LATIHAN RUMUSAN KSSM -
Baca petikan dan sajak di bawah dengan teliti,
kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan.
Anda digalakkan menggunakan ayat anda
sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan sajak.
BAHAN 1 – PETIKAN
Permainan
tradisional dikenali juga sebagai permainan rakyat yang dipusakai daripada
generasi terdahulu. Bentuk permainan rakyat yang berseni ini merupakan salah
satu daripada identiti negara yang patut dipelihara demi kepentingan generasi
pada masa hadapan. Contoh permainan tradisional ialah permain guli, batu
seremban, congkak, kaki gajah dan galah panjang. Antara permainan tersebut,
congkak merupakan permainan tradisional yang paling popular. Walau
bagaimanapun, perubahan teknologi telah mencipta pelbagai jenis permainan
digital yang menjejaskan minat generasi baharu terhadap permainan tradisional,
termasuklah permainan congkak.
Sekiranya diperhalusi, permainan
congkak yang menetapkan dua orang pemain dalam satu permainan membolehkan
semangat setia kawan dizahirkan yang menjadi asas kepada kerukunan hidup
bermasyarakat. Di samping itu, permainan congkak dalam kalangan masyarakat
terdahulu berupaya mencerdaskan ketajaman akal. Hal ini berkaitan dengan
perkataan congkak itu sendiri membawa maksud pengiraan. Kemahiran pengiraan
ditekankan melalui mengira mata membuktikan bahawa generasi dahulu sudah
didedahkan dengan ilmu matematik. Permainan congkak juga mampu dijadikan
sebagai riadah yang menyeronokkan. Permainan ini boleh mengelakkan seseorang
itu daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah.
Selain itu, permainan congkak yang
mempunyai tujuh lubang sebaris dan dua lubang ibu yang dipanggil “kampung”
terletak di hujung papan. Lubang ibu tersebut mestilah diisi dengan buah
sebanyak mungkin untuk mencapai kemenangan. Secara tidak langsung, permainan
congkak menekankan nilai kejujuran apabila pemain mematuhi peraturan permainan
tanpa melakukan penipuan walaupun berkeinginan untuk memenangi pertandingan
tersebut. Kegagalan generasi muda memahami falsafah ini dalam permainan congkak
menyebabkan minat mereka semakin hilang. Tambahan pula, sesetengah ibu bapa
pada hari ini menganggap bahawa setiap permainan tradisional termasuk congkak
boleh menjejaskan masa belajar anak-anak mereka. Alangkah ruginya jika warisan
dan budaya tinggalan nenek moyang tidak lagi dihargai sehingga hilang dalam
arus peredaran masa.
Dipetik/diubah suai daripada ‘Memugar Permainan Tradisional,’ Oleh Nazri
Hussein, Dewan Budaya, Bil. 3/2019
BAHAN
2 – SAJAK
GADIS-GADIS YANG BERSIMPUH DI BERANDA
Semilir angin petang membawa simfoni
damai
melodi syahdu dirasakan penuh harmoni
ayu busana dan senyuman lirih
kesantunan gadis-gadis yang bersimpuh di
beranda
bermain congkak warisan bonda.
Jari-jemari mengatur buah-buah congkak
bagai lenggang gemalai
andaiannya menjangkau jauh ke hadapan
menang tidak pernah sombong diri
kalah tiada terlintas rasa iri.
Gadis-gadis yang bersimpuh di beranda
bermain congkak warisan bonda
melestari seni budaya
dalam utuh maruah moyang tercinta
tanpa gundah diri dicerca mundurnya
minda.
M. ARIF- Jalan Munsyi Abdullah,
Melaka
LATIHAN RUMUSAN KSSM –2023
Baca petikan dan bahan grafik di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan dan bahan grafik.
Cendawan ialah organisma yang unik
dan tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan sebenarnya membina
kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak berupaya
menghasilkan makanan sendiri disebabkan kekurangan klorofil. Di kebanyakan
negara, cendawan ditanam sebagai sumber makanan penduduk kerana mengandungi
nilai gizi atau zat makanan yang tinggi. Spesies cendawan seperti tiram kelabu,
tiram putih dan tiram raja adalah antara spesies yang popular dalam kalangan
penggemar cendawan.
Dalam perubatan tradisional, cendawan
digunakan secara meluas untuk mengubati pelbagai jenis jangkitan bakteria.
Cendawan juga dikatakan dapat menghentikan masalah pendarahan. Selain itu,
seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi digalakkan supaya mengambil
ekstrak cendawan yang diproses kerana dipercayai mampu menjadi penawar untuk
mengurangkan tekanan darah tinggi. Namun, tidak semua cendawan selamat demikian
oleh manusia. Hai ini demikian disebabkan terdapat juga cendawan yang beracun
dan dapat memudaratkan kesihatan kerana mengandungi kadar toksik yang tinggi.
Kajian menunjukkan bahawa cendawan
merupakan sumber yang kaya dengan antibiotik untuk melawan bakteria yang
menjadi punca penyakit. Di samping itu, cendawan juga dapat meningkatkan sistem
imunisasi dalam tubuh manusia. Satu penemuan penting tentang keistimewaan cendawan
ialah kemampuannya dalam merawat penyakit kanser. Kajian juga menunjukkan
bahawa cendawan mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida yang
menjadi penawar kepada penyakit kanser. Mereka yang mempunyai kadar kolesterol
yang tinggi disarankan supaya menjadikan cendawan sebagai makanan harian kerana
mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh badan.
Perusahaan cendawan yang berkembang
pesat, seperti cendawan tumbuh selepas hujan sebaik-baiknya hendaklah seiring
dengan kesedaran tentang manfaat pemakanan cendawan. Kemen-kempen dan promosi
tentang kebaikan cendawan perlu diperluaskan oleh pelbagai pihak. Pelbagai insentif kepada pengusaha penanaman
cendawan juga penting untuk meningkatkan daya saing mereka. Malah pasaran produk cendawan perlu diperluas
sehingga ke peringkat antarabangsa agar perusahaan ini mampu duduk sama rendah
dan berdiri sama tinggi dengan perusahaan dan
produk tanaman yang lain.
Dipetik daripada ‘Cendawan Kaya dengan
Antibiotik’ oleh Wardah , Dewan Kosmik,
April 2011.
BAHAN 2 - GRAFIK