Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Ahad, 19 Februari 2023

soalan RUMUSAN format terkini

 

BAHAGIAN C [30 Markah] SOALAN 9 RUMUSAN Baca petikan dan teliti bahan grafik disertakan di bawah, kemudian, buat satu rumusan yang panjangnya tidak melebihi 120 patah perkataan.

Bahan 1 - Petikan

     Setiap tahun, ribuan orang bergantung pada penerimaan darah dan produk darah yang disumbangkan untuk kekal hidup. Kecederaan dan penyakit tertentu boleh menyebabkan kadar darah seseorang menurun. Tanpa bekalan darah yang cukup, mereka tidak akan menerima oksigen yang mencukupi dalam badan yang seterusnya boleh mengakibatkan kematian. Umum mengetahui bahawa menderma darah membawa 1 001 manfaat. Malah, menderma darah bukan hanya memberi kelebihan kepada penerima tetapi juga faedah kesihatan kepada penderma, selain dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.

      Menderma darah juga dapat mencegah hemochromatosis, iaitu penyerapan zat besi yang berlebihan oleh tubuh dan menurunkan risiko bagi serangan jantung sebanyak 88 peratus seperti kajian yang dilakukan oleh American Journal of Epidemiology. Melalui pendermaan darah, penderma dapat mendiagnosis sebarang penyakit pada peringkat awal sebelum penyakit tersebut makin teruk. Hal ini demikian kerana para penderma akan menjalani analisis secara percuma bagi mengetahui tahap kesihatan dan jenis darah mereka. Penderma darah juga akan mendapat manfaat dari segi rawatan kesihatan seperti rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan di hospital kerajaan. Bagi seseorang yang mengalami masalah berat badan berlebihan, inilah masanya untuk mengurangkan berat badan.

      Seterusnya, menderma darah juga dapat merangsang pengeluaran sel darah baharu yang seterusnya dapat membantu menjaga kesihatan anda. Sel darah merah banyak digunakan untuk pesakit yang memerlukan transfusi darah apabila berlaku pendarahan berlebihan seperti kemalangan, pembedahan

atau tumpah darah semasa bersalin. Sel darah merah juga diperlukan untuk transfusi darah secara berkala bagi pesakit talasemia, kanser, dan penyakit buah pinggang demi mengekalkan kualiti kehidupan yang baik.

      Masyarakat Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kesedaran untuk berbuat demikian dari tahun ke tahun. Namun, masih ada yang ragu-ragu untuk menderma darah sedangkan banyak manfaat kesihatan yang bakal diperoleh. Ramai antaranya fobia dengan darah dan tidak kurang juga mempunyai tanggapan bahawa menderma darah boleh menggemukkan badan. Keadaan tersebut berlaku akibat kurangnya maklumat dan pengetahuan tentang manfaat menderma darah serta persepsi terpesong masyarakat yang berfikir mereka akan dapat jangkitan penyakit HIV dan hepatitis dengan  menderma darah.Tamsilnya, Pusat Darah Negara (PDN) akan terus bergiat aktif bagi menggalakkan dan memberikan kesedaran kepada orang ramai supaya menderma darah.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Manfaat Derma Darah yang Anda Tak Tahu, Rugi Kalau Abaikan’ Sinarplus, sinarharian.com.my, Jun 2020

Bahan 2 - Poster

Sumber: Pusat Darah Negara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru