
Pelbagai masalah sosial seperti pergaulan bebas, vandalisme dan lari dari rumah berkait rapat dengan kebejatan institusi keluarga.Jelaskan peranan keluarga dalam menangani masalah sosial tersebut
Gejala sosial yang semakin meruncing amat membimbangkan masyarakat.
Fenomena ini diibaratkan
api dalam sekam yang akan marak menyala-nyala pada bila-bila
masa.. Pada zaman ke arah pembangunan TN50, masyarakat sering dikejutkan dengan
pelbagai berita dan cerita tentang gejala sosial yang berleluasa. Kancah sosial
ini berlaku dalam kalangan remaja dan mereka selalu berbuat kecoh dengan
sindrom pergaulan bebas, , melepak, meragut, mencuri dan kemelut gengsterisme. Kita tidak sedar bahawa punca kepada masalah
ini datang daripada orang yang rapat dengan kita. Tampaknya, masalah
gengsterisme, vandalisme, samseng
jalanan, ragut, buli, peras ugut, remaja lari dari rumah sering berkait rapat
dengan kebejatan institusi keluarga. Realitinya peranan keluarga amat
signifikan untuk mengekang sindrom
sosial terutamanya yang melibatkan remaja.
Salah satu peranan institusi
keluarga, ialah ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral kepada
anak mereka sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama dan moral bagaikan perisai yang berupaya menghalang
daripada perbuatan onar dan bertentangan dengan tatasusila dan cara hidup
masyarakat Timur . Prakarsa ini dapat membantu anak-anak menghindari diri
daripada terlibat dengan gejala sosial. Apabila tingkah laku positif sudah
mendarah daging dalam diri ahli keluarga tidak akan tergamak menconteng
arang ke muka keluarganya. Untuk melengkapkan jati diri dan kekuatan
ummah, bapa boleh mengajar anak-anak mereka sendiri tentang amal ibadah atau
menghantar anak-anak ke sekolah agama. Ayah dan ibu perlu
membimbing anak-anak mengaji alquran, mengerjakan solat, dan menghayati Islam
sebagai addin. Sehubungan
dengan itu, anak-anak dapat
membezakan antara kaca dengan permata kerana mempunyai jati
diri yang kukuh sebagai pedoman hidupnya.
Tidak terkecuali ibu bapa juga
bertanggungjawab untuk mengawasi pergerakan anak-anak. Ibu bapa perlulah
mengawasi tingkah laku anak-anak mereka sama ada di sekolah mahu pun di luar
kawasan sekolah. Hal ini perlu dilakukan kerana banyak
pengaruh luaran seperti pengaruh rakan sebaya menghasut dan mempengaruhi
jiwa remaja yang ibarat
pancang di tengah-tengah muara dan mudah dipengaruhi
apatah lagi dicabar. Jika rakan sebaya mereka berperibadi negatif,
bersikap semberono, remaja yang usia baru
setahun jagung dan darah setampuk pinang pasti akan mengikut
jejak langkah rakan mereka, seperti melepak, membuli,berlumba haram dan
sebagainya. Ibu bapa perlu akur, pergaulan anak-anak di luar rumah tidak
boleh dipandang enteng oleh ibu bapa. Dengan kata lain , ibu bapa perlu mewujudkan
keluarga yang bahagia demi membentuk personaliti anak-anak yang unggul,
bersopan dan berhati mulia.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua perlu menjadi contoh
dan teladan yang baik kepada anak-anak. Anak-anak berasa bangga mempunyai
ibu bapa yang cukup hebat, bukan sahaja menjadi menjadi kekuatan untuk
anak-anak pada saat-saat sukar, malah ibu bapa adalah tonggak kehidupan
anak-anak.Suri teladan ibu bapa mampu membentuk sahsiah anak-anak.
Tambahan pula, sikap anak-anak yang suka mencontohi, meneladani apa-apa sahaja
yang dilihatnya bak kata peribahasa, bapa borek,
anak rintik. Ibu bapa yang tegas,
tetapi penyayang, lembut dalam tutur kata dalam membimbing anak-anak memang
dikagumi dan dikasihi anak-anak. Bagaimana acuan begitulah kuihnya, merupakan
peribahasa yang perlu dihayati oleh anak-anak dan ibu bapa. Sikap ibu bapa yang
ego, individualistik, dan materialistik, akan mencanai dan membentuk
generasi muda yang tidak berakhlak dan berbudaya songsang.Sememangnya ahli keluarga perlu
menunjukkan contoh dan teladan yang baik untuk diteladani oleh generasi
muda
Dalam
pada itu, kasih sayang yang
sempurna, unggul dan ikhlas amat diperlukan oleh anak-anak. Ekoran daripada itu
, ibu bapa wajar memberikan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak.
Kasih sayang merupakan suatu formula paling afdal untuk menangani isu sosial
anak-anak. kerana anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang suka
memberontak dan akan mudah terpengaruh oleh gejala sosial. Ibu bapa
melayani anak mereka mengikut kesesuaian bagai menatang
minyak yang penuh. Sebagai contoh, ibu bapa
sewajarnya memberi galakan dan mengucapkan kata-kata inspiratif kepada
anak-anak mereka. Ibu bapa jua perlu memberikan pujian yang ikhlas ketika anak
mereka mencapai sesuatu kejayaan atau melakukan perkara yang amat membaggakan seisi
keluarga. Anak-anak pasti akan berasa gembira dan lebih selesa berada di
rumah bersama-sama keluarga. Mereka pun sanggup meluahkan isi hati ketika
mengalami kemusykilan kerana ibu bapa mereka merupakan pendengar yang setia. Ternyata keluarga yang harmoni, dengan
kasih sayang yang abadi berusaha untuk menjauhkan dan menghindari anak –anak
daripada aktiviti sosial yang negatif kerana anak-anak ialah
permata hati ayah dan ibu.
Di samping itu , setiap ahli keluarga juga
perlu sentiasa berkongsi masalah untuk mengeratkan silaturahim
sekeluarga. Ibu bapa harus sentiasa bertanyakan masalah anak-anak
atau bertanya khabar perkembangan anak-anak di sekolah. Ibu bapa perlu
membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu
bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak, manakala
anak-anak pula perlulah memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa
mereka. Berikan ruang rehat untuk ibu bapa. Anak-anak perlu sentiasa ada ruang
dan kesempatan untuk membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rutin di
rumah untuk meringankan bebanan ibu bapa mereka. Dengan itu, setiap
anggota keluarga akan berasa, antara satu sama lain, mereka diberikan
perhatian oleh ahli keluarga. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari
keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa untuk mengeratkan silaturahim
sekeluarga. Sesungguhnya gejala sosial dapat
ditangani, dihindari apabila ada saling memahami, perkongsian kemelut sesame
keluarga dan sama-sama menyelesaikannya.
Kesimpulannya segala usaha melahirkan masyarakat madani dan sakinah pasti akan membuahkan kejayaan kerana adanya toleransi antara seisi
keluarga. Apabila adanya kasih sayang, iman yang kukuh, gejala sosial tidak
akan wujud dalam kamus hidup remaja Malaysia. Kunci utamanya ialah kasih
sayang, membuka pintu keinsafan bahawa gejala sosial perlu
sama-sama kita tangani ke arah membina keluarga bahagia, masyarakat
Malaysia yang cemerlang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan