Cara-cara menceriakan, menjaga kebersihan
sekolah dan persekitarannya. Bincangkan
Sekolah
yang bersih, damai, kondusif lagi ceria merupakan tempat paling ideal untuk kita
menimba ilmu. Ada sekolah yang terbiar,
kotor, lalang sama tinggi dengan
bangunan, rumput tumbuh meliar, cat bangunan lusuh dan comot, penuh dengan
pelbagai contengan! Sekolah yang ‘huru-hara’ keadaannya ini boleh kita nobatkan sebagai kandang lembu atau kandang kambing atau ibarat sebuah kota
yang berhantu, berpenunggu, amat
menakutkan lagi menggerunkan!!!. Terasa jantung bergetar, dup, dap, dup,
dap apabila menerjah masuk ke kawasan sekolah sebegini. Sekolah perlu kita
bersihkan, sebersih-bersihnya. Menjaga kebersihan dan keindahan sekolah adalah
tanggungjawab kita semua sebagai warga sekolah. Ayuh, sama-sama kita telusuri,
kaedah dan cara untuk menceriakan sekolah dan seluruh persekitarannya.
Sepanjang pengetahuan saya, setiap sekolah punyai pekerja khusus untuk
membersih dan menceriakan kawasan sekolah. Tanggungjawab mutlak
pekerja-pekerja sekolah ialah membersih, mengemas, memesin rumput,
menebas lalang. Menebang dahan pokok yang tua dan membahayakan . Pekerja
sekolah dengan tugas tetap dan berjadual perlu pastikan setiap tandas dicuci
bersih, ‘laluan gajah menyusur’ kemas, bersih dan tersusun rapi, yang kurang
ditambah, yang berselerak diperkemas, yang pudar diberikan ‘sinarnya’ semula.
Persekitaran sekolah yang dijaga bersih
indah amat mempengaruhi suasana pembelajaran dan keselesaan pelajar-pelajar
semasa berada di sekolah.Sesekali apa salah pihak sekolah, Puan Pengetua
terutamanya memberi penghargaan atau
kata-kata semangat kepada para pekerja sekolah sementelahan sekolah sentiasa
dijaga bersih, kemas dan ceria. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab pekerja
sekolah menjadi pemangkin suasana ceria bersih kawasan sekolah.
Masa berlalu silih berganti,
pertandingan kelas terbersih perlu diadakan mengikut kesesuaian waktu.
Kelas terbersih dan terkotor diumumkan
pengiktirafannya dalam perhimpunan
mingguan. Kelas terbersih akan diberikan hadiah dan sijil penghargaan Melalui program dan aktiviti sebegini, pelajar akan komited menjalankan tugas
masing-masing untuk membersihkan kelas mereka, seperti mengelap cermin tingkap,
menyapu lantai dan mengemaskan meja dan kerusi.
Guru bertugas harian dan mingguan akan memantau dan menilai tahap
kebersihan kelas setiap hari dan diberi markah.
Sebaliknya kelas terkotor perlu didenda untuk menjalankan pembersihan
pada waktu petang, seperti mencuci tandas dan membersihkan taman dan kantin sekolah. Secara responsifnya, percayalah.... pelajar
akan mengamalkan tabiat menjaga
kebersihan dalam kehidupan sehari-harian mereka, dan dengan sendirinya
program 3K anjuran KPM hari ini menjadi
kenyataan. Program 3K bermaksud mengutamakan Kebersihan, Keindahan dan
Keselamatan. Pihak sekolah sentiasa
memastikan kawasan sekolah dalam keadaan yang bersih, indah dan
selamat. Pemeriksaan dan penyeliaan dari semasa ke semasa dapat merealisasikan
impian sekolah ceria dan selamat. Tepatlah dikatakan pertandingan kebersihan
kelas yang menepati konsep dan matlamat program 3K dapat menzahirkan suasana sekolah yang bersih
damai dan selesa sehingga para pelajar benar-benar menyayangi dan mengasihi
sekolahnya.
Tidak dapat dipinggirkan realiti
mengadakan program bergotong-royong dapat memberikan perubahan drastik
terhadap persekitaran sekolah. Aktiviti bergotong royong di bawah kelolaan
dan seiaan PIBG wajar diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan
sekolah. Aktiviti ini perlu melibatkan seluruh warga sekolah dan ibu bapa
pelajar. Gotong-royong menginsafkan kita
bahawa menjaga kebersihan sekolah adalah tanggungjawab kita bersama-sama.
Kerja-kerja membersih dapat kita siapkan dalam masa yang singkat, berteraskan prinsip, berat sama dipikul, ringan sama dengan dijinjing dalam suasana
perpaduan yang kukuh luhur dan padu.
Pada hujung minggu,para ibu bapa, guru dan pelajar sekolah boleh hadir
untuk aktiviti gotong-royong. Para pelajar bersama-sama ibu bapa bantu
membantu membersihkan padang,
menghapuskan sarang nyamuk, membersihkan semak samun terutama di sudut-sudut
terpencil, di belakang sekolah, dan yang ada di depan mata. Membersihkan
longkang paling utama perlu dilakukan secara gotong royong untuk memastikan
kesihatan pelajar terjamin tanpa sebarang jangkitan kuman oleh serangga
perosak. Sememangnya amalan gotong royong dapat menjamin kebersihan sekolah dan
menjaga imej seluruh warganya yang sentiasa mengutamakan keceriaan.
Prakarsa paling menakjubkan ialah kita lahirkan, kita jelmakan, dan kita
wujudkan suasana sekolah dalam taman. Di
sini taman, di situ taman dan di sana taman !
Melalui ‘Program Sekolah Dalam
Taman’ kita menanam pokok-pokok bunga
dan tumbuh-tumbuhan yang menghijau di kawasan sekolah.Kita boleh wujudkan taman
herba di persekitaran kolam ikan. Kita pelihara ikan dalam kolam dan wujudkan
‘kitchen garden’ di sekolah. Lantaran
itu persekitaran sekolah menjadi lebih nyaman, lebih inspiratif dan berudara segar. Dalam situasi ini, pelajar-pelajar juga boleh membawa pokok
bunga dari rumah untuk ditanam di kawasan sekolah. Landskap sekolah hari
ini dilengkapi dengan kolam-kolam ikan,
akuarium, pondok ilmu atau wakaf kekal untuk pelajar-pelajar
santai sambil membaca. Ahahh.... lebih
baik lagi kalau dilengkapi dengan taman burung dan jajaran pohon buah-buahan.
Ternyata mewujudkan elemen sekolah dalam taman merupakan suatu usaha paling
kreatif pihak sekolah dalam menceriakan suasana, merealisasikan ‘theme park’
atau berada di ‘Magic Kingdom at Disney
World’, di sekolah .
Usaha
paling dinamik, proaktif dan solusi 'broad minded'' untuk menceriakan kawasan
sekolah ialah pihak sekolah mengecat
semula seluruh bangunan sekolah. Kosnya
agal mahal, tetapi berbaloi. Lukisan
mural yang mendamaikan suasana dilukis menghiasi dinding dinding utama
sekolah. Mengecat bangunan boleh
memberikan impak ceria, mencantikkan sekolah. Pelajar juga akan berasa seronok
untuk datang ke sekolah yang berseri-seri seolah-olah sekolah itu baru dibina,
sedangkan usia sekolah mencecah 50 tahun
. Kata-kata filsof, ‘sekolahku rumahku ‘
menjadi suatu kenyataan apabila terbit rasa kasih, rasa sayang pelajar terhadap
sekolahnya. Dengan bantuan Persatuan Ibu
Bapa dan Guru, pihak sekolah boleh menyediakan cat dan berus cat. Pelajar juga
boleh bekerjasama ‘bagai aur dengan tebing untuk mengecat pagar, dinding dan
seluruh bangunan sekolah. Yang retak ditampal, yang using diperbaharui. Kelab atau persatuan sekolah digalakkan melukis pada dinding- dinding
sekolah. Lukisan landskap, gambar-kartun bertemakan alam persekolahan,
pemandangan, lukisan dan corak serta cogan kata melengkapi suasana ceria
sekolah. Hakikat yang jelas lagi nyata,
catan pada dinding sekolah seolah-olah mewujudkan ‘sekolah baharu’
membangkitkan suasana harmoni, ceria kawasan sekolah dan sekolah itu
benar-benar wujud sebagai sebuah sekolah !!
Kesimpulannya, suasana sekolah yang bersih, indah, ceria lagi
mengasyikkan, dengan rimbunan pepohon menghijau, kicauan beburung , hembusan
bayu berpuput perlahan-lahan, menghidupkan lagi suasana damai alam persekolahan. Suasana dan
persekitaran serba selesa inilah yang menjadikan alam persekolahan suatu memori
terindah, apabila kita meninggalkan alam persekolahan ini nanti. Sama-samalah
kita insafi hakikat, bahawa, membersihkan dan menceriakan persekitaran sekolah
adalah tanggungjawab kita . Kalau bukan kita, siapatah lagi......!
Oleh Tou Zher DMPR TM
(kejayaan pasti jadi milik pelajar yang rajin berusaha)
Oleh Tou Zher DMPR TM
(kejayaan pasti jadi milik pelajar yang rajin berusaha)
A+ BM SPM sekarang menuntut dalam bidang arkitek di IPT
cubaan yang baik
BalasPadam