


YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak
Pemimpin negara yang
amat saya kagumi.
Menghayati perjuangan Perdana Menteri Malaysia - YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji
Abd Razak - Projek Khas Karangan persediaan menghadapi SPM
Malaysia hari
ini dianalogikan sebagai sebuah bahtera yang dikemudikan oleh seorang nakhoda
perkasa bersama-sama anak-anak kapalnya menuju ke pelabuhan jaya. Kerjasama dan
perpaduan erat antara pemimpin dan masyarakat berbilang ras menjadikan Malaysia terus makmur dan
membangun, serta gah di persada dunia.
Nakhoda yang saya maksudkan ialah, YAB Dato’ Seri Haji Mohd Najib Tun Haji Abd
Razak. Pada arena penulisan ini saya
ingin suarakan pendapat dan pandangan saya tentang ketokohan YAB Dato’ Seri
Haji Mohd Najib Tun Haji Abd Razak . Saya dan rakan-rakan, kami nekad dan tetap
memilih beliau walaupun dua, tiga kumpulan lain turut memilih beliau. Cikgu pun
nampaknya hingga tidak terkata, membisu seribu bahasa, membiarkan kami meneroka
minda secara ilmiah dalam kalam berbahasa. Kami mempunyai sebab, dan fakta
konkrit, untuk memilih beliau antara tokoh paling kami kagumi. Mudah-mudahan
kita sama-sama dapat menghayati perjuangan Perdana Menteri Malaysia melalui
citra bahasa kami ini.
Sebagai frasa
pengenalan YAB DS PM merupakan seorang pemimpin nombor satu negara yang telah,
sedang dan akan terus berusaha membawa negara
ke mercu kegemilangan. Beliau dihormati, disayangi kerana personalitinya
unggul, sopan dan amat berbudi bahasa. Laut bicaranya ikhlas serta tampil
berani menempuh cabaran. Umum mengetahui, sepanjang pentadbiran beliau, banyak
cabaran, banyak rintangan dan banyak dugaan terpaksa dihadapi. Dan bukan
calang-calang orang boleh menghadapinya. Cabaran tidak pula mematahkan semangat
beliau untuk terus berjuang, bahkan terus membakar semangat beliau berjuang
dalam satu barisan. Istilah ‘putus asa’ atau ‘mengaku kalah’ memang tidak ada
dalam kamus hidup beliau. Sikap beliau
yang ini, amat dikagumi, dihargai oleh rakyat Malaysia. Beliau tabah dan berani
menghadapi cabaran. Prinsip beliau ialah bekerja dan berusaha. Sesungguhnya,
Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah terhadap orang yang sabar dan tabah
dengan ujian-Nya. Hari ini pula, kita
dapat melihat satu aliran baharu dalam barisan kepimpinan negara, yang saya
nukilkan, bagaimana gendang begitulah tarinya, sama serentak, seperti sikap
amat, amat rajin bekerja YAB DS PM, kita melihat kesemua menteri , anggota
kabinet negara rata-ratanya begitu aktif, begitu rajin bekerja, ikhlas berbakti
dan berjuang membela nasib rakyat. Situasi ini tidak kita lihat, di mana-mana
negara lain di dunia. Sememangnya, bertuahnya kita menjadi rakyat Malaysia
mempunyai seorang Perdana Menteri dan barisan pemimpin yang tanpa henti berjuang demi negara tercinta.
Menyingkap
dari aspek yang lebih ketara, iaitu ikatan kerjasama rakyat dan pemimpin, serta
keyakinan rakyat terhadap pemimpin. Rakyat Malaysia berpegang kepada prinsip
hidup, kalau berperahu biarlah berpendayung agar sampai ke tanah seberang,
jangan pula berlabuh di tebing runtuh,
kelak hanyut dibawa arus. Wibawa kepimpinan negara dihargai oleh rakyat, rakyat
menyokong perjuangan YAB DS PM. Kita
amat yakin pintu persaudaraan, perpaduan
terbuka seluas-luasnya pada bila-bila masa dalam kalangan rakyat dan kepimpinan
negara hari ini. Yang penting dan yang utama ialah wibawa, dan integriti, buangkanlah yang keruh ambillah yang
jernih. Jangan biarkan nila setitik
merosakkan susu sebelanga. Dalam suasana negara kita yang aman damai ini apalah salahnya kita sama-sama merapatkan saf, mengukuhkan, menguatkan dan
memantapkan lagi perpaduan bangsa demi kesejahteraan, keamanan nusa tercinta.
Apalah salahnya kita sokong, kita berikan semangat, kita bantu YAB DS PM kita
berjuang, bekerja, berusaha ke arah
memakmurkan negara, sekali gus
menyemarakkan lagi syiar Islam di negara kita. Tergamakkah kita membiarkan YAB
DS PM berjuang habis-habisan, bersendirian. Marilah kita hulurkan tangan
membantu beliau. Ternyata kita perlu bantu YAB DS PM kita, dan kalau
bukan kita, siapatah lagi.....
Wacana fikrah
selanjutnya, kita hayati pula betapa darjah sokongan rakyat terhadap perjuangan
YAB DS PM. Rakyat sentiasa mendoakan agar YAB DS PM diberi Allah ketabahan, kecekalan dan tenang
mendepani pelbagai situasi. Kata bidalan kilas ikan di air, tahu jantan
betinanya, rakyat tahu menilai, rakyat bijak membezakan yang mana kaca dan yang mana permata. Rakyat
boleh menilai ketulusan dan keikhlasan serta kegigihan PM YAB Dato Seri Haji Mohd
Najib dan rakyat amat menyokong dan menyanjung tinggi perjuangan YAB DS PM dan
barisan menteri ke arah membina dan membangunkan negara. Rakyat memberi
sokongan dan kerjasama yang total, yang padu, sokongan seratus peratus terhadap segala usaha gigih
YAB DS PM tanpa kenal putus asa! Semua agenda pembangunan negara yang dipimpin
dan diteraju oleh PM YAB Dato Seri Haji
Mohd Najib secara profesional dan
beretika mendapat sokongan padu, berterusan
seluruh rakyat Malaysia. Syukur Alhamdulilah hari ini berkat doa rakyat
jelata, PM YAB Dato Seri Haji Mohd Najib seyogia bekerja dengan senyuman
terukir di wajah apabila kejayaan demi kejayaan dicapai oleh negara dan
dinikmati pula oleh rakyat.
Sama-sama kita
nostalgiakan, selepas merdeka sehingga hari ini, pembangunan adalah agenda
Kerajaan Barisan Nasional untuk negara dan rakyat. Benar, kita berbangga dengan
bangunan pencakar langit, litar lumba dan sebagainya, tetapi kesemua
pembangunan sebegini tidak memberi impak secara langsung kepada kehidupan rakyat
teramai. Dalam kata lain tidak
benar-benar menyentuh denyut nadi rakyat. Oleh itu, sejak menjadi Perdana
Menteri, YAB DS PM telah memastikan pembangunan negara kita mesti bersifat
tertumpu kepada kepentingan rakyat teramai. Inilah asas kepada projek besar
yang telah dilaksanakan, seperti Lebuhraya Pan Borneo, MRT, Keretapi Laju Kuala
Lumpur-Singapura atau HSR, East Coast Rail Link (ECRL). Projek-projek ini –
meskipun adalah pembinaan dan pembangunan infrastruktur berstatus mega – adalah
bertunjangkan kepada kepentingan rakyat.
YAB PM menamakan projek-projek ini sebagai ‘InfraRakyat’. Yakni suatu
projek paling utama untuk mensejahterakan rakyat. Beliau amat mengharapkan agar
projek-projek InfraRakyat memberi impak dan kesan yang amat bermanfaat lagi
amat bermakna melengkapi keperluan kehidupan rakyat Malaysia pada masa ini dan
pada masa hadapan. Semoga hasrat, impian dan harapan beliau menjadi kenyataan, dengan izin Allah swt
jua.
Seterusnya
kita selongkar daya usaha dan iltizam tokoh tersohor negara kita ini. Atas
kapasiti beliau sebagai seorang PM yang
berwibawa lagi berkarisma beliau terus merencana dan menjana pelbagai program
untuk membangunkan negara demi mensejahterakan dan menyatu-padukan rakyat .
Seluruh jiwa dan raganya adalah untuk rakyat dan negaranya. Rakyat Malaysia
sentiasa mendambakan pencapaian. Hari ini PM YAB DS Haji Mohd Najib yang
berusaha menggerakkan Malaysia ke arah
berstatus negara maju, telah membuktikan kejituan prinsip‘ Rakyat didahulukan
pencapaian diutamakan’, bukanlah suatu omongan kosong. Kini, pada waktu ini,
konsep ‘Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ telahpun menjadi kenyataan.
Rakyat amat gembira dengan pelbagai kejayaan, pelbagai keberhasilan yang
dicapai oleh negara berpaksikan pemuafakatan dan perpaduan. Rakyat amat
bersyukur dan berterima kasih atas pelbagai kemajuan yang telah, sedang dan
akan kita nikmati bersama-sama yang dirintis dan digerakkan oleh YAB DS PM dan
Barisan Nasional ,dengan izin Allah swt. Dengan penuh keikhlasan, dan penuh
rasa syukur, kami golongan pelajar,
sentiasa memanjatkan doa dan harapan agar paduka ayahanda YAB DS PM yang amat
kami kasihi ini diberi Allah sihat
sejahtera, dipanjangkan usia untuk mentadbir tanah air tercinta ini.
Kesimpulannya,
rakyat Malaysia amat berbangga mempunyai
Perdana Menteri dan barisan menteri kabinet yang berintegriti lagi berwibawa, yang ke gunung sama didaki,
ke lurah sama dituruni, yang berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,
yang bergerak ke arah
matlamat ‘ satu untuk semua dan semua untuk satu’, yang meyakini hakikat
bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Kejayaan yang
dicapai oleh negara hari ini membuktikan perjuangan PM YAB Dato Seri Haji Mohd
Najib bersama-sama anggota kabinet dalam
Barisan Nasional, membela nasib rakyat jelata, yang berbilang bangsa dan agama
memang tidak sia-sia. Hari ini rakyat jelata melihat sendiri pelbagai
transformasi dan kejayaan demi kejayaan
dicapai oleh negara. Malaysia kekal aman dan damai di bawah kepimpinan
beliau. Kejayaan kita turut dicemburui oleh
negara luar dan mereka kini berusaha mencontohi negara kita dalam
meneroka dan mencapai kejayaan jua– DAN yang lebih menyerlah lagi ialah, pelbagai
kejayaan dicapai oleh negara dan
anak-anak watan hari ini telahpun mendapat pengiktirafan WARGA DUNIA. Renung-renungkanlah, dan fikir fikirkanlah..!!
Oleh Mohd Zakuan Haris Shaari 5 sc 1 (Zakuan pelajar terbaik 11 A SPM 2016)
Oleh Mohd Zakuan Haris Shaari 5 sc 1 (Zakuan pelajar terbaik 11 A SPM 2016)
Karya terbaik pelajar saya - cg Maznah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan