Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 5 November 2017

Ciri-ciri remaja berwawasan. (soalan BM kertas 1 percubaan Negeri Sembilan)

 Remaja pada hari ini merupakan aset negara dan pemangkin kepada kemajuan negara. Jelaskan ciri-ciri remaja yang berwawasan. (soalan BM  B1 percubaan Negeri Sembilan )
       
Remaja ialah  golongan muda  yang berusia antara 12 hingga 21 tahun  Perkataan remaja kalau tidak silap saya,  berasal daripada perkataan Latin bermakna menuju ke arah kematangan. Usia remaja ialah usia transisi dari peringkat kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Usia remaja ialah usia yang penuh dengan fantasi, ilusi, khayalan dan impian.Mereka berada di alam fatamorgana yang cukup mempersonakan. Remaja yang normal mempunyai angan-angan atau visi atau wawasan yang  sihat tentang  masa depan mereka. Mereka sentiasa memikirkan apa-apa  yang akan mereka buat pada masa hadapan.Perihal ciri-ciri.remaja berwawasan inilah yang akan kita telusuri bersama-sama.

          Antara ciri unggul remaja berwawasan ialah remaja yang tahu hala tuju hidupnya pada masa hadapan iaitu kejayaannya dalam SPM. Pada hari ini 6hb November bermula detik penentuan wawasan diri seorang remaja seperti saya sendiri yang pada hari ini, pada saat ini sedang menduduki peperiksaan paling penting di Malaysia iaitu SPM 2020. Remaja yang berwawasan tahu yang dirinya perlu lulus SPM dengan cemerlang dan sentiasa mempunyai visi serta hasrat untuk menyambungkan pengajiannya di universiti.Remaja seperti saya mengimbau dan memasang angan-angan bahawa ada kerusi kosong sedang menunggunya di Universiti. Menyedari hakikat bahawa Ilmu itu pelita hatiremaja tega berusaha menimba ilmu, menguasai kepakaran tertentu bagi merealisasikan impian,dan  harapan  menempatkan diri di  puncak menara gading.Ternyata remaja yang bervisi ialah remaja yang berilmu yang bermula dengan semangat juang mahu menempa kejayaan dalam  SPM dan melanjutkan pengajiannya ke institusi pengajian tinggi.

       Selanjutnya elemen pragmatik seorang remaja Malaysia  ialah remaja  yang mempunyai visi mahu menempuh dan menempa alam kerjaya yang diidam-idamkan selepas tamat pengajiannya di universiti. Alam kerjaya yang seringkali menjadi wawasan remaja sudah tentulah kerjaya yang berprestij yang bersesuaian dengan tahap pendidikan dan latihan asas, intensif atau ekstensif yang diterimanya. Remaja mahukan suatu jawatan mantap yang memberikan pulangan pendapatan yang lumayan untuk jaminan masa hadapannya. Bagi remaja yang visinya cenderung dalam bidang undang-undang, kedoktoran jurutera atau pakar ekonomi sudah pasti tahu dan ada dalam bayangan mindanya  tentang  masa depan kerjaya sebegini. Terbayang di kotak fikirnya tentang rumah agam, kereta, wang simpanan hasil daripada pendapatan yang diperolehi. Ada remaja memilih mahu menjadi selebriti tersohor tanah air, menjadi pelakon atau penyanyi, namun matlamatnya tetap mahu  mengukuhkan kedudukan ekonomi untuk menjalani kehidupan yang serba mencabar  dan penuh dengan onak dan ranjau ini.  Jelaslah , remaja bervisi ialah remaja yang sudah ada di mindanya  akan kerjaya yang bakal dimilikinya yang ada jaminan masa dengan terutama dari segi pendapatannya yang benar-benar kukuh lagi lumayan

             Seterusnya seiring dan senada dengan semangat juang yang tinggi, remaja berwawasan sudah tentu seorang yang taat pada perintah agamanya. Bagi seorang remaja Muslim sudah tentulah tidak akan meninggalkan solat lima waktu dan berusaha untuk melaksanakan Rukun Islam yang lima. Remaja yang bervisi tinggi tahu betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah Yang  Maha Esa. Remaja ini tidak akan sombong mendabik dada bagaikan merak mengigal di rimba. Remaja yang luhur berbudi bahasa ,sopan tutur bicaranya sentiasa berpijak di bumi nyata,sentiasa bermohon doa ke hadrat Yang Maha Esa agar dipermudahkan perjalanan hidupnya menuju kejayaan dan kecemerlangan. Usaha berterusan dilakukan dengan keyakinan yang tinggi, takkan lari gunung dikejar, hilang kabus tampak jua. Namun walau setinggi manapun pencapaian seseorang remaja, solat lima waktu jangan sesekali diabaikan, jangan kita tangguh-tangguhkan  kerana bertangguh itu pencuri masa.Sesungguhnya remaja berwawasan ialah remaja yang sentiasa berusaha dengan iringan doa ke hadrat Allah swt kerana kita hanya boleh berusaha dan merancang, Allah swt menentukan segala-galanya.

        Di samping itu elemen remaja berwawasan yang tidak boleh sama sekali diperkotak-katikkan ialah remaja punyai wawasan mahu membela nasib diri dan keluarganya. Remaja mahukan dirinya, ibu bapanya, adik beradiknya, bahkan seluruh ahli keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan dan kedaifan.Berjasa kepada kedua-dua ibu bapa adalah hasrat dan wawasan semua remaja Malaysia yang sentiasa insaf betapa ayah dan ibu banyak berjasa membimbing dan membesarkan kita, dan  tanpa  mereka siapalah kita....... Jasa ayah dan ibu tidak dapat kita balas dengan jutaan mutiara mahupun segunung intan. Hargailah jasa mereka selagi berkesempatan, selagi mereka masih bernafas di bumi Allah. Ayah dan ibu adalah permulaan kita dapat melihat bulan dan matahari. Remaja berwawasan akan menjaga kedua-dua ibu bapanya santak ke usia senja....., hingga ke usia emas. Remaja bervisi ini akan berusaha menjaga segala kebajikan kedua-dua orang tuanya. Sememangnya menghargai jasa ibu bapa, membela nasib keluarga merupakan ciri idealistik seorang remaja bervisi dan berwawasan di Malaysia.

       Selain itu, walau sekali air bah, sekali pasir  berubah, remaja berwawasan tidak pernah memungkiri ikrar Rukunegara  pada zaman persekolahannya yang berjanji dan bersetia,  kepada negaranya yang tercinta.  Mempunyai dan memiliki semangat patriotik  merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Remaja bervisi   senantiasa  menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Remaja tidak akan bersikap mementingkan diri sendiri seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, dan  tidak akan bersikap seperti kacang  lupakan kulit. Sebaliknya, remaja berwawasan akan berusaha menjalinkan  ikatan  ukhuwah tanpa mengira bangsa, dan agama  sesama remaja demi menyahut intipati slogan 1Malaysia. Slogan 1Malaysia menjadi iktibar dan pedoman remaja berwawasan dalam  meneroka kehidupan menjelang dewasa, berlandaskan sikap bantu membantu bagai aur dengan tebing, untuk pastikan Malaysia sentiasa aman, makmur  dan sejahtera. Hakikatnya,semangat cinta akan negara menepati ciri remaja berwawasan yang bertepatan pula dengan bidalan tradisi di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung . 

       Kesimpulannya andainya saya sebagai remaja diberi pilihan secara kronologi memilih wawasan diri, maka izinkan saya terlebih dahulu berjuang untuk kejayaan SPM saya bersama-sama ribuan  rakan remaja yang lain dalam SPM 2020. Doakanlah kejayaan kami. Aspirasi Negara menjelang TN50  akan dengan sendiri menjadi inspirasi serta wawasan kami golongan remaja Malaysia pada hari ini.  Remaja hari ini amat yakin dan percaya akan hakikat yang terserlah dalam kata-kata mutiara,  untuk melihat kejayaan negara pada hari esok maka lihatlah usaha, visi dan misi remaja Negara pada hari ini.

Karya  Muhd Noersyah   tg 5 sains (agama)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru