Bahasa Melayu eksklusif untuk calon SPM

Khamis, 25 April 2019

Karangan terbaik pelajar- Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam. Beri pendapat anda


Kebaikan Menggunakan Pengangkutan Awam. Beri pendapat anda

           Dunia kian berkembang pesat dalam pelbagai aspek, termasuklah  Malaysia  tercinta yang semakin menuju ke arah status negara maju. Namun demikian, penggunaan pengangkutan awam masih dipandang sepi oleh segelintir masyarakat. Perkhidmatan pengangkutan awam kini adalah lebih baik jika  dibandingkan situasinya pada satu dekad yang lalu. Pihak kerajaan telah mengambil tindakan yang sewajarnya dalam menambah baik mutu perkhidmatan pengangkutan awam. Jika diperhalusi, ada berbagai-bagai faedah yang kita perolehi apabila menggunakan pengangkutan awam.

         Antara  faedah utama penggunaan pengangkutan awam ialah kita  pastinya dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering menyerabutkan minda jutaan penduduk di bandar-bandar besar. Hal ini kian meruncing lagi apabila tiba waktu puncak ketika pergi dan pulang dari bekerja. Sekiranya orang ramai sepakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja, pastinya masalah kesesakan ini tidak berlaku. Sebagai contoh, semua orang menggunakan bas awam untuk ke tempat kerja, maka jumlah kereta persendirian di atas jalan raya pastinya berkurangan. Jelaslah, penggunaan pengangkutan awam mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

           Di samping itu, apabila kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, kita dapat menjimatkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, harga petrol yang tinggi dan juga bayaran parkir kenderaan pasti perlu ditanggung jika kita menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Namun demikian, dengan kos yang rendah kita tidak perlu risau dengan kos petrol dan bayaran parkir berkenaan apabila menaiki kenderaan awam. Wang lebihan berkenaan boleh dibuat tabungan, untuk kegunaan pada masa hadapan. Walaupun sedikit tetapi usaha sebegini amat berbaloi kerana sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Ternyata penggunaan pengangkutan awam amat ketara boleh menjimatkan kos pengangkutan kita pada setiap hari.

         Seterusnya, indeks pencemaran udara juga dapat dikurangkan jika kita sepakat untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke mana-mana destinasi. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana apabila kenderaan di atas jalan raya semakin berkurangan, maka pelepasan gas karbon monoksida yang berbahaya kepada manusia turut berkurangan. Hasilnya, kita dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah hijau sekali gus. Secara tidak langsung juga, rakyat Malaysia dapat hidup dengan sihat, sejahtera dan selesa. Sememangnya indeks pencemaran udara dapat dikurangkan apabila  kita menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam menggantikan kenderaan persendirian.
.
            Kesimpulannya, saya berpandangan jauh, bagi saya, penggunaan pengangkutan awam di Malaysia mendatangkan seribu satu faedah buat rakyat dan negara. Demi  keselesaan dan meningkatkan profesionalisme dalam dunia perhubungan dan pengangkutan, semua pihak perlu berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memastikan kemudahan yang disediakan ini diselenggara dan dijaga dengan rapi. Kelangsungan penggunaannya sudah pasti tiada bertara dan diiktiraf oleh dunia. Jika semua perkara ini tidak dipandang enteng, tidak mustahil negara kita mampu mencapai status negara maju, seperti yang kita cita-citakan dan seperti  yang kita impi-impikan.

Karya ; Mohd Adam 5 aurum 
(Doakan kejayaan saya untuk SPM tahun ini, ya...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Jangan Tiru