Faedah membeli barang buatan tempatan. Bincangkan
Ketika melancong ke Paris, banyak barang dibeli. Almaklum untuk dibawa pulang ke tanah air, dijadikan kenangan terindah. Haihhh.... Ada sesuatu yang cukup unik.cukup menarik, yang diklasifikasikan berjenama ditemui.. Direnung-renung, ditilik-tilik, tercatat pada kotaknya ‘Made in Malaysia’. Dan... hati ini berkata-kata, kalaulah barang buatan Malaysia sudah berjaya merentasi benua, dijual di pasaran negara-negara Eropah dan Timur Jauh, jadi apa salahnya kita memanfaatkan faedah membeli barang buatan tempatan. Kita perlu lebih nekad memilih dan MEMBELI barang buatan tempatan.Ayuh, sama-sama kita hayati faedah-faedah membeli barang buatan tempatan.
Antara faedah membeli barang buatan tempatan ialah kita dapat menjimatkan perbelanjaan. Barangan buatan Malaysia, harganya amat berpatutan, jauh lebih murah berbanding barangan import. Wang boleh kita jimatkan untuk terus membeli produk jenama tempatan yang lainnya. Pinggan-mangkuk, periuk belanga dan pelbagai lagi keperluan dapur buatan Malaysia memang terbukti jauh lebih murah dan menjimatkan perbelanjaan. Produk pakaian, kasut, keperluan harian kita, harganya murah dan tahan lama dan ada yang telah mendapat pengiktirafan dunia. Kasut buatan Malaysia, jenama Bata misalnya telah mendapat anugerah kasut paling laris jualan di peringkat antarabangsa semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Harga kasut Bata murah, berbanding jenama luar negara. Sesungguhnya dengan harga yang lebih murah, kita dapat menjimatkan perbelanjaan apabila membeli barangan buatan Malaysia
Selanjutnya aspek kualiti mengatasi segala-galanya apabila kita bercakap tentang produk buatan Malaysia. Pengusaha dan pengeluar produk tempatan amat mengutamakan mutu barang keluaran syarikat masing-masing. Produk tempatan dijamin kualiti dan daya tahannya oleh SIRIM. Lihat sahaja perabot buatan Malaysia, memang tahan lasak dan boleh digunakan oleh dua hingga tiga generasi keluarga. Ditenggelami banjir pun perabot –perabot buatan Malaysia tetap kukuh, teguh dan catannya pun tetap ‘bertenaga’ tidak mudah luntur. Tahap keyakinan kita terhadap produk tempatan jadi lebih kukuh 100 peratus. Kualiti beras tempatan pula jauh lebih baik jika dibandingkan dengan beras Siam atau beras dari India. Ternyata jaminan kualiti yang tinggi menjadi penanda aras untuk kita lebih tertarik membeli barang buatan tempatan.
Di samping itu, faedah membeli barangan buatan Malaysia, ialah semangat cinta akan negara yang tinggi dapat disemai dan diterap di minda masyarakat apabila rakyat lebih cenderung membeli produk tempatan.. Rakyat yang kasih akan negara, cinta akan negara dengan rasa rendah hatinya memilih membeli barangan buatan tempatan. Apabila semua rakyat Malaysia membeli jenama tempatan, maka jenama tempatan akan melonjak jualannya di pasaran tempatan dan mempunyai potensi untuk disebarluaskan ke pasaran global. Demi cinta terhadap Malaysia kita beli produk tempatan dan secara langsung kita melonjakkan rasa kasih sayang, apabila jenama tempatan meningkat berganda permintaannya di pasaran tempatan dan di pasaran dunia.. Barangan keluaran Malaysia mendapat sambutan yang hebat daripada masyarakat dan melahirkan rasa cinta kita yang tidak berbelah bahagi terhadap negara. Sememangnya membeli barang buatan tempatan adalah antara prakarsa paling indah kita mencurahkan rasa kasih terhadap negara.
Kesimpulannya membeli barangan buatan tempatan memberi banyak kebaikan kepada kita. Masyarakat Malaysia usahlah teragak-agak untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia. Banyak faedah kita perolehi dengan membeli produk tempatan. Hanya jauhari yang mengenal manikam, yakni hanya kita sebagai pengguna yang tahu dan kenal keunikan, kualiti dan keistimewaan produk tempatan. PENGGUNA BIJAK FAEDAHNYA BANYAK. Sama-sama kita sokong usaha mempromosi dan membeli barang buatan tempatan. Mudah-mudahan usaha kita itu membuahkan kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan