Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 24 Ogos 2017

PUISI PERSARAAN Hanya Untuk mu.........karyaku untukmu

PUISI PERSARAAN
Hanya Untuk mu
Ayuhai Tuan
Sudah ke penghujungan rupanya kita
Bagai tak perasan hari nan pergi
Bagai tak terasa masa nan berlalu
Alih-alih kita terasa sebak di hujung pilu
Oleh saat perpisahan menjelma di depanku
Baru sangat rasanya bersamamu
Tempoh sesingkat itu
Amat dirasakan kemesraanmu

Ayuhai Tuan
Engkau ibarat segunung intan
Intan terpilih di muara jernih
Kami sepakat di bawah redup rimbun kasihmu
Ke laut menuju alur
Ke darat menuju banir
Tak lekang dek panas
Tak lapuk dek hujan
Ibarat pohon dicabut layu dianjak berguguran dedaunan

Maka pada pagi ini
Dengan baris-baris puisi
Dengan citra ilusi
Kok embun nan setititik nak dijadikan laut
Kok tanah nan sekepal nak dijadikan gunung
Ampun jugalah lidah nan tak bertulang
Bahasa nan tak berbaris
Ayuhai Tuan,
Susunkanlah di lipatan hati
Usah gentar kiranya datang ombak menderu
Taufan melanda, gunakanlah segala ilmu
Praktikkan ilmu di dalam diri
Agar tidak jadi seperti kenari

Ayuhai Tuan,
Terimalah dari kami sekudus kasih, setulus sayang
Budi yang diberi tak terbalas dek kami
Segala limpah rahmat Allah yang memberkati

Begitulah rasa yang ada di lopak nubari
Banyak kenangan, banyak ingatan, banyak pengalaman

Kendatipun begitu,
Laut mana tidak bergelombang
Bumi mana tidak ditimpa hujan
Inikan pula kami manusia biasa
Kelemahan diri tidak terperi
Kekuatan diri tidak tercari


Jadi,
Sudi apalah kiranya
Kata nan terlanjur
Tingkah nan sumbang
Bicara nan menyinggung
Dan hati nan tak kena
Diampun dan dimaaf jua


Namun begitu
Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang di tapak tangan
Walaupun jauh hanya di situ
Di mata hilang,  di hati jangan

Maklumlah
Anak enggang berkayu tinggi
Patah ranting terbanglah ia
Pegawai kerajaan tak lama di sini
Sampai musim bersaralah lah ia

Sebab bagi kami,
Tuan sukar dicari ganti
Walau seribu tahun lagi……….!!

Sekian, terima kasih







Rabu, 23 Ogos 2017

PETUA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN masyarakat Melayu Malaysia

PETUA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN
1) Resdung
- Ambil isi terung kemal dan amalkan memakannya atau ambil daun kacang kayu kemudian jemur sehingga kering dan dibuat hisap seperti rokok. Boleh juga amalkan mencium bunga daun bawang merah sentiasa.
2) Kunyit mengurangkan rabun mata
- Sediakan 20 helai daun sireh dan satu oz kunyit dan keduanya diparut.Letakkan di atas penapis dan tuangkan air panas dan diperah. Minum air yang sudah ditapis itu satu gelas pada setiap hari.
3) Perut masuk angin
- Setiap kali anda minum teh atau kopi masukkan daun delima yang sudah dipotong kecil-kecil. Amalkan selama 1 bulan.
4) Perut Memulas
- Ambil pucuk ciku secukupnya dan didihkan.Selepas air itu sejuk minumlah.
5) Telinga bernanah
- Ambil kunyit tua sebesar ibu jari kaki, diparut dan diambil airnya dan ditambahkan dengan satu sudu teh. Masukkan ke dalam telinga yang bernanah secara terus menerus selama 1 minggu.
6) Jerawat
. Kupaskan ubi kentang dan hiriskan nipis-nipis lalu segera ditampalkan pada muka dan biarkan sehingga ubi kentang itu kering. Amalkan sedemikian setiap hari.
7) Rambut beruban
- Ambil biji buah betik daripada buah betik yang sudah masak sebanyak 2 sudu besar. Jemur biji betik itu sampai betul-betul kering. Kemudian digoreng sampai hangus (jangan guna minyak) serta disusuli dengan tumbuk biji itu sampai halus. Campur debu biji betik itu dengan minyak kelapa dan kacau sampai merata. Setelah rambut anda dicuci bersih, lumurkan ramuan itu pada bahagian kepala yang beruban, seelok-eloknya sewaktu hendak tidur.
8) Melebatkan rambut
-Potong pokok pisang dan batang yang tertinggal itu dibuat lubang di atasnya seperti tempurung. Pagi-pagi esoknya bubuh bair yang betul-betul sejuk ke dalam lubang itu dan dibiarkan beberapa minit. Kemudian terus ambil air dari lubang itu dan digosokkan ke atas kepala yang botak. Buatlah sedemikian setiap hari.
9) Membuang tahi lalat hidup
- Ambil getah daun kemboja, bubuh pada tempat tersebut dan tampalkan dengan kapas. Buatlah sedemikian sehingga hilang.Begitu juga dengan caranya membuang ketuat kulit dan mengubat tapak kaki yang pecah-pecah.
10) Menghilangkan kesan jerawat
- Basuh muka dengan air kelapa muda. Biarkan air itu di muka selama-lamanya 1 jam dan biar ia kering sendiri tanpa dilap. Kemudian cucilah dengan air sejuk.
11) Menghilangkan urat-urat yang timbul di kaki
- Ambil segengam kacang hijau lalu direbus tanpa gula dan jangan hancurkan. Makanlah pada waktu pagi dan malam.Selain itu setiap kali mahu tidur, angkatlah kaki ke atas setinggi mungkin dengan menyandarkan badan pada dinding dalam masa 10 minit. Selepas itu barulah tidur.
12) Daun petai cina - ubat seri muka
- Cari daun petai cina yang masih muda dan ramas pada telapak tangan.Sapukanlah pada seluruh tubuh dan wajah anda sewaktu mandi. Kemudian tunggu beberapa saat barulah dibersihkan dengan air yang bersih. Amalkan pada waktu mandi pagi dan petang selama lebih kurang 1 bulan.
13) Kudis buta
- Cari 5 atau 6 helai daun jambu batu, giling hingga lumat.Ia kemudian dicampurkan dengan santan dari segengam kelapa parut perah. Kemudian dibungkus dalam kain jarang dan digosokkan pada kudis buta itu.
14) Cacar air
- Ambil 5 helai daun jarak dan direbus lalu dimandikan kepada mereka yang mengalaminya. Airrebusan itu hendaklah agak panas sedikit namun bolehlah dilihat kepada pesakit itu sama ada kanak-kanak atau yang sudah dewasa. Gosok juga daun jarak yang sudah direbus itu pada badan pesakit. Lakukan selama 3 hari berturut-turut.
15) Menghilangkan bekas kurap di badan
- Bakar kulit kerang sebanyak 12 biji selama 20 minit. Bila kulit kerang itu terbakar jiruslah dengan air panas mendidih. Kulit kerang yang lumat ditumbuk dicampurkan dengan 1 sudu belerang kuning. Biarkan 2 ramuan itu sebati selama 1 jam dan campurkan pula dengan setengah cawan minyak tanah. Sapukan ramuan itu ke bekas kurap.
16) Menghilangkan bau ketiak
- Campurkan hampas tea dengan sedikit air garam sapukan pada ketiak dan biarkan beberapa minit kemudian basuh dengan air hangat atau air sejuk. Lakukan secara kerap setiap hari.
17) Ubat panau
- Daun gelenggang dicampurkan dengan kapur lalu digosok pada badan yang terkena panau itu.
18) Gatal Kulit
- Ramai di kalangan kita yang mengalami gatal-gatal di bahagian kemaluan terutamanya orang perempuan. Anda mungkin berasa malu hendak berjumpa dengan doktor. Sakit ini tidaklah teruk sangat tetapi mendatangkan rasa kurang senang kepada mereka yang menghidapinya. Sakit ini boleh diatasi dengan menggunakan daun sireh.Carilah sesikat daun sireh mengikut ukuran sendiri. Daun sireh itu direbus dalam periuk. Biarkanlah di atas dapur sehingga mendidih. Ambil 2 gelas air rebus daun sireh itu untuk diminum pada sebelah pagi dan petang. Sementara air yang lebih atau tinggal dalam periuk pula digunakan untuk mencuci setiap kali selepas membuang air kecil. Jika diamalkan dalam tempoh 2 minggu, rasa gatal itu akan hilang secara beransur-ansur.
19)Lemah jantung dan darah tinggi
- Caranya adalah dengan mencari buah Mahagani yang terdapat merata tempat di semenanjung Malaysia. Buah Mahagani boleh dikunyah mentah-mentah. Sebaiknya makan seulas untuk tempoh seminggu. Insya-Allah,dalam masa 4 minggu anda mengamalkannya penyakit anda boleh sembuh.
20) Kencing manis
- Ambil sekati rebung buluh kuning, basuh bersih-bersih kemudian direbus dengan sekati kulit kerang yang baru. Cara merebus rebung buluh kuning ialah dengan menggunakan periuk tanah dengan memasukkan satu setengah liter air dengan api yang sederhana. Sesudah air rebusan tinggal 1/4 nahagian,angkat dan sejukkan. Anda boleh amalkan, minum setiap pagi untuk sekali sehari. Insya-allah, penyakit anda akan sembuh.Tiada pantang larang semasa mengamalkan ubat tradisional ini dan sudah ramai pengidap kencing manis sudah sembuh sesudah mencubanya.
21) Demam kuning
 Ambil segenggam daun daripada pohon dukung anak.Tumbuk sampai halus, kemudian tuangkan air masak ke dalamnya dan campurkan dengan sedikit garam. Minum air tersebut waktu pagi, petang.
33) Penyakit kuning
Ambil daun sukun yang telah tua kemudian direbus sehingga airnya merah tua. Minum air tersebut 2 kali sehari sekurang-kurangnya untuk 3 hari.
34) Demam Berdarah
a. Beri minum air kelapa muda yang bercampur dengan air limau nipis, panasnya akan turun segera
b. Beri minum segera air perahan daun kangkong sebanyak 3 sudu besar dan basahkan kepala dengan air tersebut
35) Cara-cara mengurangkan demam
a. Beri pesakit minum air yang banyak2. Menyejukkan kepalanya dengan bilasan air. Mengurut permukaan badannya dan menyelimutkan badannya dengan kain yang tebal
36) Demam panas dan demam biasa serta doa penawarnya
a. Beri minum air zam-zam dan lap badannya
b. Boleh juga dilapkan badan dengan air batu dan bawa pesakit ke tepi sungai yang mengalir antara selepas terbit fajar dan sebelum matahari naik dan ucapkanlah: ”Dengan nama Allah, wahai Allah, sembuhkanlah hambamu, dan benarlah rasulmu ”Dan rendamlah dalam sungai itu seketika. Lakukan selama 3 hari berturut-turut dan jika masih tidak sembuh tambahkan 2 hari lagi. Insya-Allah, tempoh 7 hari tetap akan sembuh.
37) Pening Kepala
- Pening kepala disebabkan oleh makanan yang kurang hadam, terlalu banyak bekerja, mata terasa penat kerana terlalu banyak gas busuk dalam perut. Ambil daun sawi sebanyak 6 lebar digiling atau ditumbuk menjadi halus dan kemudian dicampurkan dengan sedikit garam. Kemudian digosok-gosokkan pada dahi dan pelipis, gunakan cara ini satu atau 2 kali.
- Satu lagi cara yang anda boleh lakukan ialah dengan menggunakan daun kemangi, ambil 50 lebar daun kemangi yang kemudian dikunyah, bila telah lumat terus ditelan,selepas itu cepat-cepat meneguk air hangat segelas. Ubat cara ini boleh dilakukan 2 kali dalam sehari.
38) Ubat Kencing Batu
- Jagung isinya sedap dimakan.Tetapi tiadak banyak orang mengetahui bahawa teras jagung juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.Carilah teras dari 6 tongkol jagung, kemudian direbus dan dimasak dengan menggunakan 5 gelas air. Kemudian pesakit itu bolehlah meminumnya 3 kali sehari. Setiap kali minum adalah sebanyak 3/4 gelas.
39) Ubi Kayu Ubat Sakit Gastrik
- Gastrik satu penyakit yang tidak disenangi oleh kebanyakan orang. Dalam perubatan tradisional orang-orang kita, bagi mengatasi sakit ini amat mudah, bahan-bahannya amat mudah diperolehi. Cara mengubat menurut orang tua-tua kita dahulu, ialah dengan mencari ubi kayu yang masih segar (masih muda). Dikupas kulitnya dan dicuci dengan bersih. Kemudian ubi kayu itu dipotong sepanjang 5 cm. Makanlah ubi kayu itu sehari 3 potong (1 potong = 5 cm) iaitu pada sebelah pagi, tengahari dan petang. Pada sebelah pagi sebelum makan ubi kayu tersebut makanlah nasi terlebih dahulu walaupun sedikit.Lakukan ini setiap hari kira-kira sampai 3 minggu atau sebulan.
40) Sakit Kepala
Sakit kepala adalah berpunca dari saluran darah dan sel-sel saraf. Sel-sel saraf terdapat diseluruh badan. Apabila sel saraf ini dibangkitkan maka rasa sakit akan dialami. Kesakitan berlaku akibat kerosakan tisu.Bila banyak tisu rosak maka rasa sakitnya akan lebih teruk. Bagi mengubati sakit kepala seeloknya mengubati punca sakit terlebih dahulu. Sekiranya terlalu kerap mungkin menandakan sakit barah otak.
i. Punca Dari Pakaian
Pakaian yang tidak sesuai seperti terlalu ketat di bahagian pinggang boleh menyebabkan pening kepala, begitu juga dengan bauan atau minyak wangi yang keterlaluan
ii. Punca Dari Cahaya
Anda boleh mendapat sakit kepala sekiranya anda duduk bertentangan dengan sumber cahaya yang terang
iii. Punca Dari Mata
Mata yang kabur dan kelabu bila melihat sesuatu dengan merenung boleh menyebabkan sakit kepala, begitu juga dengan cermin mata yang tidak sesuai kuasanya dan cermin yang kotor boleh menyebabkan sakit kepala
iv. Punca Dari Penyakit
Penyakit-penyakit seperti barah, migrain, Denggi, kencing manis, dan sebagainya boleh menyebabkan sakit kepala.
v. Punca Dari Kepala
Otak yang bercelaru dengan fikiran yang tak menentu juga boleh menyebabkan sakit kepala
41) Ubat sakit kepala
i. Ambil segenggam daun turi (ia seperti daun petai dan digunakan dalam membuat nasi lemak), lada sebanyak 7 biji, bawang putih beberapa ulas, dan ditumbuk kesemua bahan tersebut dan kemudian selepas ia halus dicampurkan pula dengan 1 sudu cuka dan diperapkan. Bubuhlah dikening mata anda selepas itu dan Insya-Allah akan sembuh segera.
ii. Ambil cuka nipah/cuka biasa/air asam jawa/air limau nipis sekadar 1 sudu teh lalu diminum.
42) Cirit-Birit
- Ramuannya;bawang merah, biji kopi, dan madu lebah asli. Bawang merah hendaklah dibersihkan dan dikupas (jangan membasuhkannya).Biji kopi dikisar halus.Campurkan bawang merah dan biji kopi yang dikisar dengan madu lalu dimakan semasa mengidap penyakit tersebut
43) Kencing Tidak Lawas
- Ramuannya;madu lebah, limau oren, madu dan air panas. Limau diperah dan diambil airnya dan dicampurkan dengan madu dan air panas lalu diminum apabila menghadapi masalah tersebut. Bawang merah hendaklah dipanaskan di atas api dan digosokkan di atas buah pinggang dan pundi kencing.
44) Menyembuhkan Luka
- Ramuannya; Kulit kayu manis dan madu lebah. Kulit kayu manis hendaklah ditumbuk dan kemudian dicampurkan dengan madu lebah. Bahagian luka hendaklah dibersihkan dengan air suam. Setelah kering, sapukanlah ramuan di atas bahagian yang luka itu.
45) Menyembuhkan sakit gigi
- Ramuannya; Tempurung kelapa, garam, bunga cengkih dan madu lebah.Tempurung dibakar hingga menjadi arang kemudian ditumbuk bersama-sama dengan garam dan dicampurkan dengan madu lebah. Ramuan ini hendaklah digunakan untuk menggosok gigi pada setiap hari. Bunga cengkih dapat menyembuhkan sakit pada gusi. Garam dapat menahan pengaliran darah.
46) Untuk mendapat anak
- Ramuannya;3 ulas bawang jantan,1 biji telor ayam kampung dan madu lebah secukupnya. Kesemua hendaklah dimakan pada setiap pagi sebagai sarapan.Sebelum itu, hendaklah meminum air suam yang telah disimpan semalaman sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.Bacalah selawat sebelum meminum air tersebut.
47) Jika terlekat tulang
- Celupkanlah jari ke dalam madu lebah. Dengan berselawat sebnyak 3 kali, masukkan jari ke dalam mulut dan hisapkanlah jari itu perlahan-lahan.Insya-allah, tulang yang melekat itu akan keluar dengan mudah.
48) Untuk mengubati penyakit batu karang
- Ramuannya;madu lebah, dan jintan hitam.Tumbuk jintan hingga lumat kemudian campurkan jintan hitam ke dalamnya dan gaul sampai sebati.Campurkanlah ramuan ini ke dalam air hangat dan diminum.
49) Penawar racun dan sengatan binatang berbisa
Ramuannya;madu lebah dan minyak sapi atau kambing.Gaulkan sehingga sebati,kemudian diminum.
50) Penawar jika dipatuk ular
- Ramuannya; bawang putih dan madu lebah. Bakar bawang putih, kemudian ditumbuk sehingga lumat lalu digaulkan dengan madu dan ditampalkan pada tempat yang terkena patukan.
51) Penawar gigitan anjing gila
- Ramuannya;daging siput dan madu lebah.Daging siput hendaklah dihancurkan kemudiannya dicampurkan dengan madu lebah. Ramuan ini hendaklah ditampalkan pada bahagian badan yang telah digigit oleh anjing gila tersebut.
52) Untuk merawati masalah batuk kering
- Ramuannya;1/2 cawan madu lebah dan 10 ulas bawang merah. Bawang merah ditumbuk hingga lumat kemudian diperah untuk diambil airnya. Air perahan ini dicampurkan dengan madu lebah dam sukatan yang sama banyak dan hendaklah diminum oleh pengidap penyakit tersebut.
53) Penawar sesak nafas
Ramuannya;madu lebah dan lobak putih. Lobak putih hendaklah diparut.Lobak yang diparut diperah airnya dan kemudian dicampurkan dengan madu lebah lalu diminum dengan teratur setiap hari.
54) Penyakit gagap
- Madu yang dicampurkan dengan garam kemudian diletakkan di bawah lidah serta digosokkan ke atasnya, ia boleh mengubati penyakit kepada mereka yang mempunyai masalah di dalam percakapan.
55) Batuk Biasa
- Ramuannya;bawang putih dan madu. Bawang putih yang telah dibersihkan dari kulitnya perlu dihancurkan terlebih dahulu sehingga halus.Campurkan  bersama dengan madu dan makanlah ia 4 kali sehari.Setiap kali makan beratnya sebanyak 100gm, sekali makan.Amalkan selama 3-7 hari.
56) Benjol dan luka yang teruk
- Ramuannya;buah delima yang diambil bijinya dan madu.Tumbuk biji buah delima hingga lumat kemudian dicampurkan dengan sedikit madu.Sapukanlah pada bahagian tubuh yang benjol atau luka.
57) Mempercepatkan rambut tumbuh
- Ramuannya;darah kambing dan madu. Ambil darah kambing dan madu, campurkan semua kembali dan letak atas kepala.Ia bukan sahaja mempercepatkan ketumbuhan rambut malah dapat melembut serta memanjangnya sekali.
58) Mata berselaput
- Bahan-bahannya; Buih laut dan madu. Ambil buih laut yang terdapat dipinggir laut (kekotoran yang disebabkan oleh garam yang terdapat di dalam laut), dan campurkannya bersama dengan madu, kemudian letakkan campuran tersebut di atas pelopak mata dan ulangi sehingga sembuh.
59) Penjagaan badan supaya sentiasa langsing
Ramuan;halia,telor ayam kampung dan madu. Halia hendaklah ditumbuk halus, kemudian bubuhkanlah air ke dalamnya untuk mendapatkan airnya. Biarkanlah selama beberapa minit hingga pati halia itu mendap. Air halia itu hendaklah diminum dengan dicampurkan bersama-sama dengan madu lebah.
60) Pelembap muka
- Ramuannya;kobis dan madu lebah Kobis dihancurkan dengan menggunakan mesin pengisar. Kemudian airnya hendaklah diperah keluar dan dicampurkan dengan madu lebah. Basuhkanlah kulit muka dengan ramuan ini, insya-allah kulit muka akan menjadi lembab dan segar.
61) Membersihkan Muka

Ramuannya;sepotong betik yang masak, madu lebah, susu segar dan susu tepung. Kesemua bahan- hendaklah digaul sehingga rata. Kemudian basuhlah muka dengannya dan biarkan bertempekan di muka untuk beberapa lama barulah dibasuh. Hasilnya kulit akan bertambah cerah, lembut dan kurang berminyak.





Selasa, 22 Ogos 2017

BAHASA MELAYU LATIHAN INTENSIF kertas 2 SPM CEMERLANG A+

BAHASA MELAYU LATIHAN INTENSIF  CEMERLANG A+ 
Soalan 1 : Rumusan [30 markah] Baca petikan, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-kepentingan  hutan tanah tinggi dan usaha-usaha untuk mengekalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Hutan adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkaya kehidupan manusia. Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks, iaitu melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuh-tumbuhan, dan fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh, dan sebagainya. Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia ialah hutan hujan tropika. Di Malaysia juga terdapat sebahagian kawasan hutan yang berada di tanah tinggi yang melebihi 300 meter dari aras laut. Hutan ini dipanggil hutan tanah tinggi.
   Kebanyakan kawasan hutan tanah tinggi di negara ini menjadi sumber bekalan air bersih. Hutan tanah tinggi menyimpan air bersih dan melepaskannya apabila kandungan airnya bertambah. Apabila hujan turun, terutamanya sewaktu musim hujan, hutan tanah tinggi ini akan bertindak menyerap sejumlah besar air melalui akar pokok. Air yang terperangkap di bawah tanah akan memasuki anak sungai yang membentuk kawasan bekalan air yang sedia digunakan pada musim kemarau. Hutan tanah tinggi juga bertindak sebagai penapis semulajadi bagi air hujan. Hutan ini dapat mencegah hujan daripada terus menimpa tanah dengan terlalu kuat sekali gus dapat mencegah kerosakan bahagian lapisan atas tanah.
    Hutan tanah tinggi yang terdapat di banjaran utama negara kita pula merupakan kawasan yang dapat membekalkan sumber hutan. Hutan tanah tinggi ini membekalkan kayu balak dan ramuan ubat-ubatan. Kayu balak dan pelbagai ramuan ubat tradisional daripada pokok-pokok di hutan ini menjadi sumber rezeki bagi sesetengah pihak. Malah, hutan ini menjadi sumber kepelbagaian biologi. Hutan tanah tinggi ini turut berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan tanah tinggi ini terdapat berbagai-bagai jenis bunga, buah, daun, dan kacang yang menjadi sumber makanan hidupan. Selain itu, hutan tanah tinggi ini menjadi habitat bagi beraneka spesies flora dan fauna. Namun begitu, aktiviti-aktiviti manusia yang tidak terkawal telah menjejaskan ekosistem kawasan tanah tinggi tersebut. Antara ancaman kawasan hutan tanah tinggi ini termasuklah pengambilan sumber galian dan pembalakan serta pengambilan spesies tumbuhan penting untuk tujuan komersial. Kelemahan dalam perancangan pembangunan dan pengurusan serta penggunaan tanah secara berleluasa turut menjadi ancaman kawasan hutan tanah tinggi. Ancaman-ancaman ini perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.
      Faedah hutan tanah tinggi yang lain ialah hutan ini bertindak sebagai tempat rekreasi dan pelancongan. Misalnya, terdapat beberapa buah taman negara yang terletak di hutan  tanah tinggi. Taman negara ini menjadi daya tarikan para pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semula jadi. Di samping itu, hutan ini juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai. Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan bagi mendapatkan imput baharu untuk meningkatkan kesihatan masyarakat.
Dipetik  daripada“Lindungi Kawasan Tanah Tinggi” Oleh Ridzuan Mohamad,Dewan Masyarakat, Mac 2014
Soalan 2 : Pemahaman Soalan 2(a)- Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan  menggunakan ayat  anda sendiri.
( i ) Berikan maksud rangkai kata sumber rezeki. ( 2 markah)
( ii ) Pengarang ada mengemukakan beberapa ancaman kawasan hutan tanah tinggi yang perlu dikawal untuk mengekalkan sumber hutan negara.  Nyatakan ancaman-ancaman tersebut. ( 3 markah)
( iii ) Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan pembalakan  tidak terkawal  hutan tanah tinggi kepada alam sekitar. ( 4 markah)
Soalan 2(b) – Baca petikan cerpen dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan  berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
“Ini arahan, Nusia.” Suara doktor yang berkerudung ungu itu kendur. Mukanya  muram.
“Darah dan manusia itu, berbezakah nilainya? Kalau harganya pangkat dan darjat, padamkan saja istilah manusia dalam hati. Untuk apa kalau semuanya boleh dibeli?”
“Nusia!”
Aku cepat-cepat beredar. Suara Doktor Murni melantun ke dinding pejal wad Unit Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma.  Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riuk, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk Profesor Doktor Juaidi. Juga si kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, tidak perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang ditentukan oleh tangan manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja, tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi pakar-pakar itu......,”sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan sepuluh pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi suara lembut Doktor Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang. “Dapatkan di hospital lain; segera.”
Untuk siapa? Hatinya musykil sendiri.           Daripada cerpen ‘Gerhana Manusia’ Oleh Aminah Mokhtar  antologi Sejadah Rindu, DBP
(i) Nyatakan keluhan hati Nusia ketika berhadapan dengan Solehah? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, apakah kesan jika masyarakat enggan menderma darah? [3 markah]
(iii) Huraikan satu pengajaran  dalam petikan cerpen di atas dan satu pengajaran lain  terdapat dalam keseluruhan cerpen. [4 m]
Soalan 2(c) – Baca petikan prosa tradisional , kemudian jawab soalan-soalan berikutnya menggunakan ayat anda sendiri.
      Hatta maka hari pun malamlah. Maka Kertala Sari pun masuk mencuri pula sebuah rumah saudagar yang lain. Setelah sudah banyaklah ia beroleh harta, maka ia pun kembali pada tempatnya pula. Dengan demikian habislah segala harta saudagar yang kaya-kaya itu dicurinya. Maka segala saudagar dan orang kaya-kaya itu pun masuk menghadap raja berdatang sembah, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun, adapun patik sekalian ini habis kecurian tinggal sehelai sepinggang.”
Setelah baginda mendengar sembah orang itu, maka baginda pun terkejut seraya menampar nampar pahanya. Maka titah baginda, “Wah , datanglah pula bala atas negeriku! Baiknya ada Laksamana; jikalau Laksamana kuutuskan ke negeri orang, binasalah negeri ini.” Maka baginda pun bertitah kepada Temenggung, “Hai Temenggung, suruh orang berkawal dan segala saudagar berkawal pada kampungnya!” Maka Temenggung pun menyuruhkan orangnya berkisah orang kaya-kaya dan saudagar berkawal pada kampungnya. Setelah hari malam, maka Temenggung pun menyuruh orangnya berkawal, terlalu banyak dengan lembing perisai dan segala saudagar pun masing-masing berkawal pada kampungnya.
Sebermula maka Kertala Sari pun masuk ke dalam. Maka dilihatnya oleh Kertala Sari orang berkawal terlalu banyak dengan alat senjatanya. Maka Kertala Sari pun membaca pustakanya lalu berjalan di tengah orang banyak itu. Maka ia pun pergi ke rumah seorang kaya. Maka dicurinya harta yang kemas-kemas itu lalu dibawanya kembali dan bini orang kaya-kaya itu dicabulinya. Maka ia pun kembali ke tempatnya.                      Daripada “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul DBP
(i) Berikan maksud sehelai sepinggang. (2 markah)
(ii) Berdasarkan petikan , apakah tindakan yang dilakukan oleh Temenggung selepas mendengar perintah daripada sultan? (3 m)
(iii) Raja segera menitahkan orang-orang Temenggung berkawal sebaik-baik sahaja mengetahui berita tentang kecurian yang berlaku di negeri baginda. Pada pendapat anda, mengapakah baginda menitahkan kegiatan kecurian itu diatasi dengan segera? (3 markah)
Soalan 2(d) – Sajak Baca sajak, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


Aku selalu didatangi


malam sepi
bagai kalung
yang melingkari leherku
tidak berubah keesokan hari
siapa yang akan datang menjengukku
keluhan seorang tua sunyi

Keheningan tasik
kehijauan rumput
hanya menjadi bayangan
di penjuru ruang zaman
cinta dalam rahim dilupai
dari sulung ditendang ke bongsu
dari angah ditendang ke sulung balik
kucari erti hidup
menderita mengerang sakit
berdiri tanpa ruang

Aku bagi mereka
tiada makna
anakkubakaku
baik setia mahupun derhaka
semoga disirami benih keinsafan
menjadi penawar dalam hati
embun cinta atasi angin dingin
jangan terpegun
ada yang mati
ada yang hidup
tiada yang kekal kecuali Tuhan



(i) Huraikan maksud rangkap pertama sajak di atas. ( 2 markah )
(ii)Pada pendapat anda, apakah aktiviti-aktiviti dapat dilakukan oleh warga tua supaya kehidupan mereka lebih berkualiti?(3m)
(iii) Jelaskan dua pengajaran yang terkandung dalam sajak tersebut. ( 4 markah )
Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa [ 30 markah ] Jawab semua soalan
a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan  supaya jelas menunjukkan  anda faham  perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan,menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) pakai  (ii) memakai  (iii) terpakai  (iv) susun (v) menyusun  (vi) tersusun  [6 markah ]
b) Kenal pasti jenis ayat perintah sama ada ayat perintah silaan, ayat perintah larangan, ayat perintah suruhan atau ayat perintah permintaan .
(i) Jangan buang sampah di sini.              
 (ii) Sila serahkan buku-buku latihan itu ke bilik guru.
(iii)Awak siapkan tugasan yang diberikan itu sekarang.  
(iv)“Tak usah kauambil tahu akan hal aku lagi,” kata Azura kepada Zainal.
(v) “Tolong hantarkan bekalan makanan ini kepada ayah yang sedang berehat itu,” pinta Zeety.
(vi)“Jemputlah makan yang terhidang itu,” kata Farid kepada tetamu yang hadir itu.   [ 6 markah ]
c) Dalam setiap ayat, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan  ejaan dan satu kesalahan imbuhan.
i) Kementerian Pendidikan mendapati bahawa pelaksana dasar bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik perlu dikaji semula untuk memperbaiki kelemahan yang timbul.
ii) Pelajar tingkatan 4T sila menghadirkan ke dewan sekolah utk satu taklimat Puan Pengetua
iii)Runtuh akhlak dalam kalangan remaja mengakibatkan ramai remaja tersebut terjebak dengan gejala gengsterisma. [6 m ]
d) Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikanlebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin semula ayat tersebut.
(i) “Apakah menu yang dihidangkan dalam hotel itu?” tanya para peserta perlawanan memasak yang dianjurkan oleh hotel tersebut.
(ii) Bapa saudaranya memperoleh pendapat supaya agak lumayan hasil jualan pisang goreng yang dibuat olehnya.
(iii)Seorang pegawai tinggi syarikat itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan memalapkan  syarikat wang tersebut. [6 m]
e) Buat satu ayat bagi peribahasa di bawah bagi menjelaskan maksud peribahasa .
i) sediakan payung sebelum hujan. ii) bagai isi dengan kuku. iii) bagai menatang minyak yang penuh [6 m]
Soalan 4: Novel (15 markah)  Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih karya Azmah Nordin  (ii) Bimasakti Menari karya Sri Rahayu binti Mohd Yusop
 a)Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan perwatakan watak  utama novel tersebut.[ 7 m ]
b) Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, huraikan perbezaan latar  masyarakat yang dikemukakan oleh pengarang. [8 m ]

PASTIKAN PEROLEHAN MARKAH 110/110


BAHASA MELAYU 2 - MODUL EKSKLUSIF BAHASA MELAYU KERTAS 2 BM SPM

MODUL EKSKLUSIF BAHASA MELAYU KERTAS 2 BM SPM  
Soalan 1 : Rumusan [ 30 markah ]
Baca petikan dengan teliti dan kemudian buat suatu rumusan tentang usaha-usaha mengekalkan keharmonian antara kaum dan cabaran memperkukuh perpaduan. Panjangnya rumusan  tidak melebihi 120 patah kata.
    Perpaduan dan keharmonian antara kaum adalah penting dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. Sejak negara mencapai kemerdekaan, seluruh rakyat Malaysia telah menerimaPerlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kumpulan etnik dan Rukunegara sebagai panduan dalam pembinaan negara. Keharmonian masyarakat dan kestabilan negara menjadi idaman negara lain, termasuklah negara yang maju.
      Pembinaan negara-bangsa bukanlah suatu proses yang mudah. Pelbagai cabaran yang berliku perlu ditempuhi. Persefahaman, toleransi dan yang paling utama, komitmen serta pengorbanan yang tinggi amatlah penting. Jika kita telusuri sejarah negara sejak beberapa dekad ini, tidak dinafikan kita telah mencapai kejayaan dari segi pembangunan ekonomi, pemodenan dan teknologi maklumat. Oleh sebab itu, janganlah menghancurkan apa-apa yang telah kita capai selama ini melalui semangat muhibbah dan persefahaman antara kaum di negara berbilang bangsa ini. Janganlah kita membiarkan fahaman ekstremis memecahbelahkan negara yang kita cintai ini kerana inilah tanah tempat kita dilahirkan, tempat membina kehidupan, dan tempat kita mencari rezeki.
       Rakyat Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik perlu membantu menjalin dan memperkukuh keharmonian hidup di Malaysia. Hanya keharmonian dan persefahaman antara kaum yang mampu menggalakkan kepercayaan dan perpaduan antara rakyat. Rakyat Malaysia tidak kira bangsa atau agama, seharusnya lebih peka terhadap peranan dan sumbangan mereka kepada perpaduan negara. Pembangunan ekonomi tidak akan bermakna tanpa persefahaman, keharmonian, dan kepercayaan antara rakyat. Rakyat Malaysia harus sedar dan perlu mengelakkan diri daripada mengejar agenda yang bersifat perkauman. Hal ini demikian kerana, benih-benih perbalahan yang wujud akan memudaratkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin.
       Di samping itu, semangat patriotisme mestilah sentiasa disemai dan dibajai dalam usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan sosial. Penyelesaian kepada kemelut yang menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum sewajarnya menggunakan pendekatan kesederhanaan. Dalam negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia, tindakan atau tutur kata yang bersifat provokasi yang dapat menjejaskan keharmonian kaum dan perpaduan hendaklah dielakkan.
            Kesimpulannya, keharmonian hidup masyarakat antara kaum hendaklah dikekalkan. Setiap masalah perlu ditangani secara penuh berhemah dan teliti ibarat menarik benang di dalam tepung agar tidak menyinggung hati dan perasaan mana- mana pihak yang lain.
(Dipetik  daripada rencana Jangan Langgar Sempadan Perpaduan,” Utusan Malaysia, 01 Januari 2014)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Apakah maksud rangkai kata benih-benih perbalahan yang terdapat dalam petikan di atas? [2 markah]
(ii) Mengapakah penulis menganggap pembinaan negara bangsa sebagai suatu proses yang sukar?  [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda , wajarkah jika kita katakan bahawa negara kita telah Berjaya menjadi sebuah negara yang disegani kerana wujudnya perpaduan dalam kalanganrakyat berbilang kaum ? Kemukakan alasan anda [4 markah]
Soalan 2(b) -  Baca petikan cerpen, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya  menggunakan ayat anda sendiri.
Aku cepat-cepat beredar. Suara Doktor Murni melantun ke dinding pejal wad Unit Rawatan Rapi. Solehah yang tenat, yang pundi janinnya pecah di ovari, juga sedang koma. Al-Hafiz masih terlantar, tulang selangkanya patah riuk, diheret kereta sejauh dua meter di tar keras, tidak pernah pun dijenguk Profesor Doktor Juaidi.
Juga si kecil, bayi buangan yang hampir kekeringan darah. Gadis malang yang dibelasah hingga tinggal nyawa-nyawa ikan dan mahasiswa leukemia yang semakin cair sel darah merah di tubuhnya itu, tidak perlukah mereka itu diberi darah?
“Hidup yang ditentukan oleh tangan manusia ini, tidak pernah adil, Solehah.” Titis air mataku gugur di hujung jari Solehah. “Engkau hanya memerlukan tiga pek darah sahaja, tetapi tidak diberikan. Tuan Besar Musa itu, tubuhnya tidak mahu menerima darah tetapi pakar-pakar itu….” Sebak menyendat di dadanya.
“Dapatkan 10 pek darah sekarang!” Arah Profesor Doktor Juaidi apabila cupingnya diusapi suara lembut Doktor Murni, yang menyampaikan berita tentang bank darah yang kontang. “Dapatkan di hospital lain; segera.”
Dipetik daripada cerpen “Gerhana Manusia” oleh Aminah Mokhtar dalam Antologi Sejadah Rindu.
(i) Nyatakan keadaan pesakit yang bernama Solehah.  [ 2 markah ]
(ii) Peranan seorang doktor adalah memastikan pesakit dijaga dengan baik. Andaikan anda seorang doktor, apakah tindakan lain yang akan anda lakukan untuk menceriakan pesakit anda?  [ 3 markah ]
(iii) Kita haruslah bertanggungjawab terhadap pesakit. Berdasarkan petikan cerpen di atas, nyatakan satu peristiwa yang menunjukkan pengajaran tersebut dan satu peristiwa lain daripada keseluruhan cerpen. [ 4 markah ]
Soalan 2(c) : Petikan Prosa Tradisional  Baca petikan prosa tradisional di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
     Maka sembah Temenggung, “Ya tuanku, patik mohonkan ampun dan kurnia; adapun pada malam ini patik sendirinyalah berkawal. Pada segenap pintu dan rumah saudagar dan orang kaya-kaya patik sudah tunggui; maka seorang pun tiada bertemu dengan patik-patik itu. Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.”
Maka Laksamana pun berdatang sembah, “Ya tuanku. Adapun penjurit yang datang ini bukan barang-barang penjurit, lebih tahunya daripada patik. Jika ada derma kurnia, patik hendak memohon ke bawah duli yang hendak cuba bermain dengan penjurit itu.”
Maka titah raja, “Adapun Laksamana itu tiadalah dapat jauh daripada kita. Jikalau Laksamana pergi berkawal, siapa teman kita di istana ini? Yang kita harap hanyalah Laksamana.” Maka Laksamana pun berdiam dirinya mendengar titah raja demikian itu.
Hatta beberapa hari maka segala orang kaya-kaya dan saudagar itu pun habis kecurian; syahadan semuanya datang menghadap raja. Maka raja pun tiada terkata-kata lagi.
Maka sembah Laksamana, “Pada firasat patik, pada malam itu datang pula penjurit itu ke istana kita ini.”
Maka titah raja, “Apa bicara kita supaya penjurit itu tiada beroleh masuk ke istana ini?”
(Dipetik daripada prosa “Kepimpinan Melalui Teladan” antologi Jaket Kulit Kijang dari Istanbul, dbp).
i) Berikan maksud rangkai kata “Maka titah duli yang maha mulia patik junjung.” [2 markah]
ii) Apakah pandangan Laksamana tentang penjurit yang melakukan kecurian tersebut? [3 markah]
iii) Pada pendapat anda, apakah langkah yang boleh dilakukan untuk mengelakkan masalah kecurian berleluasa ? [3m]
Soalan 2(d) – Sajak Baca sajak dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan  menggunakan ayat anda sendiri.
ERTI HIDUP BERERTI


 Aku selalu didatangi
Malam sepi
Bagai kalung
 Yang melingkari leherku
 Tidak berubah keesokan hari
Siapa yang akan menjengukku
 Keluhan seorang tua sunyi

 Keheningan tasik
Kehijauan rumput
Hanya menjadi bayangan
Di penjuru ruang zaman
Cinta dalam Rahim dilupai
Dari sulung ditendang ke bongsu
 Dari angah ditendang ke sulung balik
 Kucari erti hidup
Menderita mengerang sakit
 Berdiri tanpa ruang

 Aku bagi mereka
Tiada makna
Anakku bakaku
Baik setia mahupun derhaka
Semoga disirami benih keinsafan
Menjadi penawar dalam hati
Embun cinta atasi angin dingin
Jangan terpegun
Ada yang mati
 Ada yang hidup
 Tiada yang kekal kecuali tuhan


 Teo Wei Sing  Antologi Sejadah Rindu Tingkatan 5
(i) Apakah maksud rangkap pertama sajak di atas ? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, berikan tiga sebab mengapakah terdapat segelintir anak-anak yang jarang - jarang menziarahi ibu bapa mereka? [3 markah]
(iii) Kemukakan dua persoalan yang dapat diperoleh daripada sajak di atas. [4 markah]
Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa[30 markah] Jawab semua soalan
(a) Tulis satu ayat bagi setiap frasa supaya menunjukkan anda faham  maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan,menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
(i) proses (ii) memproses (iii) pemprosesan (iv) tafsir (v) tafsiran  (vi) pentafsiran   [6 markah]
(b) Kenal pasti ayat-ayat perintah di bawah sama ada ayat tersebut ayat perintah suruhan, ayat perintah larangan, ayat perintah silaan atau ayat perintah permintaan.
(i) Makanlah kuih raya ini dahulu.   (ii) Usah bertanya ke mana aku pergi. (iii) Jemputlah hadir ke majlis pertunangan kami.
(iv) Tolong hantarkan makanan itu sebelum tengah hari. (v) Jangan ambil wang haram.
(vi) Awak siapkan karangan itu sekarang.                          [6 markah]
(c) Dalam setiap ayat terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Azizi mempercepatkan kayuhanya agar cepat sampai ke sekolah kerana takut di denda guru.
(ii) Ahli-ahli persatuan belia diingatkan agar mengenepi perbezaan pendapat demi mewujudkan perpaduan yang menjadi motto belia seMalaysia.
(iii) Para ilmuan sedang berbincang tentang cara-cara untuk meningkat hasil negara dalam bidang komersial. [6 markah]
(d) Dalam setiap ayat , terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
i) Pengambilan pekerja mengikut jantina di dalam persatuan itu berdasarkan had yang ditetapkan oleh syarikat.
ii) Pelajar diharapkan bahawa bersabar kerana pihak pentadbiran sekolah akan membasmi masalah kerosakan tandas itu dengan segera.
iii) Goreng pisang Kak Kiah selesai dimakan oleh ketiga-tiga orang budak itu.    [6 markah]
(e) Berikan peribahasa yang sama maksud dengan peribahasa di bawah ini.
(i) Bagai menangguk di air keruh  (ii)Bagai gunting dalam lipatan (iii) Bagai pinang dibelah dua  [6 markah]
 Soalan 4 : Novel[15 markah]  Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Pantai Kasih Karya Azmah Nordin  (ii) Bimasakti Menari Karya Sri Rahayu Mohd Yusop
a) Perkembangan cerita sesebuah novel bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh watak utama dan watak sampingannya. Jelaskan dua peristiwa yang melibatkan watak utama daripada sebuah novel yang telah anda kaji. [ 7 m]
b)Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, huraikan satu latar masyarakat yang  terdapat dalam setiap novel.(8m)

KERTAS SOALAN TAMAT

Jangan Tiru