Kaedah paling praktikal, paling efektif untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas di negara kita.
Sesiapa sahaja yang berkunjung ke negara kita pasti berasa gusar dengan kesesakan lalu-lintas yang berlaku di negara kita khususnya di kota-kota raya. Kesesakan juga berlaku pada musim-musim perayaan. Kesesakan menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. Saya berpendapat terdapat pelbagai cara untuk kita mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang kian hari kian meruncing. Kesesakan perlu dikurangkan, diatasi segera sebelum nasi menjadi bubur, sebelum padi berbunga lalang
Kesesakan lalu – lintas boleh dikurangkan dengan pelbagai cara. Antara caranya ialah amalan menggunakan kenderaan awam oleh kalangan pengguna jalan raya. Kesesakan pasti dapat dikurangkan apabila masyarakat menggunakan perkhidmatan kenderaan alternatif seperti teksi, bas, KTM, MRT, LRT, monorel dan sebagainya. Ramai tertarik untuk menggunakan kenderaan awam, apabila kenderaan awam dilengkapi dengan pendingin udara dan tempat duduk yang selesa. Perjalanan jadi lebih lancar apabila kenderaan awam dimanfaatkan sepenuhnya. Jumlah kenderaan bergerak di jalan raya berkurangan dan yang pasti kadar kesesakan lalu-lintas berkurangan. Sesungguhnya penggunaan kenderaan awam dapat mengurangkan kesesakan lalu-lintas, suasana pemanduan jadi lebih selesa dan persekitaran jadi lebih ‘sejuk mata memandang’
Seterusnya, kaedah paling praktikal untuk mengurangkan kesesakan lalu-lintas adalah dengan melakukan penambahbaikkan jalan-jalan raya, lebuh-lebuh raya di Malaysia. Kerajaan, melalui Kementerian Pengangkutan perlu menggiatkan usaha memperlebarkan, dan memperluaskan jalan raya berikutan penambahan bilangan kenderaan bergerak di seluruh negara. Jalan raya laluan selorong perlu dijadikan jalan raya empat atau lima lorong. Jalan bertingkat atau jejantas perlu diperbanyakkan . Sistem perhubungan jalan raya di seluruh negara perlu dilengkapi dengan papan-papan tanda dan lampu isyarat yang beroperasi 24 jam. Jalan - jalan yang rosak perlu diperbaiki, kejadian tanah runtuh perlu dipulihkan untuk elakkan berlakunya kesesakan yang menyerabutkan minda. Ternyata , penambahbaikkan sistem jalan raya di Malaysia dapat mengurangkan kesesakan dan saya berpendapat inisiatif pihak kerajaan dapat menokhtahkan isu kesesakan lalu lintas di negara kita sehingga menjadikan sistem pengangkutan di negara kita antara yang terbaik di Asia.
Selanjutnya, peranan dan tanggungjawab pihak Polis Diraja Malaysia atau PDRM dan petugas dari Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ turut menyumbangkan ke arah mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan-jalan raya di negara kita. Kawalan perlu dilakukan pada waktu-waktu puncak atau ‘peak hours’ oleh PDRM atau pihak JPJ. Pengguna perlu dingatkan, diberi penegasan dan peringatan agar memandu mengikut disiplin dan peraturan, BUKAN mengikut perasaan. Elakkan berlakunya sebarang tragedi atau kemalangan jalan raya hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Saman dikenakan kepada sesiapa sahaja pengguna yang melanggar peraturan di jalan raya. Pastikan pengguna atau pemandu memandu secara berhemah. Kawalan dan seliaan pihak polis dan JPJ sepanjang masa, setiap masa. pasti membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas. Sememangnya perkhidmatan, pengurusan dan kawalan lalu lintas oleh pihak PDRM dan JPJ yang SEDIA BERBAKTI UNTUK NEGARA , mampu mengawal kesesakan jalan raya ke tahap maksimum.
Kesimpulannya, masalah kesesakan lalu lintas di negara kita sentiasa ditangani secara berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Usaha yang berterusan pasti menghasilkan kejayaan. Yakinilah akan hakikat, suasana selesa tanpa kesesakan lalu lintas menjadikan kehidupan di negara kita sentiasa indah lagi mendamaikan.