ISTILAH SASTERA (KOMSAS)
Pelbagai
istilah sastera digunakan untuk mencantikkan bahasa. Berikut sedikit
istilah boleh membantu dalam KOMSAS.
1. Personafikasi: memberi unsur manusia atau benda hidup
kepada bukan benda hidup”.
Contoh:
i. Angin sepoi-sepoi bahasa di pinggiran pantai
itu menampar pipiku. (menampar ialah perbuatan manusia)
ii. Dedaun kelapa di pantai melambaiku pulang.
(melambai ialah perbuatan/sifat manusia)
iii. Dingin malam menggigit tulangku.
(menggigit ialah perbuatan manusia)
2. Metafora:
Perbandingan secara langsung tanpa menggunakan kata bandingan seperti,
bak, umpama dan sebagainya”.
Contoh:
ii. Suaranya lantang guruh sambut menyambut.
iii. Merah darah mengalir di tubuhku.
3. Simile:
perbandingan sesuatu dengan sesuatu yang lain
dengan menggunakan kata bandingan iaitu seperti, umpama, bak, bagai, se dan
sebagainya”.
Contoh:
i. Hatinya remuk bagai kaca jatuh ke batu.
ii. Suaranya merdu seperti buluh perindu.
iii. Wajahnya sehebat peribadinya.
4. inversi:
Pembalikan kata.
Contoh:
i. Semalam pagi dia datang menjengukku.
(sepatutnya “pagi semalam”)
ii. Panas cuaca petang itu melelahkan tubuhnya.
(sepatutnya “cuaca panas”)
iii. Kopi secawan diteguknya dengan rakus.
(sepatutnya “secawan kopi”)
5. Sinkof:
Singkatan perkataan.
Contoh:
i. “Dia dah datang semalam, Pak Abu” kata Ariff
perlahan.
ii. “Biarlah kubawa diri yang kecewa ini”,
balas Kamal.
iii. “Cerita tu mungkin rekaan”, jelas Nina
ringkas.
6. hybrid:
Penggabungan beberapa perkataan menjadi satu
perkataan sahaja.
Contoh:
i. Hatinya bisupilu mendengar penerangan itu.
ii. Dia akan ikut rentaktari pengikutnya itu.
iii. Begitulah adattari kehidupan sebagai
seorang pemandu.
7. Anafora:
Pengulangan perkataan pada awal baris atau
ayat.
Contoh:
i. Dia masih berdiri di situ. Dia mengingati
saat manisnya di kampung halaman.
ii. Masihkah lagi kau mengingatiku. Masihkah
lagi detik itu kau simpan.
iii. Belum tiba masanya dia bersuara. Belum
tiba masanya dia mengakui hakikat itu.
8. Epifora:
Pengulangan perkataan pada akhir baris atau
ayat.
Contoh:
i. Hatinya mengimbas luka lama. Perasaannya
masih terpilu oleh luka lama.
ii. Biarlah Kila menangis. Atau Sani juga akan
menangis.
iii. Ayah membesar dengan lampu minyak tanah.
Aku Berjaya juga dengan lampu minyak tanah.
9. Diksi:
Pemilihan perkataan yang sesuai dengan sesuatu
cerita yang ditulis.
i. Contoh:
(Katakan cerita tentang perjuangan seorang
tentera)
Dia menggalas rifel dan melakukan serangan
hendap di garisan hadapan platun itu.
ii. Contoh: (Katakan cerita tentang keagamaan)
Malam itu dia mendengar usrah daripada ustazah.
Bibit-bibit nur menjelma di jiwanya.
iii. Contoh: (Katakan cerita tentang cinta/
kasih sayang)
Hatinya terlalu rindu. Belaian kemesraan itu
sering kudambakan.
10. Asonansi:
Pengulangan vokal dalam sesuatu baris ayat.
Huruf vokal a, e, i, o, u
Contoh:
i. Adakah kakak amat marah akan Abang Din lagi.
Pengulangan vokal ‘a” sebanyak 14 kali.
ii. Di sini kita masih tercari-cari erti harga
diri sendiri.
Pengulangan vokal “i” sebanyak 12 kali.
iii. Untung juga usahaku rupanya.
Pengulangan vokal “u” sebanyak 6 kali.
11. Aliterasi:
Pengulangan konsonan dalam sesuatu ayat. Huruf
konsonan selain huruf vokal
Contoh:
i. Gadis gigih itu menggigil gementar.
Pengulangan konsonan "g" sebanyak 7
kali.
ii. kakak masih kaku ketika kita kembali.
Pengulangan konsonan "k" sebanyak 8
kali
12. Bombastik/ hiperbola: Perbandingan atau
pemilihan kata yang berlebih-lebihan.
Contoh:
i. Jeritannya bom atom meledak bumi.
ii. Badannya ringan seringan kapas yang
beterbangan di udara.
13. Alusi:
Penggunaan watak atau watak sejarah dalam
puisi.
Contoh: (sajak)
Pemudaku hari ini
gigihlah berjuang demi tanah air
bawalah pesan Hang Tuah Melayu tak kan hilang
di dunia
sambutlah hasrat sang Maharajalela
13. Watak dan perwatakan:
Pelaku dalam sesebuah cerita dan berfungsi
untuk menyampaikan idea penulis.
i. Watak utama : watak penting yang
menghidupkan sesuatu cerita. ( watak penting 1 sahaja)
ii. Watak sampingan : watak pembantu kepada
watak utama. (banyak watak sampingan)
iii. Watak bulat/ bundar : Watak yang dinamis
dan boleh berubah sifat/ sikapnya.
iv. Watak pipih : watak yang statik dan tidak
berlaku perubahan. Contoh: Jika jahat terus jahat hingga akhir)
v. Watak antagonis : watak penyambut yang
biasanya negatif.
vi. Watak protagonis : watak pemula yang
biasanya bersifat positif.
vii. Watak kodi : watak nenek kebayan (Contoh:
cerpen Peminangan Puteri Gunung Ledang)
14. Plot:
Jalinan peristiwa atau rentetan cerita yang
berasaskan sebab dan akibat.
Terbahagi dua:
i. Perkembangan plot (terbahagi 5)
Perkembangan cerita bermaksud “jalinan/ jalan
cerita dari awal hingga akhir”.
a. Pengenalan
b. Perkembangan
c. Pertentangan / konflik
d. Puncak cerita / klimaks
e. Peleraian
ii. Teknik plot (terbahagi 6)
Teknik plot bermaksud “cara sesuatu cerita /
teknik sesuatu cerita itu disampaikan”.
i. Pemerian/ penceritaan : biasanya pengarang
bertindak sebagai pencerita.
Contoh:
Halim datang dari kampung di Kelantan. Dia
hanya lulus darjah lima sekolah. Dia ke Kuala Lumpur untuk mencari
pekerjaan……..
ii. Dialog :
Penceritaan melalui perbualan 2 orang watak
atau lebih dengan secara jelas.
Contoh:
“Bila kau datang, Halim?” Datuk Johar bertanya.
“Pagi tadi. Ibu kirim salam”, balas Halim.
iii. Monolog :
Penceritaan melalui kaedah watak bercakap
seorang diri.
Contoh:
“Oh, aku harap kau akan subur terus, cantik dan
wangi!”, kata Hilmi pada bunga di hadapannya.
iv. Monolog dalaman :
Watak berkata di dalam hati atau dalam
fikirannya serta tidak terkeluar kata-kata.
Contoh:
“Cis, sial sungguh budak Didi ini!” getus hati
Datin Roza.
v. Imbas kembali/ flashback:
Pengulangan semula cerita
lama.
Contoh:
Halim tersandar di kerusi di rumah Datuk Johar.
Fikirannya melayang mengingati kisah lama. (Saban hari menorah getah. Hasil
getah dijualnya kepada Taukeh Lim. Duit itulah digunakan menyara ibunya yang
sudah tua. Ibunya sakit tenat………)
vi. Imbas muka :
Menceritakan peristiwa yang belum berlaku.
Contoh:
Halim tersandar di kerusi di rumah Datuk Johar.
Fikirannya melayang memikirkan nasib dirinya. Alangkah baiknya jika dia juga
anak orang kaya. (Setiap hari dia akan berkereta mewah. Memandu laju sambil di
kelilingi gadis kota. Setiap malam dia akan mengunjungi nite club. Kalau tidak
di Kuala Lumpur pasti dia akan ke …….)
15. latar:
Latar terbahagi kepada 3:
i. Latar tempat
Tempat sesuatu cerita itu berlaku.
Contohnya, di Kuala Lumpur, di sekolah , di
rumah Pak Mail, di kedai Ah Seng dan sebagainya.
ii. Latar masa
Waktu atau masa sesuatu peristiwa itu berlaku.
Contohnya pada zaman dahulu, pada tahun 2009, pada minggu lepas, pada bulan
Januari, pada waktu malam, pada siang hari, pada pukul 5.00 petang dan
sebagainya.
iii. Latar budaya/ masyarakat
Keadaan masyarakat atau budaya di mana
peristiwa itu berlaku. Contohnya, masyarakat Malaysia, masyarakat moden,
masyarakat petani, masyarakat seniman, masyarakat Cina, masyarakat yang suka
membantu, masyarakat yang masih mempercayai kepercayaan tahyul, masyarakat
pelajar dan sebagainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan