Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Isnin, 29 April 2019

FAEDAH MAKAN ULAM-ULAMAN TEMPATAN. Bincangkan


FAEDAH MAKAN ULAM-ULAMAN TEMPATAN.  Bincangkan

Sebut sahaja ulam-ulaman pasti  terbayang  akan keenakan dan kesegarannya. Hidangan ulam-ulaman ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menjadi kewajipan ibu menyediakannya dalam setiap hidangan makan tengah hari mahupun malam. Namun apakah definisi sebenar ulam-ulaman ini ? Ulam sebenarnya merupakan sayuran atau tumbuhan yang merangkumi daripada pelbagai bahagian sayuran tersebut seperti batang, bunga, buah, biji, umbut dan lain-lain lagi. Bahagian daun dan pucuk adalah bahagian tumbuhan yang selalu dipilih untuk dijadikan ulam dan bahagian tersebut menjadi kegemaran bagi peminat ulam-ulaman.

Antara faedah makan ulam-ulaman ialah  ulam-ulaman ini  menjadi pembuka dan penambah selera semasa menjamu selera kerana jika tiada ulam-ulaman pasti akan teringat-ingat ketika makan dan jika ada pasti makan akan bertambah-tambah dek kerana penangan ulam-ulaman tersebut. Ulam-ulaman biasanya dimakan mentah namun boleh juga dihidangkan dalam keadaan direbus, distim mahupun dicelur. Kita akan lebih kerap melihat orang ramai makan ulam dalam keadaan mentah kerana terdapat lebih banyak khasiat, lebih segar dan rasa yang lebih enak. Ulam-ulaman juga boleh dimakan dengan mencecahnya terlebih dahulu dengan sambal tradisional orang Melayu seperti budu, sambal belacan, cencaluk, dan pencecah lain sebelum disertakan dengan nasi dan lauk-pauk. Sesungguhnya ulam-ulaman penting sebagai penambah dan pembuka selera makan

Seterusnya ulam-ulaman sangat berkhasiat kepada kesihatan diri kita. Jika dimakan secara mentah atau tidak dimasak terlalu lama kerana kandungan galian seperti mineral dan vitamin utama iaitu kalsium, fosforus, zat besi, natrium, kalium yang ada dalam ulam tidak dimusnahkan oleh haba. Namun secara berasingan pula, setiap jenis ulam-ulaman mempunyai khasiat masing-masing yang membawa kebaikan kepada kesihatan manusia. Ulam yang cukup popular dan amat  mudah diperoleh adalah jering, petai, kerdas, rebung, cekur manis, ulam raja, pucuk ubi kayu, pucuk pegaga, pucuk serai kayu dan lain-lain.Sementara ada ulam kurang dikenali dan sukar diperoleh seperti beluntas, pucuk betik, pucuk kadok dan pucuk gajus. Kajian pakar perubatan menunjukkan sesetengah ulam  menjadikan diri kita sentiasa awet muda. Kulit jadi licin, mata jadi cerah, rambut jadi hitam dan lebat. Jika kita amalkan makan ulam, ulam akan, menyerikan wajah, mengecutkan peranakan, melancarkan peredaran darah, melancarkan suara, menambahkan kekuatan fizikal, menghilangkan bintik-bintik hitam di muka  Petai yang amat berkhasiat, berdasarkan kajian, buah petai yang berbintil-bintil pada papannya dikatakan mengandungi kadar protein dan lemak yang tinggi berbanding tumbuhan hutan yang lain,. Peminat ulam-ulaman kelihatan berseri pada wajah dan sentiasa awet muda.Apabila diamalkan setiap hari sudah pasti wajah akan tambah berseri-seri Hakikatnya ulam-ulamansangat berkhasiat kepada kesihatan diri kita menjadi makanan penyeri wajah, dan membantu proses  awet muda.

Di samping itu, makan ulam-ulam dapat mengurangkan berat badan,mengurangkan bau badan dan memantapkan gigi kita. meningkatkan kecergasan minda, menyembuhkan demam, merawat penyakit nyanyuk, merawat pitam dan lain-lain. Pucuk ulam raja amat berguna untuk memperbaiki peredaran darah, mencuci bahan toksik dalam darah, mencuci darah, menguatkan tulang, melemahkan aktiviti sesetengah bakteria dan lain-lain. Pucuk betik pula dapat mengurangkan kadar lemak berlebihan di dalam badan. Makan ulam, pucuk daun betik terbukti boleh menurunkan berat badan dan mendapat potongan badan idaman. Ulam-ulam membantu proses pencernaan yang sekali gus memudahkan kita menjaga berat badan dan tidak berlaku masalah obesiti.  ulam-ulam jika dijadikan amalan harian, kita kurang menghadapi masalah sakit gigi dan badan berbau. Bau badan akan hilang secara beransur-ansur  apabila limau nipis dipotong halus, direndam di dalam kicap,  dimakan bersama-sama nasi . Ohohh... rasanya sungguh enak hingga menjilat jari. Jadikan amalan kerana telah menjadi buah mulut anak-anak desa, bahawa makan ulam putik limau kasturi atau limau nipis terbukti dapat menyembuhkan sakit gigi , mengukuhkan gigi dan yang terbaharu dikatakan boleh mengurangkan bau badan hingga ke tahap sifar bau. Kita rasa selesa berkumpul bersama-sama rakan dengan aroma badan yang menyegarkan Hakikatnya amalan makan ulam –ulaman boleh mengurangkan berat badan, mengurangkan bau badan dan memantapkan gigi kita.

Kesimpulannya, kata orang tak kenal maka, tak cinta.  Jadi kenalilah ulam-ulam yang terdapat di negara kita dan belajarlah mencintai dan menggemarinya. Sekali rasa pasti hendak lagi. Jadikanlah ulam-ulaman sebagai sajian harian, menu wajib untuk keluarga kita. Kalau berasa hendak makan ulam-ulaman cecah budu, jemputlah ke rumah saya.  Kita makan nasi kerabu yang sungguh enak dan lazat tidak terkata.  Saya yakin dan semua pasti setuju, makanan sihat dapat melahirkan masyarakat yang sihat sejahtera,

Karya : Norasimah binti Zulkiflee  tg 5
(doakan kejayaan saya dalam SPM tahun ini)


Khamis, 25 April 2019

Karangan terbaik pelajar- Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam. Beri pendapat anda


Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam. Beri pendapat anda

           Dunia kian berkembang pesat dalam pelbagai aspek, termasuklah  Malaysia  tercinta yang semakin menuju ke arah status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan pengangkutan awam kini adalah lebih baik jika  dibandingkan situasinya pada satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita perolehi apabila menggunakan pengangkutan awam.

         Antara  faedah utama penggunaan pengangkutan awam ialah kita  pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menyerabutkan minda jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini kian meruncing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan. Jelaslah, penggunaan pengangkutan awam mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

           Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan, untuk kegunaan pada masa hadapan. Walaupun sedikit tetapi usaha sebegini amat berbaloi kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Ternyata penggunaan pengangkutan awam amat ketara boleh menjimatkan kos pengangkutan kita pada setiap hari.

         Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Hasilnya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat, sejahtera dan selesa. Sememangnya indeks pencemaran udara dapat dikurangkan apabila  kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menggantikan kenderaan persendirian.
.
            Kesimpulannya, saya berpandangan jauh, bagi saya, penggunaan pengangkutan awam di Malaysia mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Demi  keselesaan dan meningkatkan profesionalisme dalam dunia perhubungan dan pengangkutan, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi. Kelangsungan penggunaannya sudah pasti tiada bertara dan diiktiraf oleh dunia. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju, seperti yang kita cita-citakan dan seperti  yang kita impi-impikan.

Karya ; Mohd Adam 5 aurum 
(Doakan kejayaan saya untuk SPM tahun ini, ya...)

Sabtu, 20 April 2019

Peranan ibu bapa membantu anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Bincangkan


Peranan ibu bapa membantu anak-anak dalam menghadapi peperiksaan. Bincangkan

Setiap kali menjelang peperiksaan, ibu bapa biasanya lebih bimbang  berbanding anak-anak. Kebimbangan ini lebih ketara di pihak ibu berbanding bapa. Ibulah yang lebih gemuruh dan risau. Bapa pula biasanya lebih tenang dan terkawal perasaannya. Harapan diletakkan terlalu tinggi terhadap seseorang anak, membuatkan ibu bapa  kelam kabut sehingga lupa akan apa-apa yang sepatutnya dilakukan pada saat menjelangnya  peperiksaan   anak. Ibu bapa perlu tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu meningkatkan prestasi  peperiksaan anak-anak.

Antara langkah yang perlu dilakukan apabila anak akan menduduki peperiksaan penting, ialah mewujudkan suasana kondusif. Ibu bapa dan ahli keluarga  menghormati waktu ulangkaji anak itu dan setiap ahli keluarga turut menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar, misalnya ibu bapa memanfaatkan waktu itu dengan membaca bahan-bahan bacaan yang berfaedah. Adik kecil pula diberi kertas dan pensel untuk bagi menconteng. Begitulah juga dengan ahli keluarga yang lain. Pastikan tiada seorang pun ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main sehingga mengganggu anak yang sedang bertungkus lumus mengulangkaji membuat persediaan menghadapi peperiksaannya. Sesungguhnya, dengan menyediakan tempat belajar yang selesa, menghormati  waktu ulangkaji anak, sianak akan dapat merasakan  dirinya dan perjuangannya dihargai

Selain itu ibu bapa perlu elakkan daripada terlalu banyak aktiviti luar yang melibatkan anak yang sedang menghadapi SPM 2022. Kurangkan membuang masa dengan aktiviti di luar seperti keluar membeli-belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi keluarga dan sebagainya. Ingatlah bahawa setiap minit amat berharga bagi sianak yang sedang berjuang di medan ilmu.. Ibu bapa perlu pastikan setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaan anak menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-anak.  Perlu diingat kekerapan berada di luar rumah hanya akan mendedahkan anak terhadap perkara yang tidak diingini dari segi kesihatan mahupun keselamatan. Ibu bapa perlu pastikan anak mendapat rehat dan tidur yang mencukupi. Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam bagi menghabiskan ulang kaji mereka. Jangan biarkan keadaan seperti ini berlarutan Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakkan mereka membuat sedikit ulang kaji pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30 minit. Pada waktu ini, fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Kajian menunjukkan banyak maklumat yang dibaca ketika ini mudah diingati bagi tempoh masa yang lebih lama. Hakikatnya ibu bapa perlu cakna akan masa rehat anak, masa tidur anak mencukupi dalam menghadapi cabaran SPM

Selanjutnya, ibu bapa perlu berikan anak layanan istimewa setiap kali menjelangnya peperiksaan.Bebaskan sianak daripada melakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya. Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa sendiri. Dengan cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan seluruh ahli keluarga benar-benar mahu melihat dirinya cemerlang. Dalam dirinya akan timbul rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, sedangkan semua orang memberikan kerjasama. Sianak juga akan mengharapkan suasana peperiksaan seperti ini akan datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-anak yang lain pula tidak ada sebab untuk cemburu kerana apabila tiba masa mereka, mereka juga akan dilayan dengan cara yang serupa. ibu bapa perlu banyak berdoa dan lakukan solat hajat. Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna bagi seseorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu daripada ibu bapanya. Ketika inilah  ibu bapa meluangkan lebih banyak masa berdoa untuk anak  supaya dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati. Berdoalah dengan suara yang jelas supaya didengar oleh anak dan biarlah anak aminkan doa ibu dan bapanya itu. Biar anak menyedari yang ibu bapa sering melakukan solat hajat, menadah tangan dan berdoa untuknya. Dengan cara ini, anak-anak jadi lebih menghargai hasrat dan impiannya, anak pasti terharu dan situasi sebegini memperkuatkan lagi azamnya untuk berjaya.   Hakikatnya, apabila ibu bapa  mendambakan impian dan harapan dengan penuh keikhlasan,Yang Maha Esa akan permudahkan segala usaha ibu bapa membantu anak-anak menghadapi peperiksaan, InsyaAllah.

Kesimpulannya ibu bapa perlu mendorong dan memotivasikan anak untuk belajar dan berjaya. Berikanlah anak keyakinan dalam menghadapi peperiksaan. Berikan nasihat kepada mereka dengan penuh kasih sayang. Tunjukkan keprihatinan dan sentiasalah memberi komitmen untuk membantu anak-anak menghadapi cabaran SPM . Ilmu itu luas, bagaikan lautan tidak bertepi. Bantulah anak-anak menghadapi saat-saat getir pencarian ilmu ini, dan pastikan doa ibu bapa sentiasa mengiringi perjuangan anak-anak.


Karya : Ahmad Haziq  - Tingkatan 5 - SMKDMPR1

( Yang pasti kejayaan jadi milik pelajar yang rajin, tekun berusaha. Semoga doa kalian mengiringi perjuangan saya dan rakan-rakan untuk cemerlang  SPM )

Jangan Tiru