Semangat kejiranan kian terhakis dalam
kalangan masyarakat kita. Pada pendapat
anda, apakah langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan
Semangat kejiranan
merujuk kepada semangat bantu-membantu, toleransi, ikatan muafakat dalam kalangan masyarakat setempat
terutamanya dengan jiran bersebelahan rumah kita..
Semangat kejiranan ini perlu ditingkatkan disemarakkan agar
intipati keindahan hidup berjiran itu dapat kita nikmati bersama-sama.. Jadi,
ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan untuk memastikan semangat kejiranan
tidak dikesampingkan malah terus dipupuk dan ditingkatkan.
Antara langkah awal dan yang paling asas ialah kerajaan dengan suasana
politiknya yang stabil menghidupkan semula Skim Rukun Tetangga di semua kawasan
perumahan di negara kita. Rukun tetangga didaftarkan di bawah Kementerian
Pembangunan Kerajaan Tempatan manakala penduduk secara formalitinya perlu
mendaftar keahliannya dalam kelab Rukun Tetangga..Rukun tetangga berfungsi
untuk mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama apabila senja mula berlabuh hinggalah ke waktu
malam menutup tirainya. Aktiviti ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa
mengira kaum yang mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan
bersama-sama. Ahli Rukun Tetangga bekerjasama menjaga keselamatan persis berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing dan tidak ada yang curi tulang.Suasana harmoni
wujud sedamai kehidupan di daerah kejiranan. Sememangnya, hubungan rapat yang terjalin melalui
Rukun Tetangga ini mengeratkan lagi hubungan antara kita yang hidup berjiran.
Seterusnya semangat kejiranan mampu dipupuk
dengan mengadakan pelbagai majlis keramaian yang bercorak kekeluargaan. Majlis
perkahwinan, rumah terbuka dan hari keluarga mampu menghidupkan semula semangat
yang murni dan penuh dengan kemesraan dan keceriaan. Semua jiran akan beramah
mesra dan mengenali satu sama lain melalui majlis seperti ini, dan tidak ada
yang bertindak sombong bagai merak mengigal di rimba atau bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sebaliknya masyarakat berjiran sentiasa
bekerjasama bantu-membantu persis ke lurah
sama dituruni, ke gunung sama didaki. Sesungguhnya, semangat kejiranan berupaya tumbuh
dengan subur melalui saat-saat meriah, dan penuh kemesraan majlis-majlis
keramaian di kawasan sekitar tempat tinggal kita.’
Selanjutnya, kerajaan mendominasi peranan
mengukuhkan semangat kejiranan dengan mengadakan kempen kesedaran peri
pentingnya semangat kejiranan ini. Penggunaan media massa seluas-luasnya dengan
iklan yang menarik sudah pasti berupaya menarik perhatian masyarakat terhadap
perlunya memupuk semangat kejiranan yang tekal, padu dan jitu.. Masyarakat akan
mula bermuhasabah diri, menilai tahap
semangat kejiranan mereka lantas berusaha ke arah mengekalkan serta meningkatkan
semangat itu di kawasan perumahan atau di kawasan tempat tinggal mereka.
Suasana tegur sapa, bertanya khabar menjadi rencah
kehidupan berjiran berteraskan yang tua dihormati manakala yang muda disegani. Kehadiran
jiran menjengah di muka pintu disambut dengan senyuman, bual bicara santak ke
senja. Oh betapa akrabnya suasana perpaduan direalisasikan dalam konsep
kejiranan yang tulus suci Ternyata kerajaan memang bijak memainkan
peranannya dalam mencetuskan usaha memupuk semangat kejiranan yang cukup relevan
di negara kita.
Di samping itu, sikap dan persepsi masyarakat perlu ditransformasikan ke arah kenali
jiran kita, yakni perlu ambil berat terhadap jiran sebelah-menyebelah rumah
kita. Transformasikanlah citra kontroversi jangan jaga tepi kain orang, kepada
kita perlu jaga tepi kain jiran kita, dan jadikanlah diri kita mata dan telinga jiran kita terutama
dalam aspek keselamatan, atau dalam situasi kecemasan dan dalam mengenalpasti
keperluan penjagaan kesihatan jiran kita. Apabila kita ternampak manusia
misteri di jeriji pagar rumah jiran kita maka segeralah kita bertindak
menghubungi polis atau setidak-tidaknya hubungilah jiran kita dahulu. Sebagai
tetangga kita hendaklah memandang semangat kejiranan ini sebagai satu aset
penting dalam kehidupan berjiran. Kalau bukan kita yang membantu jiran kita,
siapatah lagi. Semangat ini perlulah diutamakan dalam membentuk rukun hidup
berjiran. Sememangnya, paradigma yang
baharu sebegini dapat menjana dan memastikan semangat kejiranan terus mekar mengharum di hati dan di
minda masyarakat kita.
Selain itu jiran perlu bersatu membentuk
perpaduan bangsa. Jiran yang berketurunan Tionghua, India, Melayu, atau Kadazan
boleh melakukan aktiviti bersama-sama seperti keluar beriadah, berjoging
bersama-sama atau berekspedisi, berekreasi bersama-sama sambil berbincang
persoalan keluarga hinggalah ke persoalan negara seperti meleraikan kemelut yang dihadapi oleh
anggota kabinet negara, atau bagaimana Obama boleh menyusur keluar daripada gejolak ekonomi yang melanda
Amerika!. Berbual kosong sambil beriadah dapat mengekalkan semangat kejiranan
yang sedia bertapak di hati rakyat jelata di Malaysia. Hidup berjiran memang
cukup indah, menarik dan eksklusif. Jelaslah aktiviti santai,
beriadah, berekreasi dapat menyumbang ke arah pemupukan semangat kejiranan yang
padu lagi mesra
.
Selanjutnya apa salahnya kita luangkan masa lakukan aktiviti kunjung –mengunjung,
ziarah-menziarahi antara jiran kita sambil membawa buah tangan atau juadah enak
untuk dimakan bersama-sama. Pada bulan Ramadan misalnya kita hulurkan juadah
berbuka puasa kepada jiran kita. Pada musim buah-buahan pula hulurkan segugus
rambutan , selonggok durian . Sudah pasti senyuman
tersungging di wajah dan ucapan terima kasih bertalu-talu diungkapkan.
Terasa suatu penghargaan, suatu nikmat, lumrah hidup berjiran apabila sesuatu
yang melimpah ruah kita miliki kita bersedia berkongsi nikmat dengan jiran kita
,persis kata bidalan, sedikit sama
merasa, banyak sama berlaba.
Hakikatnya budaya
kunjung-mengunjung dan beri memberi seikhlas hati ini mengukuhkan lagi ukhwah kejiranan
dalam kalangan masyarakat marhaen.
Kesimpulannya, semangat kejiranan memang boleh
digarap,diterap, dicanai, begitu kukuh, ampuh, padu dan jitu melalui beberapa
prakarsa yang terancang dan ada yang terjadi secara tersendiri, secara magis,
yang tanpa sebarang perancangan. Suasana hidup berjiran
sememangnya cukup indah lagi mengagumkan dan fenomenaloginya hanya terdapat
di negara kita Malaysia Semua pihak perlulah berusaha untuk memastikan semangat kejiranan terus diamalkan secara
optimistik tanpa ada penghalang yang memisahkan kita.

Oleh : Anthony - (SMK Dato Mahmud Paduka Raja1)
Semoga A+ BM dimiliki oleh pelajar SPM 2018
.
Dan sememangnya Anthony mendapat A+ BM SPM 2018
Tiada ulasan:
Catat Ulasan