkutan awam
2011(N)
 Faedah belajar secara berkumpulan
2012(J)
 Faedah menggunakan perpustakaan
2012(N)
 Aktiviti sambutan Hari Kebangsaan di sekolah
2013(J)
 Langkah-langkah menjaga keselamatan di jalan raya
2013(N)
 Kepentingan memelihara dan memulihara bangunan-bangunan  bersejarah di negara kita
2014(J)
 Langkah-langkah menjaga keselamatan kanak-kanak
2014(N)
 Faedah menyertai sukan lasak kepada seseorang.
2015(J)
 Langkah-langkah untuk menjimatkan perbelanjaan.
2015(N)
 Tujuan mengadakan sambutan Hari Guru di peringkat sekolah
2016(J)
 Kepentingan memelihara hutan
2016(N)
 Ciri-ciri sekolah selamat
2017(J)
 Kepentingan pasar tani
2017(N)
 Peranan Unit Bimbingan dan Kaunseling di sekolah
2018(J)
 Punca-punca keracunan makanan

Tajuk karangan BAHAGIAN B

B
JUN
2014
NOV
2014
JUN
2015
NOV
2015
JUN
2016
NOV
2016
JUN
2017
NOV
2017
JUN
2018
No. 1
Ceritakan penglibatan anda menjayakan majlis Hari Keluarga di tempat anda tinggal.
Syarahan – Penggunaan masa berkesan melahirkan individu cemerlang.
Kelebihan-kelebihan apabila kita menguasai lebih daripada satu bahasa.
Laporan kejadian bencana alam dan bantuan yang diberikan oleh pasukan sukarelawan anda.
Pelbagai aktiviti di sekolah untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Ceramah - Cara-cara mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dalam kalangan murid
Cara-cara menangani stres.
Setiap anak seharusnya mempunyai impian untuk menjadi individu kebanggaan keluarga. Berikan komen anda.
Kerjaya seseorang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti minat, bakat, kemahiran dan pencapaian akademik. Ulas pernyataan tersebut.
No. 2
Warga tua sepatutnya diberikan keutamaan oleh ahli keluarga. Berikan hujah-hujah.
Peranan setiap ahli keluarga dalam membantu anak-anak ketika menghadapi sesuatu masalah.
Syarahan – Yang tua dihormati, yang muda disayangi.
Ulasan – Aktiviti rekreasi membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat.
Langkah-langkah yang perlu kita lakukan untuk   kesihatan sepanjang hayat.
Peranan ahli keluarga dalam membantu para remaja menghadapi cabaran-cabaran hidup akibat pengaruh rakan sebaya, media massa dan budaya Barat.
Kebaikan-kebaikan melancong bersama-sama keluarga,
Sekolah turut berperanan dalam pemupukan amalan mencintai alam sekitar dalam diri murid-murid. Huraikan peranan sekolah dalam pemupukan amalan tersebut dalam diri murid-murid.
Setiap keluarga disarankan agar  mengamalkan sikap berjimat cermat dan kehidupan seharian. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara berjimat cermat.
No. 3

Perkembangan pelbagai bidang industri di negara kita  - kaitan dengan peluang pekerjaan.
Perbincangan – usaha kerajaan memajukan bidang pertanian memang wajar kerana bidang ini memberikan pelbagai kebaikan kepada rakyat dan negara.
Huraikan bagaimana keindahan alam semula jadi dan keunikan bentuk muka bumi itu dapat dijadikan produk pelancongan bagi menarik pelancong datang ke Malaysia.
Kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum.
Pidato Bahasa Kebangsaan Pemangkin Perpaduan Rakyat
Sikap kurang prihatin terhadap alam sekitar telah menyebabkan berlakunya banjir yang membawa pelbagai kesusahan kepada banyak   pihak. Berikan komen anda.
Syarahan - Peranan sukan dalam mengharumkan nama negara.
Sebagai negara subur  kaya dengan pelbagai sumber, Malaysia seharusnya menuju ke arah negara yang membekalkan makanan yang cukup kepada rakyatnya di samping mengurangkan kebergantungan kepada makanan iimport. Jelaskan langkah-langkah  perlu diambil untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menghasilkan makanan yang cukup untuk rakyatnya.
Rencana " Amalan gaya hidup sihat dapat meningkatkan kualiti hidup"
No. 4

Perubahan cuaca dunia. Usaha peringkat antarabangsa.
Bentuk-bentuk kerjasama antara negara-negara  di dunia - usaha membanteras penyeludupan dadah.
Pelbagai faktor yang mempengaruhi pencapaian seseorang ahli sukan.
Usaha-usaha pelbagai pihak mengekalkan keamanan sejagat.
Kemajuan infrastruktur memainkan peranan penting meningkatkan eksport negara.
Tahap kesedaran masyarakat tentang penyakit berbahaya yang mengancam nyawa manusia seperti barah dan demam denggi masih rendah. Bincangkan.
Manfaat-manfaat program pertukaran pelajar antara negara.
Anda ingin menulis sebuah rencana dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana anda ialah `Kebaikan-kebaikan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) kepada Masyarakat Antarabangsa'.Tulis rencana itu selengkapnya.
Selain Malaysia mempunyai pelbagai keistimewaan, negara-negara lain juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Jelaskan keistimewaan-keinstimewaan sebuah negara   lain yang menjadi pilihan anda.
No. 5

Pelbagai budaya, pelbagai kaum – Langkah untuk  memastikan generasi muda dapat mengamalkan, menghormati dan menghargai
Huraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan untuk memupuk minat murid terhadap karya sastera.
Drama di pelbagai saluran televisyen tempatan sarat dengan pengajaran.
Jelaskan perkara-perkara yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita setelah membaca karya sastera.
Pengajaran-pengajaran daripada pantun yang berkaitan dengan kepentingan budi.
Berikan pendapat anda tentang cara-cara menghargai sumbangan golongan sasterawan di negara kita.
Tulis cerita berdasarkan maksud peribahasa 'setinggi-tinggi terbang bangau, akhirnya hinggap di belakang kerbau juga'
Jikalau kamu bersifat pemurah, Segala manusia datang menyerah.
Petikan gurindam di atas menjelaskan bahawa individu yang bersifat pemurah mudah memperoleh pertolongan daripada orang lain. Selain mudah memperoleh pertolongan, jelaskan kelebihan-kelebihan yang diperoleh individu yang bersifat pemurah.
Peribahasa 'ukur baju di badan sendiri' bermaksud  berbuat sesuatu atau bertindak atau berbelanja mengikut kemmapuan diri sendiri. Bincangkan.


     


Jangan Tiru