Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Sabtu, 10 Oktober 2020

Nota : Cerpen Munsyi, Burung terbang dipipiskan lada , Beberapa Petua Hidup & Nota santai Novel Pantai Kasih & Bimasakti Menari

 

KOMSAS TINGKATAN 4 - CERPEN MUNSYI

A. SINOPSIS

            Cerpen ini mengisahkan hasrat ‘saya’, seorang anak muda, untuk berhijrah ke kota dihalang oleh bondanya yang bimbang anaknya itu akan terpengaruh oleh budaya-budaya negatif di bandar.  Pada bondanya, ‘saya’ masih belum mantap bahasa ibunda dan jati dirinya.  Menurut bondanya lagi, warga kota sudah hilang nilai-nilai tradisi seperti cinta akan agama, bahasa dan bangsa.  Penjajah telah berjaya menyemai sentimen perkauman dalam kalangan rakyat sehingga pernah tercetusnya pertumpahan darah akibat permusuhan antara kaum.  Oleh itu, bonda menasihatkan ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa dan negara supaya terus dihormati dan disegani.  Sebagai seorang warga yang bersifat patriotik, bonda memiliki banyak buku lama yang berkaitan dengan bahasa,dan sejarah.  Buku-buku tersebut selalu ‘saya’ baca. Menurut bonda, asas kegagahan bangsa Melayu terletak pada tiga perkara, iaitu akidah Islam, bahasa Melayu dan kesetiaan pada pemerintah yang adil.

            Setelah ‘saya’ berasa mampu berjuang di kota barulah bonda membenarkannya ke bandar untuk meneruskan kehidupan.  Namun bonda berpesan agar menjaga dua perkara iaitu agama dan bangsa.  Bonda juga mengirimkan sejumlah buku untuk kawan lamanya yang bernama Munsyi melalui ‘saya’.  Apabila tiba di bandar, ‘saya’ menyerahkan buku-buku tersebut pada kawannya itu yang pada pengamatan ‘saya, Munsyi’ merupakan seorang yang sangat mencintai bangsa dan budayanya.  Dia tinggal di tanah rizab Melayu di sebuah perkampungan tradisi di pinggir bandar.  Di bandar, ‘saya’ melihat kaum mudanya telah hilang identiti dan jati diri.  Akibat sibuk bekerja, ‘saya’ tidak bertemu Munsyi.  Suatu hari, ‘saya’ mendapat khabar bahawa perkampungan Munsyi akan dibangunkan dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel.  Apabila ‘saya’ mencari Munsyi di kampungnya, jentera-jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  ‘Saya’ sedih melihat buku-buku lama yang telah ‘saya’ bawa, musnah apabila rumah Munsyi dirobohkan namun Munsyi tidak kelihatan di mana-mana.

B. TEMA           Semangat cinta akan bahasa, agama, bangsa dan budaya yang tersemai dalam jiwa sekumpulan warga negara.

Contohnya, ibu kerap menasihati ‘saya’ agar memelihara dan cinta akan agama, budaya dan bahasa agar dihormati oleh orang.

C. PERSOALAN

1. Keinginan anak muda berhijrah ke bandar untuk membina kehidupan

Contohnya, ‘saya’ memohon keizinan ibunya untuk berhijrah ke bandar bagi membina kehidupannya seperti kebanyakan remaja yang lain.

2. Peranan penjajah dalam usaha memecahbelahkan rakyat sesebuah negara.

Contohnya,  pihak penjajah telah menjalankan sistem pecah dan perintah agar agihan kekayaan negara tidak berlaku secara adil hingga menimbulkan

rusuhan kaum akibat rasa tidak puas hati rakyat.

3. Kegigihan anak muda mempelajari segala ilmu untuk meneruskan kehidupannya.

Contohnya, ‘Saya’ tekun belajar pelbagai ilmu yang berkaitan dengan kehidupan sebelum berhijrah ke bandar.

4. Ketaatan seorang anak terhadap nasihat ibunya.

‘Saya’ mentaati nasihat ibunya yang tidak membenarkannya berhijrah ke bandar kerana pada pendapat ibunya ‘saya’ masih belum cukup kuat jati diri untuk tinggal di bandar.

5.  Kebimbangan seorang ibu terhadap anaknya.

Contohnya, ibu keberatan untuk melepaskan ‘saya’ ke bandar kerana bimbang ‘saya’ terpengaruh akan budaya negatif yang terdapat pada remaja di bandar.

D. PLOT

1. Permulaan   Cerpen dimulakan dengan kisah ‘saya’ tidak diizinkan oleh bondanya berhijrah ke kota kerana bimbang anaknya itu akan hanyut oleh arus hedonism dan modenisme yang melanda anak-anak muda di kota.

2. Perkembangan   Bonda pernah bercerita pada ‘saya tentang system pemerintahan penjajah yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini.  Setelah Negara merdeka, perpecahan tersebut mencetuskan huru-hara kepada negara ini.

Ibu menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa , bangsa dan Negara ini.  ‘Saya’ juga membaca membaca pelbagai buku simpanan bonda untuk memantapkan jati diri dan bahasa ‘saya’

Setelah bonda yakin dengan kemantapan diri ‘saya’ baharulah ‘saya’ dibenarkan berhijrah ke kota untuk membaiki taraf hidup saya.  ‘Saya ‘ dikirimkan buku-buku lama untuk disampaikan kepada sahabat lama bonda iaitu Munsyi.

Di Bandar ,’saya’ dapati anak-anak muda telah hanyut oleh keseronokan hidup dan melupakan nilai-nilai murni dan batas kehidupan.

‘Saya’ mendengar berita kampung tradisi yang didiami oleh Munsyi akan didirikan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

3. Klimaks  Aku sampai di perkampungan tradisi itu dan mendapati jentera berat sedang merobohkan rumah-rumah di situ.  Buku-buku pemberian bonda juga turut musnah dalam peristiwa itu tetapi Munsyi tidak ada di situ.

4. Peleraian          Berhari-hari aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

E. TEKNIK PENCERITAAN

 1. Dialog - “Tuan inikah yang bernama Munsyi, sahabat baik bonda saya.”

2. Imbas kembali - Saya teringat cerita bonda tentang kota mewah itu yang pernah mencalit sejarah hitam empat dekad lampau.

3. Imbas muka - Di kota nanti carilah seorang sahabat lama bonda bernama Munsyi.

4. Pemerian - Salam saya akhirnya dijawab oleh seorang lelaki di usia emas dengan janggut putih menutupi sebahagian muka yang putih bersih.  Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan melayu.  Di jari-jemarinya lengkap menggenggam sebilah keris bersarung cantik.

5. Kejutan - Saya mendengar khabar bahawa syarikat perumahan akan mengambil alih kampung tradiri yang didiami oleh Munsyi dengan pelbagai bangunan mewah dan hotel bertaraf lima bintang.

6. Saspens - Aku mencari Munsyi tetapi tidak berjumpa.

 F. WATAK DAN PERWATAKAN

 Watak utama

 ‘Saya’

1. Seorang yang taat. Cth - ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.

2. Seorang yang amanah. Cth - ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu buku-buku yang sepatutnya diserahkan kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

3. Seorang yang gemar membaca. Cth - ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.

4. Seorang yang tidak mudah putus asa. Cth - ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

Watak sampingan

 Bonda ‘saya’

1. Seorang yang berpengetahuan luas.

Bonda bercerita kepada ‘saya’ tentang sejarah pahit tanah air.

2. Seorang yang bersifat patriotik.

Bonda menasihati ‘saya’ agar memelihara agama, bahasa ibunda dan negara.

3. Seorang yang amat memahami

Bonda mengizinkan ‘saya’ berhijrah apabila didapati anaknya itu sudah mantap ilmu dan jati dirinya.

Munsyi

1. Kawan lama bonda.

2. Seorang yang cinta akan budaya Melayu

Munsyi berpakaian tradisi Melayu yang lengkap dengan keris ketika menyambut kedatangan ‘saya’.

3. Seorang yang mengalu-alukan tetamu.

Munsyi tersenyum dan menjemput ‘saya’ masuk ke rumahnya.

F. LATAR

 Latar masa

1. Zaman pemerintahan penjajah - Penjajah telah memerintah negara menggunakan system pecah dan perintah.

2. Zaman selepas merdeka - Rakyat sibuk mengejar harta dan pangkat sehingga lupa akan nilai, bahasa dan agama selepas dijajah.

Latar tempat

1. Di kampung - Pada mulanya, bonda tidak membenarkan ‘saya’ meninggalkan kampung untuk berhijrah ke kota

2. Di kota - ‘Saya’ berhijrah ke kota untuk membina kehidupan yang lebih sempurna.

3. Di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota - Munsyi tinggal di sebuah rumah terletak di sebuah perkampungan tradisi di pinggir kota.

Latar masyarakat

1. Masyarakat kampong - ‘Saya’ dan bonda tinggal di kampung.

2. Masyarakat remaja yang tinggal di Bandar - ‘Saya’ dapati masyarakat remaja yang tinggal di bandar kebanyakannya telah hanyut oleh keseronokan hidup.

3. Masyarakat yang mengamalkan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan - Penduduk kampung tradisi mengadakan demonstrasi untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap pencerobohan tanah milik mereka oleh pihak berkuasa.

4. Masyarakat yang cekal dan berani - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

G. GAYA BAHASA

1. Kata ganda - Zaman- berzaman

2. Metafora - Pagar-pagar perkauman, pohon kebenaran, racun perkauman

3. Peribahasa - Bahasa jiwa bangsa

4. Simile - Pakaiannya lengkap dengan tengkolok dan baju melayu bersamping bagaikan seorang maharaja di zaman kesultanan Melayu.

5. Hiperbola - Namun kerana hasad dengki, khianat, kronisme serta rasuah yang bermaharajalela, kegemilangan yang dibina musnah sekelip mata.

H. NILAI

1. Patriotik - Bonda menasihati ‘saya’ agar sentiasa memelihara bahasa ibunda dan agama.

2. Ketaatan - ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar.

3. Kegigihan - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

 4. Amanah - ‘Saya’ menyampaikan amanah bondanya iaitu menyerahkan buku-buku kepada Munsyi ketika ‘saya’ pergi ke bandar.

I. PENGAJARAN.

1. Kita hendaklah taat pada perintah dan larangan ayah dan ibu - ‘Saya’ tidak membantah ketika ibunya melarang dia berhijrah ke bandar

2. Kita hendaklah gigih apabila melakukan sesuatu pekerjaan - Anak-anak bangsa pada zaman dahulu cekal dan berani meneroka hutan untuk dijadikan bandar pelabuhan yang terkenal.

3. Kita hendaklah rajin membaca untuk meningkatkan pengetahuan - ‘Saya’ telah mengkaji teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah serta membaca banyak buku lama milik ibunya.

4. Kita tidak boleh mudah putus asa apabila menemui kegagalan - ‘Saya’ meminta izin ibunya sekali lagi apabila sudah lebih bersedia untuk tinggal di kota walaupun hasratnya itu pernah ditolak oleh ibunya.

 BURUNG TERBANG DIPIPISKAN LADA

SINOPSIS   Cerita memaparkan percubaan raja Siam, Bubunnya hendak menyerang kerajaan Melaka yang tidak kesampaian kerana kebijaksanaan pemerintah dan kesaktian hulubalang Melaka.

     Ceritanya bermula pada zaman dahulu kala negeri Siam yang dikenali sebagai Syahrunnuwi begitu kuat sehingga semua kerajaan bawah angin telah ditakluki oleh Siam kecuali kerajaan Melaka. Apabila Melaka yang diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah enggan memberi surat sebagai tanda tunduk kepada Siam, raja Siam telah menyuruh panglimanya Awi Cakri membawa hulubalang dan rakyatnya yang sangat ramai untuk menyerang Melaka melalui hulu Pahang. Apabila Sultan Muzaffir Syah mendengar berita tentang rancangan serangan Siam itu, baginda pun menghimpunkan rakyat Melaka dari segenap pelusuk negeri. Tun Perak dari Kelang telah datang membawa bersama-sama dengan anak isteri masing-masing. Pada masa itu, Seri Amerta dilantik oleh sultan sebagai bentara kerana kecerdikan dan kepetahannya berkata-kata.

    Seri Amerta telah diminta oleh sultan untuk menyiasat tindakan Tun Perak tersebut. Tindakan Tun Perak itu dipersoalkan sebanyak tiga kali oleh Seri Amerta. Tun Perak meminta Seri Amerta jangan mencampuri urusan orang lain. Baginda menjelaskan sekiranya orang Kelang yang datang dari jauh itu ditemani anak isteri masing-masing, mereka akan berperang dengan lebih bersemangat. Apabila hal ini disampaikan kepada Duli Yang diPertuan, baginda amat bersetuju dengan tindakan Tun Perak itu lalu menitahkan Tun Perak terus bermastautin di Melaka. Apabila serangan Siam itu telah dapat dipatahkan, Tun Perak telah dijadikan sebagai bentara di Melaka.

     Tidak lama kemudian Seri Amerta menyuruh Tun Perak menghadap kerana ada seorang orang Kelang mengadu bahawa dirinya dianiayai oleh Tun Perak. Setelah disoal siasat, Tun Perak menyatakan bahawa Seri Amerta tidak memahami tugas dan tanggungjawab diamanahkan oleh Sultan. Sultan bersetuju dengan penjelasan Tun Perak lalu melantiknya sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Paduka Raja yang setaraf dengan Seri Nara Diraja.

    Seri Nara Diraja sudah tua dan tidak mempunyai anak lelaki,hanya ada seorang anak perempuan yang bernama Tun Putih hasil perkahwinan dengan anak bendahara. Setelah isterinya itu mangkat barulah Seri Nara Diraja mengakui bahawa baginda mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Tun Nina Madi hasil perhubungan dengan gundik istana.

       Pada masa itu masyarakat Melayu telah berpecah kepada dua puak iaitu puak Paduka Raja dan puak Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya mempunyai taraf yang sama. Kedua-dua orang besar ini tidak dapat bekerjasama kerana berbeza pendapat. Apabila hal ini diketahui oleh Sultan Muzaffir Syah, baginda amat kecewa kerana bimbang negara akan lemah jika pembesarnya saling tidak bermuafakat. Baginda telah memikirkan jalan penyelesaian dengan mencai jodoh baru kepada Seri Nara Diraja, tetapi semuanya telah ditolak oleh Seri Nara Diraja sehinggalah dia dijodohkan dengan Tun Kudu anak perempuan Bendahara Seri Wak Raja, saudara kepada Paduka Raja. Justeru, hubungan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja kembali baik apabila baginda bersetuju supaya Paduka Raja dilantik sebagai bendahara manakala Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.

         Tidak lama kemudian orang Siam di bawah pimpinan Awi Dicu menyerang Melaka. Sultan mengetahui hal tersebut lalu menitahkan Paduka Raja dengan diiringi Seri Bija Diraja dan segala hulubalang untuk mempertahankan Melaka. Anak Seri Bija Diraja bernama Tun Umar yang berkelakuan aneh telah disuruh melanggar perahu pihak Siam, tiga buah perahu Siam telah dikalahkan dengan hanya sebuah perahunya. Pihak Siam menjadi takut dan membatalkan hasrat menyerang Melaka. Bendahara Paduka Raja menggunakan strategi memasangkan puntung api pada pokok-pokok di sepanjang pantai seolah-olah banyak perahu perang Melaka yang dibawa untuk mempertahankan Melaka. Angkatan perang Siam telah berundur. Setelah pihak Siam berundur, Bendahara Paduka Raja dan orang-orangnya telah dianugerahkan persalinan yang mulia.

         Walau bagaimanapun, berita kegagalan serangan Siam itu sampai ke pengetahuan Paduka Bubunnya, raja Siam itu amat marah dan diri sendiri membuat keputusan untuk menyerang Melaka tetapi anaknya Cau Pandan menawarkan diri untuk menyerang Melaka. Raja Siam bersetuju lalu menggunakan lapan ratus buah kapal perang besar dan banyak kapal perang kecil di bawah pimpinan Pra Kelong untuk membantu Cau Pandan menyerang Melaka. Apabila berita rancangan Siam untuk menyerang Melaka itu diketahui oleh sultan Melaka, Sidi Arab yang mempunyai kesaktian ilmu memanahnya telah memanah Cau Pandan yang berada di Siam. Akhirnya Cau Pandan yang belum sempat menyerang Melaka itu telah terkena panahan tersebut di dada, telah muntah darah lalu mati. Kesaktian Sidi Arab itu amat dihargai sultan dan diberi ganjaran yang setimpalnya.

      Setelah empat puluh dua tahun Sultan Muzaffir Syah memerintah Melaka, akhirnya baginda mangkat dan digantikan oleh anaknya Raja Abdullah gelaran Sultan Mansur Syah. Ketika menaiki takhta, Sultan Mansur Syah berusia 27 tahun. Baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja iaitu Tun Putih Nur Pualam. Baginda seorang raja yang kacak, adil, dan murah hati yang tiada tolok bandingnya pada masa itu.

TEMA   Keghairahan Siam menyerang Melaka tanpa menilai kelemahan diri sendiri dan menyiasat kekuatan pihak lawan terlebih dahulu sebelum mengatur serangan.

PERSOALAN

1.         Kebijaksanaan Tun Perak dalam mengatur strategi menghalang serangan dari Siam

Tun Perak membawa rakyat dari Kelang bersama-sama anak isteri untuk menaikkan semangat berperang Tun Perak mengikat puntung api pada pokok bakau, pokok nyirih dan pokok api-api di sepanjang pantai bagi menakutkan pihak musuh.

2.         Semangat tidak mudah berputus asa.

Siam mengatur serangan ke atas Melaka sebanyak tiga kali walaupun kesemua percubaan tersebut menemui kegagalan.

3.         Kepentingan permuafakatan antara pemimpin memperkukuh ketahanan negara.

Konflik antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja telah menyebabkan masyarakat berpecah yang boleh melemahkan kekuatan negara.

4.         Perkahwinan dapat mengeratkan perhubungan persaudaraan.

Contohnya, Sultan telah menjodohkan Tun Kudu anak saudara Tun Perak dengan Sri Nara Diraja.

5.         Tanggungjawab melaksanakan tugas masing-masing tanpa mencampuri urusan orang lain

Tun Perak meminta Seri Amarta tidak mencampuri urusannya dan mempersoalkan sesuatu tindakan yang diambil.

6.         Merahsiakan sesuatu perkara bagi mengelakkan konflik dalam keluarga.

Seri Nara Diraja merahsiakan anak hasil hubungannya dengan gundik bagi mengelakkan berkonflik dengan isteri

7.         Unsur kesaktian dalam peperangan

Sidi Arab mempunyai kesaktian dalam ilmu memanah. Beliau telah memanah dari Melaka sehingga dapat membunuh Cau Pandan yang berada di benua Siam.

PLOT

Permulaan   Persiapan rakyat Melaka menghadapi ancaman pertama daripada Siam.

Perkembangan     Pemerintahan Sultan Muzaffar Syah di Melaka dan kebijaksanaan Tun Perak dalam pelbagai perkara.

Konflik

1.         Antara Tun Perak dengan orang Kelang yang mengadu.

2.         Antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja yang tidak sehaluan.

Klimaks    Sultan menceraikan Tun Kudu untuk dikahwinkan dengan Seri Nara Diraja.

Peleraian    Kemangatan Sultan Muzaffar Syah.

WATAK DAN PERWATAKAN

Sultan Muzaffar Syah

1.   Pemerintah negeri Melaka.

2.   Baginda tegas dalam mentadbir negerinya.

3.   Berpandangan jauh. Melantik Tun Perak sebagai pembesar kerana dapat melihat ciri-ciri kepemimpinan pada diri Tun Perak.

4.   Baginda adil dalam pemerintahannya. Baginda tidak terburu-buru dalam menjatuhkan hukuman apabila menerima aduan orang Kelang berkenaan Tun Perak.

5.  Baginda juga bijaksana. Baginda mengahwinkan Tun Kudu dengan Seri Nara Diraja bagi menyelesaikan perselisihan antara Seri Nara Diraja dengan Bendahara Paduka Raja.

Tun Perak (Bendahara Paduka Raja)

1.Tun Perak amanah dalam menjalankan tugas. Tun Perak bersedia meletakkan jawatan sekiranya sultan beranggapan beliau gagal melaksanakan tugasnya.

2.         Beliau taat akan raja. Tun Perak mentaati perintah Sultan Muzaffar Syah supaya membuat persiapan untuk mengusir tentera Siam yang berada di Batu Pahat.

3.         Tun Perak juga bijaksana. Tun Perak mengarahkan anak-anak buahnya memasang puntung api pada setiap pokok bakau untuk memperdayakan angkatan tentera Siam.

4.         Beliau berhati-hati dalam melakukan sesuatu tindakan. Tun Perak tidak terburu-buru menjawab pertanyaan Seri Amerta kerana beliau berhati-hati dalam berbicara.

Seri Nara Diraja

1.         Beliau memegang jawatan sebagai penghulu bendahari.

2.         Seri Nara Diraja takut akan isterinya. Beliau hanya mengakui Tun Nina Madi sebagai anaknya selepas kematian isterinya.

3.         Seri Nara Diraja sering berselisih pendapat dan tidak sepakat dengan Paduka Raja (Tun Perak)

4.         Walaupun sudah tua, beliau berkahwin dengan Tun Kudu, bekas isteri Sultan Muzaffar Syah yangg juga saudara Tun Perak.

LATAR

Latar Masa

1.  Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

2.  Waktu malam – waktu Awi Dicu hendak menyerang Melaka dan Bendahara Tun Perak serta penduduk Melaka menyalakan puntung api.

Latar Tempat

1.         Melaka – tempat istana pemerintahan Sultan Muzaffar Syah.

2.         Kelang – Tempat Tun Perak memerintah sebagai Penghulu.

3.         Hulu Muar – tempat rotan mengikat barang dibuang oleh angkatan Siam.

4.         Batu Pahat – tempat orang Siam membuat perigi.

Latar Masyarakat

1.         Masyarakat yang taat akan pemerintah – pembesar dan rakyat Melaka taat titah perintah baginda sultan.

2.         Masyarakat yang bersatu – penduduk Melaka bersatu tenaga mempertahankan Melaka daripada serangan Siam.

3.         Masyarakat yang bijaksana – Tun Perak bijak mengatur strategi dalam menghadapi angkatan perang Siam.

4.         Masyarakat yang berani – Tun Umar berani menghendap dan menyerang beberapa buah perahu Siam.

5.         Masyarakat yang berilmu – Tuan Sidi Arab mempunyai ilmu tentang kemahiran memanah.

GAYA BAHASA

1.         Bahasa istana – tuanku, patik, titah

2.         Penggandaan – perahu kecil-kecil

3.         Bahasa Arab – Allah, fiil

4.         Bahasa klasik – syahadan, hatta

5.         Simile – seperti saudara sejalan jadi

6.         Sinkope – ku, mu, tak

NILAI

1.         Keberanian – Tun Umar berani melanggar perahu Siam yang ingin menyerang Melaka.

2.         Kebijaksanaan – Tun Perak bijak mengatur strategi menghadapi serangan Siam.

3.         Keadilan – Sultan Muzaffar Syah bertindak adil dalam mendamaikan dua orang pembesar yang tidak sehaluan.

4.         Tanggungjawab – pembesar dan rakyat Melaka bertanggungjawab mempertahankan Melaka daripada serangan Siam.

5.         Rasional – Tun Perak memberi alasan yang rasional apabila diajukan soalan oleh Seri Amerta tentang aduan orang Kelang.

PENGAJARAN

1.         Kita hendaklah menjalankan pemerintahan secara adil dan saksama.

2.         Kita hendaklah berani menentang musuh atas prinsip kebenaran.

3.         Kita sewajarnya bertindak rasional apabila menghadapi masalah.

4.         Kita mestilah menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

5.         Kita mestilah mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

 

Gurindam Beberapa Petua Hidup: Maksud Rangkap, Persoalan, Gaya bahasa, Unsur Bunyi, Bentuk, Nilai dan Pengajaran

Maksud

Rangkap 1 Orang yang kurang berfikir dan belajar hidupnya akan tersasar/mengakibatkan mereka salah langkah.

Rangkap 2  Sesiapa yang bercakap kurang sopan dan biadap akan mengalami bencana.

Rangkap 3   Sesiapa yang suka bergaduh sesama sendiri hidupnya akan diselubungi kesedihan.

Rangkap 4   Sekiranya mempelajari ilmu separuh jalan/ tidak selesai tidak akan berguna dalam kehidupan

Rangkap 5  Ilmu pengetahuan boleh diperolehi sekiranya belajar dengan tekun.

Rangkap 6   Dunia merupakan tempat untuk bergaul dan berinteraksi serta mencari rakan yang sesuai.

Rangkap 7 – Sesiapa yang melakukan kebaikan namanya akan disanjung sepanjang zaman.

Rangkap 8   Orang yang menganiayai orang lain akan dimurkai oleh Tuhan.

TEMA Nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Gurindam ini menekankan penghayatan yang perlu ada dalam diri setiap insan/seseorang

PERSOALAN

1. Persoalan berfikiran baik dalam kehidupan.          Contoh : ( R1) Kurang fikir kurang siasat Tentu dirimu kelak sesat

2. Menjaga percakapan sesama insan.                        Contoh : (R2) Kalau mulut tajam dan kasar Boleh ditimpa bahaya besar

3. Persoalan memilih rakan baik dalam pergaulan.    Contoh : (R6) Dunia ini taman pergaulan Hendaklah pilih sahabat dan taulan

4. Persoalan berbudi dan berjasa dengan ikhlas sesama manusia.  Contoh : (R7) Barang siapa berbuat jasa Mulia namanya segenap masa

5. Persoalan tentang setiap perbuatan akan ada balasan.    Contoh : (R8) Barang siapa berbuat khianat Tuhan kelak memberi laknat.

GAYA BAHASA

1. Repitasi         – Kurang fikir, kurang siasat

2. Imej alam atau imejan   – dipandang sebagai bunga di taman.

3. Pengulangan kata  Jikalau ilmu tiada sempurna

                                         Jikalau kamu bersifat budiman

                                        Jikalau kamu bersifat dermawan

                                        Jikalau kamu bersifat pemurah

4. Sinkope    Tentu dirimu kelak tersesat

                        Tetapi tolonglah dirimu dahulu

5. Simile       – Ibarat beringin, racun dan upas dipandang sebagai bunga di taman.

6. Peribahasa   – Telunjuk lurus kelengkeng berkait

NILAI

1. Rasional – kita dinasihatkan agar berfikir dahulu sebelum berkata-kata untuk mengelakkan salah faham dan sengketa sesama manusia.

2. Kesopanan – kita dituntut agar menjaga tutur kata supaya tidak menyinggung hati orang lain.

3. Setia kawan – seorang sahabat yang baik akan sentiasa mendorong rakannya ke arah kebaikan.

4. Mengenang jasa – seseorang yang berjasa akan dikenang sepanjang masa.

5. Kerjasama – sifat suka membantu dan menolong sesama insan perlu diamalkan.

6. Kerajinan – kita dinasihatkan agar rajin belajar untuk menambahkan ilmu dan kemahiran.

7. Baik hati – kita dituntut agar sentiasa berbudi sesama manusia.

8. Kebijaksanaan – kita perlu bijak dalam memilih sahabat dan taulan di dunia ini.

PENGAJARAN

1. Kita mestilah berfikiran rasional sebelum bercakap dengan orang lain demi menjaga maruah diri.

2. Kita mestilah ikhlas dalam persahabatan dengan tidak bersengketa dengan sesiapa.

3. Kita mestilah setia dalam pergaulan dengan kawan-kawan supaya kehadiran kita disukai.

4. Kita mestilah gigih menimba ilmu demi menjamin masa depan yang lebih cerah.

5. Kita mestilah bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu supaya setiap masalah yang kita hadapi dapat diselesaikan.

6. Kita mestilah rajin berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan dalam diri supaya dapat menjadi manusia yang bijak pandai.

7. Kita mestilah berbuat baik sesama manusia agar dipandang tinggi dalam masyarakat.

8. Kita mestilah bersifat murah hati dengan membantu sesiapa sahaja untuk meringankan beban mereka.

**********************************

Nota santai NOVEL - Pantai Kasih & Bimasakti Menari

Soalan 4 A : PANTAI KASIH peristiwa yang dapat memberikan teladan, iktibar  kepada pembaca.

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin. Terdapat pelbagai peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Doktor Raiha mempertikaikan tindakan Doktor Uwang yang telah menjalankan pembedahan penggantiansendi pinggul sebanyak lima kali terhadap Unong Siron. Peristiwa ini dapat memberikan teladan kepada pembaca agar bersikap berani dalam mempertahankan pendapat walaupun dengan pihak atasan atau majikan.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Doktor Raiha tetap dengan pendiriannya untuk mengekalkan janin dalam kandungan kerana janin itu tidak berdosa. Peristiwa ini dapat memberikan teladan kepada pembaca agar menyayangi anak walaupun anak tersebut merupakan golongan istimewa (Sindrom Down).

Soalan 4 A BIMASAKTI MENARI peristiwa yang dapat memberikan teladan  kepada pembaca.

Novel yang saya kaji  ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Terdapat pelbagai peristiwa yang dapat memberikan teladan kepada pembaca.

Peristiwa yang pertama ialah peristiwa Nurul Hafsa berusaha untuk menjadikan Kuala Selangor sebagai Kawasan Simpan Langit Gelap untuk mengembalikan populasi kelip-kelip. Peristiwa ini dapat memberikan teladan kepada pembaca agar menjaga kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan hidup.

Peristiwa yang kedua ialah peristiwa Puan Wickham telah berkirim salam kepada Tan Sri Muhaimin dan memasak untuk mereka bertiga sebelum pulang mengikut rombongannya walaupun mereka telah bercerai. Peristiwa ini dapat menjadikan teladan kepada pembaca kerana kita perlu menjaga hubungan kekeluargaan agar bertambah erat untuk kepentingan anak-anak.

SOALAN 4 B : PANTAI KASIH & BIMASAKTI MENARI peristiwa yang menimbulkan keinsafan  kepada pembaca

Novel yang saya kaji ialah novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin  Terdapat banyak peristiwa yang menimbulkan keinsafan kepada pembaca dalam novel ini. Peristiwa yang menimbulkan keinsafan kepada pembaca dalam novel Pantai Kasih ialah peristiwa Doktor Raiha yang telah menegur Felicia Landosi kerana bersikap kasar terhadap ibu Unong Siron. Doktor Raiha memberikan teguran kepada Felicia Landosi supaya melayani dan merawat pesakit dengan adil. Felicia sering kali melayani pesakit yang bergelar Datin dengan penuh mesra sebaliknya melayan ibu Unong Siron yang merupakan golongan sederhana dengan kasar sehingga mendapat teguran daripada Doktor Raiha.

Manakala

novel yang saya kaji  ialah novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop  Peristiwa ini menimbulkan keinsafan kepada pembaca kerana kita perlu adil dalam memberikan layanan kepada semua orang tanpa mengira pangkat, darjat atau kekayaan. Peristiwa yang menimbulkan keinsafan kepada pembaca dalam novel Bimasakti Menari ialah peristiwa Tan Sri Muhaimin membantu Muhammad Taufik menyelesaikan masalah kekurangan populasi kelip-kelip. Tan Sri Muhaimin telah membeli tanah yang menyusuri tepi anak sungai di Kampung Kuantan terus ke Kampung Api-api seluas 50 hektar. Muhammad Taufik telah memagar anak sungai supaya kelip-kelip ada tempat untuk bersembunyi. Peristiwa ini menimbulkan keinsafan kepada pembaca agar menjaga alam sekitar kerana Muhammad Taufik begitu memelihara populasi kelip-kelip agar tidak pupus.






Ahad, 27 September 2020

Langkah-langkah membasmi penyalahgunaan dadah di Negara kita. Bincangkan(Karya terbaik pelajar untuk rujukan pelajar seluruh negara)

 Langkah-langkah membasmi penyalahgunaan dadah di Negara kita. Bincangkan.

Dadah membawa padah, sekali terjebak sukar untuk  beralih arah. Dadah itu kotor, najis yang menghancurkan, merosakkan, diri, institusi keluarga masyarakat dan negara. Dadah seperti heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu,  morfin dan banyak lagi kini berwewenangan di pasaran gelap. Isu penyalahgunaan dadah di negara kita   berada pada tahap yang berbahaya dan perlu dibanteras habis-habisan. Kerajaan mengisytiharkan perang terhadap dadah, dan dadah perlu diperangi hingga ke akar umbi . Langkah drastik perlu dilakukan terhadap petualang yang menyeludup, mengedar, dan  menagih dadah,   demi melindungi rakyat dan demi maruah negara  yang tercinta ini.

Antara langkah paling agresif, ialah kerajaan menguatkuasakan akta dadah berbahaya dengan peruntukan undang-undang, mereka yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori.  Kerajaan melalui agensi antidadah Kebangsaan(AADK), tentera dan polis telah  menggerakkan usaha mencegah penyeludupan, pengedaran dan penagihan dadah  ke seluruh  negara  secara  berterusan dengan kerjasama dan sokongan semua golongan masyarakat. AADK telah melancarkan program pencegahan penagihan dadah besar-besaran setiap tahun, sepanjang tahun, dengan sasaran utama terhadap golongan remaja, belia dan pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baharu di negara ini. Sesungguhnya melalui akta antidadah Kebangsaan  hari ini kita berjaya mengurangkan kes pengedaran dan penyeludupan dadah melalui lelorong tetikus terutama di daerah persempadanan negara.

Seterusnya ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memberi kasih sayang dan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Ibu bapa perlu melentur buluh biarlah dari rebungnya,  mendidik, membimbing anak-anak  sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh disentuh. Tanpa kasih sayang anak-anak muda lebih  mudah terjebak dengan ganja, heroin dan morfin. Untuk  disanjung  oleh  rakan, mereka saling menunjukkan kehebatan  memiliki dan menagih  dadah. Sekali  mereka   bermula,   maka   amat  sukar  bagi  mereka memberhentikan tabiat  buruk ini.   Sekiranya ibu bapa  menyemai nilai kasih sayang dalam  hati  nurani, dalam jiwa anak-anak, sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Bumi mana tidak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, ibu bapa yang membiarkan anak-anak  hanyut dalam ilusi, fantasi dadah  perlu insaf dan segera membetulkan kesilapan  ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah demi menyelamatkan anak-anak daripada tenggelam dalam kehidupan yang gelap gelita tanpa cahaya. Jelaslah melalui kasih sayang dan didikan agama  ibu bapa mampu membimbing anak-anak menjauhi dadah, dan dapat melahirkan   generasi muda yang berkarisma, berintegriti  dan dihormati.

Di samping itu, kesedaran masyarakat  akan kesan pengambilan dadah akan meruntun hati kita untuk sama-sama berusaha mengatasi penyalahgunaan dadah. Dengan berfikiran rasional,  sudah  tentu kita  tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Kesan pengambilan dadah ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila,  sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh sipenagih akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni. Sekiranya ada kalangan anak yang menagih dadah, segera laporkan kepada AADK agar gerak pemulihan, segera dilakukan dan sipenagih dihantar ke pusat pemulihan dadah. Sebenarnya, apabila kita menyedari hakikat akan bahayanya dadah kita akan nekad untuk menjauhi  dan membenci dadah

Kesimpulannya, kita perlu bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan kita wujudkan suasana  sifar dadah di Malaysia. Marilah sama-sama kita hapuskan najis dadah yang memporakperandakan masyarakat, daripada terus hadir di Malaysia.  Kita tiada pilihan selain bersipongang di hati dan di minda kita, berusaha untuk Perangi Dadah Habis-Habisan.


Hasil karya - Chu
Tingkatan 5 SMK Dato Mahmud Paduka Raja 1

Jumaat, 21 Ogos 2020

Bagaimana saya memanfaatkan cuti hujung minggu. Bincangkan. (karangan-karya terbaik pelajar)

 

Bagaimana saya memanfaatkan cuti hujung minggu. Bincangkan. (karangan -karya terbaik pelajar)

Bagi remaja seusia saya , cuti hujung minggu adalah sinonim dengan tidur. Alangkah enaknya berada di alam mimpi hingga lewat tengah hari, sehingga mentari mengintai di celah-celah dedaunan sehingga ibu membebel tanpa henti, kita masih lagi lena dan terlena dibuai mimpi. Tapi Alhamdulillah saya sedar langit itu tinggi rendah, saya tahu membezakan antara kaca dan permata. Masa itu emas jadi cuti hujung minggu saya manfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Antara perkara paling bermakna, paling 'berprestij', saya lakukan pada cuti hujung minggu ialah, saya mencuci kereta , tolong ayah menebas di sekeliling rumah. Yang banyak bekerja ialah ayah. Saya cuma tolong sedikit –sedikit sahaja. Masa banyak kami habiskan dengan berbual-bual sambil bekerja. Ayah bercerita tentang pengalaman sepanjang minggu bekerja di pejabat, saya pula bercerita tentang sekolah, diselangi dengan cerita lucu ayah. Saya ketawa. Ayah senyum. Sambil-sambil itu saya mengurut-ngurut bahu ayah apabila ayah mengadu lenguh-lenguh apabila terlalu lama memesin rumput. Saya teruskan kerja saya mencuci halaman rumah dan membakar sampah. Apabila gema azan  berkumandang saya dan ayah bergegas pergi ke masjid untuk solat Jumaat.  Jarak rumah kami kira-kira sepelaung sahaja dari masjid. Yang jelas sebagai anak lelaki, pada hujung minggu, saya membantu ayah melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumah.

Selanjutnya , pada cuti hujung minggu  tidak ketinggalan saya lakukan riadah atau senaman. Saya berlari perlahan-lahan atau jogging bersama-sama rakan-rakan yang tinggal di kawasan kejiranan. Saya berpakaian lengkap, kasut sukan  kemeja T dan seluar sukan. Kami berlari merentas kawasan perumahan hingga menghampiri  tebing sungai Kelantan secara berulang alik. Aktiviti sebegini dapat mendamaikan minda saya apabila melihat kehijauan persekitaran dan secara serampang dua mata, saya dapat menyihatkan tubuh, dalam erti kata lain ‘badan cergas minda cerdas’. Matlamat ini tercapai apabila riadah saya jadikan rutin pada setiap petang, pada setiap hujung minggu. Selepas riadah kami singgah di warung tepi sungai untuk membasah tekak sambil berbual-bual tentang isu-isu semasa, tentang diri sendiri, tentang SPM dan tentang masa depan kami. Sesungguhnya beriadah melengkapkan lagi aktiviti hujung minggu saya.

Seterusnya, cuti hujung minggu saya manfaatkan untuk ulang kaji semua subjek SPM saya. Saya jua mengikuti kelas tambahan, kelas tuisyen berjadual, berbayar, di pusat tuisyen berhampiran. Latih tubi, ulangkaji berterusan saya lakukan pada setiap hujung minggu secara bersendirian atau bersama-sama rakan-rakan sekelas.  Saya lakukan persediaan menghadapi SPM secara agresif tetapi dalam suasana tenang, santai dan damai kerana saya yakin akan hakikat ‘ dalam tenang kita boleh meneroka dunia’. Saya memberi tumpuan total terhadap subjek kritikal seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Matematik, Fizik, Kimia dan Bio. Saya berazam untuk dapatkan A+ terutama dalam subjek BM dan BI yang merupakan ‘subjek favourite’ saya. Ternyata cuti hujung minggu memang saya manfaatkan banyak masa, setiap detik dan saat, jadi begitu berharga bagi saya untuk membuat persediaan dan persiapan rapi, dalam  menghadapi peperiksaan paling penting dalam hidup saya iaitu SPM .

Kesimpulannya, cuti hujung minggu menginsafkan saya betapa pentingnya kita menghargai masa terutama bagi remaja seperti saya, yang bakal menduduki peperiksan awam iaitu SPM. Saya sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT semoga  hasrat dan impian saya  untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM menjadi kenyataan. Kecemerlangan SPM, bakal saya jadikan hadiah terindah buat ayah dan ibu saya. Dan cuti hujung minggu ini  telah, sedang dan akan saya manfaatkan sepenuhnya. InsyaAllah.

Oleh Muhd Hanif 5 sc 1 - Hanif mendapat A+ BM SPM 2021 dan sekarang sedang menuntut  di UIA




****************************************************

Hari ini 22hb Ogos 2020 suatu kejutan berlaku. pelajar Chung Zhi Shin masuk pintu pagar rumah saya, bawa baldi. Dia terus senyum pabila pandang saya.  Aik , apa tu Zhi Shin?  
 Ummp  cikgu, ayah dan ibu saya bagi cikgu durian. Ayah saya tanam sendiri cikgu. 
 Terharunya saya.... hari ini dapat makan durian. Terima kasih  Zhi Shin dan  Zhi Ming

Isnin, 1 Jun 2020

Bahasa Melayu latihan intensif menjelang peperiksaan SPM

Bahasa Melayu latihan intensif menjelang peperiksaan 
SOALAN 1:Nyatakan pola bagi ayat-ayat di bawah ini sama ada ayat tersebut berpolakan Frasa Nama + Frasa Nama ( FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK), Frasa Nama + Frasa Adjektif ( FN + FA) atau Frasa Nama + Frasa Sendi Nama ( FN + FS).  
1.                Alif Aiman daripada keluarga  Johor Riau. (___________)
2.                Atlet-atlet Sukan Olimpik sedang menjalani, latihan di England. (___________)
3.                Basikal merah itu untuk abang saya. (___________)
4.                Beberapa orang pakar bedah  itu sedang melakukan  pembedahan di bilik bedah. (___________)
5.                Alif Aiman pelakon drama Anakku Dah Balik. (___________)
6.                Iman Tasneem yang berbaju kurung itu sangat cantik. (___________)
7.                Hutan sekitarnya  segar-bugar bagaikan hamparan hijau. (___________)
8.                Alya  pegawai di pejabat itu. (___________)
9.                Jalur Gemilang  lambang identiti negara. (___________)
10.             Menara  Eifel  itu memang cantik reka bentuknya. (___________)
11.             Pemuda yang kacak itu  memakai baju Melayu. (___________)
12.             Buku itu di atas meja (___________)
Soalan 2:Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.
(i)                Ayah membaca surat khabar
_____________________________________________
(ii)              Kami telah menyenaraikan peralatan yang perlu dibawa _________________________________________________
(iii)             Saya akan membaca semua nota itu
 _________________________________________________
(iv)             Kawat berduri  itu melingkari rumahnya
                      _________________________________________________
(v)               Pengetua telah melantik Cikgu  Aziz sebagai guru disiplin
 _________________________________________________

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat dua kesalahan ejaan Gariskan   kesalahan tersebut. 

i)  Galakkan daripada guru banyak membantu meningkatkan pretasi  pelajar
ii) Ibu sedih kerana adik perlu dimasukan ke  wad utk rawatan kanser.
iii) Pejabat pos itu menjual pelbagai  stem sempena  Hari Kebangsan.
iv) Afifah perlu membuat keputusan samada perlu ke universiti atau bekahwin.
v) Usaha  menggalakan belia  menceburi perniagaan satu strategy yang bijak.
vi)  Struktur rumah  itu di   lukis oleh murid-murid dengan mengguakan jangka lukis.
         
Buat ayat menggunakan perkataan berikut:
1.      Sarang    _____________________________________________
2.     Sorong   _____________________________________________
3.      Sering   _____________________________________________
4.     Serang    _____________________________________________
5.      Sarung   _____________________________________________
6.     Kering   _____________________________________________
7.      Karang   _____________________________________________
8.     Karung  _____________________________________________
9.     Kurang   _____________________________________________
10.   Kurung _____________________________________________

Beri maksud perkataan (bahasa istana) berikut:
1.      Mangkat _____________
2.     Gering_________________
3.      Santap____________
4.     Bertitah_________________
5.      Bersemayam______________
6.     Beradu_______________
7.      Bersiram___________
8.     Murka____________
9.     Kaus_____________
10.   Peraduan___________

2. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat  satu kesalahan bahasa Kenal pasti  kesalahan tersebut. 

i) Ketiga kakaknya terlibat dalam kemalangan ngeri yang berlaku awal pagi tadi.

ii) Pengelola majlis itu mengkhaskan kerusi di sebelah kanan pentas untuk tetamu kehormat.

iii)  Kunci kereta yang saya temui ketika pulang dari sekolah diserahkan kepada guru bertugas.

iv) Pakar di Pusat Perubatan Cermat itu sedang memeriksa gendang telinga pesakit di bilik kecemasan.

v) Kedua-dua kenderaan itu telah bertembung di selekoh tajam dan  terbalik beberapa kali.

vi) Para siswazah di dewan itu saling bersalaman setelah peperiksaan akhir mereka selesai.

vii) Dato Ali  mempunyai ramai penyuruh agar tugas sehariannya menjadi mudah dan lancar.

iix) Pihak pengurusan Sri Malaysia Hotel menawarkan pakej yang menarik kepada para pelanggan sempena cuti sekolah.                                                                                                         


3) Kenal pasti subjek dan predikat dalam ayat-ayat di bawah.

i) Akmal ditangkap oleh guru disiplin kerana menghisap rokok di belakang kantin.

ii) Sampah yang bertaburan di atas lantai itu telah saya bersihkan pagi tadi.

iii) Amy dan rakan-rakannya sedang bermain bola sepak di padang sekolah walaupun hujan lebat.

iv) Anak Encik Sallih yang sulung guru sementara di sekolah kami.

v) Jalan raya itu menjadi licin setelah hujan turun dengan lebat pagi tadi

Jangan Tiru