Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Rabu, 19 September 2018

Langkah - langkah menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian. Bincangkan. Karangan percubaan SPM -


Langkah-langkah yang perlu diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian.

SOALAN PERCUBAAN BM KERTAS 1 (B) NEGERI KEDAH

       Bertani atau bercucuk tanam memang begitu sinonim dengan masyarakat kita, sebab itulah terdapat banyak bidalan tradisi berkaitan dengan bertani  contohnya, berbudi kepada tanah rezeki melimpah ruah, atau berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak. Dunia tani menawarkan banyak faedah dan kebaikan justeru pelbagai langkah diambil untuk menggalakkan generasi muda menceburi bidang pertanian.

          Antara langkah awalnya ialah kita beri kesedaran kepada generasi muda bahawa dunia tani menjanjikan pulangan yang lumayan kerana para hukama ada menyebut pertanian itu suatu perniagaan. Kalau generasi muda beralih arah ke sektor pertanian, negara dapat mengurangkan pembelian hasil pertanian dari Negara luar. Harga produk pertanian jauh lebih tinggi berbanding masa silam. Sekilo lada besar suatu ketika mencecah RM25 manakala setongkol jagung hari ini kosnya RM2, jadi apa lagi hendak ditunggu, remaja perlu bersegera bertindak kerana setiap keringat yang mengalir menjanjikan pulang ringgit yang amat menguntungkan. kesedaran perlu diberikan kepada generasi muda untuk bergiat dalam sektor pertanian kerana perolehannya memang menjamin masa depan Jelaslah pertanian bukan lagi lambang kemiskinan tetapi dapat melahir generasi muda yang berpendapatan tinggi dengan pulangan hasil yang lumayan

       Seterusnya penglibatan generasi muda dalam bidang pertanian menjanjikan masa depan yang cerah kerana, dengan iklim tropika di Malaysia, sinaran sang suria menyimbahi sejagat maya, rembasan hujan sepanjang tahun, tanah pamahnya yang subur maka pertanian berpotensi menjamin masa depan sesiapa sahaja termasuk generasi muda yang berminat menceburi bidang ini. Secara semulajadi, persekitaran tanah pamah di Malaysia memang amat menggalakkan belia menceburi bidang pertanian. Golongan muda perlu turun padang bersama-sama generasi lama menggunakan tenaga tulang empat kerat mengerjakan sawah ladang, dan hasilnya sayur sayuran, tanam-tanaman bakal tumbuh merimbun sehingga suasana hijau menghiasi seluruh alam kerana berbudi kepada tanah, rezeki melimpah ruah.   Ternyata suasana, tanah pamah yang subur, hujan dan panas seiring dan senada secara langsung menggalakkan dan mendorong anak-anak muda melibatkan diri dalam bidang pertanian

          Selanjutnya untuk generasi muda menceburi secara lebih serius dalam bidang pertanian , golongan ini perlu diberi latihan dan pengalaman pendidikan dalam bidang peternakan, perikanan dan perladangan. UiTM dan UPM merupakan pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus pertanian tahap tinggi , begitu juga institusi pertanian yang lain yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian seluruh negara. Pelajar-pelajar ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam sains pertanian, sains akuakultur di Universiti Malaysia Terengganu. Siswa siswa fakulti pertanian  menjadi tenaga penggerak sektor pertanian Negara apabila tamat pengajian mereka nanti. Sememangnya latihan,  pengetahuan, penyelidikan dan kajian yang pelbagai dalam ehwal pertanian di universiti merupakan langkah paling berkesan menggalakkan generasi muda menyertai sektor pertanian

         Di samping itu generasi muda digalakkan melibatkan diri dalam bidang pertanian moden dan berdaya maju . Generasi  muda disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian. Yang uniknya generasi muda didedahkan dengan pelbagai kaedah bertani seperti hidroponikaeroponik, aquaponik tanaman hibrid masih belum diketahui banyak orang . Remaja dan belia adalah golongan generasi muda yang bertuah dan beruntung kerana di bawah gagasan TN50 pelbagai perubahan dilakukan dalam sektor pertanian negara yang secara berterusan, menggalakkan kita bergiat aktif dalam bidang ini. Hal ini ditambah pula dengan penggunaan jentera moden, dan penggunaan baka baik, benih tanaman yang berkualiti tinggi dan mendatangkan hasil yang berlipat ganda.  Realitinya mempromosi teknologi tinggi dan pertanian moden merupakan langkah proaktif menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam sektor  pertanian iaitu bidang perikanan, penternakan dan perladangan

                Seperkara lagi, menggalakkan golongan muda menyertai bidang pertanian adalah dengan mewujudkan bantuan modal dan pemberian insentif daripada pihak kerajaan, khususnya  kepada tenaga muda yang berminat mahu mempelopori dunia pertanian . Modal permulaan diberikan oleh kerajaan untuk bertani, pejabat pertanian pula membekalkan baja dan biji-biji benih. Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah  disediakan oleh bank, terutamanya oleh Bank Agro. Dengan modal yang mencukupi,  anak-anak muda ini dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia  untuk menjalankan aktiviti pertanian mereka. Pinjaman skim bayaran mudah,  membolehkan golongan muda mengusahakan pertanian atau peternakan secara komersial .  Fitrahnya bantuan modal dan bekalan baja serta biji benih, menjadi faktor penggalak kepada golongan muda menceburi bidang pertanian.

             Kesimpulannya untuk menggalakkan golongan muda menyertai bidang pertanian pelbagai perubahan, reformasi dan transformasi dilakukan  terhadap sektor ini.  Kata bidalan  ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras jadi anak-anak muda digalakkan menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih  demi meningkatkan produktiviti pertanian. Dengan hasil tanaman yang berkualiti pasti dapat memenuhi  permintaan tempatan dan luar negara.

Karya: Nisa Nurlaily - (Nisa jua pernah mewakili negeri Kelantan - Pertandingan  Pidato Piala Diraja peringkat kebangsaan)

9 ulasan:

Jangan Tiru