


Tokoh pemimpin negara yang paling dikagumi – Dato Seri Dr
S Subramaniam
Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal,
pucuk dicita ulam mendatang, Malaysia sungguh bertuah kerana seorang
tokoh perubatan menerajui Kementerian Kesihatan Malaysia. Saat dan ketika yang
sebeginilah yang memang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Seorang
yang sangat arif tentang selok belok kesihatan dan bersedia melakukan pelbagai
prakarsa demi memastikan kesihatan rakyat di negara kita terjaga dan
terpelihara. Beliau seorang doktor perubatan. Beliau yang saya maksudkan ialah
Yang Berhormat Dato Seri Dr S Subramaniam yang merupakan ahli
politik Malaysia dari parti MIC. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Menteri
Kesihatan Malaysia dan perlantikan beliau merupakan satu pemilihan yang tepat
oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Untuk kumpulan kami, kami
secara seia sekata memilih YB DS Dr S Subramaniam sebagai tokoh yang
paling kami kagumi.
Melihat daripada
air mukanya, perwatakannya
memang nampak serius, waima dalam bidang kerjapun kami melihat beliau
seorang yang amat-amat serius. Senyuman beliau amat mahal harganya!!! YB DS Dr
S Subramaniam amat mementingkan amalan penjagaan kesihatan
dititikberatkan oleh setiap indidvidu di Malaysia tanpa mengira usia. Pada
peringkat awal pentadbiran beliau, beliau menasihati dan mengajak semua
masyarakat bersama-sama mengamalkan amalan ‘55555’ supaya kekal sihat dan
ceria. Intipati Amalan 5 LIMA ini ialah, antaranya, menurut beliau seluruh
warga perlu makan 5 kumpulan makanan setiap hari bagi mendapatkan
nutrien yang mencukupi untuk tubuh kita. Yang kedua, makan 5 sajian buah dan
sayur setiap hari kerana setiap jenis buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai
kelebihannya yang tersendiri. Selanjutnya, hadkanlah pengambilan makanan kepada
500 kalori sahaja untuk setiap waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengah
hari dan makan malam. Selain itu, hadkanlah pengambilan gula dalam
minuman iaitu 5 gram, atau 1 sudu teh untuk setiap hidangan minuman. Di
samping itu, bersenamlah sebanyak 5 kali seminggu bagi mengekalkan
kesegaran dan kesihatan tubuh badan kita. Nasihat beliau lagi, Ingat dan praktikkanlah amalan 5 LIMA ini untuk mengekalkan kesihatan. Sememangnya,
dengan nasihat beliau yang tegas, lengkap dan padat menjadi YB DS DR S
Subramaniam amat kami kagumi
.
Sebagai pelajar yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk
pinang saya dapat menghayati bahawa YB DS Dr. S
Subramaniam, seorang menteri yang sentiasa berusaha dan memberi
komitmen yang tinggi terhadap tugas dan tanggungjawab beliau
memastikan semua rakyat Malaysia menerima perkhidmatan kesihatan yang
optimum. Malaysia telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dalam
perkhidmatan kesihatan apabila negara kita menduduki tempat ke-18 dalam senarai
penyedia perkhidmatan kesihatan yang cekap seperti dilaporkan oleh agensi
berita Bloomberg . YB DS Dr. S Subramaniam amat berbangga kerana
KKM yang dipimpinnya telah berusaha dengan gigih untuk membantu
rakyat dengan menyediakan rawatan perubatan yang berkualiti, murah serta mudah
diakses walaupun selepas waktu kerja, atau dalam ertikata lain, perkhidmatan
yang mendahulukan rakyat serta mesra pelanggan. Dan saya rasa lebih berbangga
lagi apabila beliau sendiri turun padang menangani isu colek bayi di
Hospital Tanah Merah, dan menangani gejala serangan virus di Hospital Tanah
Merah, di kampung saya baru-baru ini. Oh, bangganya saya kerana Malaysia
mempunyai seorang YB Menteri Kesihatan yang berwibawa lagi berintegriti.
Seterusnya, dalam usaha menyokong Gagasan 1Malaysia yang
diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, yang mengutamakan rakyat YB DS Dr.
S.Subramaniam berharap pencapaiannya boleh dimanfaatkan oleh rakyat, konsep
Klinik 1Malaysia, Klinik Bergerak 1Malaysia dan Klinik Pergigian Bergerak
1Malaysia telah diperkenalkan dan telah mendapat sambutan yang amat
menggalakkan. Bagi memenuhi keperluan dan permintaan rakyat, Klinik
1Malaysia kini beroperasi di seluruh negara . Sebagai menteri di KKM beliau jua
telah melakukan pendekatan baru iaitu ‘turun padang’ untuk menyampaikan
mesej-mesej ‘makan secara sihat’ dan amalan gaya hidup sihat serta usaha
membasmi obesiti serta pelbagai aspek kawalan penyakit dan penjagaan
kesihatan. Beliau
sesungguhnya amat mengambil berat tentang penjagaan
kesihatan rakyat Malaysia dengan kaedah, strategi dan caranya yang pelbagai
yang menjadikan beliau salah seorang pemimpin yang saya amat hormati dan saya
kagumi.
Yang lebih mengagumkan
saya ialah apabila YB DS
Dr. S.Subramaniam berpendirian bahawa hidup di dunia ini penuh dengan pelbagai
cabaran yang perlu dihadapi serta ditangani dengan baik supaya mencapai
matlamat yang kita idam- idamkan. Meredah cabaran bukan satu perkara yang senang
tetapi memerlukan Visi atau pandangan yang jauh serta pelaksanaan
strategi yang berkesan. Usaha beliau lakukan secara proaktif, berterusan dan
tanpa putus asa. Menurut beliau seperti negara-negara lain di dunia ini, negara
kita menghadapi pelbagai cabaran dari aspek kesihatan. Antara cabarannya ialah
mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik, serta memerangi wabak
penyakit. Kesemuanya cabaran memerangi wabak penyakit diberikan tumpuan oleh YB
DS Dr. S.Subramaniam di KKM. Beliau dan pegawainya bekerja siang dan
malam sebagai satu pasukan yang mantap. Sudah terang lagi bersuluh, kesanggupan
beliau meredah cabaran, untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan kesihatan
serta memastikan rakyat akan mendapat perkhidmatan penjagaan kesihatan yang
terbaik, perkhidmatan kawalan penyakit yang berkualiti menjadikan beliau tokoh
yang disegani rakyat dan saya nekad memilih beliau sebagai tokoh yang saya
kagumi.
Aspek paling nyata ialah YB DS Dr. S.Subramaniam sentiasa
berusaha memastikan jumlah doktor mencukupi memenuhi keperluan negara. Beliau
amat-amat berharap agar semua perkhidmatan hospital berusaha untuk
meneruskan kecemerlangan dengan membentuk dan memupuk suasana kerja harmoni serta mencari
‘win-win solutions’ dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Doktor yang
cekap, dan mencukupi jumlahnya akan membentuk suasana yang harmoni. Beliau amat
yakin, keharmonian itu
adalah amat penting untuk menghasilkan kejayaan melestarikan tahap
kesihatan rakyat yang unggul. Beliau berusaha agar kementeriannya
memperkuat perkhidmatan penjagaan kesihatan asas dan mempromosi gaya hidup
sihat dalam kalangan rakyat Malaysia, menambah baik sistem perkhidmatan dan
pengurusan, dan membangunkan pelan induk sumber manusia iaitu meningkatkan
tahap kepakaran doktor . Sudah
tentulah matlamat beliau memastikan jumlah doktor
mencukupi di semua hospital dan klinik di seluruh negara menjadikan beliau
tokoh pemimpin yang dihormati lagi dikasihi
Kesimpulannya, sebagai pemimpin politik, dan seorang pejuang
bangsa yang berpengaruh di negara ini beliau sering mengingatkan rakyat
akan hakikat, perjuangan memastikan konsep rakyat sihat negara maju tidak
pernah ada nokhtahnya. YB DS Dr S Subramaniam bersama-sama barisan
pemimpin dalam Barisan Nasional, mempunyai semangat juang serta azam yang
tinggi dalam penjagaan kesihatan, untuk mencapai tahap kesihatan
rakyat Malaysia yang ideal dan yang terbaik. Sebagai seorang doktor, seorang
tokoh politik dan seorang Menteri Kesihatan beliau terus berjuang memastikan kapasiti
penjagaan kesihatan diutamakan dan menjadi keutamaan.
Oleh : Anis Syazwani 5 sc 1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan