Kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat pada setiap tahun.
Huraikan punca-punca yang menyebabkan berlakunya masalah tersebut. - (khas untuk semua pelajar SPM )
Sejak akhir-akhir ini ini, kadar kemalangan jalan raya semakin hari semakin meningkat sehingga ke tahap amat membimbangkan.. Secara puratanya, terdapat satu kemalangan yang berlaku pada setiap saat. Isu kemalangan jalan raya telah menjadi buah mulut masyarakat dan turut mendapat perhatian media perdana negara. Kemalangan jalan raya yang berlaku di Malaysia meningkat secara mendadak sehingga tiada penghujungnya. Persoalannya, apakah punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita? Ayuh, kita bincangkan bersama-sama.
Antara punca utama berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu sendiri yang kurang sabar. Biasanya, pemandu lebih suka memandu laju agar cepat sampai ke destinasi. Pemandu juga tidak suka berhenti di lampu isyarat kerana menganggap akan memperlambat pergerakan mereka. Kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku di lampu isyarat melibatkan penunggang motosikal. Mereka telah lupa akan ungkapan Pandu Cermat Jiwa Selamat dan ketidaksabaran mereka akhirnya telah meragut nyawa. Terdapat juga pemandu motosikal atau lebih dikenali sebagai ‘mat rempit’ yang sering berlumba motosikal secara haram di jalan raya. Mereka bukan sahaja menggadaikan nyawa mereka sendiri malah menjadi salah satu punca kemalangan jalan raya. Ternyata, pemandu yang bersikap agresif dan tidak sabar menjadi punca berlakunya banyak kemalangan jalan raya di negara kita.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, pemandu memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk atau keletihan. adalah punca utama kemalangan jalan raya. Kajian menunjukkan sebanyak 90 peratus pemandu menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Kebanyakan daripada mereka menggunakan laman sosial semasa memandu. Perbuatan ini amat berbahaya kerana pemandu berkemungkinan tinggi akan ‘diganggu’ oleh telefon bimbit dan apabila mereka telah ‘tertarik’ mereka terlupa bahawa mereka sedang memandu. Akibatnya,kemalangan akan berlaku.Penggunaan telefon bimbit semasa memandu adalah salah di sisi undang-undang jalan raya. Kemalangan jalan raya berlaku kerana pemandu memandu dalam keadaan mabuk, mengantuk atau keletihan. Sesetengah pemandu tanpa sedar leka memandu kenderaan mereka dalam keadaan mabuk. Keadaan inilah yang mengundang kemalangan jalan raya dan seterusnya meragut nyawa pemandu tersebut. Berita terkini memaparkan banyak kemalangan jalan raya berlaku berpunca daripada fenomena tidak stabil pemandu semasa memandu kenderaan . Pemandu yang letih atau tidak cukup tidur juga akan menjadi punca dan mangsa kemalangan jalan raya. Hal ini demikian kerana ,mereka akan mudah terlelap ketika memandu dan akan melanggar apa-apa sahaja di depan. Hakikatnya, terasyik dengan telefon bimbit, pemandu yang mabuk, letih dan mengantuk perlu mengelakkan diri daripada memandu kerana merekalah punca tragedi di jalan raya.
Selanjutnya, keadaan jalan raya yang kurang sempurna, kerosakan pada kenderaan juga mengakibatkan kemalangan jalan raya. Jalan raya yang licin semasa dan selepas hujan akan mengurangkan kecekapan brek kenderaan dan boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Jalan raya yang berselekoh tajam juga amat berbahaya kerana kenderaan di sebelah sana tidak dapat melihat kenderaan di sebelah sini, dan akan berlanggar. Terdapat juga jalan raya yang berlubang-lubang yang boleh menyebabkan tayar kenderaan pecah dan kenderaan yang datang belakang akan melanggar kenderaan yang tersangkut jika tidak berhati-hati. Keadaan jalan raya yang sempit, dibina pula di cerun bukit yang curam boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh yang berlaku di sepanjang jalan di Brincang dan di Tanah Tinggi Cameron telah memusnahkan banyak kenderaan dan meragut banyak nyawa . Kerosakan pada kenderaan juga boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya. Kenderaan yang lama tidak diservis ataupun telah rosak berkemungkinan tinggi akan berhenti di tengah-tengah jalan.Sekiranya situasi ini berlaku, kenderaan yang laju di belakang tidak sempat menekan brek dan melanggar kenderaan rosak yang berhenti di depan. Banyak berlaku, kenderaan mengalami kerosakan pada brek, akibatnya, kenderaan gagal berhenti, gagal mengurangkan kelajuan dan menjadi punca kemalangan jalan raya. Realitinya jalan raya tidak sempurna , keadaan kenderaan yang tidak sempurna, yang rosak, akan mengakibatkan kemalangan yang ngeri di tengah jalan.
Kesimpulannya, setiap pemandu perlu berhemah semasa memandu di jalan raya kerana biar lambat asalkan selamat. Pastikanlah kenderaan dalam keadaan yang baik sebelum bertolak dari rumah. Jabatan Kerja Raya perlu membuat pemantauan, pastikan jalan raya berada dalam keadaan yang selamat. Polis trafik perlu siap siaga menjalankan ‘Ops Selamat’ dan sebagainya untuk mengurangkan kadar kemalangan terutamanya sepanjang musim perayaan. Semua pihak perlu berganding bahu agar usaha kita mengurangkan kadar kemalangan jalan raya berjaya dan pandulah dengan cermat, menuju destinasi dengan selamat.
Oleh :Muhammad Aiman Hafiz bin Osman (doakan kejayaan kami untuk A+ BM SPM )
Catatan : 14 Mac 2019 (hari keputusan SPM 2018 diumumkan)
Hari ini, Tou Zher, Yen, Su, Ida, Jehan,
Syafiqah, Izuddin. Iqram, Zana, Izzah, Azam, Nasrul & sekumpulan
pelajar Maahad Tahfiz datang ke rumah untuk ucap terima kasih kerana semuanya
cemerlang A+ BM 2018. Saya bersyukur kerana punyai pelajar yang
berbudi bahasa, bersopan santun, berbudi pekerti mulia.
Anthony pagi-pagi lagi telefon ucap terima kasih- dia jua dapat A+ BM SPM. Kemudian Pudin telefon ucap terima kasih kerana dapat A+ BM. Alya yang menuntut di KB jua telefon ucap terima kasih kerana cemerlang A BM. Fariq datang ke rumah, dia dapat A BM. Anis dapat A+ BM. Yati dapat A+. Tahniah semua!
Sesungguhnya terima kasih adalah yang terindah. Syukur
alhamdulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan