Perpaduan amat penting bagi negara yang penduduknya
berbilang kaum seperti di Malaysia. Bincangkan cara-cara memupuk perpaduan kaum
di sekolah. (TEMA KARANGAN PERCUBAAN SPM
NEGERI PERLIS )
Perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diterapkan dengan cara melakukan
aktiviti-aktiviti berunsur perpaduan bermula di bangku sekolah lagi. Perpaduan
merupakan teras utama kepada pembangunan sesebuah negara.Membina perpaduan bagi
negara berbilang bangsa seperti Malaysia merupakan satu perkara yang tidak mudah.
Oleh itu, perpaduan perlulah diterapkan dari kecil supaya dapat membina jati
diri yang kuat dalam diri rakyat Malaysia. Dengan pelbagai
kaedah dan caranya yang tersendiri, maka sekolahlah antara sebaik-baik tempat untuk kita memupuk
perpaduan kaum
Antara cara
mengukuh perpaduan di sekolah adalah dengan memantapkan lagi penggunaan bahasa Melayu. Di Malaysia bahasa
Melayu digunakan sebagai alat komunikasi yang penting untuk menyatu-padukan semua
lapisan masyarakat. Oleh itu anak-anak kecil daripada pelbagai kaum perlu
diajar menggunakan bahasa Melayu bagi membolehkan mereka berkomunikasi bersama-sama
rakan di sekolah Pepatah ada menyebut, melentur buluh biarlah daripada
rebungnya, yang bermaksud hendak mengajar atau mendidik anak-anak biarlah
ketika usia mereka masih kecil kerana apabila menginjak dewasa perpaduan jadi
bertambah erat . Pelajar-pelajar berinteraksi, berbual,
berbincang sesame mereka menggunakan bahasa Melayu. Suasana jadi mesra dan
ceria bagaikan berada dalam sebuah keluarga besara yang bahagia. Sesungguhnya
penggunaan Bahasa Kebangsaan iaitu
Bahasa Melayu dapat memantapkan perpaduan di sekolah
Selain itu, dalam mewujudkan perpaduan dan memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum di sekolah, turut dilaksanakan program
Sekolah Penyayang’ dengan menekankan konsep ‘Sekolahku Syurgaku’ dan ‘Yang Tua
Dihormati, Yang Muda Disayangi’ dengan penyertaan bersama –sama ibu bapa
murid-murid melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan
golongan murid yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi murid yang suka
menolong dan menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan
perasaan kasih sayang dan hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibu
bapa murid-murid, contohnya, di sekolah saya
, setiap pagi guru bertugas di pintu sekolah akan menyambut kedatangan dan
menyapa murid-murid ke sekolah dengan mesra, tidak kira bangsa atau agama murid
tersebut. Situasi Ini memberi kesan dan contoh positif kepada murid-murid
justeru dijadikan contoh teladan dengan mengamalkan tabiat sapaan terhadap
rakan-rakan yang berbeza kaum. Jelaslah program Sekolah Penyayang
dapat mengukuhkan dan memantapkan perpaduan di alam persekolahan lagi.
Selanjutnya, untuk mengukuhkan perpaduan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
telah melancarkan program Rancangan
Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP). Program ini pada awalnya telah
dilaksanakan di peringkat sekolah rendah dan kini diperluaskan ke semua sekolah
rendah dan menengah. KPM memandang berat akan pentingnya dijalin hubungan yang
rapat antara murid pelbagai kaum di sekolah supaya wujud kesefahaman dan
perpaduan antara mereka. RIMUP merupakan program yang menggalakkan penglibatan
murid, guru dan masyarakat setempat dalam pelbagai aktiviti yang dirancang di
sekolah. Program ini memberi penekanan kepada bidang kokurikulum, sukan dan khidmat masyarakat. RIMUP bermatlamat
melahirkan generasi Malaysia yang berilmu, memiliki jiwa dan peribadi unggul,
bersemangat muhibbah serta mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu. Di sekolah saya, program RIMUP
ini dijalankan bersama-sama
peserta-peserta dari sekolah lain. Melalui program ini, peluang murid yang
terdiri daripada pelbagai kaum tersedia untuk bergaul mesra secara sedar dan
terancang.Secara
tidak langsung murid dari berlainan kaum dan agama dapat menjalankan aktiviti
yang dirancang oleh pihak sekolah dengan baik dan lancar hasil daripada
pergaulan dan kerjasama antara mereka. Ternyata proses perpaduan dapat dipupuk dan dibina melalui perancangan teliti seperti melalui program RIMUP yang melibatkan aktiviti sukan, persatuan, kelab, menyemarakkan
suasana hormat-menghormati terhadap agama,
budaya dan adat resam sesuatu kaum dengan kaum yang lain.
Seterusnya, setiap
tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati
hari ulang tahun kemerdekaan negara. Begitu juga dengan sekolah saya,
turut mengadakan aktiviti yang mempunyai nilai-nilai patriotism dan perpaduan.
Acara yang dilaksanakan ialah pakaian tradisional berbilang bangsa dalam
kalangan murid, kibaran ‘Jalur Gemilang’ serta hiasan bilik darjah. Secara
tidak langsung, murid dapat memahami bahawa pelbagai kaum di negara kita dapat
hidup dengan harmoni dan bersatu padu. Aktiviti ini juga dapat membina keyakinan
mereka berkaitan pembinaan bangsa
Malaysia yang merdeka, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan kehidupan
bersatu padu. Dengan itu, bidang pendidikan merupakan bidang terpenting bagi
menjadi alat perpaduan antara pelbagai
kaum. Hanya menerusi pendidikan sahaja, rakyat Malaysia yang berbilang etnik
dapat disemai rasa semangat kekitaan dari sejak kecil hinggalah dewasa. Sememangnya dengan mengadakan sambutan Hari
Kemerdekaan peringkat sekolah, generasi awal terutamanya para pelajar didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus
masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk .
Di samping itu, melalui amalan gotong royong pelajar didedahkan bahawa perpaduan kaum begitu bermakna
dan melahirkan masyarakat yang sedia bantu-membantu, tolong-menolong dan
bekerjasama antara satu sama lain. Melalui aktiviti gotong royong perdana
misalnya, pelajar-pelajar membersih kawasan sekolah, dengan sokongan dan
penglibatan PIBG, pasti menghasilkan masyarakat Malaysia bukan saja bekerjasama
tetapi kukuh bersatu padu menepati
kata bidalan ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni. Sambil bekerja,
sambil berbual mesra berbincang persoalan anak-anak hingga ke penerokaan ilmu
yang yang ditunjangi oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Suasana harmoni sebegini
menjadi pemangkin perpaduan kaum. Hakikatnya perpaduan
terserlah melalui amalan gotong royong
yang sering dilaksanakan di sekolah di bawah anjuran pihak sekolah atau anjuran
PIBG.
Kesimpulannya,
pelbagai cara boleh digunakan bagi membentuk dan memperkukuhkan hubungan
pelbagai kaum bermula di sekolah. Sekolah sebagai pusat integrasi etnik terpenting
perlu sentiasa kuat, kukuh dan bertenaga dalam memupuk dan menyemai perpaduan..
Peranan sekolah guru dan ibu bapa dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan
para pelajar amatlah besar. Suasana perpaduan yang erat, ikatan persahabatan
yang kukuh antara pelajar berbilang kaum menjadikan alam persekolahan itu suatu
nostalgia, suatu kenangan, suatu memori terindah dalam kehidupan rakyat
Malaysia.
Oleh Yen Tingkatan 5
Oleh Yen Tingkatan 5
Tiada ulasan:
Catat Ulasan