


Tokoh Tersohor Negara
yang saya kagumi - Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi
Salah
seorang pemimpin tersohor di negara kita
ialah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau
dilantik sebagai Timbalan Perdana
Menteri Malaysia iaitu jawatan politik kedua tertinggi Kerajaan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri, YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dan menjunjung
kasih kepada Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim kerana memperkenan
pelantikan atas cadangan dan amanah yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia,
Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak. Beliau
memikul tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan atas kepercayaan yang
diberikan oleh Perdana Menteri terhadap dirinya. Sebagai pelajar SPM, kami
diberi tugas berkarya tentang sesiapa
tokoh tersohor negara yang kami kagumi. Kumpulan kami memilih YAB DS Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan kami mengambil masa membuat perincian tentang diri beliau dan
sebab-sebab kami mengagumi ketokohan
tokoh tersohor ini. Marilah kita bincangkan bersama-sama perihal personaliti,
ketokohan dan peranan beliau terhadap pembangunan Malaysia tercinta.
Mula-mula
kita telusuri profil diri beliau. Kredibiliti, wibawa dan kasih sayang YAB DS
Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap negara terbukti apabila beliau dipilih oleh pucuk pimpinan negara bagi
mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk pada pilihan raya umum 1999. Sebagai tokoh yang aktif, rajin bekerja dan
dikasihi rakyat, Pilihan Raya Umum 1999 ditempuhinya dengan cemerlang apabila
menang dengan majoriti yang amat selesa. Situasi ini tidak menghairankan kerana
nama YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi
sememangnya cukup sinonim dengan pengundi di Bagan Datuk di mana terletaknya Kampung Sungai Nipah
Darat, kampung kelahirannya. Kasih sayang beliau diterjemahkan pula melalui
pelbagai usaha beliau tanpa jemu, tanpa mengenal putus asa membangunkan bumi
tercinta. Apabila dilantik sebagai menteri persekutuan, dan sebagai TPM beliau
membuktikan ketokohannya menjayakan
pelbagai program pembangunan negara. Sebagai TPM beliau melangkah sederap
bersama-sama PM, memajukan Malaysia. Jelaslah kasih sayang beliau terhadap
negara menjadikan beliau tokoh tersohor yang kami kagumi.
Selanjutnya populariti
beliau tampak nyata apabila beliau memiliki pengalaman yang luas dalam pelbagai
bidang sebelum menceburi dunia politik. Pengalaman menjadikan beliau pemimpin
yang matang dan serba boleh. Sebelum menceburi bidang politik YAB DS Dr Ahmad
Zahid Hamidi adalah seorang bankers dan pernah berkhidmat di beberapa bank
seperti OCBC, Bank Simpanan Nasional dan juga Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Berdasarkan pengalaman itu juga beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi BSN
pada tahun 1995 sebelum melepaskan jawatannya pada tahun 1998. Bagaimanapun
dalam tempoh masa yang sesingkat itu, beliau berjaya mengubah BSN daripada imej
`bank pejabat pos' kepada sebuah bank yang cukup disegani. Sekembalinya ke arus
perdana pada tahun 1999, YAB DS Dr
Ahmad Zahid Hamidi dilantik pula sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara
Berhad (SPNB). Ternyata, pengalaman luas yang pernah dilalui oleh YAB TPM ini
amat menarik perhatian kumpulan kami untuk terus meneroka sejarah kehidupan beliau yang berwarna warni
yang meningkatkan semangat kita golongan pelajar untuk berusaha demi kejayaan.
Masa berlalu
silih berganti, selepas memenangi kerusi
Parlimen Bagan Datoh buat kali ketiga , YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi berjaya
menambat kepercayaan Yg Bhg Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menganggotai
Kabinet sebagai Timbalan Menteri Pelancongan. Pemilihan itu dilihat amat
bertepatan kerana pengalamannya yang luas dalam sektor perbankan dan korporat,
maka beliau memang diperlukan bagi menjana sektor pelancongan yang menjadi industri penting negara. Hubungan
kerja yang akrab antara YAB DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan YAB PM DS Mohd
Najib telah agak lama terjalin erat dan mantap bagai isi dengan kuku, kerana
beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada YAB DS Mohd
Najib semasa YAB DS Perdana
Menteri pada ketika itu menjadi Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan.
Mengulas perihal perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi, dengan
nada rendah diri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih beliau
atas amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh YAB PM. Sokongan padu pula
diberikan oleh barisan pemimpin dan seluruh rakyat Malaysia terhadap beliau.
Semua menarik nafas lega apabila beliau dilantik sebagai TPM. Pengalaman demi
pengalaman dilalui menjadikan beliau pemimpin yang serba boleh, berperibadi
mulia, berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menyebabkan kami amat mengagumi
beliau.
Kita
telusuri pula tahap pendidikan yang diperolehi oleh YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi. Bapa kepada
lima orang anak ini YAB TPM DS Dr Ahmad
Zahid Hamidi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Balai,
Rungkup sebelum menyambung pelajaran di SMKA Izuddin Shah, sebuah sekolah agama
tersohor di Ipoh Perak dan
diteruskan pula ke Sekolah Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Beliau kemudian
melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Malaya pada tahun 1976. Semasa di universiti, beliau
menjadi editor tabloid Mahasiswa Negara yang diterbitkan oleh Persatuan
Mahasiswa Universiti Malaya. Beberapa tahun selepas itu, YAB TPM DS Dr Ahmad
Zahid beliau menyambung pengajian di peringkat sarjana komunikasi di Universiti
Putra Malaysia. YAB TPM DS Dr Ahmad
Zahid Hamidi memperoleh ijazah Sarjana Sains (Komunikasi Korporat) pada tahun
2000 dan kemudiannya ijazah doktor kehormat
PhD-Komunikasi dari UPM. Kecemerlangan YAB TPM dalam bidang ilmu menjadikan beliau seorang pemimpin
yang diyakini rakyat mampu membawa negara ke
arah kecemerlangan. Sememangnya,
ketekunan beliau dalam menuntut ilmu
wajar kita contohi dan kita perlu
berusaha bersungguh-sungguh dalam SPM kita nanti.
Hakikat
yang tidak boleh dikesisikan, sebagai seorang pemimpin nombor dua terpenting
dalam negara YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid
Hamidi menjalankan tugas berat yang diamanahkan dengan penuh rasa
tanggungjawab, adil dan saksama. Perpaduan kaum diutamakan dan pelbagai
program berpaksikan perpaduan kaum
dilaksanakan bersama-sama YAB PM dan
seluruh jentera Barisan Nasional.
Apabila bercakap tentang perpaduan, bukanlah sesuatu yang asing bagi YAB
TPM kerana beliau mempunyai latar belakang masa silam yang begitu unik iaitu
beliau mempunyai keluarga angkat berketurunan Tionghua. Zaman kanak-kanak beliau, banyak diluangkan
bersama-sama keluarga angkat. Titik titis air matanya mengenangkan memori indah
masa silam, menumpang kasih, menumpang
manja dengan keluarga angkatnya, memanfaatkan zaman kanak-kanak bersama-sama
membantu keluarga angkatnya berjualan. Kata bidalan, walau sejauh mana seluang
melaut akhirnya kembali ke pantai jua. Setelah berjaya dan mendapat kedudukan
yang tinggi beliau tidak pernah lupa akan asal usul dirinya. Tempat jatuh
lagi dikenang inikan pula tempat
bermain. Pada kesempatan waktu yang ada, walau sesibuk mana pun dirinya, beliau
sering mencuri masa menziarah keluarga angkatnya di samping keluarganya
sendiri. Senyuman sentiasa terukir di wajahnya setiap kali bertemu dengan
keluarga angkatnya yang berketurunan cina itu. Ternyata kasih sayang wujud antara
mereka. Magis berlaku terutama pada setiap musim Tahun Baharu Cina – terserlah
suasana keluarga bahagia, menyinari kehidupan beliau. Tidak terungkap dek kata-kata, beliau
amat-amat menyayangi keluarga angkatnya itu, dan beliau merupakan 'anak'
kesayangan keluarga ini. Bagai irama dan lagu, mereka tidak boleh dipisahkan.
Kesimpulannya, YAB TPM DS Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YAB PM DS Mohd Najib Tun Abd Razak merupakan suatu gandingan mantap, ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni
bersama-sama barisan kabinet negara
untuk membawa negara kita ke arah
yang lebih maju dan berdaya saing di persada dunia. Sebagai generasi muda kami berasa amat
kagum dengan daya kepimpinan YAB TPM dan bertuah kerana
berkesempatan dipimpin oleh barisan kepimpinan yang sedia ada, yang dinamik,
yang sedia berkhidmat dan berbakti untuk negara. Semoga negara kita terus maju
dan terus membangun dengan cemerlangnya.
Oleh Nurul Natasha 5 sains 1(Tasha memperolehi A+
BM SPM 2016
Peringatan: semua
karya perlu patuhi Format Karangan SPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan