Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 19 Februari 2023

Latihan rumusan terkini SPM

 

LATIHAN RUMUSAN KSSM -


Baca petikan dan sajak di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan  menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan sajak.

BAHAN 1 – PETIKAN

Permainan tradisional dikenali juga sebagai permainan rakyat yang dipusakai daripada generasi terdahulu. Bentuk permainan rakyat yang berseni ini merupakan salah satu daripada identiti negara yang patut dipelihara demi kepentingan generasi pada masa hadapan. Contoh permainan tradisional ialah permain guli, batu seremban, congkak, kaki gajah dan galah panjang. Antara permainan tersebut, congkak merupakan permainan tradisional yang paling popular. Walau bagaimanapun, perubahan teknologi telah mencipta pelbagai jenis permainan digital yang menjejaskan minat generasi baharu terhadap permainan tradisional, termasuklah permainan congkak.

           Sekiranya diperhalusi, permainan congkak yang menetapkan dua orang pemain dalam satu permainan membolehkan semangat setia kawan dizahirkan yang menjadi asas kepada kerukunan hidup bermasyarakat. Di samping itu, permainan congkak dalam kalangan masyarakat terdahulu berupaya mencerdaskan ketajaman akal. Hal ini berkaitan dengan perkataan congkak itu sendiri membawa maksud pengiraan. Kemahiran pengiraan ditekankan melalui mengira mata membuktikan bahawa generasi dahulu sudah didedahkan dengan ilmu matematik. Permainan congkak juga mampu dijadikan sebagai riadah yang menyeronokkan. Permainan ini boleh mengelakkan seseorang itu daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.

          Selain itu, permainan congkak yang mempunyai tujuh lubang sebaris dan dua lubang ibu yang dipanggil “kampung” terletak di hujung papan. Lubang ibu tersebut mestilah diisi dengan buah sebanyak mungkin untuk mencapai kemenangan. Secara tidak langsung, permainan congkak menekankan nilai kejujuran apabila pemain mematuhi peraturan permainan tanpa melakukan penipuan walaupun berkeinginan untuk memenangi pertandingan tersebut. Kegagalan generasi muda memahami falsafah ini dalam permainan congkak menyebabkan minat mereka semakin hilang. Tambahan pula, sesetengah ibu bapa pada hari ini menganggap bahawa setiap permainan tradisional termasuk congkak boleh menjejaskan masa belajar anak-anak mereka. Alangkah ruginya jika warisan dan budaya tinggalan nenek moyang tidak lagi dihargai sehingga hilang dalam arus peredaran masa.

    Dipetik/diubah suai daripada ‘Memugar Permainan Tradisional,’ Oleh Nazri Hussein, Dewan Budaya, Bil. 3/2019

BAHAN 2 – SAJAK

 GADIS-GADIS YANG BERSIMPUH DI BERANDA


Semilir angin petang membawa simfoni damai

 melodi syahdu dirasakan penuh harmoni

 

ayu busana dan senyuman lirih

kesantunan gadis-gadis yang bersimpuh di beranda

bermain congkak warisan bonda.

 

Jari-jemari mengatur buah-buah congkak

bagai lenggang gemalai

 di medan persaingan yang menuntut ketekunan

andaiannya menjangkau jauh ke hadapan

menang tidak pernah sombong diri

kalah tiada terlintas rasa iri.

 

Gadis-gadis yang bersimpuh di beranda

bermain congkak warisan bonda

melestari seni budaya

dalam utuh maruah moyang tercinta

tanpa gundah diri dicerca mundurnya minda.

              M. ARIF- Jalan Munsyi Abdullah, Melaka


 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

LATIHAN RUMUSAN KSSM –2023

Baca petikan dan bahan grafik di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan grafik.

          Cendawan ialah organisma yang unik dan tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan sebenarnya membina kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak berupaya menghasilkan makanan sendiri disebabkan kekurangan klorofil. Di kebanyakan negara, cendawan ditanam sebagai sumber makanan penduduk kerana mengandungi nilai gizi atau zat makanan yang tinggi. Spesies cendawan seperti tiram kelabu, tiram putih dan tiram raja adalah antara spesies yang popular dalam kalangan penggemar cendawan.    

          Dalam perubatan tradisional, cendawan digunakan secara meluas untuk mengubati pelbagai jenis jangkitan bakteria. Cendawan juga dikatakan dapat menghentikan masalah pendarahan. Selain itu, seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi digalakkan supaya mengambil ekstrak cendawan yang diproses kerana dipercayai mampu menjadi penawar untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Namun, tidak semua cendawan selamat demikian oleh manusia. Hai ini demikian disebabkan terdapat juga cendawan yang beracun dan dapat memudaratkan kesihatan kerana mengandungi kadar toksik yang tinggi. 

          Kajian menunjukkan bahawa cendawan merupakan sumber yang kaya dengan antibiotik untuk melawan bakteria yang menjadi punca penyakit. Di samping itu, cendawan juga dapat meningkatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Satu penemuan penting tentang keistimewaan cendawan ialah kemampuannya dalam merawat penyakit kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa cendawan mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida yang menjadi penawar kepada penyakit kanser. Mereka yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi disarankan supaya menjadikan cendawan sebagai makanan harian kerana mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh badan. 

           Perusahaan cendawan yang berkembang pesat, seperti cendawan tumbuh selepas hujan sebaik-baiknya hendaklah seiring dengan kesedaran tentang manfaat pemakanan cendawan. Kemen-kempen dan promosi tentang kebaikan cendawan perlu diperluaskan oleh pelbagai pihak.  Pelbagai insentif kepada pengusaha penanaman cendawan juga penting untuk meningkatkan daya saing mereka.  Malah pasaran produk cendawan perlu diperluas sehingga ke peringkat antarabangsa agar perusahaan ini mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan perusahaan dan  produk tanaman yang lain.

 Dipetik daripada ‘Cendawan Kaya dengan Antibiotik’ oleh Wardah , Dewan Kosmik,  April 2011.

BAHAN 2 - GRAFIK 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru