Bagaimana membentuk keluarga bahagia .
Bincangkan (karangan B)
Tangisan pertama seorang bayi pada suatu subuh hening merupakan detik paling bahagia bagi pasangan suami isteri. Pada ketika yang sama kedengaran alunan azan subuh berkumandang, ohoh... betapa indahnya sebuah memori terbentuknya sebuah keluarga bahagia. Keluarga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Melalui keluarga, lahirlah sinar kasih sayang yang melimpah ruah. Daripada keluarga, lahirnya perasaan hormat dan saling memerlukan. Melalui keluarga jua, lahirnya individu yang bertanggungjawab yang prihatin terhadap keluarganya. Langkah ideal, tepat lagi bersesuaian perlu dipraktikkan oleh ahli keluarga untuk membentuk, keluarga penyayang, keluarga harmoni, keluarga bahagia!
Langkah prima ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak. almaklum kasih ibu bawa ke syurga, kasih ayah sepanjang usia. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya sama ada menjadi Majusi atau Nasrani. Anak-anak merupakan golongan yang paling memerlukan perhatian dan sokongan ibu bapa dalam membentuk peribadi yang sempurna. Statistik telah menunjukkan bahawa sebanyak 90 peratus ibu yang bekerja hanya meluangkan masa sebanyak 4 minit dengan anak-anak setiap hari. Sikap sebegini harus diatasi kerana anak yang kegersangan kasih sayang bagaikan anak piatu. Sebagai contoh, kerajaan telah mengisytiharkan hari Sabtu sebagai cuti umum manakala pihak swasta jua telah memberi pelepasan kepada pekerja pada sabtu. Ibu bapa perlu mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak pergi berkelah atau melawat tempat-tempat bersejarah di negara kita. Aktiviti-aktiviti sebegini mampu mengeratkan hubungan antara ahli keluarga dan membentuk keluarga yang penyayang di samping memberikan tempat dan ruang untuk anak-anak meluahkan isi hati mereka. Jelaslah ibu bapa perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak untuk melahirkan keluarga yang penyayang.
Selanjutnya , ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak ke arah membentuk keluarga bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan guru yang pertama dan paling penting dalam kehidupan anak-anak. Sebagai contohnya, bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anak. Ibu bapa perlu saling menyayangi dan menghormati antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat kebahagiaan antara kedua-dua ibu bapa, mereka akan meneladani sikap baik itu kerana bapa borek, anak rintik. Jika contoh positif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak anak seperti menasihati anak-anak, berbincang serta sama -sama menyelesaikan masalah anak-anak, akan menyuburkan perkembangan jiwa dan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak-anak. Jika anak-anak berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah indah yang pernah mereka lalui ini. Ekoran daripada itu, ibu bapa perlu menjadi entiti mithali yang baik supaya anak-anak akan mengikut jejak langkah melahirkan keluarga yang bahagia dan seterusnya melahirkan masyarakat yang penyayang. Ternyata ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menjadi suri teladan kepada anak-anak demi melestarikan warna-warni kebahagiaan keluarga.
Selain itu, anak-anak perlu menjaga tingkah laku dan tatatertib untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana segala perbuatan anak-anak akan mencerminkan cara asuhan anak tersebut oleh orang tua mereka. Anak-anak memikul tanggungjawab menjaga maruah diri dan keluarga untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Sebagai contoh, anak-anak perlu menjauhi diri daripada terlibat dalam gejala sosial yang negatif seperti gengsterisme, ponteng sekolah, penagihan dadah dan perlumbaan haram. Anak-anak perlu berpegang teguh pada pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Segala perbuatan anak-anak tentu ada kesannya, sama ada baik atau buruk. Ahli masyarakat akan memandang tinggi terhadap keluarga jika anak keluarga tersebut berjaya cemerlang dalam pelbagai bidang yang membawa kepada kebahagiaan hidup berkeluarga. Rentetan daripada itu, anak-anak perlu memiliki keperibadian yang teguh dan boleh membezakan antara kaca dan permata demi menjaga maruah keluarga. Sememangnya , anak-anak mesti menjaga perlakuan dan tatatertib untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
Di samping itu anak- anak perlu membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Ibu bapa kita bekerja keras untuk menyediakan kemudahan asas rumah tangga. Selain itu , ibu bapa telah berusaha untuk menyediakan pendidikan yang sempurna bagi menjamin masa depan kita . Jadi tidak keterlaluan jika saya berpendapat bahawa anak-anak perlu membalas jasa kedua-dua ibu bapa seperti kata peribahasa, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Untuk membalas jasa ibu bapa, anak-anak boleh membantu ibu bapa menjalankan kerja-kerja pembersihan rumah seperti mencuci pinggan mangkuk, menyidai pakaian di ampaian dan mengelap lantai. Anak-anak hari ini menjadikan kerja-kerja pembersihan rumah sebagai rutin harian kerana alah bisa tegal biasa. Rentetan daripada itu, anak-anak dapat meringankan beban ibu bapa yang sudah keletihan, kelesuan sekembalinya dari pejabat. Selain itu, anak-anak dapat membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berbakti kepada kita dan merapatkan hubungan dengan ibu bapa demi mewujudkan suasana yang bahagia di dalam rumah. Hakikatnya, anak-anak perlu membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah untuk melahirkan keluarga bahagia.
Seperkara lagi, ibu bapa perlu memberikan didikan agama dan moral sejak kecil lagi bagai melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pembentukan keluarga bahagia adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Sekiranya dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, maka begitu jugalah dengan pembentukan keluarga bahagia yang mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya iaitu didikan agama yang kukuh. Sebagai contoh, ibu bapa perlu mengajar anak-anak mengerjakan solat dan amal ibadah yang lain dalam Rukun Islam yang lima,. Ibu bapa pula perlu menggalakkan anak-anak mendalami alquran dan buku-buku agama sehingga mengenal Islam dan Tuhan kerana tak kenal maka tak cinta, iman yang kukuh akan mengelakkan keluarga daripada berpecah belah, bercerai-berai atas alasan yang tidak munasabah. Lumrahnya, jika setiap ahli keluarga yang jiwa dan hati nuraninya disemai dengan keimanan, mendalami ilmu agama yang luhur, hasilnya keluarga bahagia dapat dibentuk.
Kesimpulannya setiap ahli keluarga memainkan peranan paling pragmatik dalam membentuk keluarga bahagia. Bahagia anak-anak maka bahagialah ibu bapa begitulah jua sebaliknya. Tanpa kerjasama daripada setiap ahli keluarga, impian untuk melahirkan keluarga bahagia tidak akan tercapai. Semua pihak perlu bersinergi bagai aur dengan tebing dalam membentuk keluarga bahagia. Harapan saya agar kebahagiaan yang kita nikmati hari ini akan berterusan tanpa nokhtah, tanpa penghujungnya waima selagi nadi masih berdenyut, selagi nyawa masih dikandung badan keluarga bahagia jadi dambaan kita bersama-sama
802 patah perkataan
karya Naili 5 sc 2 A+ BM SPM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan